CABARAN TERBESAR
ORANG BERPUASA
ORANG BERPUASA
HARI INI, 21
haribulan Ramadan. Kita sudah sampai ke pusingan akhir puasa. Dikatakan,
pusingan akhir inilah pusingan untuk kita memecut hingga ke garisan penamat.
Ramai yang sudah khatam al-Quran dan meningkatkan masa untuk qiamullail pula.
Dalam pada itu, lebih ramai lagi yang mula lelah.
Lebih separuh
jemaah solat terawih di masjid dan surau sudah tidak lagi hadir. Jika ramai
yang dapat mengerjakan ibadah Ramadan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu,
ramai lagi yang tak dapat memperbaiki rekod tahun-tahun sebelumnya. Mengapa ya?
Inilah persoalan yang ditanya oleh teman-teman saya tatkala berbuka kelmarin.
Sebenarnya kita
sendiri yang menentukan samada ibadah Ramadan kita menjadi lebih baik, lebih
kurang sama seperti tahun-tahun lalu ataupun terbaik pada tahun ini. Ia berkait
rapat dengan mindset kita terhadap puasa itu sendiri.
Jika kita lalui
puasa sebagai rutin tahunan, maka tindakan kita akan menjadi autopilot;
bangun qiyamullail, bersahur, bersolat, membaca al-Quran, tidur pada waktu
siang, berkunjung ke bazar Ramadan, berbuka, bersolat terawih, moreh dan tidur.
Aktiviti lain
seperti berbuka puasa di luar seperti di surau, gerai dan hotel menjadi
agendanya. Maknanya, kita berpuasa sebab orang lain berpuasa. Beribadah juga
sebab orang lain beribadah sebegitu. Pendek kata, kita menjalani ibadah puasa
mengikut apa yang orang lain buat. Berpuasa seolah-olah secara berjemaah. Ini
akibat herd mentality.
Padahal, puasa itu
memerlukan penglibatan personal. Seperti sebuah perlumbaan maraton, kita kena
mengukur kemampuan diri bagaimana untuk mengharungi 30 hari beribadah secara
intensif. Lain orang, lain pilihannya dan lain pendekatan serta penumpuannya. Yang
penting, pergerakan kita perlu mengikut rentak dari perlahan kepada deras,
semakin banyak hari berpuasa kita lalui.
Namun, oleh kerana
ramai yang tidak sedar pentingnya mengurus tenaga, maka ramai yang nampaknya
beribadah bersungguh-sungguh pada awal hari-hari puasa, tetapi kian sehari,
komitmennya kepada ibadah kian mengendur. Kepenatan mula melanda.
Inilah yang
menyebabkan mengapa semakin sehari masjid dan surau semakin lengang. Seperti
maraton, seharusnya aktiviti Ramadan kita harus dilakukan sebaliknya iaitu
daripada perlahan menjadi semakin laju apabil menghampiri penghujung Ramadan.
Seharusnya, ibadah
kita dilakukan secara perlahan-lahan pada hari-hari awal puasa dan mempercepat
serta memperbanyakkan ibadah menjelang pertengahan bulan Ramadan. Apabila masuk
sepertiga akhir, baharulah tumpuan ibadah dipergiatkan, seperti pelumba maraton
yang kian pantas berlari apabila menghampiri ke garisan penamat.
Barangkali, pada
satu-satu tahun kita boleh memberi tumpuan kepada aktiviti ibadah yang kita
lemah melakukannya. Jika kita biasa khatam al-Quran pada setiap Ramadan dan
dapat bersolat terawih sepenuhnya, apa kata pada tahun ini kita menjaga
pancaindera atau pergiatkan ibadah sedekah pula?
Ibadah di bulan
Ramadan ini berat dan penuh cabaran. Meskipun tamat satu juzuk al-Quran setelah
terawih, pahala setelah membaca ayat-ayat indah itu dicemari pula membaca
segala macam ayat-ayat yang buruk, celupar dan kotor apabila kita menatap Whatsapp.
Kita dapat melafaz zikir beribu kali jumlahnya.
Tetapi sebaik
sahaja sejadah dilipat, mata kita menatap televisyen dan kita memberi komen
yang jelek terhadap drama yang tertayang. Seolah-olah ibadah puasa itu kita
simpan elok-elok dalam lipatan sejadah.
Begitu pun, bagi saya,
cabaran berpuasa sebenarnya bukannya datang daripada apa yang datang luar
seperti video makanan yang dikirim secara nakal oleh kawan-kawan, bahasa
celupar yang kita tatap di telefon ataupun umpatan mereka di sekeliling kita.
Cabaran yang utama bagi
orang yang berpuasa adalah apabila ia lupa dia berpuasa. Kerana terlupa, dalam
sekelip mata, kita berperangai seperti di bulan-bulan yang lain.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.6.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.6.18.
No comments:
Post a Comment