Tuesday, April 16, 2019

SIKAP ADIL PADA DIRI SENDIRI

SIKAP ADIL PADA
DIRI SENDIRI
KITA semua mempunyai orang yang kita sayangi. Di antara ibu atau bapa pun, barangkali kita menyayangi ibu lebih daripada bapa. Jangan rasa bersalah apabila kita melebihkan perasaan kepada ibu kerana ia soal hati. Asalkan kita sayang ibu tetapi tidak bencikan pula ayah, itu sudah cukup baik.

Di kalangan adik beradik pun kita melebihkan rasa sayang kepada adik, dan bukannya abang sulung misalnya, kerana kita membesar dan bermain dengan adik, kerana abang sulung belajar jauh di sekolah berasrama penuh.

Begitu juga dengan kawan sekolah, teman sekampus, jiran di sekeliling malah rakan-rakan kumpulan Whatsapp; di atas sebab-sebab tersendiri kita melebihkan sayang dan perhatian kita kepada seseorang di dalam setiap kumpulan. Kita ada kawan baik di sekolah, kawan baik di kampus, kawan baik di kawasan tempat tinggal dan juga kawan baik dalam setiap kumpulan Whatsapp.
Namun, tidak boleh tidak, insan yang paling kita sayangi adalah diri kita sendiri. Hari-hari kita melihat wajah diri di cermin. Barangkali, kita senyum melihat wajah. Barangkali juga kita memandangnya dengan rasa malu atau meluat.

Apabila kita pening, kita memicit dahi dan tengkuk sebelum mencari Panadol, mengusap perut untuk memujuk apabila kita lapar dan menyapu losyen pada tangan dan lengan apabila berasa kulitnya kering.

Apabila kita dimarahi orang, kita berasa amat pilu dan kita menangis untuk meredakan kepedihan itu. Apabila kita dipuji dan disanjung pula kita menangis lagi untuk mengimbangi emosi kerana terlalu gembira.

Diri ini ~ kaulah intan kaulah payung. Kaulah racun, kaulah juga penawar.  Pendek kata kita akan mendahulukan diri sendiri. Diri ini mahukan kita berasa senang, selesa dan selamat. Cuma kadangkalanya, kesenangan, keselesaan dan keselamatan yang kita lakukan kerana sayang diri itu sebenarnya sokongan yang membawa rebah!

Bagaimana ini boleh terjadi? Ia berlaku kerana terdapat dua sikap kita yang jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh memakan diri. Apakah sikap-sikap itu? Pertama, sikap mementingkan diri. Kedua, sikap memaafkan diri.

Sikap mementingkan diri itu pada zahirnya amat baik untuk kita. Memang diri kita ini harus dipentingkan. Jika tidak kita, siapa pula yang hendak membela kita? Bila beratur untuk membayar di pasaraya, kita berhak menghalang orang yang hendak memotong barisan.

Begitu juga, apabila perlu menyiapkan kerja rumah, kita tidak dapat duduk santai bersama keluarga menonton drama TV. Kita ke dapur sendirian kerana tugas kita itu penting. Apabila kita berdoa kepada Yang Maha Esa pun, kita mendahulukan diri sendiri berbanding berdoa untuk anak-anak, keluarga, sahabat handai dan taulan.

Sikap ini menjadi tidak baik apabila kita tidak adil kepada orang lain yang berhak. Sewaktu beratur hendak membayar di restoran, kita memotong barisan kerana kita hendak cepat selesaikan bayaran.

Kerana sibuk hendak siapkan kerja rumah, kita tidak peduli kepada keluarga yang sedang menonton TV walaupun bertanya itu-ini sekadar mengambil hati, petanda yang kita pun ingin bersama menonton tetapi tidak dapat berbuat begitu kerana sibuk.

Dan kita hanya berdoa untuk diri kita sendiri hingga tidak meminta untuk mereka yang mengasihani kita meskipun berdoa itu percuma dan tidak berasa yang menggembirakan orang lain itu akan menggembirakan kita sendiri akhirnya.

Sikap sentiasa memaafkan diri sendiri itu bagus sebagai mekanisme memujuk diri apabila berasa diri bersalah di atas sesuatu kesilapan yang besar. Andainya kita tiada sikap memaafkan diri, kita juga akan merana akibat tidak memaafkan diri.

Sebaliknya, jika kita sentiasa memaafkan diri tetapi menyalahkan orang lain, akhirnya kita akan berperangai seolah-olah diri kita ini maksum. Orang lain salah, kita sahaja yang betul. Kalau pun orang lain ada betulnya, kitalah yang lagi betul!

Kita marah-marah melihat pemandu lain melanggar lampu merah, tetapi kita juga memotong di lorong kecemasan. Kita marah pada orang yang mengumpat, tetapi kita sendiri mengumpat dia yang mengumpat. Macam mana tu?


Sebab itulah kita perlu bersikap adil. Adil pada orang lain dan adil pada diri sendiri. Cuma, bersikap adil kepada diri sendiri itulah yang sukar.

Wednesday, April 10, 2019

LEMAS KERANA HAL YANG KECIL

LEMAS KERANA
HAL YANG KECIL
BARU-BARU ini tayar kereta saya pancit terlanggar paku di NKVE. Oleh kerana lebuhraya begitu sibuk di pagi hari, saya tak berani menukar tayar pada waktu itu kerana suasananya yang gelap. Lantas saya meminta bantuan Plus Ronda. Niat di hati, kalau mereka dapat cepat datang membantu, tentu saya seronok. Tapi kalau mereka ambil masa untuk tiba ke lokasi saya kerana lebuhraya yang jem, biarlah saya tukar sendiri tayar kereta bila hari terang.

Alhamdulilah, mereka datang tak sampai 10 minit kemudian. Wah, empat orang anak muda yang bertugas keluar daripada kereta mereka. Dengan pantas mereka melakukan tugas. Seorang, mengambil tayar ganti dari bonet kereta saya, seorang lagi membuka tayar yang pancit, seorang menaikkan jek dan seorang lagi mengawal lalulintas. Melihat kepantasan mereka bekerja, saya perasan seperti menjadi pemandu grand prix yang berhenti di pit stop! Tidak sampai lima minit, semuanya selesai dan saya sudah menghidupkan enjin.

Perkhidmatan mereka percuma. Dan saya sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dalam pada itu, dapat juga saya bertanya, mengapa mereka datang berempat? Sepatutnya dua orang sahaja dalam sebuah kenderaan Plus Ronda. Bukankah itu membazir tenaga manusia? Sambil tersenyum, si pemandu memaklumkan yang kereta salah seorang daripada mereka rosak di stesen minyak di hadapan.

Tidak lama kemudian saya bersarapan dahulu di sebuah restoran sementara menunggu mekanik menukar tayar di bengkel kawan saya yang berhampiran. Hati ini bernyanyi-nyanyi kerana walaupun tayar kereta saya pancit, saya mendapat bantuan segera dari pasukan Plus Ronda. ALLAH SWT memberi saya masalah tetapi memudahkan saya menyelesaikannya.

Tetapi gembira saya setakat itu sahajalah kerana tidak sangka menerima khabar yang tidak menyeronokkan pula dari petugas bengkel. Dia datang sendiri ke restoran untuk mengajak saya kembali ke bengkel. Katanya, selain daripada tayar yang tak boleh ditampal, ada beberapa alat lain yang perlu diganti!

Setibanya di bengkel, petugas itu menunjukkan kepada saya bahagian brek kereta. Katanya, keempat-empat getah brek  kereta saya perlu diganti kerana sudah menipis. Katanya, piring pada tayar saya sudah kasar dan perlu diganti. Katanya lagi keempat-empat tayar kereta saya juga perlu ditukar kerana bunganya sudah menipis.

Saya bingung seketika. Seingat saya, tuanpunya bengkel itu sendiri pernah melihat keadaan kenderaan saya dua minggu sebelum itu. Katanya, keadaan tayar kereta saya masih boleh digunakan untuk dua bulan lagi sebelum ia perlu diganti. Dan, saya tahu keadaan getah brek kereta saya. Pergerakan kereta saya molek sahaja dan tidak bising pun tatkala membrek. Maknanya, getah breknya masih boleh digunakan. Mana satu yang betul? Kata-kata siapa yang saya hendak ikut?

Mujurlah tak lama kemudian, tuanpunya bengkel sampai dan ingat apa yang dia katakan mengenai keadaan tayar dan brek kereta saya. Dia memberi jaminan yang saya tidak perlu tukar apa-apa kecuali tayar saya yang pancit itu kerana sudah tidak boleh digunakan. Kes selesai, hati saya lega.

Dari semasa ke semasa, kita akan temui mereka yang hanya nampak impak maksima kepada perkara yang kecil. Kita temui mereka yang bukannya berpandangan jauh, tetapi berpandangan malang. Pening kepala akibat terkena hujan panas dikatanya migrain, menghidap batuk kerana tekak kering dikatanya terkena barah kerongkong, sakit pinggang kerana salah tidur dikatakan terkena penyakit buah pinggang.

Iya, kita akan temui mereka yang nampak masalah yang ekstrim apabila terjadinya masalah yang kecil. Daun yang gugur menyentuh kepala pun dirasakan seperti batu besar menghempap hingga otaknya cedera. Perkara-perkara yang kecil terjadi pada dirinya sudah cukup melemaskan kerana dia besar-besarkan masalah yang kecil itu hingga dia sendiri sesak nafas, rimas dan akhirnya lemas dengan masalah itu.

Sebaik-baiknya apabila terjadi sesuatu yang tidak kena kepada diri mahupun keadaan, kita hendaklah melihat dari sudut pandang yang ringan dahulu. Apabila keadaan tidak berubah, malah menjadi lebih teruk, baharulah jangkaan pandangan kita melangkau secara berperingkat-peringkat ke senario yang lebih buruk. Dengan cara itu, kita tidak panik dan gopoh menangani masalah yang lazimnya kecil sahaja dan boleh diatasi dengan bismillah lalu bertenang.




Tuesday, April 2, 2019

NOTA UNTUK PEMIMPIN PERSATUAN

NOTA UNTUK PEMIMPIN PERSATUAN
AHLI PARLIMEN Kuantan Fuziah Salleh, menahan marah apabila Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof membuat kenyataan bahawa syarikat Lynas tidak boleh diabaikan kerana pelaburan besar yang telah dibuat. Kata Ahli Parlimen itu, adalah lebih baik hal-hal Lynas diulas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Baru-baru ini juga, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, TS Dr. Rais Yatim membidas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) didakwa dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu Kementerian Pendidikan untuk siap berbincang dan tanpa merujuk kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

Katanya, Tommy sepatutnya memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai UEC. TS Dr. Rais kata, dakwaan Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi lebih kuat bila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan bagi pihaknya pengiktirafan ke atas UEC dalam bidang undang-undang.

Dua kes yang berlaku ini memang tidak baik untuk politik. Ia memberi pesepsi bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan bertelagah dan ingin dahulu mendahului tanpa mahu mematuhi keputusan kabinet dan etika tanggungjawab bersama. Seharusnya mereka perlu pertahankan sesama mereka sebagai sebuah pasukan. Perlu mempamerkan solidariti.

Tetapi sebaliknya terjadi kerana masing-masing telah melampaui batas bidang tugas dan wilayah kuasa kementerian masing-masing. Daripada sudut perilaku berorganisasi pula, tindakan mereka menggambarkan seolah-olah mereka tidak tahu adab tertib berorganisasi.

Dalam berorganisasi, apa jua keputusan dalam mesyuarat samada secara majoriti mahupun secara konsensus, harus dipatuhi termasuk oleh mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Tetapi seandainya apa jua keputusan yang telah diambil oleh organisasi itu dikritik oleh mereka yang di luar organisasi, semua anggota organisasi wajib mempertahankan sebagai tanda adanya collective resposibility atau tanggungjawab bersama. Maknanya, tidak boleh sama sekali mengkritik pula keputusan yang telah diambil.
Pertindihan tugas di antara mana-mana bahagian organisasi tidak wajar wujud. Tidak bolehlah tugas grup A dibuat juga oleh grup B kerana ini akan membazir sumber tenaga. Organisasi itu perlu mengarahkan satu-satu grup sahaja melaksanakannya. Seandainya satu grup lagi tiada tugasan lain, grup itu seharusnya dimansuhkan sahaja.

Meskipun sebagai sebuah pasukan, setiap kumpulan dan juga ketuanya perlu mempamerkan keunikan dan kepakaran masing-masing agar ia diyakini oleh ahli-ahlinya. Tamsilannya seperti pasukan filem fiksyen The Avengers atau A-Team di mana setiap pasukan mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan menjadi tempat ahli-ahlinya bergantung harap. Tetapi seandainya kehebatan masing-masing itu adalah untuk membelasah sesama sendiri, ahli-ahli akan meluat dengan mereka.

Organisasi juga perlu dianggotai oleh mereka yang mempunyai integriti. Tanpa wibawa dan berprinsip tegas dengan sifat-sifat amanah, bertanggungjawab serta sentiasa sedia memberi khidmat, organisasi itu akan dilihat sebagai sebuah kumpulan gengster yang boleh melanggar apa jua peraturan tanpa rasa malu dan bersalah.
Organisasi juga perlu berorientasikan hasil. Bila keputusan telah diambil oleh pasukan, ia perlu dilaksanakan hingga berjaya. Ini akan menimbulkan keyakinan dan akhirnya sokongan ahli-ahli untuk mempertahankan kepimpinan organisasi. Organisasi yang lambat menunjukkan hasil akan membingungkan ahli-ahlinya. Ahli-ahli akan hilang fokus dan hilang keyakinan kepada organisasi.

Secara rasmi mahupun tidak rasmi, kita semua adalah anggota dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah samada ia organisasi yang dinamakan keluarga, jawatankuasa surau, PIBG, jawatankuasa mana-mana program, NGO, jabatan, bahagian malah kabinet sendiri; kita perlu menghormati dan mendokong idealime organisasi serta menjayakannya.


Organisasi perlu diterajui oleh mereka yang berkebolehan supaya ahli-ahlinya mendapat manfaat. Andainya kita tahu yang kita tidak berkebolehan dan selalu sangat menghabiskan beras, maaf cakap… lebih baik kita tinggalkan organisasi itu untuk orang lain menerajuinya!

Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 3.4.19.