Piccredit:ohdunia.my
GOLONGAN
PEMINTA DI JALANAN
PADA hari ini, kita biasa terserempak dengan pelbagai golongan yang
meminta-minta di jalanan. Ada yang meminta sedekah secara terus iaitu menadah
tangan, mangkuk atau tempurung mengharap wang. Ada juga golongan yang menjual
sesuatu agar kita membeli dan juga bersedekah. Ada juga yang terus meminta
derma.
Saya teringat golongan yang meminta sedekah secara terus, bukan
dengan cara menjual ataupun secara meminta derma. Ahad lalu, saya tertarik bila
terdengar bunyi alunan muzik harmonika. Bila saya menekur, kelihatan seorang
peminta sedekah yang tertiarap di lantai di celah-celah kaki laluan pengunjung di
pasar Meru, Klang. Bunyi alat muzik itu datang daripada sebuah telefon bimbit
di sisinya. Saya tersenyum bila nampak dia terkial-kial mengemam sebuah harmonika yang
diambnil dari poketnya. Berlakon konon-kononnya muzik itu datang dari
tiupannya. ‘Ini auta peminta sedekah di pasar-pasar,’ detik hati saya.
Saya pernah terjumpa dengan peminta sedekah yang
kononnya bernyanyi, padahal suara nyanyian itu datang daripada perakam suara
yang disangkut di pinggangnya. Dia miming
sahaja. Suasana kebisingan pasar membuat mereka menggunakan alat muzik untuk
menarik perhatian.
Di simpang-simpang jalan, berhampiran dengan
lampu isyarat juga terdapat mereka yang meminta. Apabila kenderaan berhenti
menanti lampu hijau, peminta-peminta ini
akan datang menadah tangan dari kenderaan ke kenderaan. Ada juga yang lebih
berani. Mereka mengetuk cermin sambil membuat muka sepuluh sen, tetapi mahu
sekurang-kurangnya seringgit.
Di medan-medan selera pula terdapat pasangan
peminta. Seorang celik yang bertugas sebagai pemimpin si buta. Mereka mengutip wang
dari meja ke meja. Di pekarangan masjid lain pula cara mereka. Tempat mereka
ialah di sudut-sudut lorong pejalan kaki. Biasanya terdiri daripada golongan
wanita yang meriba anak kecil. Lazimnya anak-anak kecil ini semuanya tidur lena.
Kata orang, anak-anak itu diberi ubat batuk supaya sentiasa terlelap. Wallahua’lam.
Golongan yang cacat seperti kudung kaki
lazimnya pula bersepah di pasar tani atau pekan sehari. Mereka duduk di antara
dua lorong sambil menggoncang cawan plastik untuk menarik perhatian. Sekali
padang sememangnya kita berasa amat kasihan. Tetapi, bagaimana ya, dengan
kecacatan sebegitu rupa mereka dapat berjalan begitu jauh ke hujung-hujung
lorong. Pasti ada orang yang membawa mereka ke situ.
Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang
kita tak boleh tafsirkan sebagai peminta sedekah kerana mereka menjual barangan
seperti kertas tisu. Kita pun tidak sampai hati untuk mengambil sepaket bila
mereka menghampiri. Akhirnya kita hulurkan seringgit tanpa mengambil barang
jualannya. Dan, mereka memperoleh berpuluh ringgit hanya dengan menayangkan
beberapa bungkus tisu.
Ada juga di antara mereka yang menjual keropok
secara jualan langsung di stesen-stesen minyak. Mereka menghampiri tatkala kita
sedang mengisi petrol. Harga keropok ikan yang mereka jual itu boleh dikatakan
mahal hingga sepuluh ringgit sebungkus. Kualitinya pula belum tentu bagus.
Kita juga mungkin pernah berjumpa dengan
makcik-makcik yang menjaja pelbagai jenis kerepek. Harganya juga boleh tahan. Sekali
pandang, kita jatuh kasihan dengan makcik-makcik ini dan kita pun membeli. Soalnya,
siapa yang bijak merekrut makcik-makcik ini menjaja sebagai pendekatan
pemasaran hingga kita membeli kerana simpati dan bukan kerana perlu?
Budak-budak menjual kismis dan kalendar pula adalah
golongan yang bergiat di kawasan R & R. Lazimnya mereka menunggu di luar
surau. Wajah mereka comel-comel dan cantik-cantik. Sekali lagi kita membeli
kerana kasihan. Mungkin juga kita hanya bersedekah dan tidak membeli kerana
kasihankan mereka. Namun, jika kita menunggu dan mengintai untuk melihat apa
yang mereka makan di gerai berhampiran, kita akan geleng kepala sambil
tersenyum kerana terlebih simpati.
Mereka yang meminta secara langsung mahupun
menjaja sedikit barangan sudah menjadi kebiasaan. Bagaimana pula dengan mereka
yang meminta derma? Golongan ini akan kita temui di hadapan bank. Apabila kita
menghampiri, salam akan diberi. Tak jawab, berdosa, kan? Lalu kita pun menjawab
dan komunikasi sudah bermula. Apabila telah mengeluarkan wang, sekali lagi kita
disapa supaya menderma. Maka, setelah bersapa sebentar tadi, kita terpaksa
menunjukkan wajah yang manis lalu terhulurlah derma.
Tetapi, pernahkah kita tertanya, mengapa hari
ini kutipannya untuk sekolah tahfiz, esok untuk mendirikan masjid, minggu depan
pula untuk rakyat Palestin? Modus operandinya sama… duduk di hadapan tong yang
ditutupi poster organisasi yang merayu simpati. Dahulu mereka hanya menggunakan
tong biskut atau tong plastik besar. Kini sudah untung dan maju. Mereka sudah
guna tong akrilik. Ada yang lebih berani. Mereka tinggal tong tanpa dijaga.
Sampai masa, mereka hanya datang mengambil hasilnya.
Apakah kita bersedekah, membeli atau menderma
apabila terjumpa mereka? Ramai yang memberi tanpa berfikir. Ramai yang buat-buat
tidak nampak kerana tidak mahu menghulur. Ada juga yang buat muka ketat kerana
tidak mahu memberi atau membeli.
Sebenarnya, jika kita tidak mahu bersedekah pun
tidak mengapa kerana bersedekah itu sunat. Membeli pun harus. Yang tidak kena
ialah apabila kita tidak menghulur tetapi memandang sinis kepada mereka. Yang elok, jika
tidak mahu memberi pun, hulurkan sahaja senyuman. Bukankah senyuman itu juga adalah
suatu sedekah?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.9.2015.
No comments:
Post a Comment