Tuesday, October 9, 2012

ENTITI PERNIAGAAN DAHULU & SEKARANG


Photo credit: rudysyah.blogspot.com


NICHE DALAM
DUNIA PERNIAGAAN

SEJAK menggunakan telefon bimbit, saya kian malas menyarung jam tangan. Jika ingin melihat waktu, saya buka sahaja telefon bimbit saya. Ada waktu semasa yang terpapar di situ. Dengan sebuah telefon bimbit, saya boleh mengubah bentuk paparan jam saya samada secara analog atau digital. Angka yang terpancar pun boleh saya pilih sama ada besar mahu pun kecil; berwarna merah, hijau atau ungu.

Bingkai jam yang terpapar di skrin telefon saya pun boleh diubah-ubah sama ada dalam bentuk bulat, bundar atau bersegi-segi. Pendek kata, bentuk jam tangan di telefon bimbit saya boleh digubah setiap hari mengikut kesukaan saya. Kerana itu, lama kelamaan saya sudah  tidak memakai jam tangan lagi. Dan saya dapati semakin ramai teman-teman sepejabat yang tidak menggunakan jam tangan kerana sebab yang sama.

Namun, meskipun ramai yang mempunyai lebih seutas jam tangan, sebahagian besar teman-teman yang saya kenali hanya mempunyai seutas jam tangan. Walaupun ada juga yang mempunyai dua utas, tetapi saya tidak jumpa teman yang mempunyai lebih daripada lima utas jam tangan. Jam bukannya makanan yang perlu diambil setiap hari.  Biasanya seutas jam tangan yang dibeli boleh tahan bertahun-tahun lamanya.

Tetapi anehnya, saya lihat di mana-mana kompleks perniagaan, terdapat banyak sekali kedai jam. Nama-nama rangkaian kedai jam seperti Watatime, Time Galerie, Solar Time dan The Hour Glass terdapat di kebanyakan kompleks membeli-belah. Itupun  belum termasuk kedai-kedai jam jenama khusus seperti Rolex, Titus, Guess dan Chopard. Biasanya, apabila saya melewati kedai-kedai jam ini, ia dikunjungi para pelanggan.

Ertinya, meskipun kian ramai yang tidak memerlukan jam tangan dan kalau memerlukan hanya membeli seutas jam setahun sekali kerana tahannya produk itu, bagaimana mungkin semakin banyak kedai jam yang wujud? Seolah-olah orang ramai membeli jam tangan pada setiap hari!

Sama juga dengan kedai cermin mata. Kita tidak membeli cermin mata sebulan sekali. Namun, kita akan dapati kedai-kedai cermin mata seperti  Focus Point, England Optical, Menara Optical dan Cambridge Optical terdapat di hampir kesemua kompleks membeli-belah.

Apakah ertinya? Ertinya, penduduk Malaysia semakin ramai. Oleh itu, seandainya jumlah orang yang tidak memakai jam tangan seperti saya semakin meningkat, ada ramai lagi orang yang akan membeli jam tangan.  Anggaran penduduk Malaysia Pertengahan Tahun 2012 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penduduk Malaysia sudah menjangkau kepada 29,336,800 orang atau menghampiri 30 juta penduduk.

50 tahun yang lalu, kita pernah dengar kisah bagaimana jika ada dua perniagaan yang sama pada satu-satu tempat, salah sebuah perniagaan akan bungkus. Perniagaan orang Melayu ketika itu biasanya hanya membuka kedai songkok, kedai runcit dan kedai makan. Dengan jenis perniagaan, kawasan dan jumlah pelanggan yang terhad, tentu sekali dua buah perniagaan yang sama tidak boleh wujud di tempat yang sama.

Namun, pada hari ini, keadaan sudah jauh sekali berubah. Dengan meningkatnya jumlah penduduk, perniagaan yang sama jenisnya pun boleh hidup jika dibuka berdekatan. Malah, perniagaan yang terhimpun di sesebuah kawasan itu menjadikan ia bagai besi berani kerana dapat menarik lebih ramai pelanggan ke sesebuah tempat.

Pada hari ini, tidak hairanlah jika di medan-medan selera, semua kedai makan boleh mendapat sambutan dan maju. Kedai peralatan sukan, pakaian, permainan, kasut, jam dan cermin mata boleh dibuka bersebelahan dan mendapat sambutan. Malah, tempat seperti pusat perniagaan yang mempunyai lebih 100 buah premis di Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Digital Mall di Petaling Jaya, Selangor hampir kesemuanya menjalankan perniagaan yang sama iaitu komputer.

Kita lihat pada hari ini, hampir kesemua kompleks perniagaan yang muncul dikunjungi orang ramai daripada waktu mula berniaga hingga lewat malam. Kawasan parkirnya sesak, concoursenya padat dan medan seleranya pun sendat dengan pengunjung. Semakin banyak kompleks membeli-belah dibuka, semakin ramai pelanggan mengunjunginya.

Justeru itu, pandangan bahawa kemunculan sesebuah rangkaian perniagaan itu akan mematikan perniagaan yang lain kerana kurangnya pelanggan, sudah tidak tepat. Malah, ia adalah pandangan yang sudah ketinggalan zaman.

Tidak timbul soal perniagaan yang besar menyebabkan perniagaan yang kecil boleh gulung tikar. Malah, banyak perniagaan yang besar memudahkan perniagaan-perniagaan yang kecil memperoleh bekalan barangan dengan harga yang lebih murah dan berkualiti. Peniaga-peniaga kecil ini boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan di kawasan mereka. 

Setiap perniagaan mempunyai niche masing-masing. Niche adalah faktor keunikan dalam dunia pemasaran, perniagaan dan kepenggunaan. Justeru itu, perniagaan yang besar tidak boleh mematikan yang kecil, dan yang kecil tidak boleh meruntuhkan perniagaan yang besar. Yang boleh meranapkan sesebuah perniagaan itu hanyalah sikap tuanpunya perniagaan itu terhadap perniagaan itu sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.10.2012, insya-ALLAH...

2 comments:

  1. Semasa saya student dulu, saya beli jam tangan setiap bulan kerana jam tangan yang saya beli berharga RM2/= sahaja. Tahan dalam tiga minggu. Nak beli mahal tiada fulus. Tak beli jam, mcm mana nak bajet masa masuk kuliah dan sebagainya. Satu masa tu sy beli jam tangan harga RM40. Bila malam ada cahaya biru menunjukkan waktu - tak perlu picit punat jam atau buka lampu. Tapi itu tahan beberapa bulan sahaja.

    Sekarang ini saya seperti saudara, tiada jam tangan kerana melihat waktu daripada telefon bimbit. Kunci jam pun guna telefon bimbit.

    Saya menghadiri peperiksaan bertulis untuk pelbagai jawatan : dewan peperiksaan tiada jam dinding. Telefon bimbit tidak boleh guna. Hmm ... mengharapkan pengumuman pengawas peperiksaan untuk memaklumkan "Masa tinggal 15 minit lagi" ...

    ReplyDelete
  2. Ya, mmg skrg kita guna telefon bimbit utk tgk waktu. Tp kita kena ambil dlm poket seluar dulu n kdg2 kena tkn btg telefon utk tgk waktu. Jd jam tangan lebih mudah dan mnjimtkn masa utk tgk waktu.

    Satu lagi, mmg pnduduk Malaysia smkin brtmbh, namun peratus kenaikan pnduduk kita sbnrnya smkin brkurang; jmlh pratus kelahiran smkin menurun akibat prkhwinan lambat n rmai mmilih utk tdk brkhwin. Diramalkn lmbt laun Malaysia akan mengalami penurunan pnduduk n jmlh pratus warga tua akan mningkat.

    ReplyDelete