MENDAPAT SAYAP
PRU-14 telah mengubah sama sekali lanskap politik
di Malaysia. Pakatan Harapan telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan
Nasional. Rakyat menyambutnya dengan penuh keterujaan. Para pengundi Pakatan
Harapan, pengundi Barisan Nasional dan mereka yang tidak mengundi pun turut
berasa bangga dan gembira. Lega kerana halangan minda telah berjaya disingkap
dan mereka berjaya berubah.
Lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan penuh
semangat oleh segenap rakyat persis mereka menang perang. Jalur Gemilang diberi
tabik hormat. Tak kira bangsa dan kaum, masing-masing menyuarakan rasa cinta
kepada Malaysia. Ramai yang berkata dah tak sabar hendak menyambut Hari Merdeka
kerana ingin menghayati semangat patriotik yang kian membara.
Memang sudah lama rakyat tidak rasa kebersamaan
menjadi rakyat Malaysia. Kalau ada pun, rasa semangat itu tercetus berikutan
peristiwa sedih seperti Pencerobohan Lahad Datu, kehilangan MH370 dan juga apabila
MH17 ditembak jatuh. Mujurlah kita ada seorang Lee Chong Wei yang menjadi juara
badminton dan Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia dalam lumba basikal.
Merekalah yang mengisi kelompangan perasaan banggakan negara. Agaknya, jika
mereka tiada, kita mungkin terlupa bagaimana untuk berasa bangga.
Pengaruh kerajaan yang baharu ini juga begitu
meluas dan mendalam. Dan, kita tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa
faktor Tun Dr. Mahathirlah yang menyemarakkan keterujaan ini. Ini adalah
kerana, beliau adalah tokoh pemimpin yang turut punyai nilai selebriti. Susuk
tubuhnya, tutur katanya dan yang penting sekali, tindakan-tindakannya itulah yang
diperkatakan. Tun Dr. Mahathir bukan sahaja man-in-the-news,
man-with-the-news malah, he is the news!
Kerana fenomena ini, media massa menjadi tumpuan kembali.
Masyarakat lebih suka menonton rancangan berita dan forum. Mereka meluangkan
masa berjam-jam menatap rancangan itu di televisyen. Program drama, hiburan,
masakan dan kartun ditolak ke tepi. Dan
yang menarik sekali ialah, para pembaca telah kembali membeli akhbar. Ini turut
menggembirakan orang surat khabar.
Oleh kerana keterujaan, meskipun ramai yang punyai
telefon pintar sebagai sumber berita, mereka turut suka menonton televisyen.
Pada keesokannya pula mereka berebut mendapatkan akhbar pula. Penyelidikan bahagian
pengedaran akhbar-akhbar mendapati jualan akhbar laris kembali. Ramai pembaca
yang mengadu tidak dapat menatap akhbar kerana kehabisan. Syarikat-syarikat
akhbar tidak menjangka peningkatan jualan yang mendadak. Kegilaan apakah ini?
Mengapa sesudah menonton televisyen, menekur ke
telefon pintar masing-masing, mereka masih hendak menatap akhbar yang
menyiarkan berita semalam? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana rakyat hendak
memanjangkan rasa gembira mereka. Mereka seronok kerana menang pilihanraya,
menonton hasil undian mereka di televisyen sambil bermesej di telefon pintar
masing-masing. Agaknya mereka tidur
dalam senyuman dan keesokan harinya ingin menatap lagi cerita gembira semalam.
Ia tentu sekali
memanjangkan hayat ketahanan akhbar. Sekurang-kurangnya dalam tempoh 100
hari dan lajak ke Hari Merdeka, akhbar menjadi pilihan alternatif yang wajib.
Dan apabila Tun Mahathir dalam sesi penerangan khas berkata, kerajaan
pimpinannya tidak akan menyekat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana
laporan berita yang tidak tepat selagi ia tidak mengganggu ketenteraman negara;
ia umpama baja kepada pihak akhbar.
Sudah begitu lama pihak akhbar mengamalkan self-sensorship dalam pemberitaannya.
Mereka bimbang melanggar batas dalam penyampaian berita kerana sentiasa
diperhati. Berita yang panas atau yang dikupas mendalam sedikit, ditegur agar tidak
menulis begitu dan begini. Mereka diingatkan agar membesarkan cerita ini,
mengecilkan berita itu.
Lama kelamaan, berita menjadi tumpul dan hambar.
Tidak lagi segar apabila beritanya dibuat susulan yang memugar hingga memberi
kepuasan membaca. Walaupun akhbar menyampaikan berita semalam, tetapi ia
dikupas dengan lebih komprehensif hingga
menjadi sebuah cerita yang punyai kenikmatan pembacaan. Akhirnya para pembaca
tidak memilih akhbar dan ini menyumbang kepada penurunan jualannya.
Mudah-mudahan dengan kata-kata jaminan Tun Mahathir
mengenai kebebasan akhbar, jenis-jenis penyampaian berita yang berani seperti yang
dicanai akhbar Watan dan Eksklusif terbitan Kumpulan Karangkraf akan bertambah.
Sinar Harian yang selama ini mengamalkan penyampaian telus dan tulusnya akan
punyai teman saingan apabila Utusan Malaysia, Berita Harian mengasah dan
menyeringaikan taring mereka kembali.
Sesungguhnya, ia adalah kebaikan untuk semua ~
pihak kerajaan, akhbar dan juga rakyat.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.18.
jadilah bangsa & negara yg benar2 MERDEKA
ReplyDelete