Tuesday, April 17, 2018

DEGUP PERJUANGAN


Piccedit: relevance.com
CERITA DUA ORANG
ANAK MUDA

PETANG kelmarin adalah di antara petang yang membahagiakan saya. Sebabnya, saya terserempak dengan mentor saya setelah 42 tahun tidak bertemu. Kami terpandang di antara satu sama lain tatkala membuat urusan di sebuah pejabat kerajaan.  Lantas, dua orang sahabat lama ini saling bersalaman dan berpelukan.

Hanafi. Layar minda saya segera mempamerkan imej-imej pada tahun 70an. Tatkala itu saya seorang siswa semester tiga Senireka Perusahaan di UiTM Shah Alam.  Sebagai pelajar dalam bidang seni, saya akan ke studio untuk membuat pelbagai tugasan, bukan seperti pelajar-pelajar lain yang pergi ke bilik kuliah mahupun perpustakaan.

Pada suatu malam, Hanafi berkunjung ke studio dan bersembang dengan rakan sekelas saya, Deng. Pada tahun-tahun 70an, para pelajarnya bebas berambut panjang. Rambut Hanafi tidaklah panjang tetapi ikal rambutnya dibiarkan mengerbang. Itulah identitinya.

Itulah juga yang menarik hati saya untuk mengenali dirinya. Pada malam-malam berikutnya dia datang lagi untuk bersembang dengan Deng. Hanafi punya karakter dan karisma seorang pemimpin. Dia petah bercakap dan berhujah meskipun dia adalah seorang siswa Sains Aktuari.

Lama kelamaan, saya mula menyampuk perbualan mereka dan akhirnya kami bertiga akan bersembang dan akan berkunjung ke mamakteria untuk meneguk teh tarik. Saya tak sedar bila Hanafi mula rapat dengan saya dan bermulalah percakapannya yang penuh berisi, berinti dan berfalsafah.

Hanafi selalu bercakap fasal perjuangan. Pada tahun-tahun 70an para siswa penuh dengan idealisme. Siswa UiTM, tatkala itu Institut Teknologi MARA, serta para siswa di universiti-universiti lain pernah menggegar negara dengan demonstrasi. Kami berbual tentang ekonomi Melayu, politik orang Melayu, budaya orang Melayu dan juga masa depan orang Melayu.

Saya pula adalah seorang anak Melayu yang berdarah Cina. Tatkala membesar, saya memang ingin jadi orang Melayu jati tetapi wajah saya tidak mengizinkan. Ha, ha. Kerana itu, idealisme-idealisme perjuangan Melayu yang dibawa Hanafi memberi saya peluang untuk menjadi seorang pejuang Melayu walaupun berdarah Melayu.

Itulah pandangan saya tatkala itu tentang diri, walhal penampilan fizikal hanyalah kulit. Yang penting adalah semangat. Hanafi sendiri menerangkan kepada saya bahawa yang dikatakan orang Melayu di Malaysia pun bukan semuanya Melayu original. Sebaliknya mereka adalah dari pelbagai suku seperti Jawa, Mendailing, Banjar, Bugis dan lain-lain. Bagi anak muda yang mentah seperti saya ketika itu, ia adalah sesuatu yang membina semangat keMelayuan yang kental di dalam diri saya.

Tak lama kemudian, saya diajak menjadi ahli Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS cawangan khas UiTM. Hanafi adalah Naib Presiden persatuan itu. Bermulalah proses perkaderan buat diri saya. Saya dilatih untuk melakukan pengucapan awam, menjadi pengerusi majlis, mengendalikan program-program persatuan seperti forum, seminar dan akhirnya persidangan.

Pada setiap cuti semester, saya menyertai Gerakan Obor dan juga Operasi Khidmat Masyarakat yang mengendalikan kelas-kelas bimbingan di kampung-kampung dan juga di rancangan-rancangan Felda serta Risda. Pada mulanya saya menjadi peserta program. Kemudian diangkat menjadi ahli jawatankuasa dan akhirnya pengarah projek.

Sudah tentu saya terlibat dalam politik kampus dan menjadi seorang aktivis pelajar. Saya mula membentuk kader-kader pula dan mengasuh mereka berpidato sebelum memilih mereka sebagai calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di kampus.

Ia adalah suatu proses yang panjang. Tetapi Hanafi telah membina saya daripada seorang pelajar seni yang pendiam menjadi seorang pelajar yang vokal. Tetapi yang indahnya, saya kemudiannya dilatih untuk menjadi kingmaker atau menjadi puppet master.

The art of persuading, convincing
hingga kepada brainwashing menjadi pengetahuan atau apa yang saya istilahkan sebagai ilmu-ilmu batin dalam perjuangan. Hingga pada suatu ketika, saya menterjemah buku The Art of War karya Sun Tse pada usia 21 tahun! Maknanya, inti buku itu masih tersemat di sanubari.

Panjang sekali kisah saya dan Hanafi. Banyak yang kami bualkan di restoran mamak pada petang semalam. Dan ya, kami membuka semula  topik fasal perjuangan. Ha, ha. Kami sama-sama tergelak bila bercerita kisah lama. Perbualan terus melarat kepada hal-hal PRU yang bakal menjelang. Dan persoalan anak muda juga kami sentuh.

Dan, sebagai seorang pensyarah, Hanafi mengakui para siswa pada hari ini tidak seperti di zaman kami. Mereka adalah pelajar yang hanya ingin lulus peperiksaan, mendapat kerja dan live happily ever after. Saya tambah, mereka juga adalah zombie. Sebab, mereka nampak hidup tetapi tenggelam di dunia siber yang terpapar di telefon pintar masing-masing!

Kata-kata itu membuat kami sama-sama termenung! Dia seorang pensyarah yang juga bertanggungjawab membina anak-anak muda. Saya pula orang media yang faham susup sasap dunia siber mainan anak-anak muda.

‘Din…’ katanya. ‘We must do something…’ Saya sambut kata-katanya dengan jawapan… ‘Kita restart! Kali ini bukan untuk kita dah. Tapi untuk mereka!’

Kata-kata kami seperti ucapan-ucapan bersemangat kami 40 tahun lalu tatkala kami masih anak-anak muda.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.4.18.


Tuesday, April 10, 2018

KEMPEN PILIHANRAYA


PRU: JANGAN DISUMPAH
KERANA MENYAMPAH

SPR baharu sahaja mengumumkan hari mengundi bagi PRU-14 iaitu pada Rabu, 9 Mei 2018. Pengumuman itu dinanti-nanti dan disambut dengan penuh gembira bercampur debar oleh rakyat Malaysia yang mengikuti arus politik negara. Laman-laman di media sosial dan portal menjadi riuh rendah bagai mendengar pengumuman kemunculan anak bulan bagi menyambut hari raya.

Semua pihak terutamanya parti-parti politik,  kedutaan-kedutaan, agensi-agensi berita, badan korporat, syarikat, institusi, pertubuhan, komuniti, kumpulan hinggalah ke peringkat keluarga membicarakan mengenai pilihanraya ini. Ramalan siapa menang dan siapa pula yang bungkus menjadi topik bualan. 

Laman-laman sosial yang sudah lama membahang kerana angin PRU mula bertukar panas. Jentera parti-parti politik dan ahli-ahli politiknya semakin giat meneruskan kempen untuk memenangi DUN-DUN bagi memerintah negeri dan memperoleh kemenangan bagi kawasan parlimen untuk menguasai Dewan Rakyat.

Orang politik, aktivis politik, penganalisis politik dan juga jentera parti-parti politik akan bekerja kuat untuk memenangkan pihak masing-masing. Sudah kerja dan tugas mereka begitu. Bagaimana pula kita sebagai individu yang membuka mata dan telinga bagi mendapat maklumat, berita dan gosip termasuk fake news?

Ramai sekali di kalangan kita sudah mengambil pendirian untuk condong ke kiri atau kanan. Kita layari portal, laman media, video dan audio pihak yang kita suka dan juga pihak yang kita tidak suka. Hasrat kita ialah untuk memenuhkan naluri ingin tahu di samping membuat pengukuhan pendirian untuk menyokong sesuatu pihak. Dan, membina benteng untuk membenci pihak yang lain pula.

Malang sekali buat kebanyakan bagi kita kerana punyai perasaan hitam dan putih. Jika sesebuah pihak itu kita sokong, maka apa jua yang tidak elok pun kita terima dengan baik. Jika pihak yang satu lagi kita tak sokong, maka apa sahaja perkara yang baik pun kita tolak mentah-mentah.

Akibatnya, kita beriya-iya berkempen di laman sosial dan kumpulan sembang yang kita sertai. Kita nyatakan sokongan dan menghebahkan sokongan kita tanpa ragu-ragu lagi seolah-olah pihak yang kita sokong itu tiada dosa politik. Sebaliknya kita begitu berani membelasah pihak yang kita tidak sokong.

Apa yang tidak moleknya, kita tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Audien di laman-laman sosial atau kumpulan sembang bukannya hadirin di dalam sebuah dewan ceramah di mana kita boleh nampak kesemua yang ada.

Jadi, apabila kita menyuarakan sokongan ataupun kritikan tanpa timbang rasa, kita tak sedar bahawa di dalam kumpulan yang kita sertai terdapat kawan sekolah, pakcik, makcik, guru, saudara-mara, bos dan juga orang yang sama sekali berlainan pendirian daripada kita. Orang tua-tua berkata, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Tapi, kita tidak ingat semua itu kerana seronok berkempen.

Kita rasa, apabila apa yang kita suarakan itu mendapat likes, itu tanda mereka menyokong kita. Padahal, dalam 100 likes yang kita dapat, ada beratus-ratus daripada mereka yang dislike apa yang kita suarakan. Cuma mereka tidak mahu menyuarakan bantahan mereka.

Oleh itu, kita rasa yang kempen kita itu diterima. Padahal, kita berkempen tanpa ilmu. Berkempen itu untuk memenangi hati agar mereka yang mengikuti hujah-hujah kita akhirnya akan menerima pandangan kita dan menyokong apa yang kita sokong. Sebaliknya, kempen secara sembrono pula akan menjauhkan mereka untuk menerima pihak yang kita kempenkan.

Lebih buruk lagi jika ia juga menimbulkan rasa jauh hati mereka terhadap kita secara peribadi kerana pilihanraya akan tamat apabila pusat-pusat undi ditutup. Yang akan berterusan ialah hidup kita bersama dengan mereka di sekeliling kita. Mereka inilah yang akan kita hadapi dan temui pada hari-hari selepas itu.

Menyokong ahli-ahli politik jangan pula seperti kita menyokong ahli gusti. Kita terpersona menonton mereka membelasah di antara satu sama lain. Kita terkeliru bahawa ia adalah sebuah sukan yang mana apabila perlawanan tamat, masing-masing akan bertegur sama dan terus jadi kawan.

Ahli-ahli politik pun sama. Di pentas-pentas politik mereka bercakap apa sahaja dengan lantang dan tegas. Apabila mereka turun ke tanah dan jauh dari lampu sorot, mereka minum kopi bersama dan berlawak jenaka. Mereka rasional, kita yang emosional.

Kita tidak sedar bahawa bertekak dan bertikam lidah adalah kerjaya mereka lebih-lebih lagi di musim pilihanraya. Selepas 9 Mei, ahli-ahli politik yang menang akan angkat sumpah. Jangan nanti kita terus menerus kena sumpah kawan-kawan kerana menyampah dengan perangai kita!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.4.18.

Tuesday, April 3, 2018

PUJI DIRI JANGAN SAMPAI MAKAN DIRI


KITA MAKIN SUKA MEMUJI DIRI
DAHULU, kita tidak selesa apabila dipuji. Malah, ada yang sampai marah-marah apabila teman-teman memberi kata-kata yang positif tentang diri kita. Barangkali, oleh kerana punyai nilai harga diri yang rendah, sesebuah pujian itu ditafsir sebagai sebuah sindiran. Mungkin juga sesebuah pujian itu  dianggap menjadikan kita lupa diri, kembang dan terawang-awang hingga mendapat penyakit ain.
Masa berlalu dan pandangan kita mengenai pujian itu mula berubah. Pendidikan di sekolah yang mengajar kita menyanjung mereka yang berjaya dengan memberi pingat apabila menang lumba lari, hadiah berupa sijil apabila mendapat markah cemerlang ataupun selempang sebagai pelajar terbaik. Secara perlahan-lahan ia menjadikan kita semakin biasa menerima pujian. Ertinya kita mula pandai memuji dan pandai pula mengendalikan perangai apabila dipuji.
Pada hari ini, keterbukaan yang dibawa media sosial menjadikan kita lebih selesa untuk memuji. Melalui Facebook misalnya, kita menyatakan pujian segera hanya dengan menekan butang ‘like.’ Kita juga boleh mengirim pelbagai emoticon yang menggambarkan pujian kita kepada seseorang. Bagus sangat.
Namun, akhir-akhir ini, sedarkah kita bahawa kita semakin selesa memuji diri sendiri? Ia bermula dengan ucapan-ucapan kejayaan bagi seseorang tokoh, penerima anugerah dan juga pemenang pertandingan. Melalui majlis sebegitu, kita juga mula menerima perbuatan memuji diri di depan khalayak.
Kita mula menyedari bahawa selain daripada bersedia menerima pujian, kita juga tidak salah seandainya memuji diri sendiri asalkan ia dilakukan secara formal, tertib dan terkawal di sesebuah majlis rasmi.  Bagaimana pun, tidak ramai yang berpeluang memuji diri sendiri di depan orang ramai seandainya belum benar-benar layak di mana beratus-ratus manusia mendengar dan menatap wajahnya di skrin gergasi.
Tetapi, sekali lagi media sosial memberi peluang kepada sesiapa sahaja memuji diri sendiri pada bila-bila masa, untuk apa-apa sahaja tidak kira kecil mahupun besar. Kejayaan seseorang membuat cekodok dipapar di media sosial siap dengan video dan voice overnya. Mendapat nombor giliran di hospital pun kita tayang  sebagai suatu kejayaan. Kereta yang dikilatkan pun kita beritahu dunia sebagai suatu pencapaian.
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu tidak salah sama sekali. Kejayaan yang kecil pun suatu kejayaan juga. Kecil bagi orang lain, besar bagi diri si pencerita itu. Bagi yang pandai buat cekodok yang lembut dan gebu, apalah sangat video cekodok penyek yang ditayang rakan. Namun, dalam ramai-ramai yang memandang status itu, ada yang tak tahu langsung membuat cekodok!
Begitu juga, untuk apa menayang kejayaan mendapat nombor giliran? Bagi yang tak pernah merasa menunggu lama hingga berpeluh kerana bersesak, mendapat nombor giliran itu adalah suatu kelegaan. Keseronokan itulah yang ingin dikongsi dengan kita. Sedekahkanlah butang ‘like’ sebagai tanda kita gembira yang dia gembira!
Seandainya kereta yang tiga bulan tidak dibasuh kerana malas tuannya itu tiba-tiba berkilat dan berkilau, lalu ditayang sebagai suatu pencapaian, tidakkah itu bagus? Gembirakanlah kawan yang menayangkan foto kereta berkilaunya asalkan dia  bahagia.
Akhirnya, kita selesa menerima pujian dan pandai pula menyambut pujian itu dengan berhemah. Kita memuji diri dengan kejayaan-kejayaan kecil kita untuk  memberi kegembiraan kepada rakan-rakan di media sosial. Walaupun betapa kecil pun kegembiraan itu, ia juga memberi warna kepada kehidupan mereka di sekeliling kita.
Kini kita semua melalui hari-hari yang penuh cabaran serta dugaan yang tidak menentu mengikut jalur skrip hidup masing-masing. Selagi bernama manusia, mana ada insan yang punyai segalanya itu gembira senantiasa? Mana ada insan yang tidak punyai apa-apa itu bersedihan secara kekal?
Sebab itulah kita perlu menjadi anggota masyarakat yang apresiatif. Tidak meminta-minta untuk dipuji atau lokek pula untuk memuji.

INSYA-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.4.18.