PARTI TAK RASMI
KEMPEN PRU-14 kian rancak. Selain
daripada kempen-kempen di media perdana cetak dan elektronik, ceramah dan
syarahan, kempen juga dilakukan melalui medium internet. Di situ ada pelbagai
pletform yang antaranya melalui video khususnya Youtube, blog, portal dan tentu sekali di media-media sosial
seperti Facebook, Instagram dan juga Twitter.
Aplikasi mesej yang belum wujud di
PRU-13 kini sudah ada. Justeru, medan kempen kini berlaku juga di aplikasi
mesej khususnya di Whatsapp dan Telegram. Malah, perang kempen jauh
lebih sengit di sini kerana aplikasi mesej dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan
kecil di mana si penerima maklumat lazimnya mengenali si penghantar maklumat.
Jadi, komunikasi menjadi lebih ligat dan personal.
Sebelum era internet yang interaktif,
komunikasi massa lebih bersifat satu hala iaitu daripada penerbit kepada
pengguna. Pengguna pula tidak punyai pilihan yang pelbagai dan dengan itu hanya
menelan bulat-bulat apa yang dipaparkan. Boleh dikatakan main percaya sahaja.
Sememangnya sejarah komunikasi massa itu
berkait rapat dengan hubungan dari pemerintah kepada rakyat. Pemerintah
menguasai media massa sebagai penghantar maklumat dan rakyat pula sebagai
penerimanya. Sehinggakan apa sahaja pandangan yang berbeza daripada apa yang
dipaparkan di media perdana dianggap anti-establishment,
malah subversif!
Keadaan sudah berubah. Jika dahulu,
jumlah mereka yang menjadi juru kempen hanya terdiri daripada mereka yang
ditugaskan oleh sesebuah parti. Mereka inilah yang diberikan panduan apa yang
hendak disampaikan kepada sesebuah audien, apa isinya, bagaimana hendak
menguasai pemikiran audien agar mesej diterima secara positif oleh pendengar.
Pada hari ini pula, sesiapa sahaja
boleh menjadi juru kempen. Mereka tidak perlu mendapat kelulusan berkempen daripada
parti yang disokongnya. Malah tidak ada masalah andainya seseorang itu tidak
tahu bercakap. Apa yang mereka perlu ada ialah kekuatan jari. Andainya tidak
dapat mengarang, memadailah jika hanya tahu menularkan apa jua mesej yang
diterima dengan jari jemarinya.
Maka di sinilah punca kekelamkabutan
dan kecacamerbaan kempen pilihanraya pada hari ini. Selain daripada juru kempen
rasmi parti, terdapat ratusan ribu malah berjuta juru-juru kempen parti tidak
rasmi yang menjalankan kempen pilihanraya untuk parti yang disokong. Dan,
mereka itu adalah kita sendiri!
Ya, kita terjebak sebagai juru kempen
tak rasmi parti. Seandainya juru kempen sesebuah parti itu bertugas untuk
mempromosi parti yang dianggotainya, kita pula boleh sahaja ke kiri dan ke
kanan seandainya kita sememangnya peminat politik atas pagar. Di waktu pagi,
kita menularkan berita, video dan audio parti Barisan Nasional, di waktu petang
dan malam pula kita menularkan berita dari parti Pakatan Harapan dan juga
Gagasan Sejahtera.
Tetapi seandainya kita condong kepada
sesebuah gabungan parti atau sememangnya ahli parti politik, maka kegelenyaran jejari
kita akan bertambah-tambah ligat menjalankan tugas berkempen.
Yang pasti, sesebuah berita, poster
atau video yang diterima itu akan dihantar kepada pelbagai kumpulan yang kita
sertai. Yang pasti, kumpulan-kumpulan itu tentulah mereka yang kita kenali
seperti grup keluarga, kaum kerabat, rakan tadika, rakan sekolah, rakan
universiti, kariah surau, grup kejiranan, pelbagai alumni dan entah apa-apa
lagi.
Si pencipta viral asal itu tentulah
mereka yang pakar dalam peperangan siber dari war room mana-mana parti. Fragmen video, paparan poster dan artikel
yang ditulis itu pasti sensasi lalu menguja si penerima untuk menghantarnya
kepada kumpulan-kumpulan yang disertainya. Akhirnya mesej itu menjadi tular.
Apa yang menjadi masalah ialah, bukan
semua mereka yang mendapat sesebuah mesej itu bersetuju dengan apa yang
diterimanya. Ada yang memberikan reaksi secara mendengus sendirian atau
bergumam. Namun bagaimana seandainya si penerima tidak bersetuju malah mula
berasa marah dan sakit hati dengan si pengirim mesej?
Kita dah pun dengar ada sok-sek di
kalangan rakan-rakan sekeliling yang kecil hati sesama mereka akibat perbezaan
pandangan politik. Malah ada yang berbalas hujah hingga ada yang left group kerana berasa jauh hati.
Kita sebagai juru kempen tidak
bertauliah tetapi hanya berperanan sebagai penyampai, kita kenalah ingat bahawa
bukan semua orang setuju dengan apa yang kita lakukan. Jika kita tidak terlatih
untuk berkempen, berpada-padalah dalam menularkan apa jua yang kita terima.
Meskipun kita bersemangat untuk
mengajak mereka yang tidak sependapat dengan kita untuk bersetuju dan menyokong
apa yang kita setujui, kita jangan lupa bahawa tindakan kita itu sebaliknya
menjauhkan mereka daripada menyukai apa yang kita sokong. Malah, apa gunanya
jika mereka bukan sahaja tidak menyokong, tetapi mula menjauhkan diri daripada
kita. Berpada-padalah…
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.18.
No comments:
Post a Comment