Tuesday, January 1, 2019

SUDAH TERKENAL TIDAK SEMENGGAH

SUDAH TERKENAL,
TIDAK SEMENGGAH

SEMENGGAH adalah di antara istilah yang jarang sekali digunakan. Ia membawa maksud
senonoh, layak, patut, sesuai, sederhana, sopan, biasa, tidak lebih tidak kurang, bersahaja, tidak keterlaluan, berpatutan, bersahaja atau sederhana.

Tidak semenggah adalah istilah yang orang tua-tua gunakan kepada perilaku seseorang yang tidak kena pada taraf dan tanggungjawab yang mereka bawa. Kanak-kanak yang baik, tiba-tiba berubah nakal, suka mengganggu anak orang lain, menyampuk ketika orang tua-tua berbual itu dikatakan tidak semenggah.

Istilah tidak semenggah ini turut digunakan pada sesuatu perkara yang tidak kena gaya, tidak sepatutnya atau tidak elok. Gubahan atau buatan manusia yang tidak menepati piawaian juga dikatakan tidak semenggah. Saya mulakan dengan istilah ini kerana ingin menyentuh mengenai perilaku mereka yang tidak semenggah. Perangai elok mereka tiba-tiba terpeleot kerana lupa imej yang dibawa.

Kewujudan media sosial membolehkan khalayak ramai mengetahui sikap tidak semenggah mereka yang terkenal. Perangai tidak semenggah yang melibatkan personaliti, selebriti atau media influencer yang sepatutnya terlindung dari khalayak ramai, mudah sahaja terserlah. Mereka yang membuka kisah sendiri, bukannya orang lain.

Contoh yang jelas ialah tindakan DS Mujahid Yusof Rawa yang telah  mengarang sebuah surat terbuka untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.  Meskipun ia adalah mesej yang brotherly, pada khalayak ramai, ia dilihat sebagai sesuatu yang lucu, malah dijadikan troll semata-mata apabila istilah-istilah kanda dan dinda digunakan.

Tidak lama dahulu, sebuah foto Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang tidak berbaju di bilik mandi menjadi lelucon hingga memaksa beliau memadam foto itu. Begitu juga apabila pelakon Zizan menjawab mesej artis Linda Rafar. Linda tidak puashati tehadap apa yang berlaku kepada ibunya di hospital. Zizan menasihati Linda agar jangan bersedih sangat ke atas apa yang menimpa ke atas ibunya.   Namun, istilah ‘not our level’ Zizan itu dilihat seolah-olah mengajak Linda untuk tidak melayani apa yang tidak setaraf dengan kedudukan mereka sebagai selebriti.

Soalnya dalam kebanyakan kes tidak semenggah ini, kesilapan itu lebih banyak terletak kepada si pelaku yang terlupa bahawa mereka bukan orang biasa lagi. Benar, mereka ingin jadi orang biasa yang dekat di hati rakyat. Tetapi kedudukan mereka itu sendiri berkehendakkan mereka menjaga kesemenggahan atau tsiqah mereka.

Ramai sekali ahli-ahli politik khususnya dari kerajaan Pakatan Harapan tidak sedar yang mereka sudah berkedudukan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Fitrah manusia ialah menghormati para pemimpin. Mereka disanjung, malah dipuja. Jika sebelum ini, mereka adalah pembangkang yang tidak punyai kedudukan yang tinggi. Malah taraf mereka adalah sama seperti rakyat marhaen.

Tentu sekali dalam kedudukan begitu, mereka kelihatan semenggah apabila boleh tidur di tengah jalan, bergolek di tengah jalan, merempuh pagar, digari polis, duduk minum kopi di gerai atau membonceng motorsikal. Apabila mereka menang pilihanraya, mereka menjadi pemimpin negara. Mereka dipandang tinggi oleh rakyat. Para penyokong melihat mereka sebagai hero. Imej hebat pemimpin itulah imej yang terpahat di minda para pengikut.

Sebab itu, apabila mereka masih lagi terjerit-jerit di Parlimen, bermulut celupar, berkata hanya untuk menyedapkan hati kaumnya, bertutur tanpa merujuk kepada yang pakar, mereka mula menjadi bahan lawak. Ini adalah kerana imej yang mereka bawa itu tidak sepadan dengan imej yang diangan-angankan oleh para penyokong mereka.

Kalaupun mereka ingin bersama rakyat, atau nampak berjiwa rakyat, mereka boleh sahaja menonjolkan imej kemarhaenan dengan mendukung anak kecil, mengusap kepala pelajar berjaya, menendang sebiji bola untuk merasmikan acara sukan, melepaskan ikan ke kolam ataupun menanam sebatang pokok. Itu imej pemimpin yang dah cukup semenggah di mata rakyat. Tidak perlu lagi berbuat seperti dulu-dulu lagi.

Barangkali jika kita ambil panduan artis-artis di Jalan Ampas dahulu, kita boleh menjaga semenggah. Para seniman di zaman P. Ramlee mengelak daripada bersidai di tepi-tepi jalan, bergaul dan bergelumang dengan masyarakat semata-mata untuk menjaga imej. Tujuannya bukanlah untuk menjaga martabat dua darjat. Sebaliknya mereka mengelak untuk menjadi sama seperti rakyat semata-mata untuk mengekalkan misteri dunia artis.


Cuma kedudukan sudah jadi terbalik. Para pemimpin BN tidak boleh lagi jalan berkepak dengan pengikut yang berduyun-duyun mengekori. Itu sudah tidak semenggah lagi buat mereka. Mereka sudah jadi rakyat. Kini mereka boleh makan di gerai bersama rakyat, berjalan-jalan di tasik, bershopping dengan keluarga atau atau merapu di laman sosial.  Dulu orang tak seronok baca status DS Najib di Facebook. Kini makin ramai yang share.  Dulu, orang gelakkan komen Datuk Ahmad Mazlan. Kini ramai yang suka dan kata dia sebenarnya cerdik. Dari segi itu, para pemimpin BN makin semenggah menjiwai kehidupan rakyat marhaen.

Artikel ini insya-ALLAH terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.1.18.

No comments:

Post a Comment