Tuesday, August 15, 2017

SEORANG INSAN BERESMI PADI




INILAH RAMLEE AWANG MURSHID!
MULAI 12 Oktober hadapan, filem Tombiruo akan mula menemui peminat-peminat wayang. Tombiruo adalah sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel karya Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid.  Filem ini terhasil dari gabungan empat buah syarikat iaitu Kumpulan Karangkraf, Astro Shaw, Ideate Media dan Layar Sunan.

Saya berpeluang menilai novel ini apabila manuskripnya diletak ke meja saya pada tahun 1997. Tatkala itu, saya menerajui syarikat Alaf 21, sebuah syarikat penerbitan buku yang bernaung di bawah Kumpulan Karangkraf. Judul yang pelik itu menarik perhatian saya.

Saya ingin tahu siapakah yang menulis novel itu dan mengapa penulisnya memilih sebuah judul yang pada pertimbangan saya ketika itu tidak komersial langsung. Istilah Tombiruo itu sendiri sukar disebut. Malah ramai di kalangan editor saya tatkala itu menyebut novel itu sebagai novel ‘Tombiru,’ Tomboro’ dan ‘Tombiro.’

Meskipun begitu,  manuskrip novel ini agak tebal. Ia ditaip kemas, langkau satu setengah baris dan terhasil dari cetakan komputer. Namun ada juga satu-dua kesan tulisan yang dipadam dengan ‘blanco’ dan dibetulkan dengan pen.  Saya tersenyum kerana faham bahawa si penulis barangkali belum selesa sepenuhnya menggunakan cara ‘delete’ lalu mencetaknya semula agar kelihatan bersih. Tetapi si penulis menggunakan juga cara lama memadam dengan ‘tip-ex.’

Halaman-halamannya saya tatap dan selak satu demi satu. Dan saya dapati jalan ceritanya amat menarik. Menarik kerana ayatnya tidak meleret. Meleret juga kerana ia ditulis ‘with the cinema in mind.’ Maknanya, tatkala membaca, saya imej-imej mula menjelma di layar minda saya. Hanya menatap separuh manuskrip, saya sudah memutuskan bahawa novel Tombiruo ini layak diterbitkan.

Namun, saya juga nampak beberapa elemen lain yang boleh saya cadangkan kepada si penulis supaya karya ini menjadi mantap. Lantas, saya mengarahkan editor saya memanggilnya. Muncul seorang lelaki berbaju-T berwarna putih, berjeans biru dan bercapal. Dia datang tertunduk-tunduk penuh hormat. Terlalu nampak menghormati saya hingga saya tidak mahu tampak bossy pula.

Sebaik sahaja dia duduk di hadapan saya, saya perasan ada sedikit benang yang tetas di lengan baju kirinya.  Ada koyakan kecil di bahagian dadanya. Bajunya putih bersih. Mungkin kerana rajin diclorox agar tampak baharu, lalu jadi rapuh. Dia tampak toya. Orang sekarang kata, poyo.

Ramlee memperkenalkan dirinya sebagai seorang wartawan di RTM di Bahagian Radio Angkasapuri. Pernah menulis skrip drama radio dan juga punyai dua buah novel yang telah diterbitkan oleh penerbitan lain. Tombiruo ini dibawa ke Alaf 21 kerana karyanya ini ditolak oleh beberapa penerbit lain. Tampak sangat dia berharap agar Alaf 21 menerbitkan novel ini.

Meskipun pada mulanya saya tidak suka dengan judul novel itu, akhirnya saya gunakan Tombiruo kerana jalan ceritanya yang menarik. Dalam masa dua bulan novel itu dipasarkan. Dan, ia tidak mendapat sambutan! Setelah tiga bulan dipasarkan, tidak ada permintaan tambahan stok daripada kedai-kedai buku. Tatkala itu, khalayak peminat novel tidak suka dengan genre seram-thriller.

Di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1998, novelnya pun tidak bergerak. Malah, ada yang memandang novel itu dengan sinis kerana judulnya yang pelik. Terdapat juga gadis-gadis yang terang-terang tidak mahu memegang naskhah novel itu kerana takut melihat kulitnya.

Tatkala novel-novel penulis lain menjadi pilihan, novel Tombiruo masih kekal di rak buku. Dari jauh saya lihat Ramlee meneguk liur dengan wajah yang layu. Tetapi, penulis ini terus menulis dan menulis. Sebuah novel setiap tahun dan ada kalanya dua buah novel setahun. Beliau kini berdiri secara agam dengan 34 buah hasil karyanya. Dan, hampir kesemua novel-novelnya masih diulangcetak!

Dengan julukan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee berlumba dengan dirinya sendiri. Tatkala era novel cinta menjadi rebutan, kemudian novel indie menjadi pilihan dan kini novel seram menjadi sebutan, Ramlee masih dengan karyanya, genrenya dan konsistennya.

Dia masih lagi tertunduk-tunduk bila bertemu sesiapa, terutamanya kepada orang yang baharu dikenalinya. Contoh insan berasmi padi yang jarang kita temui lagi pada hari ini. Dia bukan siapa-siapa, meskipun dia punyai apa-apa.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.8.17.

Tuesday, August 8, 2017

BERDENDAM JANGAN LAMA-LAMA

-->


Piccredit: heroism wiki
PENYAKIT HATI YANG MAKAN DALAM
AKHIR-AKHIR ini berlaku pertikaman lidah di antara personaliti-personaliti politik tanahair. Cuma kali ini tikam lidah itu bukan menghujah mahupun mengkritik isu-isu semasa dan falsafah perjuangan. Tetapi pertengkaran jarak jauh itu berkisar mengenai hal-hal peribadi.

Apa yang berlaku puluhan tahun dahulu di antara mereka sama-sama diperkata dan diperlekehkan. Hinggakan banyak perkara yang menjadi rahsia di antara mereka pun sudah terdedah menjadi santapan gosip orang ramai. Bagaimana ya, hal-hal yang jauh sangat daripada hujah politik yang disalut ilmiah itu kini telah menjadi hamburan kata nista yang kadangkala melucukan?

Adatlah jika musuh dengan musuh yang bergaduh, kita faham akan bahangnya. Tetapi apabila kawan sesama kawan sudah bertukar menjadi musuh, api kepanasannya boleh membara hingga rentungnya persahabatan dan silaturrahim. Iyalah, apabila hal-hal peribadi sudah diperkatakan, minda, hati, jiwa dan perasaan jadi merana.

Apabila difikirkan, mengapa sampai hal-hal peribadi menjadi pokok pertengkaran? Pada saya, wacana, hujah dan debat telah ditolak ketepi kerana ia berkisar mengenai konsep dan ideologi. Apabila hal-hal peribadi sudah menjadi pokok bicara, maknanya perbalahan sudah bertukar menjadi dendam.
 
Apakah itu dendam? Bagi saya, dendam adalah suatu tindakan untuk membalas apa yang dialami oleh seseorang yang berasakan teraniaya. Dendam adalah tindakbalas tertangguh kerana pada waktu kejadian, yang dimangsai tiada daya mahupun niat untuk memberi tindakbalas. Apabila yang menderita itu memperoleh kekuatan, maka tindakbalas yang tertangguh itu dilaksanakan.

Biasa juga terjadi di mana yang dimangsai itu meminta orang lain yang bersimpati untuk membalas dendam. Orang yang muncul untuk membantu itu biasanya sahabat mahupun saudara kepada si mangsa. Cuma apa yang biasa berlaku ialah, mereka yang membantu untuk membalas dendam itu akan melakukan sesuatu yang jauh lebih memudaratkan daripada tahap kesengsaraan si mangsa.

Misalnya, jika A berlengan dengan B, dan B cedera hingga luka-luka di tubuh badannya… rakan B yang muncul pada waktu lain untuk membalas dendam, hampir pasti membelasah A hingga tinggal nyawa-nyawa ikan. Ketidakadilan biasanya akan terjadi dalam proses membalas dendam.

Dendam juga sebenarnya hanya memberi kepuasan sementara. Orang yang berjaya membalas dendam itu kononnya akan berasa berjaya dan puas. Sebaliknya, apa yang akan terjadi ialah kesan kesakitan yang berpanjangan. Sepatutnya, jika kesalahan dimaaf dan dilupakan, luka lama akan hilang. Namun, selagi dendam masih bersarang di hati, seolah-olah orang yang mendendam itu tidak membenarkan lukanya pulih. Si pendendam itu sebenarnya telah melukakan kembali dirinya.

Sepatutnya perasaan dendam itu dialih dan dijelmakan menjadi azam untuk menjadi lebih bagus dan lebih handal daripada orang yang didendami. Hanya dengan cara itu, perasaan malang kerana dianiaya telah diatasi dengan rasa puas dengan kejayaan diri. Dendamnya terbalas juga apabila orang yang menganiaya termalu dengan keadaannya yang kini lebih lemah daripada orang yang dianiayainya.

Kita hidup di zaman yang serba moden. Yang menuntut kita bergerak ke hadapan tanpa menoleh-noleh lagi. Tidak perlulah menyimpan dendam kesumat hingga dibawa mati. Apatah lagi mewasiatkan dendam itu kepada kaum keluarga dan sanak saudara agar melampiaskan dendam itu.

Mengapa berfikiran cara orang purbakala yang berdendam hingga tujuh keturunan? Mengapa nak jadi seperti Sultan Mahmud yang menyumpah agar tujuh keturunan Laksmana Bentan diharamkan menjejak kaki ke bumi Kota Tinggi? Keturunan Laksamana Bentan bukan pelaku kesalahan kepada sultan.

Mengapa pula Mahsuri yang menghadapi maut sanggup bersumpah supaya Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan? Mengapa kaitkan rakyat Langkawi sedangkan yang memfitnahnya hingga dihukum bunuh hanyalah kakaknya sendiri?  

Kalau pun marah, biarlah sekejap sahaja. Buat apa dibara kemarahan itu hingga memakan diri? Lagipun, dendam ini adalah emosi yang dibuai dan dihembus makhluk yang kita tak nampak. Jangan main-main dengan perasaan ini. Kesan perbuatan itu biasanya berskala besar.

InsyaAllah, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.8.17.

Tuesday, August 1, 2017

JANGAN BESARKAN PERTELINGKAHAN



BERTEKAK JANGAN LAMA-LAMA

SAYA teringat semula zaman persekolahan. Ketika di sekolah rendah dan menengah rendah dahulu, saya dan kawan-kawan ada jugalah menakal dan menjahat. Di kala itu, pernah terjadi pertengkaran dan pergaduhan hingga bertumbuk. Cuma bertumbuk pada waktu itu, seorang dengan seorang. One-to-one. Tidak seperti sekarang di mana 10 orang membelasah seorang! Tak terer langsung!

Pergaduhan sampai bertumbuk pun kerana punca yang kecil-kecil. Misalnya, bertumbuk kerana si pengadu melaporkan kepada guru disiplin mengenai si polan yang hisap rokok. Ataupun ia terjadi kerana si A mencuri kotak pensil si B. Ataupun pergaduhan kerana A memancitkan tayar basikal B. Tidak ada yang besar-besar.

Cuma, yang menarik ialah sebelum berlengan, ada pula seorang pengadil yang juga tukang provok. Dia akan melukis garisan panjang di antara si A dan si B yang hendak bergaduh. Di depan si A, dia akan melukis bulatan kecil dan berkata… ‘Ini kepala bapak B.’ Di depan si B pula si pengadil akan berbuat yang serupa dan berkata… ‘Ini kepala bapak A!’

Sudah menjadi ritual yang difahami kami, A akan memijak lukisan ‘kepala Bapak B’ dan B pula memijak lukisan ‘kepala bapak A.’ Provokasi kecil itu boleh menaikkan amarah. Lalu masing-masing pun bergocoh. Setelah bibir berdarah, mata lebam diiringi dengan libasan rotan guru besar, baharulah masing-masing membatu. Pada keesokan harinya, A dan B berkawan seperti tiada apa-apa yang terjadi.

Saya bersekolah Inggeris. Ada pelbagai kaum yang belajar. Melayu, Cina, India dan Sikh. Sekali sekala apabila berlaku perselisihan faham, masing-masing ada juga gelar menggelar dan ejek mengejek. Kata-kata seperti, ‘Melayu balik kampung, tanam kangkung,’ ‘Cina balik Tongsan,’ ‘India mabuk’ dan menyentuh serban rakan Sikh sambil menyebut ‘doot,’ tidak akan menimbulkan pergeseran kaum.

Mungkin kerana masing-masing punyai ejekan, maka semuanya fair and square. Engkau kutuk aku, aku kutuk engkau. Engkau ejek aku, aku ejek engkau. Tak ada masalah. Tidak sensitif pun, Malah, tiada sesiapa yang akan mengadu hingga terdakwa di bawah Akta Hasutan.

Tetapi itu dahulu. Pada hari ini, ejek mengejek dan kata mengata menjadi big deal. Mungkin ia menjadi besar kerana peranan media sosial yang menularkannya. Justeru itu, cakap siang pandang, pandang… cakap malam dengar, dengar… sudah tidak boleh dipakai kerana pada hari ini, ada sahaja mata dan telinga yang memerhati. Orang kata, dinding pun boleh bercakap.

Kerana itu apa sahaja yang peribadi akan tersebar dan tertular hingga menjadi tidak terkawal. Tentu sekali apa yang tersebar itu ditokok tambah dengan pelbagai sudut pandang hingga yang kecil itu menjadi besar, yang lurus jadi bengkok dan yang putih menjadi hitam.

Dalam keadaan sebegitu, usaha untuk memperbetul sebenarnya seperti menjirus sebaldi air pada api yang besar. Atau, menyembur minyak pada kebakaran yang sedang marak. Apa sahaja usaha hendak memperbetul dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan. Apa yang diperkatakan boleh diputar dan dibelit hingga makin mengusutkan lagi keadaan. Makin dilawan, ia akan makin membesar.

Jalan terbaik untuk memerangi maraknya api fitnah angkara media sosial ialah dengan mendiamkan diri. Tutup mata, tutup telinga, tutup fikiran. Dalam tempoh 24 jam, apa yang menjadi ribut taufan akan berlalu meninggalkan angin sepoi-sepoi bahasa.

Sebabnya, masyarakat pada hari ini adalah masyarakat yang mudah lupa. Mudah lupa kerana pada hari esok akan ada berpuluh lagi cerita dan berita yang lebih menguja untuk ditatap, diperkata dan dinista. Cerita kita yang semalam, meskipun bertapa besar akan dilupakan begitu sahaja.

Justeru itu, pergaduhan dahulu dan sekarang sama sahaja jika diukur dari segi tempoh panasnya. Yang penting forgive and forget. Jika tidak mahu forgive pun, forget sahajalah. Tidak elok berdendam hingga tujuh keturunan seperti orang dahulukala. Buat apa jadi orang moden tetapi fikiran purbakala? Cerita lama usah diungkit apabila terjadinya perbalahan. Hujahlah mengenai sesuatu yang belum terjadi. Cara itu sebenarnya membentuk sebelum sesuatu itu tercipta. Itu kritik membina, namanya.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.8.17...