Tuesday, September 25, 2018

CERITA PENIAGA MELAYU

-->
CERITA SEGELAS
TEH TARIK
SETELAH tidak lagi bersama Sinar Harian, saya sering ke selatan ibukota untuk berurusan. Saya ke sana awal supaya dapat memulakan mesyuarat dengan klien, tepat pada waktu temujanji. Kerana itu, sering juga saya bersarapan di sebuah medan selera. Makan apa lagi jika bukan nasi lemak dengan teh tarik.
Lazimnya saya memesan teh di gerai sebelah kiri atau kanan gerai nasi lemak. Setelah beberapa kali ke sana, baharu saya perasan yang harga segelas teh tarik di antara kedua-duanya tidak sama harganya. Gerai sebelah kiri menawarkan harga RM2.00 untuk segelas. Gerai di sebelah kanan menawarkan harga RM1.40 sahaja!
Apabila saya perasan perbezaan harga, mulalah hati hendak mempersoal. Mengapa harganya begitu jauh berbeza? Kolenya hanya sedikit berbeza saiz. Namun beza harganya tidaklah patut sampai 60 sen! Barangkali beza harga 10 sen, memang logiklah. Namun, saya pesan jugalah di gerai yang menjual teh tarik RM2.00 jika kedai yang satu lagi tutup kerana cuti. 
Orang Melayu pada hari ini memang sudah pandai berniaga. Orang Melayu juga boleh buka kedai dan besarkan perniagaan. Mereka boleh buka sebuah kedai dan akhirnya ia menjadi rangkaian kedai-kedai kerana perniagaan mereka mendapat sambutan. Kalau dulu orang Melayu hanya pandai buka kedai jahit songkok dan capal serta kedai makan, kini orang Melayu dah boleh jual apa yang orang lain boleh jual.
Sebut sahaja dari perniagaan tepi jalan, dalam kedai, dalam kompleks membeli belah mahupun secara atas talian, orang Melayu ada perniagaannya. Tapi, walaupun pandai menjual, orang Melayu perlu juga mengerti pentingnya pemasaran. Jika membuat sebanyak mungkin duit adalah matlamatnya, itu pemikiran orang menjual, bukan pemasaran.
Maka kita akan temui mereka meletakkan harga yang tinggi semata-mata kerana inginkan keuntungan segera. Sebab itulah kita temui ada di kalangan peniaga-peniaga ini menjual makanan yang kurang nampak serinya tetapi mengenakan harga di sebuah kafe. Sudah menjadi kebiasaan bila mana ada gerai yang mengenakan harga yang lebih tinggi daripada harga di restoran mamak.
Mungkinkah kerana pelanggan terlalu ramai? Jika pelanggan A tidak mahu membeli, ada pelanggan B, atau C, atau D yang akan melariskan jualannya.
Menurut perangkaan penduduk Malaysia 2018, hampir 70 peratis penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kaum Bumiputera. Tentulah para pelanggan yang terdiri daripada orang Melayu pun lebih ramai dari kaum-kaum lain. Di kebanyakan pusat membeli-belah ternama pun kita dapati sebilangan besar daripada para pelanggannya adalah terdiri dari kalangan orang Melayu. Barangkali, ini juga penyumbang kepada keberanian sesetengah peniaga Melayu menaikkan harga tanpa rasa bimbang barangannya tak laris.
Namun, walaupun dengan menaikkan harga itu lebih cepat menguntungkan, daripada aspek pemasaran, jumlah pelanggan itu akan berkurangan berdasarkan harga barangan. Maknanya barangan berharga RM1.00 akan mempunyai lebih ramai pelanggan berbanding dengan jika harganya RM2.00.
Contohnya, gerai A yang menjual teh tarik berharga RM1.00 akan mempunyai lebih ramai pelanggan berbanding dengan gerai B yang menjual dengan harga RM2.00. Meskipun daripada satu segi, gerai B akan mendapat lebih untung dengan lebih cepat.
Tetapi gerai A  yang menjual teh yang berharga RM1.00 akan dikunjungi dengan lebih ramai pelanggan. Sekali pandang, benarlah gerai A terpaksa menjual dua kali ganda gelas teh daripada gerai B. Jika gerai A terpaksa mendapatkan 100 pelanggan untuk memperoleh RM100, gerai B hanya perlu 50 pelanggan sahaja. Kerja kuat dua kali ganda untuk mendapat jumlah RM yang sama.
Tetapi perniagaan yang baik itu sifatnya berkembang. Apabila A melancarkan barangan lain, A sudah ada jumlah 100 pelanggan berbanding dengan B yang hanya ada 50 orang pelanggan. Ertinya, gerai A pula mempunyai jumlah pelanggan yang lebih besar daripada gerai B.
Dunia perniagaan khususnya peruncitan perlu menawarkan harga semurah yang boleh untuk mendapatkan seramai mungkin pelanggan. Pelanggan yang ramai akan mempermudah mendapat modal pusingan. Sebaliknya jika hendak menjual barangan premium, maka customer base yang besar itu tidak perlu. Hanya beberapa orang pelanggan yang ada pun sudah boleh menjamin kelestarian perniagaan.
Sebab itulah, kalau hendak untung semata-mata dengan menaikkan harga itu bukannya pemikiran jangka panjang. Sebaliknya ia akan mempercepat gulung tikar apabila pelanggan lari. Kebanyakan peniaga Melayu kenalah faham meletakkan harga itu bukan semata-mata untuk untung semata-mata.
Orang akan sanggup membeli jika barangan yang dijual itu luarbiasa persembahan dan rasanya. Kini ramai yang sanggup beli teh ais kaw dengan harga RM5.00. Kerana itu, teh tarik gelas kecil berharga RM2.00 di gerai medan selera amat tidak munasabah jika ada gerai lain yang boleh jual dengan harga yang lebih murah.

Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar SInar Harian pada 26.9.18.

Sunday, September 23, 2018

BANYAKNYA NOVEL CINTA DAN SERAM


DI PADANG MANA
PILIHAN NOVELIS?
DI TENGAH-TENGAH kemalapan industri filem tempatan, tiba-tiba dua buah filem, Hantu Kak Limah dan Munafik 2 meletup di pawagam dengan kutipan yang amat-amat luarbiasa. Kutipan filem Hantu Kak Limah menghampiri RM30 juta pada akhir Ogos 2018. Munafik 2 pula sudah dilaporkan melepasi kutipan RM40 juta. Kedua-dua filem ini masih ditayang. Walau apa pun, kutipan bagi kedua-dua filem ini sudah memecahkan box-office ataupun pecah panggung dan juga rekod kutipan filem Malaysia.
Sebagai orang yang terlibat dalam industri buku, rasa cemburu tetap ada. Bagaimana penonton begitu mudah mengeluarkan wang masing-masing untuk menonton filem? Harga tiket filem Hantu Kak Limah ialah RM15 dan Munafik 2 pula RM19 di panggung Golden Screen Cinema. Harga sekeping tiket lebih kurang harga sebuah novel.
Para penonton mudah mengeluarkan wang kerana sebelum ini telah ada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan juga filem Munafik. Maknanya ada penanda aras sebelum ini. Oleh kerana mereka berpuas hati dengan filem sebelum ini, maka filem berikutnya ditonton tanpa ragu-ragu lagi.
Walaupun terdapat faktor cuti seperti Hari Merdeka, Awal Muharam dan Hari Malaysia sebagai sebab lebih ramai penonton ke panggung wayang, pada tahun-tahun sebelum ini pun terdapat juga cuti-cuti yang panjang, tetapi penonton tak berpusu-pusu ke panggung wayang seperti pada kali ini.
Jika dicongak, lebih 4 juta pengunjung sudah berbelanja untuk menonton filem Hantu Kak Limah dan Munafik 2. Tidak keterlaluan jika saya andaikan dengan law of average, 20 % di kalangan mereka atau 800,000 penonton adalah juga pembaca novel!
Walau apa pun, genre filem iaitu filem seram dan komedi nampaknya menjadi pilihan masyarakat. Filem-filem genre lain seperti filem masyarakat, animasi, cinta, patriotik, undang-undang, fiksyen sains dan aksi masih belum dapat mengatasi kedua-dua genre itu.
Fenomena ini harus menjadi perhatian mereka di dalam industri buku fiksyen. Para penerbit dan juga novelis seharusnya sedar apa yang penonton mahu. Para penonton mahukan cerita komedi dan seram. Maka sekalian novelis seharusnya melihat betapa kedua-dua genre ini menggamit penonton ke panggung wayang. Pada waktu inipun, novel-novel seram mendapat perhatian para pembaca novel.
Malangnya, apa yang berlaku, jumlah novelis yang muncul begitu syok memilih genre kisah cinta. Akibatnya pada hari ini, bilangan novelis kisah cinta sudah terlalu ramai. Dari semasa ke semasa apabila menelusuri laman Facebook, di ruangan People You May Know, saya akan menemui tidak kurang dua orang novelis baharu dalam seminggu. Sebilangan besar daripada mereka adalah novelis kisah cinta!
Patutlah pasaran novel kian menurun. Sebilangan daripada golongan yang ke panggung wayang adalah pembaca novel. Apabila rekod menunjukkan filem-filem cinta tidak cemerlang di pawagam tetapi hanya top di skrin TV, itu bermakna kisah-kisah cinta bukan menjadi pilihan utama penonton dan juga pembaca. Maknanya, seandainya para novelis cinta inginkan audien yang lebih besar, mereka kena beralih daripada genre itu.
Dalam pada itu, tidak ramai yang berani meneroka untuk menulis dengan genre masyarakat, animasi, cinta, undang-undang, fiksyen sains, patriotik dan aksi. Mereka bimbang jika tiada sambutan kerana khalayaknya kecil. Sebenarnya di padang yang sunyi itulah tempat yang paling bagus untuk novelis duduk bertendang!
Ia lebih baik daripada padang kisah cinta yang sudah sarat dengan novelis sehinggakan pemain yang baharu sukar bernafas dalam kesesakan itu. Benarlah, menulis genre selain daripada cinta itu lebih sukar. Tetapi yang sukar itulah sebuah kembara minda dan terapi bagi seseorang novelis.
Dengan kekuatan imaginasi,  cinema of the mind yang dihidangkan oleh seseorang novelis itu punyai kehebatan yang tersendiri berbanding dengan kehebatan sesebuah filem. Malah sajian novel punyai pelbagai intepretasi bagi seseorang pembaca, berbanding dengan apa yang diperoleh daripada menonton filem. Di pawagam, semua penonton melihat dan mendengar imej dan audio yang sama. Apakah menonton filem akan menghasilkan manusia yang punyai perangai yang sama kerana melihat imej yang sama?
Belum ada kajian mengenainya tetapi secara logiknya begitulah. Di sini, peranan novelis itu lebih mencabar seandainya mereka berfikir dalam-dalam. Jika mereka tidak mahu dilihat sebagai tukang cerita dan pengkhayal, mereka perlu pilih genre yang berbeza, yang belum ramai berani menerokanya. Itulah dunia kreatif sebenarnya!

MELANGKAH MENUJU MATLAMAT


PERJALANAN
PERGI TAK KEMBALI

SAYA berbual dengan Hanum seorang siswi yang baharu menyudahkan latihan praktikal di sebuah syarikat animasi. Oleh kerana saya selalu ke sana untuk berurusan, saya dan Hanum sering sapa menyapa. Tambahan pula dia menuntut di UiTM. Sebagai bekas penuntut di sana juga, saya mudah mesra dengannya.
Setelah bersalam-salaman dengan staf-staf di syarikat itu, dia menghampiri saya. Sambil tersenyum manis, dia bersuara, ‘Hanum last hari ini. Minggu depan nak sambung belajar. Boleh tak Encik Norden berikan Hanum nasihat atau tip. Apa-apalah tentang perjalanan saya untuk mencapai impian di kemuncak nan indah! Chewah!’
Hanum memang gadis yang bijak dan suka berseloroh. Dia sentiasa tekun menghadap komputer setiap kali saya ke syarikat animasi itu. Jarang sekali saya nampak dia bersembang kosong dengan staf di kiri dan kanannya. Oleh kerana itu, saya patut bantu dia dengan satu dua panduan untuk kebaikan gadis ini. Saya berikan dia tujuh tip.
Pertama, apabila kita mahu melangkah menuju ke sesuatu tempat baharu atau suasana baharu, kita kena tahu di manakah tempat itu. Kita juga perlu ada wawasan, iaitu boleh memvisualkan tempat atau suasana baharu yang ingin kita pergi. Seolah-olah tempat itu sudah terpampang di depan mata. Pendek kata, minda kita sudah sampai ke tempat itu dahulu, tubuh kita tiba kemudian.
Kedua, sebelum melangkah, kita perlu tahu di manakah kita berada iaitu di manakah lokasi kita sekarang? Ia sama sepertimana apabila kita menggunakan aplikasi GPS. Selain daripada tahu ke mana arah tujuan, GPS juga bertanyakan di lokasi semasa kita berada. Apabila kita tahu di manakah kita, adalah mudah untuk kita membajet masa yang diperlukan.
Ketiga, berapa lamakah tempoh untuk kita tiba ke tempat yang dituju? Lagi jauh tempat dituju, lagi lamalah masa yang diperlukan. Apabila kita tahu lama atau sekejap pergerakan kita untuk ke sana, kita boleh tumpukan perhatian kita. Tempat yang jauh atau sukar itu perlukan tumpuan fikiran yang lebih lama.  

Keempat, bekalan apakah yang perlu dibawa di sepanjang perjalanan? Seandainya ia adalah pencapaian dari segi ilmu, penambahan pengetahuan amat perlu dibawa bersama dari tempat kita mula melangkah. Kita juga perlu sentiasa menambah pengetahuan di sepanjang perjalanan menuju matlamat.
Kelima, pada prinsipnya, kita tidak boleh menukar haluan sebaik sahaja melangkah. Apa jua halangan perlu diatasi dan direntasi. Apabila tumpuan itu terfokus pada matlamat, apa jua halangan yang mendatang sudah tidak penting. Yang mustahak ialah mencapai matlamat.
Keenam, hanya pada tiga keadaan sahaja kita boleh menukar haluan. Ia boleh diambilkira seandainya nyawa kita terancam di sepanjang perjalanan menuju matlamat. Tatkala itu, kita bukan sahaja patut mengubah haluan. Sebaliknya boleh kembali ke tapak asal bermula. Satu lagi ialah apabila matlamat yang ingin dicapai itu hilang dari pandangan. Barangkali, apa yang dikejar itu adalah fatamorgana semata-mata.
Akhir sekali, matlamat yang hendak dicapai itu sudah tidak besar dan bermakna lagi. Ini berlaku apabila kita sendiri mempunyai kehendak yang lebih besar daripada yang asal. Pada ketika itu, mengubah haluan adalah pilihan yang terbaik.
Ketujuh, bilakah kita sepatutnya memulakan perjalanan itu? Sekaranglah, bukan esok ataupun lusa. Betapa pun, setiap perjalanan itu perlu ada persiapan. Ertinya, perjalanan sekarang bermaksud persediaan, perancangan dan congakan tenaga, masa dan wang yang diperlukan untuk perjalanan itu.

Perancangan itu sendiri juga adalah persediaan mental supaya fokus kita tak lari dari tujuan asal itu untuk bergerak menuju ke matlamat. Apabila kita mula melangkah, kita bukan berlumba dengan sesiapa kecuali dengan diri kita sendiri. Apabila kita sampai ke matlamat, kita menang melawan segala perasaan negatif. Itulah kejayaan peribadi yang begitu bermakna kerana hanya kita yang tahu apa yang kita ingini.
Perjalanan dalam kehidupan itu sebolehnya tidak kembali ke tempat asal atau ke suasana asal. Jika ia berpatah balik, perjalanan itu hanyalah sebuah musafir ataupun hanyalah aktiviti melancong sahaja.
Sebaliknya, perjalanan yang tidak kembali itu tentulah untuk sesuatu kebaikan, perubahan dan keuntungan untuk diri sendiri. Perjalanan ini juga dikenali sebagai hijrah. Hijrah itu bukannya setahun sekali. Tetapi, seandainya ia dilakukan hari-hari, maka hari-harilah.
Hanum tersenyum-senyum mendengar kuliah saya. ‘Encik Norden tulislah kat kolum Maaf Cakap. Bolehlah saya baca dengan teliti,’ katanya. ‘Hanum, aku tahu kau blurr!’ jawab saya di dalam hati.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian pada 12.9.18.

Tuesday, September 4, 2018

PERIHAL AKTIVIS BUKU

-->
PELANGGAN KEMPEN
LARISKAN JUALAN?
PADA Ahad lepas, saya mengunjungi gedung membeli-belah Alamanda di Putrajaya. Sudah bertahun saya tidak ke sana. Apabila tiba sekitar jam 1.00 tengahari, keadaannya agak sesak. Medan seleranya penuh, para pengunjung berbaris untuk mendapat tempat di restoran-restorannya. Saya tak nampak satu pun kedai-kedai lain seperti kedai pakaian, kasut, butik, elektrik dan ATM yang tiada berpengunjung. Hebat.
Dan, apa yang amat menarik hati saya ialah, kedai buku MPH yang terletak di tingkat bawah kompleks membeli-belah itu kelihatan meriah dengan para pelanggannya. Mereka bukan semata-mata datang untuk membelek buku. Sebaliknya mereka membeli kerana kaunternya tidak putus dengan pelanggan yang berbaris untuk membayar. Siapa kata rakyat Malaysia dah tak baca buku?
Pada pertengahan bulan lepas, saya mengunjungi sebuah kedai buku di pinggir Kuala Lumpur. Malangnya, itulah hari terakhir ia beroperasi! Punca ia tutup adalah kerana pelanggan tak ramai. Dalam bersembang dengan kawan-kawan dalam industri buku dua tiga hari lalu, ada khabar yang kalau tak silap saya, tidak kurang tiga kedai koperasi buku di beberapa buah universiti awam dah tutup kerana buku tak laku!
Apabila saya pasang telinga, saya biasa terdengar kata-kata bahawa orang Malaysia dah makin malas membaca. Saya diberitahu, buku dah tak laku kerana pembaca lebih gemar berulit dengan telefon pintar masing-masing. Ataupun, buku tak laku kerana harganya mahal. Dan khabarnya, industri buku makin malap dan lembab. 
Saya pernah sentuh mengenai hal ini dua-tiga bulan yang lalu. Kesimpulan saya ialah, orang ramai akan berhenti membaca seandainya mereka di dalam industri buku sendiri menyerah kepada takdir. Para pemain dalam dunia buku sendiri mati akal hendak cari jalan merangsang para pembaca untuk kembali membaca.
Kita tidak boleh berharap kepada pemerintah untuk memulakan inisiatif dalam penggalakkan membaca. Kalau kerajaan tak buat, maka habislah industri buku. Kalau kerajaan tak tolong maka bungkus atau gulung tikarlah dunia buku Malaysia. Kalau tiada subsidi, insentif dan kempen anjuran kerajaan, maka industri buku tak akan bangkit lagi. Begitulah sikap kalau kita mengharap pada orang lain tanpa memikirkan jalan untuk hidup sendiri. Sikap begitu seperti membunuh diri, namanya.
Namun, apabila Elle Syeila, peneraju utama Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid mengirim sebuah poster melalui Whatsapp, saya begitu teruja dengan kesungguhan kelab ini bergerak aktif dalam kempen penggalakan membaca. Pada hari Sabtu, 8 September ini, kelab itu bersama dengan Kelab Peminat Maria Kajiwa dan Kelab Peminat Ahmad Patria Abdullah, ketiga-tiganya kelab peminat novelis-novelis ini akan menganjurkan Baca@MRT.
Pada hari itu, ratusan aktivis buku akan berhimpun di dua buah stesen MRT iaitu di Kajang dan di Sungai Buluh. Dari kedua-dua arah ini, mereka akan menaiki tren dan bertemu di stesen MRT Pasar Seni. Di sepanjang perjalanan, mereka akan menyimpan telefon pintar masing-masing dan membaca buku.
Yang pasti gelagat mereka akan menarik perhatian para penumpang yang lain. Kesan mob psychology akan terjadi di mana mereka yang tidak membaca akan berasa ketinggalan kerana tidak membaca buku. Jika ada di kalangan orang ramai yang sedang membaca buku, majalah mahupun akhbar, mereka jadi bersemangat untuk membaca dalam set-up yang sedemikian. Inilah impak yang dimahukan.
Ini juga salah satu kempen membaca yang berkesan. Tidak ada majlis ucap-ucapan, nyanyi-nyanyian di pentas di dalam dewan-dewan. Sebaliknya ia adalah kempen yang dibuat secara langsung di tengah-tengah orang ramai. Mereka yang dah lama tidak membaca buku akan pulang dan mencari buku yang masih tak habis dibaca kerana rasa bersalah meninggalkan minat itu.
Barangkali, di lain waktu, mereka juga akan membawa sebuah buku apabila menggunakan perkhidmatan MRT. Akhirnya apabila ramai yang berbuat begitu, kita tak iri hati lagi pada orang Jepun yang dikatakan suka membaca di dalam tren. Lihatlah, betapa peminat buku berkorban masa, tenaga dan wang untuk menggalakkan membaca di kalangan rakyat.
Baca@MRT yang mula diadakan sejak tahun 2010 oleh Jurulatih Penulis Zamri Mohamed dan penulis Izwan Wahab nampaknya kian meningkat momentumnya. Malah pada kali ini gerakan penulis MyMove, BooksontheMove, yang mempunyai rak-rak buku di MRT, Syarikat Buku Prima dan Kelab Peminat #BukuFixi.
Baca@MRT ini hanya sekejap. Tetapi itulah yang terdaya dilakukan oleh aktivis-aktivis buku ini. Sepatutnya bukan mereka yang lebih aktif dalam kempen membaca ini sebab mereka adalah pelanggan. Mana ada kumpulan pelanggan yang sibuk berkempen untuk melariskan jualan di kedai-kedai? Mana ada pelanggan makanan segera berkempen melariskan burger? Mana ada pelanggan kedai baju berkempen untuk melariskan pakaian?
Sebaliknya pengedar buku, gedung-gedung buku dan juga penerbit yang aktif dalam kempen membaca ini sebab mereka adalah penjual buku. Kalau setakat memasang iklan di laman sesawang dan media sosial masing-masing, ia amat tidak mencukupi. Mereka harus turun padang bertemu pembaca. Baharulah betul. Bukannya pelanggan yang mengiklan, tetapi penjual yang ambil peranan itu!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.9.18.