SAAT KITA BERSAMA
DIRI SENDIRI
DIRI SENDIRI
SEDARKAH kita, dalam hidup ini, kita akan hadapi momen
di mana kita akan bersendirian meskipun dikelilingi ramai? Ada momen yang kita
selalu alami. Ada juga yang jarang-jarang, malah ada yang belum pernah kita
lalui lagi.
Pada saat-saat kita mengalami momen itu, kita
benar-benar akan berasa keseorangan. Meskipun orang yang disayang ada di sisi,
kita bagai tidak dapat menyedari akan kehadirannya. Apakah momen-momen yang
saya maksudkan ini?
Tatkala kita kecil, ia adalah saat-saat doktor
menghalakan sebatang jarum suntikan ke bahu ketika kita sakit. Di saat itu,
walaupun ibu ada di sisi, kita sudah tak peduli apa. Kita akan menjerit belum
pun jarum mencecah ke bahu. Barangkali terus meraung berasa mahu mati walaupun
ibu sentiasa berbisik memujuk untuk menenangkan kita.
Yang lelaki pula, tentulah ketika melihat gunting dan
penyepit doktor yang ingin menyunat kita. Mata kita terpejam, air mata mengalir
kerana kengerian. Seolah-olah dunia di sekeliling kita menjadi gelap. Suara
ayah yang cuba memberi kata-kata semangat sudah tidak kedengaran lagi.
Loya pertama seorang pengantin yang membuat dia berasa
lain macam kerana mengandung diikuti dengan muntah-muntah adalah sesuatu yang
dirasakan azab. Lutut berasa lemah, kepala jadi pening dan badan terus longlai.
Pada hari-hari berikutnya, dia akan bimbang lagi bila berdepan dengan momen
loya dan muntah-muntah, meskipun suami sentiasa hadir untuk mengusap
belakangnya.
Momen apabila melangkah ke dewan peperiksaan, momen
melangut ke papan kenyataan sekolah untuk melihat keputusan peperiksaan,
apabila menghadiri temuduga ataupun di saat menghidupkan enjin untuk ujian
memandu di JPJ adalah di antara momen-momen yang pernah kita lalui dengan rasa
sendirian.
Begitu juga saat indah dan syahdu kita melafazkan
nikah adalah momen-momen yang kita lalui meskipun ada orang lain di sekeliling
kita. Hati berasa berdebar, jiwa terasa gentar pada saat-saat itu. Banyak lagi
momen-momen lain yang berbeza lagi unik di antara kita.
Tetapi, hampir kesemua momen-momen yang dinyatakan itu
khususnya setelah kita dewasa, kita depani dengan persediaan. Barangkali
seorang pria yang ingin melafazkan rasa cinta kepada kekasihnya, akan puas
mengulangi ayat-ayat cinta seperti artis menghafal skrip sebelum berani mengucapkannya
di hadapan kekasih.
Begitu juga, bagi bakal isteri tentu sekali dia
dinasihati oleh ibu sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Cara melayani suami,
makan pakai, mengambil hati hinggalah memahami biologi wanita dah hal-hal
materniti adalah di antara persediaan untuk seorang gadis. Kesemuanya yang lain
termasuk persediaan menghadapi peperiksaan mahupun menghadapi temuduga akan
dihadapi dengan persediaan.
Namun betapa pun kita bersedia, banyak juga insiden di mana apa yang dirancang
itu tidak menjadi. Si pelafaz cinta mungkin terlupa skrip atau huru hara
apabila ucapannya ditolak pula mentah-mentah oleh si gadis. Si isteri yang
sudah diajar ibu akan alam rumahtangga jadi takut apabila mengetahui dirinya
mengandung hingga mengalami darah gemuruh. Begitu juga walaupun sudah bersedia
untuk peperiksaan, bagaimana jika separuh soalan yang muncul itu bukan soalan
yang kita ramal? Itulah saat-saat di mana kita berasa benar-benar bersendirian.
Ada satu lagi momen di mana kita rasa bersendirian
meskipun ramai yang sedang memerhati tindak tanduk kita. Momen itu adalah
tatkala kita membuang undi. Sebaik melangkah ke pusat mengundi, itulah saat
yang mendebarkan. Meskipun ada ramai pengundi yang berbaris bersama kita, kita
menjaga diri agar sentiasa awas dan bersedia. Sambil beratur, berulang kali
kita memeriksa samada kita ada membawa kad pengenalan.
Setelah menghulurkan kad pengenalan untuk disemak,
terdengar nama kita dibaca oleh petugas, jari dicalit dakwat lalu mendapat
kertas undi; semua itu kita lakukan dengan penuh tertib dan berhati-hati.
Sebaik sahaja kita melangkah ke petak undi, itulah
momen yang hening. Segala suara yang kita dengar melalui televisyen, radio
mahupun telefon pintar sudah hilang. Wajah-wajah mereka yang sering muncul di
laman-laman sosial, segala video, poster mahupun artikel yang tular kesemuanya
sudah lesap.
Yang ada hanyalah kita dan kertas undi itu. Tiada apa
yang lain pada masa itu. Dan kita berasa sedikit gementar, mungkin berdiri bulu
roma kerana apa yang kita akan lakukan itu akan dikira sebagai satu undi yang
akan menentukan kemenangan bagi siapa dan parti mana yang kita pilih.
Lalu kita menurunkan tanda pangkah dengan penuh
hati-hati. Agaknya jika kita cikgu yang biasa memangkah, pangkahan kali ini
dilakukan dengan penuh cermat, kerana itulah tanda pangkah yang amat bermakna untuk
tempoh lima tahun.
Ya, momen itu amat peribadi kerana undi itu rahsia
yang zahirkan dari sanubari. Tiada sesiapa yang dapat mempengaruhi pada saat
itu. Ia adalah the moment of truth.
Selamat mengundi.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.5.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.5.18.
No comments:
Post a Comment