Tuesday, July 26, 2011

ETIKA UNTUK TIDAK BERSETUJU





BERWACANA ITU
BUKAN BERDEBAT

ALHAMDULILAH,
Wacana Siri ke-5 Sinar Harian bertajuk ‘Apa Selepas 9 Julai’ telah selamat berlangsung petang semalam. Program ini disertai ahli-ahli panel, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR; Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih 2.0 dan Professor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM. Wan Saiful Wan Jan dari Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi adalah moderatornya.

Sejak Sinar Harian menganjurkan wacana, inilah sesi yang mendapat sambutan paling hangat. Selain promosi melalui akhbar Sinar Harian, laman web, khidmat pesanan ringkas dan facebooknya, media elektronik, cetak dan media baru pihak-pihak lain juga membantu menghebahkan program bicara ilmu ini. Hasilnya, orang awam, aktivis parti-parti politik, NGO, jabatan kerajaan, malah hadirin daripada kedutaan luar negara pun teruja untuk turut hadir.

Jumlah kedatangan yang semakin ramai ini merupakan kejayaan zahir Wacana Sinar. Bukan senang untuk mengajak orang ramai datang ke sebuah majlis ilmu pada waktu petang, pada hari bekerja pula. Tajuk-tajuk perbincangan sebelum ini mengenai daftar pengundi, ajaran sesat, rasuah dan fitnah adalah topik-topik berat yang telah kami pilih. Jumlah hadirin pada program yang pertama, iaitu sekitar 700 peserta telah meningkat hingga ke kira-kira 1,500 hadirin pada sesi semalam.

Sinar Harian memilih format berwacana sebagai pendekatan programnya. Kami tidak memilih format berpidato, berdebat, bersidang, berseminar, berceramah, dan tentu sekali bukan format bermusyuarah. Kami memilih pendekatan yang menitikberatkan perbincangan ilmiah yang terarah kepada penyatuan fikiran. Itulah makna wacana.

Maaf cakap, sebilangan para hadirin mungkin menganggap majlis wacana itu sama seperti majlis-majlis ceramah, pidato atau debat yang mereka hadiri sebelum ini. Sebab itu ada yang bertutur menggunakan perkataan yang panas dan pedas. Ada juga yang mahu bertekak, bertelagah, cabar-mencabar, kutuk mengutuk atau bersorak-sorai untuk menyokong pandangan sesuatu pihak dan menolak pandangan sesuatu pihak yang lain. Perilaku sebegini tidak kena dengan bentuk majlis yang dihadiri. Bagaikan kita tidak menjaga perilaku apabila tertawa mengilai ketika menziarahi kematian atau bermain sms ketika menonton wayang hingga mengganggu orang lain.

Berwacana dimulakan dengan berhujah. Berhujah pula tentunya bersandarkan kepada usul masing-masing. Tujuannya bukan untuk mencari keputusan siapa yang benar dan siapa yang salah. Sebaliknya untuk mencari kebaikan daripada hujah-hujah yang dibentangkan oleh kedua-dua belah pihak. Andainya tidak setuju dengan sesuatu pandangan, kita perlu tertib untuk menghormati pendapat yang bertentangan dengan kepercayaan kita. Perlu ada ethics of disagreement.

Berwacana perlu ada kejujuran. Tidak boleh membantah semata-mata kerana ingin membantah. Kita juga mesti ada kesabaran untuk mendengar hujah orang lain mahupun mengutarakan hujah sendiri. Kita juga perlu bertoleransi dan ada belas kasihan dalam penyampaian agar si pendengar tidak berasa terhina. Dan, kita berhujah untuk membetulkan pandangan dalam bentuk nasihat.

Justeru itu, berwacana tidak ada konsep siapa menang, siapa kalah seperti berdebat. Tiada juga konsep komunikasi satu arah seperti menghadiri ceramah atau pidato. Tiada juga berkonsepkan perbincangan dan merumuskan sesuatu resolusi bertulis seperti berseminar mahupun bersidang. Apatah lagi, mendengar dan mengambil nota seperti menghadiri kuliah.

Sebaliknya, berwacana atau intellectual discourse itu kami pilih kerana ia diinspirasikan daripada amalan para cendikiawan Islam sendiri. Para ilmuan yang berpegang sesuatu hujah itu sanggup menggugurkan apa yang diyakininya apabila hujah kebenaran dibentangkan kepadanya.

Imam Syafie Rahimahullah sendiri, meskipun yakin dengan ilmunya, beliau tetap berpegang kepada kebenaran. Katanya, “Apabila ada hadis sahih yang maksudnya bertentangan dengan fatwaku, maka beramallah engkau dengan dasar hadis itu dan tinggallah perkataanku.” (Al Majmu' Syarah Al Muhzab juzuk 1 halaman 63).

Kalau kita mencari arah untuk mempertemukan minda, maka berwacanalah. Kalau kita asyik hendak bertekak, kita akan sakit jiwa akhirnya kerana su’u dzan atau berburuk sangka adalah sejenis penyakit hati.



Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.7.2011

Tuesday, July 19, 2011

MENJAJAR HATI DAN AKAL



Photo credit: customcalm.com

Z A H I R

YANG TAK GAMBARKAN

B A T I N

PADA
9 Julai lalu, kira-kira 10,000 penyokong Bersih berhimpun dan berdemonstrasi di pelbagai tempat di pusat bandar Kuala Lumpur. Jumlah mereka itu tiba-tiba menjadi ramai menjelang tengahari. Walhal pada awal pagi membawa ke jam 11.00, para penyokong Bersih seolah-olah tidak kelihatan.

Tentu sekali kesemua mereka tidak terlepas dari sekatan dan pemeriksaan polis. Namun, oleh kerana sebahagian besar daripada mereka tidak menunjukkan tanda-tanda yang mereka penyokong Bersih, misalnya dengan memakai baju kuning, mereka dilepaskan daripada sekatan sehinggalah mereka muncul beramai-ramai dengan pakaian biasa.

Seminggu kemudian pada 16 Julai pula, dalam perlawanan Malaysia dan Liverpool di Stadium Bukit Jalil, para peminat Liverpool melebihi mereka yang menyokong pasukan Malaysia. Daripada lebih 60,000 penonton pada malam itu, hampir 90 peratus stadium dipenuhi dengan mereka yang berpakaian merah. Setiap kali pemain Liverpool menyumbat gol, para peminat mereka bersorak sorai. Namun, apabila para pemain Malaysia pula menjaringkan gol, para peminat Liverpool juga yang terkinja-kinja kesukaan. Malah, sorakan dan tepukan mereka semakin kuat menggegar dan menggaung.

Meskipun tidak berpakaian kuning, mereka yang berarak pada 9 Julai adalah para penyokong Bersih. Walaupun masih berpakaian merah, warna pasukan Liverpool, mereka yang menyaksikan perlawanan bolasepak pada 16 Julai itu sebenarnya adalah para penyokong tegar pasukan Malaysia.

Apakah gambaran daripada kedua-dua senario ini? Zahir tidak gambarkan batin. Apa yang terlahir, yang diucap, dikata mahupun yang dipamer, ia mungkin sama sekali berbeza dengan apa yang ada di hati si empunya diri. Inilah gambaran cara pemikiran kita yang kian kompleks pada hari ini. Fikiran, pandangan dan pendirian kita bukan lagi hitam atau putih semata-mata. Malah, dalam banyak ketika, kita memilih warna kelabu kerana ia lebih pragmatis.

Manusia pada hari ini sudah tidak lagi konsisten daya mental, fizikal dan spiritualnya. Tidak lagi seperti dahulu bilamana seseorang yang kita lihat sudah berusia, psikologinya akan tenang dan sejahtera menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Ataupun, tidak akan berulang kembali perangai si remaja di tepi simpang yang bermain gitar pada waktu maghrib apabila dia mendapat kerja menjadi cikgu. Dahulu, orang yang sudah berubah laku jarang sekali kembali kepada sikap sebelumnya.

Tetapi, pada hari ini, seseorang yang berfikiran stereotaip boleh berubah secara tiba-tiba menjadi kritikal. Wanita yang rambutnya berkarat pada hari ini, boleh sahaja memakai tudung pada esoknya dan berpurdah pada lusanya. Orang yang fizikalnya gemuk, boleh jadi kurus dalam masa sebulan tetapi menjadi boyak kembali pada bulan yang berikutnya. Perubahan zahir seseorang yang cepat itu tidak membolehkan lagi kita meneka batin atau isi hatinya.

Perubahan teknologi yang kian pantas inilah yang menjadikan kita manusia lekas bertukar. Berubah citarasa, berubah pendirian malah berubah perangai adalah sesuatu yang kini menjadi kelaziman. Masalahnya, kita sendiri tidak terikut dengan perubahan yang pantas ini sehinggakan zahir dan batin kita tidak selari, malah berkonflik. Ada kalanya zahir kita sudah bertukar, tetapi batin kita tidak mahu ikut. Atau batin kita sudah berubah, sebaliknya zahir kita enggan mematuhi.

Dunia yang sentiasa berubah menjadikan jiwa kita hanyut dalam gelombangnya. Jiwa yang hanyut tidak mungkin dapat mengawal perasaan. Apa sahaja yang paling hampir akan dipaut bagai tidak mahu dilepaskan. Kalau apa yang dijadikan pegangan itu baik, maka selamatlah kita. Jika sebaliknya, kita akan tenggelam dan lemas tanpa sempat kembali ke daratan akal bestari. Kita mungkin sekali akan mengalami konflik personaliti. Menjadi insan bingung tanpa kita sedari.

Bagaimana kita dapat menjajarkan kembali zahir dan batin kita? Yang penting, kita mestilah tahu apa yang kita lakukan. Kita tidak boleh berubah-ubah pandangan, fikiran dan perilaku kerana bertaklid atas desakan sekeliling. Pendirian yang tidak melanggar batas-batas agama akan membantu diri kita berfikir dengan tenang dan konsisten kerana agama itu adalah cahaya penyuluh jalan hidup.

Zahir dan batin yang seiring dan sekata akan terpancar di wajah si empunya diri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Hiburan pada 20.7.2011.

Tuesday, July 12, 2011

RENUNGAN BAGI YANG DAH SENANG


Photo credit: poppetetma.blogspot

MENGHAYATI
SUSAH SESUDAH
SENANG

SEBAHAGIAN besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.

Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Kalaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa sesen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di sekolah pada zaman itu

Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua-tiga hari lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Ada kalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.

Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.

Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan ‘makan untuk hidup’ kini bertukar senang dan kini ‘hidup untuk makan.’ Betapa lama kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa erti kemiskinan.

Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang sudah mahal.

Tetapi, kita tak akan terserempak dengan golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam. Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.

Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini? Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak, membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan, apatah lagi diimpikan.

Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka malang sebegitu.

“Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.” Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah yang mengatur segalanya.

Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita kena tolong mereka. Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka didengari oleh Yang Maha Mendengar.

Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran untuk kembali meyakini-Nya?

Kerana itu, program Sinar Kasih Ramadan kali keempat yang diusahakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan, Kongres India Muslim Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf dan akhbar ini seharusnya disokong. Dengan bantuan kita sebagai individu mahupun melalui syarikat, 1,000 keluarga miskin di seluruh Semenanjung akan memperoleh belanja berbuka dan bersahur di sepanjang bulan Ramadan ini.

Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain. “Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang lain.” (Hadis riwayat: Imam Ahmad)

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 13.7.2011.

Wednesday, July 6, 2011

BERSIH KE STADIUM



Photo credit: seapa.wordpress

TU
JUH KEMUSYKILAN
SINAR HARIAN

BANYAK pihak berasa sedikit lega apabila Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0 bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mereka ingin menyuarakan hasrat mengadakan perhimpunan aman di stadium. Dan, Perdana Menteri sudahpun menyuarakan kesediaan beliau untuk membenarkan perhimpunan itu diadakan di situ, dengan syarat para pesertanya ‘pergi dengan aman, perhimpunan diadakan secara aman dan pulang dengan aman.’

Perhimpunan di stadium tentulah lebih baik, lebih bertanggungjawab dan lebih bertamadun. Namun, keputusan menukar bentuk perhimpunan itu sebenarnya membuatkan pihak-pihak yang terlibat perlu mengubah pula pelan masing-masing, tidak kira sama ada mengaplikasikan plan B mahupun back to the drawing board kerana pendekatan, bentuk dan kesan perhimpunan itu sendiri sudah bertukar wajah.

Benar, daripada satu segi, langkah ini mengendurkan bahang konflik emosi. Namun, apabila sesuatu cabaran itu dapat diselesaikan, cabaran yang lain pula yang timbul. Dan tidak semestinya cabaran hasil daripada keputusan yang diambil itu lebih rendah risikonya. Dinamika situasi ini harus ditangani dengan cermat. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan aktiviti manusia ramai yang pastinya akan terpengaruh dengan mob psychology.

Inilah yang menjadi kemusykilan kami di Sinar Harian. Kami berfikir, berbincang, bertelagah dan akhirnya sependapat, perhimpunan di stadium juga bakal menimbulkan pelbagai implikasi. Terdapat tujuh kemusykilan yang harus diambil perhatian dan perlu ditangani segera sebelum 9 Julai.

Pertama, apakah membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 itu bermakna Bersih 2.0 itu bukan lagi pertubuhan haram? Atau, apakah kini ia sudah halal? Akta apakah yang menghalalkannya? Atau, apakah Bersih 2.0 dibenarkan bergerak atas budi bicara ia sebagai sebuah jawatankuasa sementara dan perlu didaftarkan sebagai sebuah persatuan?

Kedua, apakah perhimpunan di stadium itu membolehkan para penyokong datang ke stadium dengan baju Bersih 2.0? Seandainya iya, ironinya ialah baju yang diharamkan kerana ia menggambarkan Bersih 2.0 kini sudah dihalalkan. Bagaimana pun, adalah pelik pula seandainya perhimpunan boleh diadakan tetapi pengharaman pakaian itu masih kekal.

Ketiga, apakah perarakan di luar stadium tidak akan terjadi? Apabila Bersih 2.0 dibenarkan diadakan di stadium kelak, bagaimana pula keadaan konvoi bas dan kereta yang dipenuhi oleh penyokong-penyokong Bersih 2.0 yang datang daripada pelbagai arah? Tidakkah ia satu bentuk demonstrasi jalanan kerana ia berlaku di luar stadium? Apakah kita hanya akan membenarkan para penyokong memakai baju Bersih 2.0 hanya di dalam stadium untuk mengelak fenomena demonstrasi jalanan?

Keempat, bagaimana dengan kedudukan lebih 100 orang yang telah ditahan atas pelbagai tuduhan berkaitan Bersih 2.0 seperti menghasut dan memilih baju berimej pertubuhan haram? Apakah mereka akan terus didakwa atau pendakwaan ke atas mereka digugurkan?

Kelima, apakah perhimpunan di stadium dapat menjamin tiada penglibatan pihak ketiga? Apakah tidak mungkin mereka boleh menyusup masuk ke stadium dan mencetuskan kekecohan sehingga memudaratkan keselamatan negara?

Keenam, tujuan asal Bersih 2.0 adalah untuk berarak menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Apakah perhimpunan di stadium menepati maksud asal iaitu berarak ke Istana Negara? Apakah perhimpunan di stadium ini masih relevan dengan tujuan asal penganjur?

Ketujuh, apakah reaksi Perkasa dan golongan anti Bersih 2.0 termasuk pertubuhan silat? Hampir pasti mereka tidak akan hendak berhimpun di stadium yang lain pula. Jika demikian, apakah mereka akan terus berdiam diri?

Memuaskan hati semua pihak memanglah sukar. Tidak ada situasi kalah-kalah dalam keputusan membenarkan perhimpunan diadakan di stadium. Bagaimana pun, ia bukan juga situasi menang-menang pula bagi mana-mana pihak. Ia adalah keputusan yang betul. Tetapi, apakah ia keputusan yang tepat?

Artikel ini telah terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.7.2011