Tuesday, August 28, 2018

JAUHI SIKAP MEMUSUHI


DI SEBALIK MENGIBAR
JALUR GEMILANG

BARU-BARU ini saya ke Bandar Baru Bangi menemui Izmael yang lama tak diketemui. Bermula dengan like di Facebook, kami berjejak kasih kembali setelah bertahun tak jumpa. Izmael adalah salah seorang teman sepejabat tatkala saya bertugas di sebuah syarikat perunding perniagaan di Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. Walaupun lama tak bersua, kami masih mesra berlawak dan bergelak.

Sekali-sekala mereka di meja sebelah restoran tempat kami melepak terjeling-jeling bila Izmael tergelak nyaring. Dia memang suka berseloroh. Perbualan kami akhirnya menyentuh hal-hal perkembangan politik semasa. Menurut Izmael, walaupun  undi itu rahsia, dia dapat mengagak parti-parti politik manakah yang dipangkah oleh jiran-jirannya.  
‘Aku tahu jiran-jiran aku sokong parti mana,’ kata Izmael dengan wajah serius yang dibuat-buat. ‘Aku tengok Jalur Gemilang yang dia orang pasang kat depan rumah pun, aku tau isi rumah tu sokong parti mana.’ Walaupun saya tahu Izmael bermaksud melawak, tapi lawak Izmael lazimnya berisi. Saya faham stail lawak seriusnya itu.
Menurutnya, ada empat jenis penduduk di kawasan perumahannya. Pertama, mereka yang tiba-tiba pasang Jalur Gemilang pada tahun ini, walhal sebelum itu tak pernah pasang pun. Mereka ini adalah penyokong PH. Kedua, mereka yang setiap tahun akan kibar Jalur Gemilang, tapi tiba-tiba tak pasang pulak bendera pada tahun ini.  Mereka tu adalah penyokong BN!
Ketiga, jiran yang tak pernah langsung pasang Jalur Gemilang. Mereka ini mungkin tak undi mana-mana parti. Mereka jenis tak kisahkan  politik Keempat,  jiran-jiran yang tiap-tiap tahun mesti pasang Jalur Gemilang. Mereka inilah golongan patriotik. Mereka cintakan Negara, bukan parti politik!
Memang kelakar pandangan Izmael ini. Tapi, iyalah… mereka yang tiba-tiba  pasang Jalur Gemilang pada tahun ini mungkin tidak berasa gembira dengan corak kepimpinan yang ada selama ini. Mereka menganggap BN ‘mempunyai’ negara ini lalu tidak mahu memasang bendera. Seolah-olah pemasangan bendera itu suatu jenis endorsement kepada parti itu. 
Begitu jugalah sebaliknya. Mereka yang menyokong BN berasa negara ini sudah diambil-alih oleh Pakatan Harapan. Justeru itu mereka tidak mahu memasang bendera dan menyambut merdeka. Mereka berasakan tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada parti pemerintah yang ada.
Sekilas pandang, mana patut kita kaitkan pemasangan Jalur Gemilang itu sebagai tanda sekongan kepada parti politik yang memerintah. Pasang bendera adalah tanda meraikan kemerdekaan negara, bukannya meraikan kemenangan mana-mana parti!
Namun, jika kita susuri laman-laman sosial, seperti Facebook dan Whatsapp, kita akan dapati pemikiran sebegitu ada benarnya. Bagi yang menyokong BN, apa sahaja yang dilakukan oleh PH pada hari ini semuanya salah dan tidak baik. Golongan yang menyokong PH pula akan membenarkan apa jua tindakan pakatan itu walaupun ada  keputusan yang dibuat itu tidak menggambarkan kehendak rakyat.
Pendek kata, yang menyokong akan terus menyokong dan yang membangkang akan terus membangkang. Kedua-dua kelompok ini sebenarnya maaf cakap, sudah jadi fanatik kerana kebenaran itu terletak kepada pihak mana yang mereka sokong.
Ramai yang sudah lupa pilihanraya sudah selesai dan kita perlu memberi peluang pihak yang menang untuk menerajui negara. Jika kita tidak memilih yang menang, kita perlulah akur dengan keputusan yang dibuat pihak yang menang. Sebaliknya, walaupun kita telah memilih pihak yang menang, kita wajar pula menegur tindakan tak kena yang mereka lakukan.
Jika kita pandang dengan lebih dekat, kita akan dapati orang Melayu sendiri punyai sikap idol-worship yang begitu tinggi. Mereka menyamakan Pakatan Harapan itu dengan Tun Mahathir dan Barisan Nasional itu dengan Datuk Seri Najib.
Pendirian ‘asal bukan Najib’ mereka pegang bukan sekadar tagline kempen pilihanraya, malah ia menjadi sesuatu yang benar. Kerana itu, apa jua pandangan Datuk Seri Najib bukan sekadar disanggah dengan hujah, malah dibangkang dengan kata nista yang bukan-bukan.
Begitu juga mereka yang melihat Tun Mahathir sebagai bukan lagi mewakili orang Melayu telah mengejek apa jua tindakan yang beliau lakukan. Padahal, mustahil seseorang yang telah berpuluh tahun memperjuangkan Melayu boleh tiba-tiba melupakan bangsanya sama sekali tanpa sekelumit pun rasa ingin membela bangsanya sendiri!
Dalam konteks ini, sikap untuk menyokong dengan bersebab dapat dilihat di kalangan orang-orang China. Andainya mereka tidak bersetuju dengan mana-mana dasar dan membantah secara terang-terangan, mereka turut mengadakan perundingan agar memperoleh bahagian yang mereka inginkan. Akhirnya, orang China mendapat untung juga.
Pendek kata, mereka tidak membantah lalu memusuhi. Sebaliknya mereka membantah tetapi sentiasa mencari jalan untuk mendapat juga apa yang mereka inginkan. Mereka membantah tetapi terus melakukan engagement. Kita sebaliknya membantah lalu menjauhi. Akhirnya kita kalah kerana sentiasa menyalahkan.

Insya-ALLAH artikel ini akan  terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.8.18.

Tuesday, August 14, 2018

KITA DATANG DALAM SEBUAH PAKEJ


KITA TIDAK SEBAIK MANA PUN
Anak saudara saya tertawa melihat video adegan filem Seniman Bujang Lapuk arahan P. Ramlee. Ketawa kerana terdapat adegan watak sultan yang marahkan permaisuri hingga ‘tak akan mengampun dunia akhirat’ dan ingin pula memancung leher permaisurinya.
Apa yang menggelikan hati ialah, kesalahan permaisuri bukannya besar. Dia hanya terlupa memasukkan belacan di dalam sayur asam yang dimasaknya. Sultan yang menggemari belacan, begitu marah kerana ramuan kegemarannya tidak dimasukkan ke dalam hidangan. Adegan itu kononnya adalah sebuah penggambaran filem di studio.
Sedang sultan menghamburkan kemarahannya, tiga bujang lapuk, Ramlee, Sudin dan Aziz muncul. Tanpa memahami bahawa ia adalah sebuah penggambaran, Sudin yang melihat ketidakrasionalan sultan terus tampil memarahi dan menumbuk baginda.
Pasti tindakan Sudin menimbulkan ribut di studio itu. Tapi dia memukul sultan kerana baginda ingin menghukum isterinya hanya kerana satu kesalahan kecil. Kelakar, sememangnya kelakar. Namun, tindakan kelakar itulah yang selalu kita buat di alam realiti.
Baru-baru ini, kita lihat video tular di mana seorang kanak-kanak ditolak oleh pengasuh hingga jatuh dari kerusi hanya kerana tidak tahu menjawab soalan. Budak itu tidak salah kerana tidak tahu. Pengasuh itu bersalah kerana tidak mengajar walaupun dia tahu. Ada juga video tular kes menggesel kereta kerana tidak puashati ada kenderaan menghalang jalan. Akibat marah melampau, kereta sendiri pun kena dicat kerana tercalar.
Marah itu panas. Kepanasan dari syaitan. Orang marah dianjurkan mengambil wuduk untuk menyejukkan tubuh. Daripada sudut biologi, apabila kita marah, jantung kita pantas bekerja hingga kita tidak cukup oksigen. Kita memerlukan 95 % hingga 100 % oksigen. Apabila oksigen kurang di dalam tubuh, fikiran kita jadi tak menentu.
Banyak kes pesakit terlantar yang memerlukan oksigen mula menghidap hypoxemia, iaitu meracau bila oksigen kurang dari 95%. Barangkali kita tidak boleh berfikir dengan baik apabila kita termengah-mengah sebab kekurangan oksigen.
Marah dan menjeritlah sepuas-puasnya di dalam hati. Tetapi apabila kemarahan itu terhambur dan terlafaz, mahupun direkodkan dalam bentuk tulisan, maka kita berada di dalam situasi ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’
Semua ini berlaku kerana kita tersilap dalam pertimbangan. Orang yang disayang mungkin hanya mengajak makan di luar. Oleh kerana kesibukan, kita membebel menceritakan apa yang kita sedang lalui.
Pelawaan yang manja juga boleh bertukar hangat apabila yang mengajak mula menjawab dan mengungkit. Hal-hal mengenai jalan-jalan bersama boleh melarat hingga menyentuh mengenai soal perhubungan. Bila diapi-apikan dengan jawapan dalam keadaan marah, ia boleh membawa kepada pertengkaran hingga bermasam muka.
Seharusnya kita mesti melihat mereka di sekeliling kita dari kacamata yang menyeluruh. Semua orang ada baik. Semua orang juga ada buruknya. Dan mereka di sekeliling kita lebih banyak baik daripada buruk.
Seandainya berlaku apa yang tidak berkenan di hati, apa yang kita tidak sukai itu hanyalah satu daripada berpuluh-puluh perangai baiknya. Pertimbangkan secara menyeluruh dan kita akan dapati kesalahan mereka tidak sebesar mana pun.
Rakan di meja sebelah mungkin suka membawang. Sekali sekala apabila kita jadi mangsa, tidak bolehlah kita membuang dia. Dia mungkin seorang yang peramah, suka membelanja asam, rajin menolong dan di bahunyalah tempat kita melepas tangisan.
Lihatlah orang yang disayangi itu sebagai sebuah pakej. Jika kita sukakan dia kerana kecantikannya, budi pekertinya, seorang pendengar yang baik, janganlah pula sendawanya yang kuat itu terus menjadikan kita membencinya. Ia hanyalah satu-dua kekurangan dia sebagai manusia.
Begitu juga mereka yang berpengaruh di sekeliling kita samada orang politik, ahli sukan, selebriti, usahawan dan ustaz. Sekali kebaikan yang dia lakukan, berganda-ganda pahala yang dia boleh dapat berbanding dengan kita. Mengapa pula apabila satu-dua kesilapan kata dan keputusan yang dia buat itu boleh menjadikan kita hakim untuk mencerca dia sampai mati?
 Kita pun tidaklah seelok dan sebaik mana pun. Cermin diri.

Tuesday, August 7, 2018

KEMPEN MEMBACA 12 TAHUN!

-->

BOLEHKAH
#MALAYSIAMEMBACA
BERJAYA?


SAYA terpegun apabila menerima poster #MALAYSIAMEMBACA: Apakah 10 buku kegemaran anda? di Whatsapp. Poster hijau gelap yang lengkap dengan imej Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik itu menguja saya kerana ia datang daripada beliau sendiri. Sebagai seorang yang giat di dalam industri buku, lantas saya menelusuri halaman Facebook beliau.
Rupa-rupanya Dr. Maszlee bukan setakat menyoal mengenai 10 buah buku yang kita baca. Malah, beliau iringi status beliau dengan sebuah hasrat yang besar. Katanya, ‘saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca tahun 2030. Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi. Membaca ialah seruan pertama dalam Islam (al-Alaq:1).’
Katanya lagi, ‘Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10 buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.’ Dr. Maszlee menurunkan 10 buku kegemaran beliau yang di antaranya termasuk The Alchemist karya Paulo Coelho, Rasuah karya Syed Hussein Alattas, Sejarah Umat Islam karya HAMKA dan juga karyanya sendiri Hikmah Hati.
Di Facebook, status Dr. Maszlee memperoleh 5,900 likes, 1,760 komen dan 3,400 shares dalam masa 24 jam. Tagar MalaysiaMembaca juga muncul di Instagram serta Twitter. Banyak juga blog dan laman web yang menyahut seruan beliau. Carian di Google pula memaparkan 2,250 temuan.
Menteri Pendidikan bukan mencabar kita seperti ‘The Harlem Shake,’ ‘The Ice Bucket Challenge’  ataupun ‘Keke Challenge’ yang terkini itu. Sebaliknya beliau hanya memaparkan status dalam bentuk seruan. Tidak mengapalah jika ia belum begitu menular buat sehari dua ini. Mungkin saranan #MalaysiaMembaca akan meletup-letup apabila lebih ramai yang mengetahuinya.
Betapa pun, oleh kerana #MalaysiaMembaca ini adalah impian 12 tahun Dr. Maszlee Malik, kempen melalui media sosial yang sekadar memaparkan 10 buku kegemaran masing-masing akan menemui jalan buntu dalam beberapa minggu sahaja. Lihatlah, apa jua kempen di media sosial hanya berupa fad ataupun kegilaan sementara. Pada bulan hadapan, ajakan #MalaysiaMembaca akan dipandang sebelah mata atau tidak akan dipandang langsung. Barangkali ia akan mati seperti mana-mana challenge yang lain.
Saya tak nafikan ia idea yang sungguh murni. Membaca adalah santapan minda. Kita akan kebulur apabila tidak makan sehari. Namun, mungkin seorang dua sahaja di kalangan kita yang lapar minda apabila tidak membaca dalam sehari. Lebih ramai pula yang lain yang tak perlukan santapan minda walaupun tidak sedar, daya fikir, daya menganalisa atau daya hujah semakin tumpul apabila minda tidak diberi makanan melalui membaca.
Justeru itu, kita yang sedar membaca itu penting wajib menyemarakkan saranan Menteri Pendidikan kita. Andainya kita sukakan membaca atau menghormati ilmu melalui membaca, apalah salahnya kita meuar-uarkan #MalaysiaMembaca.
Bagaimana pun, untuk terus menghela hasrat ini hingga ke tahun 2030 iaitu 12 tahun lagi, kempen yang sesantai ini tidak akan ke mana-mana melainkan ia disambut oleh pemain di dalam industri ini dan mereka yang berada dalam dunia pendidikan.
Para pemain di dalam industri buku ini ialah penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit. Jika diteliti secara dekat, kita akan dapati lebih ramai mereka di dalam industri ini yang tidak memfokuskan aktiviti mereka untuk mengiklan dan mempromosi buku. Tidak payahlah ambil kira promosi dan pemasaran melalui laman web masing-masing kerana semua orang buat itu hingga, ‘bila kita buat apa yang orang lain buat, ia tiada kesan apa-apa.’
Penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit perlu bergabung mencari jalan bagaimana untuk mengiklan produk mereka melalui iklan di media perdana televisyen, akhbar dan radio. Hidupkan pameran agar buku dibawa kepada pembaca kerana pembaca kian malas untuk ke kedai buku.
Adakan pertandingan membaca, sayembara, apa jua jenis challenge yang boleh difikirkan untuk menyemarak kegilaan membaca. Para penulis mesti munculkan diri sebagai selebriti. Pastikan mereka juga dipanggil di sidang media seandainya karya mereka dipilih menjadi telenovela mahupun filem. Bukan sekadar disebut nama.
Pihak berwajib seperti perpustakaan awam harus mengajak perpustakaan swasta yang terdapat di kolej-kolej mahupun di syarikat-syarikat swasta untuk meraksaksakan kempen. Kempennya mudah sahaja. Kembalikan tabiat membaca. Munculkan wajah-wajah selebriti mahupun personaliti terkenal termasuk ahli-ahli politik, usahawan, chef dan ustaz yang sedang membaca agar masyarakat tak malu membaca.
Yang penting, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mesti tampil dengan pelan besar 12 tahun bagaimana kita boleh melahirkan rakyat yang membaca. Libatkan sekolah dan universiti sebagai paksi aktiviti kerana gedung pendidikan adalah rumah buku. Seperti kata Dr. Maszlee Malik, ‘Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi.’ Maknanya, kita akan punyai masyarakat yang pandai kerana rajin membaca.


Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.8.18