Tuesday, January 29, 2019

MEMBAWA IMEJ PEMIMPIN DI RUMAH

MEMBAWA IMEJ PEMIMPIN DI RUMAH

DALAM setahun saya akan hadiri majlis sembang-sembang dan makan-makan dengan beberapa orang teman sekolej di sebuah kediaman salah seorang daripada kami di pinggir kota. Acara itu sudah menjadi rutin. Kadangkala, dua kali setahun. Pernah juga tiga kali dalam setahun. Ramai yang datang. Tetapi maklumlah, apabila kami semua bertemu, segala pangkat dan darjat masing-masing ‘ditinggalkan di luar rumah.’

Di majlis itu ada beberapa orang Tengku, Engku, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Profesor, Dr dan juga Ir. Tetapi kami semuanya ber’aku-engkau’ dan ‘berlu-gua.’ Masing-masing lebih selesa memanggil nama tanpa pangkat dan darjat di pangkal nama. Malah, kami menggunakan nama ringkas dan juga nama timangan.

Maka ada nama Dudin sebagai gantinama Hafizuddin, Dol untuk Syafizul dan Mamat untuk Mehmad menjadi sebutan. Tidak ketinggalan juga ada gelaran seperti Balak, Gebu dan Bulus yang menjadi gelaran sesama kami. Ada rahsia di sebalik gelaran-gelaran itu. Namun, tidak seorang pun di antara kami yang berasa hati bila pangkat, gelaran dan nama penuh tidak digunakan dalam pertemuan itu.

Maka riuh-rendahlah suasana dengan gelak ketawa. Lawak-lawak lama lagi nostalgik bersilih ganti menjadi bualan hingga semua tidak kering gusi. Kalaulah ada di kalangan mereka yang hanya mengenali kami dari jauh ataupun secara rasmi, mereka sememangnya tidak akan percaya bahawa perangai kami pun sama seperti mereka. Ini adalah kerana, perangai kami yang tak semenggah itu hanya dizahirkan di kalangan kami, sesama keluarga dan juga kepada kakitangan yang rapat.
Hampir kesemua mereka yang punyai jawatan dan kedudukan amat menjaga tatasusila masing-masing. Imej sebagai ketua atau pemimpin yang tenang, bertimbang rasa dan berpandangan jauh adalah peranan yang mereka bawa. Orang lain yang melihat sisi rasmi seseorang itu akan punyai rasa hormat kepadanya.

Kerana itu, pandangannya akan mudah diterima, fikirannya dibawa ke dalam perbincangan, tingkah lakunya dicontohi dan kata-katanya dipatuhi oleh masyarakat. Bagaimana pun, bagi mereka yang rapat dengannya seperti anggota keluarga, teman-teman dan juga sesetengah kakitangannya, dia yang dilihat hebat itu punyai kelemahan-kelemahan sebagai manusia.

Apabila seseorang ketua yang dilihat berkot dan berkasut berkilat itu sebenarnya boleh sahaja memakai baju-T Pagoda dan berkain pelikat. Boleh sahaja duduk terkangkang sambil menonton televisyen di rumah, mencekuh tembikai dengan tangan dan bukannya dengan garfu ataupun, maaf cakap… terkentut di hadapan anggota keluarga, tindak-tanduknya itu akan membuat mereka yang hampir dengannya melihat dia sebagai manusia biasa.

Maka di sinilah terjadinya kesilapan dalam tanggapan mereka yang rapat dengannya. Apabila seseorang pemimpin itu meninggalkan pangkatnya di luar rumah dan menjadi manusia biasa, dia sebenarnya mahu berehat dari memainkan peranan dan mempamerkan imej yang sempurna. Namun, apabila dia menjadi manusia biasa, kata-katanya boleh dieleh-elehkan dan fikirannya boleh dibantah begitu sahaja.

Yang rugi adalah mereka di sekelilingnya. Mereka rugi kerana tidak menceduk pemikiran dan idea orang yang hampir dan hebat itu. Ramai sekali mereka yang berkelulusan dan berkelayakan malah begitu berpengalaman mengendalikan projek dan program yang melibatkan ratusan peserta di luar misalnya, tidak diambil kepakarannya oleh keluarga dan saudara-mara sendiri.

Dia hanya dilihat sebagai salah seorang anggota keluarga, sama seperti orang lain. Benar, orang yang berpangkat dan berkelayakan itu sepatutnya menonjolkan diri dan mempamer kepimpinannya. Tetapi, adab tertib dalam keluarga adalah berbeza dengan formaliti berorganisasi. Akhirnya, dia terkenal hebat di luar rumah semata-mata kerana orang lain yang nampak ilmunya.

Dalam pada itu, terdapat pula mereka pakar dalam mempamerkan pakej hebat di kalangan keluarga mahupun di kalangan masyarakat. Manusia begini hebat memperkatakan entah apa-apa menjadi apa-apa. Dia punyai daya penarik sebagai manusia berpengaruh ataupun influencer.
Dia tidak perlu serius. Dalam bergelak ketawa, bermulut celupar dan berperangai yang tidak mencerminkan kepimpinan pun, dia menjadi perhatian sesiapa sahaja samada mereka di sekelilingnya ataupun mereka yang mengenalinya dari jauh.


Orang begini tidak ada pun pangkat dan darjat. Tetapi dia punyai bakat semulajadi dan menjadi ikutan. Memang dia hebat. Tetapi dia bukan pemimpin, tetapi penghibur. Cuma, pemimpin akan disanjung dan dikenang. Penghibur pula hanya akan disukai selagi dia tidak berhenti menghibur. 

Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian pada 30.1.19

No comments:

Post a Comment