SEORANG PEMIMPIN
KERAJAAN telahpun bertukar. Mulai 10 Mei lalu, kita bernaung
di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat memberi peluang kepada PH kerana
berasakan kerajaan Barisan Nasional sudah tidak bermaya dan para pemimpinnya
sudah hilang jiwa rakyatnya.
Kerajaan Pakatan Harapan pula dipilih kerana ia memberi
harapan melalui janji-janjinya. Dan di antara tokoh yang dirasakan boleh
membawa harapan adalah Tun Mahathir sendiri. Oleh kerana ramai yang beranggapan kerajaan yang lalu sudah tak boleh
diharap, maka mereka ingin mencuba yang baharu.
Apa salahnya bergantung harap kepada seorang pemimpin yang
begitu tua dari segi usia biologinya asalkan ia memberi alternatif yang lebih
baik daripada pemimpin yang terdahulu. Mereka yang menganggotai pasukannya itu
ramai yang belum pernah memimpin di peringkat nasional.
Namun, mereka percaya seorang tua yang bernama Tun Mahathir.
Beliau masih seorang insan yang punyai wawasan, pantas dan kemas dalam
tindakannya. Tentu sekali segala
pertimbangan telah diambil oleh beliau hingga sanggup memimpin sebuah pasukan
yang baharu, yang rata-rata adalah musuh-musuhnya yang terdahulu.
Tun Mahathir menyusun Majlis Penasihat
Kerajaan yang berperanan sebagai sebuah jawatankuasa pemandu. Anggotanya
mempunyai pengalaman mengurus. Mereka
mengkaji dan memberi maklumat sebagai panduan kepada anggota kabinet kerajaan
yang baharu.
Semua
mata memerhati. Para pengundi Pakatan Harapan tak sabar untuk melihat mimpi
mereka menjadi nyata. Mereka yang mengundi Barisan Nasional pula menanti untuk
mengkritik apa yang dilihat menyeleweng daripada yang telah dijanjikan. Dunia
pun melihat. Pihak yang menyanjung demokrasi melihatnya dengan kagum. Pihak
yang sentiasa sinis menanti-nanti akan ada langkah yang tersasar agar dapat
disensasikan.
Pendek kata, rakyat Malaysia tiba-tiba begitu meminati
politik dan perkembangan tindakan pemerintah. Internet yang membekalkan segala
maklumat terkini dan semasa menjadi perhatian. Kemudahan telefon pintar
membolehkan rakyat melihat detik demi detik segala peristiwa yang sedang
berlaku.
Tidak syak lagi pada waktu ini, kerajaan Malaysia adalah
kerajaan yang paling dipantau rakyatnya di dunia ini. Tetapi, selama manakah
semua ini akan bertahan? Dalam apa jua perubahan, manusia akan teruja malah
menggila-gila terhadap apa yang baharu. Akan tiba masanya kegilaan itu akan
hilang.
Kepantasan rentak kehidupan akhir zaman ini menjadikan
manusia mudah lupa kerana saban hari diasak dengan sesuatu yang baharu. Setelah
menteri-menteri kabinet saban hari muncul di kaca televisyen dan juga You Tube serta Facebook, mereka akan hilang gemilangnya. They will lose their lustre.
Bayangkan apabila pak menteri menjadi seperti pelakon
realiti TV, apa lagi takjubnya kita dengan mereka? Akan tiba masanya kita tidak
akan peduli dengan mereka. Malah, kita lebih cepat akan berasa jemu dengan
mereka kerana pemimpin Pakatan Harapan sudah lama dikenali melalui media
sosial. Rasa jemu akan menjelma.
Apabila kita sudah menaruh keyakinan kepada mereka, kita
akan anggap mereka akan memikul amanah yang diberikan. Jangan lupa, musuh yang
ada bukan hanya musuh politik. Sebaliknya golongan oportunis yang makan
keliling akan berkeliaran. Ketika kerajaan dahulu, mereka bermaharaja lela.
Bila berkerajaan baharu pun mereka duduk menanti peluang.
Yang menaikkan pemimpin adalah rakyat. Yang menjatuhkan
pemimpin pun adalah rakyat jua. Rakyat yang bertamaddun akan menaik atau menjatuhkan
pemimpin melalui jalan yang sah. Tetapi golongan yang mencari kesempatan ini
memakan dari dalam secara haram.
Mereka akan datang dengan cadangan projek. Mengendeng dan
mengipas sehingga projeknya terpilih untuk disenarai pendek. Mereka tak malu
menabur dedak. Pada mulanya secara segan-segan kepada mereka yang ada di
sekeliling pemimpin.
Sekali, dua kali dan tiga kali dicuba akhirnya mereka
memberi hadiah, cenderahati atau apa jua yang mulanya disampaikan secara tidak
langsung kepada seseorang pemimpin. Apabila
semuanya lancar, mereka akan cuba secara langsung. Akhirnya pemimpin itu
terjerut lehernya bila dia sendiri mengelepet bahagiannya hingga menjadi
seorang kleptokrat. Sedar tak sedar, andainya ramai pemimpin jadi begini, kita
sebenarnya mengulangi sejarah hitam yang baharu sahaja kita rentasi. Sejarah
akan berulang andainya kita tidak belajar daripada kesilapan.
Tugas kita semua adalah untuk meneropong pemimpin di bawah
mikroskop. NGO-NGOlah yang patut memainkan peranan ini. Jangan berehat terlalu
lama kerana meraikan kemenangan perjuangan yang baharu lalu. Perjuangan tak
akan selesai!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.5.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.5.18.
No comments:
Post a Comment