14 OGOS 2017. Saya dan novelis Ramlee Awang Murshid bercadang
untuk minum petang di kawasan Anjung Senja, di hadapan Hotel Promenade Kota
Kinabalu. Pada malamnya, kami akan menghadiri previu filem Tombiruo; karya
adaptasi daripada novel beliau. Oleh kerana hari hujan, kami bersembang dulu di
kawasan parkir hotel.
Berhampiran kami, ada seorang lelaki mat salih yang sedang
menghisap paip. Beliau berjaket hitam fesyen
rain coat dan berkacamata tebal. Wajahnya
bujur sireh. Andainya beliau bertopi, wajahnya saling tak tumpah karektor
fiksyen Sherlock Holmes. Kami jeling menjeling, tersenyum-senyum dan akhirnya
berbual.
Mr. Eric seorang ekspatriat British. Lebih lima tahun
bekerja di Malaysia. Beliau bertugas sebagai perunding di sebuah syarikat
minyak di Kuala Lumpur. Selepas bertanya mengenai pandangannya mengenai
Malaysia, perbualan menjurus kepada hal-hal politik. Ternyata Eric mengikuti
perkembangannya.
Banyak yang dibualkan mengenai kerajaan pemerintah dan juga
pembangkang. Tatkala itu, belum wujud lagi nama Pakatan Harapan. Eric hanya
menggelarnya sebagai the other group.
Banyak yang beliau perkatakan mengenai cara pengurusan parti pemerintah ketika
itu. Mengenai betapa buruknya keadaan dan beliau berharap rakyat akan memilih
kerajaan yang baharu meskipun tak yakin mereka berani mengubah selera.
Di akhir perbualan, saya melontarkan sebuah pandangan kepada
Eric. Kata saya, ‘Keadaan akan jadi lebih baik bila the other group berpeluang memerintah kerana mereka boleh
memperbetul keadaan.’ Eric menjawab selamba, ‘It’s not going to be easy because they are getting a rotten apple!
Epal buruk! Benar, analogi Mr. Eric. Inilah yang diperoleh
oleh Pakatan Harapan. Apabila menang, mereka bukannya masuk ke rumah baharu.
Sebaliknya mereka dapat sebuah rumah buruk yang penuh dengan sampah sarap.
Banyak yang mereka perlu bersihkan sebelum dapat mengecat dan mengembalikan
seri rumah ini.
Status hutang yang hampir tidak terkawal, pembaziran sumber
manusia di jabatan kerajaan, organisasi bertindih, perjanjian-perjanjian yang
berat sebelah dan banyak lagi aspek pentadbiran yang perlu diperkemaskan. Itu
belum lagi termasuk janji-janji yang belum tertunai. Kabinet pada hari ini
dilihat banyak kerja untuk memperbaiki dan memperbetul kepincangan yang
dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Kita? Kita yang mengikuti semua ini perlulah memberi ruang
kepada para pemimpin yang terpilih untuk mengendalikan kerajaan. Pilihanraya
umum telah pun berlalu. Sebanyak mana pun kita turut berkempen dengan cara
berdebat dengan kawan-kawan atau menular berita agar menyokong apa yang kita
sokong, undi kita hanya satu sahaja!
Andainya kita penyokong yang mengundi kerajaan Pakatan
Harapan, kita perlu menjadi penyokong yang bijak. Sentiasa faham bahawa manusia
akan melakukan kesilapan. Jika pemimpin BN buat silap, PH pun tak terkecuali. Pemimpin
Pakatan Harapan sendiri telah beri jaminan untuk responsif kepada suara rakyat.
Itu petanda bahawa mereka sedia dikritik.
Maka dengan itu kritiklah untuk mengingatkan. Tidak boleh
menyokong 100 % secara membuta tuli. Nanti sejarah akan berulang bila mana
penyokong yang sentiasa menyokong akan meruntuhkan parti. Ingat kisah bagaimana
penyokong BN telah buta mata dan hati kerana menjadi penyokong taksub. Akhirnya
BN tumbang kerana menerima sokongan yang membawa rebah.
Sebaliknya, andainya kita pengundi BN dan parti sokongan
kita ini telah kalah, kita perlu terimalah keputusan rakyat. Bukankah apabila
kita menjadi pengundi, itu petanda bahawa kita menjunjung demokrasi?
Peraturannya, yang menang akan memerintah, yang kalah perlu undur.
Kita kena move on.
Tidaklah boleh meroyan dan menafsir apa yang dibuat oleh parti Pakatan Harapan
itu semuanya bertujuan jahat. Tidak boleh pula berasa kecewa, malu lalu
meminggirkan diri menjilat luka kekalahan. Negara demokrasi memerlukan
pembangkang yang kuat. BN adalah pembangkang yang kuat kerana punyai pengalaman
memerintah selama 60 tahun.
Para pemimpin kerajaan Pakatan Harapan nampaknya masih ingat
mengapa mereka dipilih rakyat. Baguslah. Mereka dilihat sedia menerima setiap teguran
kerana mereka yang membawa konsep ketelusan dalam pemerintahan.
Bagaimana pun, mereka perlu juga menghadkan keterbukaan dalam menerima pendapat. Jangan sampai jadi seperti kisah Luqman al-Hakim, anak dan keldai. Akibat terlalu mendengar semua saranan orang sekeliling, apa jua keputusan yang dilakukan itu berubah-ubah hingga akhirnya merugikan.
Bagaimana pun, mereka perlu juga menghadkan keterbukaan dalam menerima pendapat. Jangan sampai jadi seperti kisah Luqman al-Hakim, anak dan keldai. Akibat terlalu mendengar semua saranan orang sekeliling, apa jua keputusan yang dilakukan itu berubah-ubah hingga akhirnya merugikan.
Bad apple
seperti analogi Eric itu adalah satu-satunya epal untuk kita semua. Kita perlu
sama-sama membersihkannya untuk kita nikmati bersama.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.5.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.5.18.
No comments:
Post a Comment