Saturday, June 27, 2009

BAGAI KUCING DAN ANJING



Foto: www.trulyoddplanet.com

BIARKAN ORANG POLITIK
BERCAKARAN !


SUDAH 15 bulan sejak Mac tahun 2008, orang-orang politik tak habis-habis cuba mengglamourkan diri dan parti. Niat masing-masing tak lain tak bukan hanyalah memenangi PRU-13. Kalangan BN atau PR, sama sahaja. Bercakap berapi-api hingga menggegarkan Parlimen dan makin kerap menyesakkan jalanraya demi apa yang mereka percaya sebagai perjuangan. Bikin ribut dan menyusahkan hati orang banyak yang percaya lakonan kedua-dua pihak. Macam penonton wrestling yang ternganga-nganga dan terjerit-jerit melihat lakonan penggusti di TV.

Bila diatur berdebat, kandungannya mudah dilupakan. Ertinya, gah tanpa impak. Lebih banyak kritik mengkritik dari memberi idea baru. Peminat politik yang menonton memanglah ramai. Tetapi sebenarnya siapa yang menang, siapa yang kalah? Antara Shabery Chik & Anwar, antara Guan Eng dan Tsu Koon, siapa lebih betul? Yang paling penting, apakah ia mengubah apa-apa?

MEREKA bertekak di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bagai nak rak. Tutur kata bagai mereka yang tidak berpeluang bersekolah tinggi. Seolah-olah nak terbalik, dewan. Kalau benarlah satu pihak itu lebih bahaya daripada pihak yang lain, tentu ada yang berdarah hidungnya! Tapi, tidak. Lepas bertekak, mereka boleh duduk sembang-sembang minum kopi selepas makan durian!

Dan rakyat percaya tentang lakonan mereka! Mereka tak nampak orang politik duduk bersembang di sofa sambil tergelak-gelak. Orang surat khabar tidak akan siarkan banyak foto-foto begitu. Nanti jualan akhbar akan menurun kerana orang tak mahu baca berita positif. Orang suka baca berita negatif. Ertinya, ramai sangat pemikir negatif di kalangan kita kerana suka baca berita pergaduhan daripada perdamaian.

KINI timbul idea kerajaan perpaduan. Hanya cadangan dua orang pemimpin PAS. Belum lagi disebut struktur kerajaan perpaduan itu bagaimana, cadangan itu sudah dibalun hingga melarat-larat. Orang UMNO dan banyak NGO pun risau, bila PAS dan UMNO tak dapat berbincang mengenai kerajaan perpaduan, kononnya habislah masa depan bangsa. Takutnya mereka. Nak takut apa?

Come on… masa orang politik bertekak, lampu elektrik masih bernyala, paip air masih mengalir, lesen dan pasport masih boleh diperbaharui. Kita masih boleh makan, menonton, membeli-belah, bersukan, berblog, menelefon, bekerja dan menyara keluarga. Dan kalau pandu kereta laju-laju, kita masih kena saman.

Siapakah yang melaksanakannya? Kakitangan kerajaan-kerajaan persekutuan, dan negeri negeri, pihak berkuasa tempatan, majlis-majlis daerah dan seluruh syarikat swasta yang gergasi dan yang kecil. Mekanismenya sudah sedia ada dan berjalan lancar.

Parti yang memerintah buat keputusan, parti yang membangkang perlekeh keputusan. Tak kira sama ada di parlimen atau di kerajaan negeri. Tetapi, apakah itu membuatkan kita susah? Tidak pun.

BAIK kerajaan BN atau PR, apa yang mereka buat ada yang bagus, ada yang sebaliknya. Orang-orang di dalam BN atau PR ada yang bagus, ada yang sebaliknya. Kerana itu, pada PRU-13 nanti, pilih sahaja calon yang bagus daripada mana-mana parti pun. Tak semestinya ikut dari bendera BN atau PR.

Tak perlu rasa bersalah kalau memilih tak ikut semangat Melayu(ye ke untuk Melayu?), atau agama(ye ke untuk ALLAH?) atau negara(ye ke untuk 1Malaysia atau Malaysian Malaysia?) Sebabnya, di kalangan mereka ada buayanya, ada naganya. Kita yang memilih pun akan dipertanggungjawabkan!

Renungilah: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (yaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.

~ Al-Maidah 57 ~

Saturday, June 20, 2009

KHIDMAT PLUS YANG PLUS-PLUS!



1-800-88-0000
INGAT NOMBOR INI!

JUMAAT lalu, ketika hendak membeli nasi lemak, saya menerima telefon dari Jojoy. Suaranya bernada panik. Beginilah dialognya:
“Bro! Wa mintak banyak-banyak maaf. Wa mesti terlewat ke ofis hari ni. Ada problem la,” ujarnya.
“Encik nak lauk apa?” celah abang penjual nasi lemak.
‘Alamak,’ kata hati saya. “Err, Jo… lu tunggu, ha? Nanti wa call balik,” jawab saya meskipun suspen juga memikirkan apa masalah yang dia hadapi.

“BRO… kereta wa pamcit kat NKVE,” kata Jojoy sebaik sahaja saya menghubunginya.
Terus sahaja saya tahu, NKVE adalah lebuhraya di bawah selenggaraan PLUS.
“Berikan lokasi…” gesa saya.
“Wa baru aje lepas susur Subang. Sekarang lebih kurang 5 km dari tol Shah Alam.”
“Lu nampak tak, ada tiang kecik yang bernombor kat tepi lebuh raya? Tiang itu berkotak hijau dan bertulisan putih. Tolong bacakan nombornya.”
“Ha, wa nampak tiang tu. Nombornya 16.5.”
“Kereta lu ada kat sebelah mana?” tanya saya.
“Kat laluan kecemasan.”
“Okey. Lu tunggu wa, wa datang tolong lu.”
Hati saya lega bila mengetahui kenderaan Jojoy tidak mengganggu lalu lintas. Lantas saya menghubungi nombor PLUS 1-800-88-0000 bagi membuat laporan mengenai kenderaan Jojoy agar penempatan kon boleh dibuat sebagai amaran lalu lintas.

DI PEJABAT, ketika berbual-bual dengan staf yang lain mengenai insiden itu, saya sempat memberitahu mereka tip bila kenderaan alami kerosakan di lebuhraya. Rupa-rupanya, ramai yang tak tahu apa nak buat bila berlaku kecemasan di lebuhraya.

TIP
1. Berhenti di lorong kecemasan. Nyalakan lampu hazard.
2. Berdiri jauh dari kenderaan bagi mengelak kemalangan.
3. Hubungi 1-800-88-0000.
4. Beritahu arah lebuhraya di mana kita berada. Misalnya lebuhraya dari Subang-Shah Alam.
5. Beritahu nombor yang tertulis di tiang berkotak hijau dan bertulisan putih yang terdapat berhampiran. Ini akan memudahkan PLUS Ronda dari tol yang paling hampir datang membantu.
6. Kalau masalah kecil, staf PLUS Ronda akan baiki di situ juga. Jika tidak, mereka akan angkut kenderaan kita ke R&R berhampiran.
Kesemuanya dilakukan PERCUMA! Oleh itu, jangan ikut nasihat lori angkut swasta! Nanti kena caj RM100-RM200 sekali angkut.

*Saya pernah alami tayar pancit dan PLUS Ronda dengan keempat-empat orang stafnya tiba dan terus tukar tayar kereta saya tak sampai 5 minit. Saya terasa macam pelumba F1 pulak ketika itu!

TIP RAHSIA!
ADA
keuntungan lain bila menggunakan nombor 1-800-88-0000 ini.
Pertama, bila lebuhraya tiba-tiba jadi sesak, hubungilah nombor itu untuk mengetahui sebab lebuhraya sesak. Begini dialog yang saya gunakan:
“Saya dari lebuhraya, Seremban-KL… di 34.5 (nombor tiang yang terdapat paling hampir). Saya nak tanya… mengapa lebuhraya kat sini jam?”
“Ada lori terbalik kat 34.6!” jawab petugas.
Tahulah saya kini kenderaan saya berada kira-kira 100 meter dari tempat kemalangan.Kalau jawapan petugas kemalangan berlaku di 35.5, itu maknanya kemalangan berlaku 1 km di hadapan. Jauh, tu!
“Err… lori tu terbalik kat lorong sebelah mana?” tanya saya lagi.
“Lori tu terbalik kat lorong tengah, encik!”
“Terima kasih,” jawab saya dengan hati lapang.

SETELAH meletak telefon, saya terus menyalakan lampu isyarat dan mengengsot dari lorong paling kanan ke lorong paling kiri. Ternyata lorong itulah yang paling laju! Hu3!
Foto:www.plus.com.my

Sunday, June 14, 2009

ATLAS DUNIA


MINDA KITA
DALAM KEPOMPONG

APAKAH yang tertayang di layar minda kita bila disebut perkataan atlas? Tentu sekali rajah negara-negara yang disempadani dengan garisan-garisan. Garisan-garisan itu memisahkan wilayah-wilayah pemerintahan.

Misalnya, untuk atlas Asia Tenggara, negara Malaysia disempadani oleh Singapura di selatan, Thailand di utara dan Indonesia di seberang Selat Melaka. Di timur Thailand pula, ada Kemboja dan Laos, diikuti dengan Vietnam. Di barat Thailand ada Burma, dan begitulah seterusnya.

KAWASAN-KAWASAN apakah yang terlihat? Garisan-garisan apakah yang memisahkan? Kawasan-kawasan yang diasing-asingkan itu menandakan kawasan sesebuah negara yang berdaulat, yang diiktiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Justeru itu, atlas yang selalu kita tatap adalah atlas politik!

Kerana ia atlas yang sering ditatap, maka secara bawah sedar, minda kita sudah dipisah-pisahkan di antara negara mengikut pemerintahan politik. Pendek kata, politiklah yang menguasai world view kita.

Sepatutnya, ada banyak lagi perspektif, spektrum dan dimensi yang patut kita guna untuk mencerap dunia. Kita jarang sekali melihat atlas di mana garisan-garisannya dilengkuk dan diluk berdasarkan budaya, sosial, ekonomi, kemajuan IT, pendapatan, industri, pertanian dan juga berdasarkan agama.

Tidak hairanlah, oleh kerana atlas politiklah yang sentiasa terpapar dan menjadi rujukan utama, fikiran kita terkurung dalam kempompong-kepompong politik. Kita hanya prihatin terhadap apa yang terjadi hanya di negara sendiri dan tidak di negara lain.

SEBAB itulah, apa yang berlaku di Palestin, di Mindanao dan di Selatan Thailand tidak menyentuh banyak hati!

Foto:www.siteatlas.com