Saturday, November 22, 2008


BILA TUKAR SELERA
MACAM TUKAR CHANNEL TV…

APAKAH anda jenis orang yang suka sangat tukar saluran TV? Jika benar, anda juga sama seperti saya yang semakin punyai attention span yang kian pendek. Ertinya, cepat bosan pada sesuatu. Kalau menonton berita, saya menjelajah ke semua stesen. Ya, dalam konteks menonton TV, kadar konsentrasi saya semakin pendek.

Saya tak ada sesuatu rancangan yang saya benar-benar minat. Kalau dulu... 15-20 tahun dahulu, saya ada rancangan TV kesukaan. Saya suka Three's Company, MacGyver dan Cerekarama. Kini saya tak kisah sangat apa yang saya tengok kerana menonton kerana kebetulan, kecuali berita jam 7 pagi. Sebenarnya, semakin banyak pilihan, minat dan kesetiaan saya terhadap sesuatu semakin kerap berubah.

Selera makan saya juga sudah global. Saya makan apa sahaja kecuali batu, kayu dan plastik! Jenama pakaian saya, jenis majalah yang saya baca, novelis yang saya minat, megamall yang saya suka sudah berubah-ubah mengikut apa yang teringin, atau mana yang sempat. Saya percaya, anda yang membaca tulisan ini pun begitu. Bila ada terlalu banyak pilihan yang bagus-bagus, citarasa kita tidak 'sepesen' lagi. Inilah agaknya yang membuatkan manusia sukakan perubahan semata-mata atas nama perubahan.

LIHATLAH, apa jadi dengan Thailand? Pemimpin hari ini boleh ditukar pada hari esok! Tak suka Thaksin, tukar pada Chitchai, tak suka Chitchai, tukar pada Surayud, kemudian pada Samak dan kini Somchai! Dalam masa 8 tahun sejak 2001, dah ada 5 PM! Dan kini Somchai dihogah agar turun dan Abhisit Vejjajiva pula jadi PM. Chapchailah Thailand kerana suasana politiknya yang bercampur aduk.

Di Jepun pun sama. Selepas Yoshiro Mori, ada Junichiro Koizumi, Shinzo Abe, Yasuo Fukuda dan kini Taro Aso. 5 PM sejak tahun 2000 dalam masa 8 tahun! Di Filipina, selepas Marcos diguling pada tahun 1986, mereka ada Corazon Aquino, Fidel Ramos, Joseph Estrada dan kini Gloria Aroyo. 22 tahun, 4 Presiden. Di Indonesia, selepas Suharto turun kerusi pada tahun 1998, ada 4 Presiden iaitu Jusuf Habibie, Gus Dur, Megawati dan Bambang Susilo. 10 tahun, 4 Presiden, alahai!

Di negara kita, selepas Tunku, Tun Razak ambil alih dikuti dengan Hussein Onn, Dr. Mahathir dan Pak Lah. Proses pertukaran kepimpinan di negara kita stabil. Amat stabil kerana hanya ada 5 PM sehingga usia 51 tahun! Kita ni lebih mementingkan kestabilan. Memanglah kurang excitement kerana pemimpin Malaysia lambat bertukar ganti berbanding dengan negara-negara lain. Tapi tengoklah ekonomi mereka. Sentiasa naik turun. Ekonomi Jepun yang handal pun tak menentu kerana kerap tukar pemimpin.

BERBALIK kepada perangai menukar saluran berita jam 8 di TV, baik RTM1, TV3, NTV7, TV8, Bernama TV mahupun Awani, kadangkala, saya terasa dalam suasana deja vu, bila berita kemalangan di RTM1, saya tonton kembali di TV3 bila saya tonton saluran itu sebab beritanya dibacakan kemudian. Oh, apakah perubahan yang kerap itu juga memutar jam ke belakang? Kalau menukar saluran TV, tak adalah masalah. Bagaimana kalau mengubah sesuatu yang besar seperti menukar warna cat rumah, menukar kerja, menukar telco, menukar kereta dan lain-lain tukaran besar yang lain?

Berubah atau sebenarnya back to square one?


Foto: The Jakarta Post

No comments:

Post a Comment