Saturday, November 29, 2008



KENAPA JALAN TAK JEM

MASA CUTI SEKOLAH?


HAIRAN, ya? Mengapa lebuh raya tak sesak masa cuti sekolah? Apa bezanya cuti sekolah dengan tak cuti sekolah hinggakan jalan raya jadi lengang? Pada musim persekolahan, bukan jalan raya di kawasan sekolah sahaja yang sesak, malah lebuh raya pun begitu. Takkanlah ramai sangat ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah yang jauh dari rumah hingga terpaksa memasuki lebuh raya sampai ia sesak? Apakah jalan raya tak sesak kerana ramai yang balik kampung?
Ramainya balik kampung?

Pandangan rambang saya di kawasan tempat tinggal saya, ramai ibu bapa yang masih bekerja. Mereka tak cuti balik kampung hingga melengangkan jalan raya. Oleh itu mengapa jalan tak jem masa cuti sekolah ni? Apakah kerana jalan jem di musim sekolah kerana jalan dan lebuh raya sesak dipenuhi dengan bas-bas sekolah? Dan kerana bas-bas sekolah juga bercuti, jalan jadi lengang? Eh, tidaklah!

SETELAH saya jadikan ia topik perbualan dengan teman-teman sepejabat, baharulah saya tahu sebabnya. Salah seorang daripada mereka kata, jalan raya tak jem masa cuti sekolah kerana pada waktu sekolah, jalan dan lebuh raya dipenuhi dengan kenderaan cikgu-cikgu! Bila sekolah cuti, cikgu-cikgu pun bercuti. Jadi jalan tak jem. Hmm… betul jugak. Tapi saya fikir, jalan raya lengang masa cuti sekolah kerana ramai murid-murid sekolah pakai kereta! Bila mereka bercuti dan tak pergi sekolah, maka jalan jadi lengang.

Eh, gitu pulak! Hua, hua, hua!
Foto: jubeiz.blogspot.com

Saturday, November 22, 2008


BILA TUKAR SELERA
MACAM TUKAR CHANNEL TV…

APAKAH anda jenis orang yang suka sangat tukar saluran TV? Jika benar, anda juga sama seperti saya yang semakin punyai attention span yang kian pendek. Ertinya, cepat bosan pada sesuatu. Kalau menonton berita, saya menjelajah ke semua stesen. Ya, dalam konteks menonton TV, kadar konsentrasi saya semakin pendek.

Saya tak ada sesuatu rancangan yang saya benar-benar minat. Kalau dulu... 15-20 tahun dahulu, saya ada rancangan TV kesukaan. Saya suka Three's Company, MacGyver dan Cerekarama. Kini saya tak kisah sangat apa yang saya tengok kerana menonton kerana kebetulan, kecuali berita jam 7 pagi. Sebenarnya, semakin banyak pilihan, minat dan kesetiaan saya terhadap sesuatu semakin kerap berubah.

Selera makan saya juga sudah global. Saya makan apa sahaja kecuali batu, kayu dan plastik! Jenama pakaian saya, jenis majalah yang saya baca, novelis yang saya minat, megamall yang saya suka sudah berubah-ubah mengikut apa yang teringin, atau mana yang sempat. Saya percaya, anda yang membaca tulisan ini pun begitu. Bila ada terlalu banyak pilihan yang bagus-bagus, citarasa kita tidak 'sepesen' lagi. Inilah agaknya yang membuatkan manusia sukakan perubahan semata-mata atas nama perubahan.

LIHATLAH, apa jadi dengan Thailand? Pemimpin hari ini boleh ditukar pada hari esok! Tak suka Thaksin, tukar pada Chitchai, tak suka Chitchai, tukar pada Surayud, kemudian pada Samak dan kini Somchai! Dalam masa 8 tahun sejak 2001, dah ada 5 PM! Dan kini Somchai dihogah agar turun dan Abhisit Vejjajiva pula jadi PM. Chapchailah Thailand kerana suasana politiknya yang bercampur aduk.

Di Jepun pun sama. Selepas Yoshiro Mori, ada Junichiro Koizumi, Shinzo Abe, Yasuo Fukuda dan kini Taro Aso. 5 PM sejak tahun 2000 dalam masa 8 tahun! Di Filipina, selepas Marcos diguling pada tahun 1986, mereka ada Corazon Aquino, Fidel Ramos, Joseph Estrada dan kini Gloria Aroyo. 22 tahun, 4 Presiden. Di Indonesia, selepas Suharto turun kerusi pada tahun 1998, ada 4 Presiden iaitu Jusuf Habibie, Gus Dur, Megawati dan Bambang Susilo. 10 tahun, 4 Presiden, alahai!

Di negara kita, selepas Tunku, Tun Razak ambil alih dikuti dengan Hussein Onn, Dr. Mahathir dan Pak Lah. Proses pertukaran kepimpinan di negara kita stabil. Amat stabil kerana hanya ada 5 PM sehingga usia 51 tahun! Kita ni lebih mementingkan kestabilan. Memanglah kurang excitement kerana pemimpin Malaysia lambat bertukar ganti berbanding dengan negara-negara lain. Tapi tengoklah ekonomi mereka. Sentiasa naik turun. Ekonomi Jepun yang handal pun tak menentu kerana kerap tukar pemimpin.

BERBALIK kepada perangai menukar saluran berita jam 8 di TV, baik RTM1, TV3, NTV7, TV8, Bernama TV mahupun Awani, kadangkala, saya terasa dalam suasana deja vu, bila berita kemalangan di RTM1, saya tonton kembali di TV3 bila saya tonton saluran itu sebab beritanya dibacakan kemudian. Oh, apakah perubahan yang kerap itu juga memutar jam ke belakang? Kalau menukar saluran TV, tak adalah masalah. Bagaimana kalau mengubah sesuatu yang besar seperti menukar warna cat rumah, menukar kerja, menukar telco, menukar kereta dan lain-lain tukaran besar yang lain?

Berubah atau sebenarnya back to square one?


Foto: The Jakarta Post

Monday, November 17, 2008


FENOMENA PELIK BINTI AJAIB

SETIAP hari saya memandu ke pejabat. Trafik dari Petaling Jaya ke Shah Alam lazimnya okey. Jarang sekali jem sebab saya jarang sekali makan roti bersapu jem. Ha, ha. Biasanya, bila tiba ke arah susur keluar ke bandar Shah Alam, khususnya lebuhraya berhampiran dengan sebuah stesen Petronas yang sedang dibina, saya berdepan dengan sedikit masalah untuk menyelit ke kiri. Jalan yang sedikit berbukit itu akan dipenuhi dengan motorsikal (yang tak ikut laluan motorsikal), kereta yang bergerak perlahan dilorong perlahan (dah memang sepatutnya) dan yang sedikit pelik ialah deretan lori treler mahupun bas.

Ya. Yang pelik sedikit ini ialah deretan lori dan bas yang bergerak perlahan di kawasan itu. Yang peliknya ialah mengapa selalunya ada banyak kenderaan berat di kawasan yang sedikit mendaki itu? Hampir setiap hari saya berdepan dengan keadaan itu, hingga saya terperasan akan fenomena sebegitu. Saya juga berdepan dengan keadaan yang sama, misalnya di Lebuhraya Karak, Bukit Putus di Kuala Pilah dan Jalan Merapoh ke Kuala Krai.

Bila tiba di kawasan yang berbukit, di mana kenderaan berat dilarang memotong, saya akan temui dengan lori balak, lori bawa traktor, lori bawak kereta, lori siput(yang bawak simen) dan entah apa lagi lori yang berat-berat, yang bergerak perlahan-lahan macam tak bergerak.

Kehadiran kenderaan ini membuatkan saya terpaksa memperlahankan kereta tetapi sukar pula untuk memotong. Mengapa terjadi begini? Seolah-olah, kenderaan-kenderaan ini mula memenuhi jalan sebaik sahaja kereta saya tiba di kawasan berbukit itu. Yang hairannya, di kawasan yang rata, lori-lori ini tak banyak sangat. Saya pelik. Saya pernah bertanya dengan beberapa kenalan lain dan mereka juga mengalaminya. Bagaimana anda?
Mesti ada scientific explanation dengan fenomena ini!
Foto: abc.net.au

Saturday, November 8, 2008


COUNSELOR-ON-AIR

KESUNYIAN memandu biasanya aku bisingkan dengan memasang radio. Aku suka dengar lagu, tak kira jenis muzik, dengar ceramah agama dan celoteh pendengar di udara. Aku kurang minat dengar celoteh DJ. Anda tentu tau mengapa sebabnya. Celoteh pendengar selalunya menghiburkan. Mereka bersungguh-sungguh bercerita pengalaman, masalah dan juga memberi komen-komen membina.

Cuma ‘potong stim’ bila DJ selalunya mencelah. Aku faham kalau DJ menyampuk untuk juruskan perbualan agar tak tergelincir dari topik. Tapi kalau mencelah untuk memperlawak dan mempersenda komen pendengar, itu kureng menyelerakan telinga.

Baru-baru ini aku terdengar satu siaran radio swasta. 2 DJ di udara. Mereka mengemukakan satu topik mengenai pengorbanan yang paling besar dilakukan oleh seseorang. Satu panggilan masuk. Si gadis menceritakan bagaimana dia sanggup berkorban untuk jadi isteri kedua kepada seorang lelaki yang dicintai. Dialognya lebih kurang begini...

DJ1: Awak pasti ke lelaki tu sayangkan awak?
G : Dia cakap, dia sayangkan saya.
DJ2: Dia cakap aje… awak tau tak awak akan jadi orang gaji dia?
DJ1: Awak tau tak bila dia kawin dengan awak, awak kena basuh baju, masak nasi dan jaga anak-anak isteri pertama dia?
G : Takkanlah macam tu…
DJ2: Kalau awak nak kawin dengan dia, berikan syarat… suruh bini pertama dia basuh baju awak dan masak nasi untuk awak pulak!
G : (Ketawa) Ada satu lagi perbualan di sebuah stesen berbahasa Inggeris.

Satu panggilan anak dara sunti (cam dari nada suaranya) disambut oleh DJ bertugas.
ADS: I hate my mum. She will get mad when I go out to meet friends…
DJ : No, girl. You shouldn’t hate your mum. She is concerned about you, about your well being. No mother hate their kids. You must listen to what she says. But never, never hate her…etc, etc, etc...


*Dialog-dialog tidak verbatim. Tak ingat sebiji-sebiji, tapi lebih kurang begitulah…

JELAS, DJ-DJ di stesen radio menganggap mereka boleh bercakap apa sahaja tanpa mengerti perasaan si pemanggil di luar sana. Di stesen berbahasa Melayu tu, kedua-dua DJ menganggap, masalah berat seorang gadis itu sesuatu yang boleh dilawak-lawakkan. Mereka fikir, pendengar yang lain akan terhibur dengan cara ketawa sahaja.

Sebenarnya, bukan ketawa sahaja yang boleh menghiburkan. Perasaan simpati, empati, bimbang, prihatin dan berduka juga boleh membuatkan seseorang pendengar itu ‘terhibur’ dengan meneroka segenap lubuk perasaannya tatkala mendengar, kerana manusia mempunyai beratus-ratus jenis perasaan. Rasa geli hati, lalu tertawa, hanya satu daripada cabang perasaan.

DI STESEN berbahasa Inggeris itu pula, DJnya terus berleter kepada anak gadis yang menyuarakan rasa benci(sebenarnya, bosan) terhadap ibunya. Si DJ, dengan suara otokratik, terus bercakap, jangan itu, jangan ini dan lain-lain lagi sehingga si remaja itu terdiam sampai panggilannya diputuskan! DJ yang berasa puas, bukan si pemanggil!

BETAPA PUN, saya berpendapat ia bukan kesalahan di pihak DJ semata-mata bila menjalankan psychotherapy tanpa mereka sedari. Penerbit rancangan sendiri perlu mengerti isi dan inti rancangan yang mereka cipta. Kemudian, DJ-DJ perlu dipandu agar mengendalikan rancangan sebegitu dengan lebih profesional. Narrative therapy yang menggunakan komunikasi secara dialog, seperti di udara, boleh menyebabkan klien (pemanggil) menjadi lebih murung, setelah hamburan perasaannya tidak selesai (unfinished business). Malah, dia mungkin lebih malu kerana masalahnya didengar oleh ribuan pendengar lain.

JUSTERU itu, pihak pengurusan stesen radio perlu menghantar DJ-DJ yang mengendali rancangan sebegitu ke kursus kaunseling agar mereka empatik terhadap pemanggil. Tidak mustahil, rancangan yang dikendalikan dengan lebih terarah akan mendapat rating yang lebih tinggi bila ramai yang ingin mendapat idea menyelesaikan masalah masing-masing dengan mendengar masalah orang lain.

Pendengar bukan sahaja nak dengar lagu dan ketawa sepanjang masa.
Foto: blogs.guardian.co.uk