Tuesday, May 29, 2018

UNTUK SEMUA PENGUNDI

-->


piccredit: fiveprime

KITA SEMUA
PERLU MOVE ON
14 OGOS 2017. Saya dan novelis Ramlee Awang Murshid bercadang untuk minum petang di kawasan Anjung Senja, di hadapan Hotel Promenade Kota Kinabalu. Pada malamnya, kami akan menghadiri previu filem Tombiruo; karya adaptasi daripada novel beliau. Oleh kerana hari hujan, kami bersembang dulu di kawasan parkir hotel.
Berhampiran kami, ada seorang lelaki mat salih yang sedang menghisap paip.  Beliau berjaket hitam fesyen rain coat dan berkacamata tebal. Wajahnya bujur sireh. Andainya beliau bertopi, wajahnya saling tak tumpah karektor fiksyen Sherlock Holmes. Kami jeling menjeling, tersenyum-senyum dan akhirnya berbual.
Mr. Eric seorang ekspatriat British. Lebih lima tahun bekerja di Malaysia. Beliau bertugas sebagai perunding di sebuah syarikat minyak di Kuala Lumpur. Selepas bertanya mengenai pandangannya mengenai Malaysia, perbualan menjurus kepada hal-hal politik. Ternyata Eric mengikuti perkembangannya.
Banyak yang dibualkan mengenai kerajaan pemerintah dan juga pembangkang. Tatkala itu, belum wujud lagi nama Pakatan Harapan. Eric hanya menggelarnya sebagai the other group. Banyak yang beliau perkatakan mengenai cara pengurusan parti pemerintah ketika itu. Mengenai betapa buruknya keadaan dan beliau berharap rakyat akan memilih kerajaan yang baharu meskipun tak yakin mereka berani mengubah selera.
Di akhir perbualan, saya melontarkan sebuah pandangan kepada Eric. Kata saya, ‘Keadaan akan jadi lebih baik bila the other group berpeluang memerintah kerana mereka boleh memperbetul keadaan.’ Eric menjawab selamba, ‘It’s not going to be easy because they are getting a rotten apple!
Epal buruk! Benar, analogi Mr. Eric. Inilah yang diperoleh oleh Pakatan Harapan. Apabila menang, mereka bukannya masuk ke rumah baharu. Sebaliknya mereka dapat sebuah rumah buruk yang penuh dengan sampah sarap. Banyak yang mereka perlu bersihkan sebelum dapat mengecat dan mengembalikan seri rumah ini.
Status hutang yang hampir tidak terkawal, pembaziran sumber manusia di jabatan kerajaan, organisasi bertindih, perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan banyak lagi aspek pentadbiran yang perlu diperkemaskan. Itu belum lagi termasuk janji-janji yang belum tertunai. Kabinet pada hari ini dilihat banyak kerja untuk memperbaiki dan memperbetul kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Kita? Kita yang mengikuti semua ini perlulah memberi ruang kepada para pemimpin yang terpilih untuk mengendalikan kerajaan. Pilihanraya umum telah pun berlalu. Sebanyak mana pun kita turut berkempen dengan cara berdebat dengan kawan-kawan atau menular berita agar menyokong apa yang kita sokong, undi kita hanya satu sahaja!
Andainya kita penyokong yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan, kita perlu menjadi penyokong yang bijak. Sentiasa faham bahawa manusia akan melakukan kesilapan. Jika pemimpin BN buat silap, PH pun tak terkecuali. Pemimpin Pakatan Harapan sendiri telah beri jaminan untuk responsif kepada suara rakyat. Itu petanda bahawa mereka sedia dikritik.
Maka dengan itu kritiklah untuk mengingatkan. Tidak boleh menyokong 100 % secara membuta tuli. Nanti sejarah akan berulang bila mana penyokong yang sentiasa menyokong akan meruntuhkan parti. Ingat kisah bagaimana penyokong BN telah buta mata dan hati kerana menjadi penyokong taksub. Akhirnya BN tumbang kerana menerima sokongan yang membawa rebah.
Sebaliknya, andainya kita pengundi BN dan parti sokongan kita ini telah kalah, kita perlu terimalah keputusan rakyat. Bukankah apabila kita menjadi pengundi, itu petanda bahawa kita menjunjung demokrasi? Peraturannya, yang menang akan memerintah, yang kalah perlu undur.
Kita kena move on. Tidaklah boleh meroyan dan menafsir apa yang dibuat oleh parti Pakatan Harapan itu semuanya bertujuan jahat. Tidak boleh pula berasa kecewa, malu lalu meminggirkan diri menjilat luka kekalahan. Negara demokrasi memerlukan pembangkang yang kuat. BN adalah pembangkang yang kuat kerana punyai pengalaman memerintah selama 60 tahun.
Para pemimpin kerajaan Pakatan Harapan nampaknya masih ingat mengapa mereka dipilih rakyat. Baguslah. Mereka dilihat sedia menerima setiap teguran kerana mereka yang membawa konsep ketelusan dalam pemerintahan.

Bagaimana pun, mereka perlu juga menghadkan keterbukaan dalam menerima pendapat. Jangan sampai jadi seperti kisah Luqman al-Hakim, anak dan keldai. Akibat terlalu mendengar semua saranan orang sekeliling, apa jua keputusan yang dilakukan itu berubah-ubah hingga akhirnya merugikan.
Bad apple seperti analogi Eric itu adalah satu-satunya epal untuk kita semua. Kita perlu sama-sama membersihkannya untuk kita nikmati bersama.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.5.18.

Tuesday, May 22, 2018

PEMIMPIN PERLU DIAWASI

MUSUH SEBENAR
SEORANG PEMIMPIN
KERAJAAN telahpun bertukar. Mulai 10 Mei lalu, kita bernaung di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat memberi peluang kepada PH kerana berasakan kerajaan Barisan Nasional sudah tidak bermaya dan para pemimpinnya sudah hilang jiwa rakyatnya.
Kerajaan Pakatan Harapan pula dipilih kerana ia memberi harapan melalui janji-janjinya. Dan di antara tokoh yang dirasakan boleh membawa harapan adalah Tun Mahathir sendiri. Oleh kerana ramai yang  beranggapan kerajaan yang lalu sudah tak boleh diharap, maka mereka ingin mencuba yang baharu.
Apa salahnya bergantung harap kepada seorang pemimpin yang begitu tua dari segi usia biologinya asalkan ia memberi alternatif yang lebih baik daripada pemimpin yang terdahulu. Mereka yang menganggotai pasukannya itu ramai yang belum pernah memimpin di peringkat nasional.
Namun, mereka percaya seorang tua yang bernama Tun Mahathir. Beliau masih seorang insan yang punyai wawasan, pantas dan kemas dalam tindakannya.  Tentu sekali segala pertimbangan telah diambil oleh beliau hingga sanggup memimpin sebuah pasukan yang baharu, yang rata-rata adalah musuh-musuhnya yang terdahulu.
Tun Mahathir menyusun Majlis Penasihat Kerajaan yang berperanan sebagai sebuah jawatankuasa pemandu. Anggotanya mempunyai pengalaman mengurus.  Mereka mengkaji dan memberi maklumat sebagai panduan kepada anggota kabinet kerajaan yang baharu.
Semua mata memerhati. Para pengundi Pakatan Harapan tak sabar untuk melihat mimpi mereka menjadi nyata. Mereka yang mengundi Barisan Nasional pula menanti untuk mengkritik apa yang dilihat menyeleweng daripada yang telah dijanjikan. Dunia pun melihat. Pihak yang menyanjung demokrasi melihatnya dengan kagum. Pihak yang sentiasa sinis menanti-nanti akan ada langkah yang tersasar agar dapat disensasikan.

Pendek kata, rakyat Malaysia tiba-tiba begitu meminati politik dan perkembangan tindakan pemerintah. Internet yang membekalkan segala maklumat terkini dan semasa menjadi perhatian. Kemudahan telefon pintar membolehkan rakyat melihat detik demi detik segala peristiwa yang sedang berlaku.
Tidak syak lagi pada waktu ini, kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang paling dipantau rakyatnya di dunia ini. Tetapi, selama manakah semua ini akan bertahan? Dalam apa jua perubahan, manusia akan teruja malah menggila-gila terhadap apa yang baharu. Akan tiba masanya kegilaan itu akan hilang.
Kepantasan rentak kehidupan akhir zaman ini menjadikan manusia mudah lupa kerana saban hari diasak dengan sesuatu yang baharu. Setelah menteri-menteri kabinet saban hari muncul di kaca televisyen dan juga You Tube serta Facebook, mereka akan hilang gemilangnya. They will lose their lustre.
Bayangkan apabila pak menteri menjadi seperti pelakon realiti TV, apa lagi takjubnya kita dengan mereka? Akan tiba masanya kita tidak akan peduli dengan mereka. Malah, kita lebih cepat akan berasa jemu dengan mereka kerana pemimpin Pakatan Harapan sudah lama dikenali melalui media sosial. Rasa jemu akan menjelma.
Apabila kita sudah menaruh keyakinan kepada mereka, kita akan anggap mereka akan memikul amanah yang diberikan. Jangan lupa, musuh yang ada bukan hanya musuh politik. Sebaliknya golongan oportunis yang makan keliling akan berkeliaran. Ketika kerajaan dahulu, mereka bermaharaja lela. Bila berkerajaan baharu pun mereka duduk menanti peluang.
Yang menaikkan pemimpin adalah rakyat. Yang menjatuhkan pemimpin pun adalah rakyat jua. Rakyat yang bertamaddun akan menaik atau menjatuhkan pemimpin melalui jalan yang sah. Tetapi golongan yang mencari kesempatan ini memakan dari dalam secara haram.
Mereka akan datang dengan cadangan projek. Mengendeng dan mengipas sehingga projeknya terpilih untuk disenarai pendek. Mereka tak malu menabur dedak. Pada mulanya secara segan-segan kepada mereka yang ada di sekeliling pemimpin.
Sekali, dua kali dan tiga kali dicuba akhirnya mereka memberi hadiah, cenderahati atau apa jua yang mulanya disampaikan secara tidak langsung kepada seseorang pemimpin.  Apabila semuanya lancar, mereka akan cuba secara langsung. Akhirnya pemimpin itu terjerut lehernya bila dia sendiri mengelepet bahagiannya hingga menjadi seorang kleptokrat. Sedar tak sedar, andainya ramai pemimpin jadi begini, kita sebenarnya mengulangi sejarah hitam yang baharu sahaja kita rentasi. Sejarah akan berulang andainya kita tidak belajar daripada kesilapan.
Tugas kita semua adalah untuk meneropong pemimpin di bawah mikroskop. NGO-NGOlah yang patut memainkan peranan ini. Jangan berehat terlalu lama kerana meraikan kemenangan perjuangan yang baharu lalu. Perjuangan tak akan selesai!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.5.18.

Tuesday, May 15, 2018

AKHBAR BERNAFAS KEMBALI

BILA AKHBAR
MENDAPAT SAYAP


PRU-14 telah mengubah sama sekali lanskap politik di Malaysia. Pakatan Harapan telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Rakyat menyambutnya dengan penuh keterujaan. Para pengundi Pakatan Harapan, pengundi Barisan Nasional dan mereka yang tidak mengundi pun turut berasa bangga dan gembira. Lega kerana halangan minda telah berjaya disingkap dan mereka berjaya berubah.

Lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan penuh semangat oleh segenap rakyat persis mereka menang perang. Jalur Gemilang diberi tabik hormat. Tak kira bangsa dan kaum, masing-masing menyuarakan rasa cinta kepada Malaysia. Ramai yang berkata dah tak sabar hendak menyambut Hari Merdeka kerana ingin menghayati semangat patriotik yang kian membara.

Memang sudah lama rakyat tidak rasa kebersamaan menjadi rakyat Malaysia. Kalau ada pun, rasa semangat itu tercetus berikutan peristiwa sedih seperti Pencerobohan Lahad Datu, kehilangan MH370 dan juga apabila MH17 ditembak jatuh. Mujurlah kita ada seorang Lee Chong Wei yang menjadi juara badminton dan Azizulhasni Awang yang menjadi juara dunia dalam lumba basikal. Merekalah yang mengisi kelompangan perasaan banggakan negara. Agaknya, jika mereka tiada, kita mungkin terlupa bagaimana untuk berasa bangga.

Pengaruh kerajaan yang baharu ini juga begitu meluas dan mendalam. Dan, kita tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa faktor Tun Dr. Mahathirlah yang menyemarakkan keterujaan ini. Ini adalah kerana, beliau adalah tokoh pemimpin yang turut punyai nilai selebriti. Susuk tubuhnya, tutur katanya dan yang penting sekali, tindakan-tindakannya itulah yang diperkatakan. Tun Dr. Mahathir bukan sahaja man-in-the-news, man-with-the-news malah, he is the news!

Kerana fenomena ini, media massa menjadi tumpuan kembali. Masyarakat lebih suka menonton rancangan berita dan forum. Mereka meluangkan masa berjam-jam menatap rancangan itu di televisyen. Program drama, hiburan, masakan  dan kartun ditolak ke tepi. Dan yang menarik sekali ialah, para pembaca telah kembali membeli akhbar. Ini turut menggembirakan orang surat khabar.

Oleh kerana keterujaan, meskipun ramai yang punyai telefon pintar sebagai sumber berita, mereka turut suka menonton televisyen. Pada keesokannya pula mereka berebut mendapatkan akhbar pula. Penyelidikan bahagian pengedaran akhbar-akhbar mendapati jualan akhbar laris kembali. Ramai pembaca yang mengadu tidak dapat menatap akhbar kerana kehabisan. Syarikat-syarikat akhbar tidak menjangka peningkatan jualan yang mendadak. Kegilaan apakah ini?

Mengapa sesudah menonton televisyen, menekur ke telefon pintar masing-masing, mereka masih hendak menatap akhbar yang menyiarkan berita semalam? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana rakyat hendak memanjangkan rasa gembira mereka. Mereka seronok kerana menang pilihanraya, menonton hasil undian mereka di televisyen sambil bermesej di telefon pintar masing-masing. Agaknya mereka  tidur dalam senyuman dan keesokan harinya ingin menatap lagi cerita gembira semalam.

Ia tentu sekali  memanjangkan hayat ketahanan akhbar. Sekurang-kurangnya dalam tempoh 100 hari dan lajak ke Hari Merdeka, akhbar menjadi pilihan alternatif yang wajib. Dan apabila Tun Mahathir dalam sesi penerangan khas berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan menyekat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana laporan berita yang tidak tepat selagi ia tidak mengganggu ketenteraman negara; ia umpama baja kepada pihak akhbar.

Sudah begitu lama pihak akhbar mengamalkan self-sensorship dalam pemberitaannya. Mereka bimbang melanggar batas dalam penyampaian berita kerana sentiasa diperhati. Berita yang panas atau yang dikupas mendalam sedikit, ditegur agar tidak menulis begitu dan begini. Mereka diingatkan agar membesarkan cerita ini, mengecilkan berita itu.

Lama kelamaan, berita menjadi tumpul dan hambar. Tidak lagi segar apabila beritanya dibuat susulan yang memugar hingga memberi kepuasan membaca. Walaupun akhbar menyampaikan berita semalam, tetapi ia dikupas dengan lebih komprehensif  hingga menjadi sebuah cerita yang punyai kenikmatan pembacaan. Akhirnya para pembaca tidak memilih akhbar dan ini menyumbang kepada penurunan jualannya.

Mudah-mudahan dengan kata-kata jaminan Tun Mahathir mengenai kebebasan akhbar, jenis-jenis penyampaian berita yang berani seperti yang dicanai akhbar Watan dan Eksklusif terbitan Kumpulan Karangkraf akan bertambah. Sinar Harian yang selama ini mengamalkan penyampaian telus dan tulusnya akan punyai teman saingan apabila Utusan Malaysia, Berita Harian mengasah dan menyeringaikan taring mereka kembali.

Sesungguhnya, ia adalah kebaikan untuk semua ~ pihak kerajaan, akhbar dan juga rakyat.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.18.

Tuesday, May 8, 2018

MARI MENGUNDI


SAAT KITA BERSAMA
DIRI SENDIRI
SEDARKAH kita, dalam hidup ini, kita akan hadapi momen di mana kita akan bersendirian meskipun dikelilingi ramai? Ada momen yang kita selalu alami. Ada juga yang jarang-jarang, malah ada yang belum pernah kita lalui lagi.
Pada saat-saat kita mengalami momen itu, kita benar-benar akan berasa keseorangan. Meskipun orang yang disayang ada di sisi, kita bagai tidak dapat menyedari akan kehadirannya. Apakah momen-momen yang saya maksudkan ini?
Tatkala kita kecil, ia adalah saat-saat doktor menghalakan sebatang jarum suntikan ke bahu ketika kita sakit. Di saat itu, walaupun ibu ada di sisi, kita sudah tak peduli apa. Kita akan menjerit belum pun jarum mencecah ke bahu. Barangkali terus meraung berasa mahu mati walaupun ibu sentiasa berbisik memujuk untuk menenangkan kita.
Yang lelaki pula, tentulah ketika melihat gunting dan penyepit doktor yang ingin menyunat kita. Mata kita terpejam, air mata mengalir kerana kengerian. Seolah-olah dunia di sekeliling kita menjadi gelap. Suara ayah yang cuba memberi kata-kata semangat sudah tidak kedengaran lagi.
Loya pertama seorang pengantin yang membuat dia berasa lain macam kerana mengandung diikuti dengan muntah-muntah adalah sesuatu yang dirasakan azab. Lutut berasa lemah, kepala jadi pening dan badan terus longlai. Pada hari-hari berikutnya, dia akan bimbang lagi bila berdepan dengan momen loya dan muntah-muntah, meskipun suami sentiasa hadir untuk mengusap belakangnya.
Momen apabila melangkah ke dewan peperiksaan, momen melangut ke papan kenyataan sekolah untuk melihat keputusan peperiksaan, apabila menghadiri temuduga ataupun di saat menghidupkan enjin untuk ujian memandu di JPJ adalah di antara momen-momen yang pernah kita lalui dengan rasa sendirian.
Begitu juga saat indah dan syahdu kita melafazkan nikah adalah momen-momen yang kita lalui meskipun ada orang lain di sekeliling kita. Hati berasa berdebar, jiwa terasa gentar pada saat-saat itu. Banyak lagi momen-momen lain yang berbeza lagi unik di antara kita.
Tetapi, hampir kesemua momen-momen yang dinyatakan itu khususnya setelah kita dewasa, kita depani dengan persediaan. Barangkali seorang pria yang ingin melafazkan rasa cinta kepada kekasihnya, akan puas mengulangi ayat-ayat cinta seperti artis menghafal skrip sebelum berani mengucapkannya di hadapan kekasih.
Begitu juga, bagi bakal isteri tentu sekali dia dinasihati oleh ibu sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Cara melayani suami, makan pakai, mengambil hati hinggalah memahami biologi wanita dah hal-hal materniti adalah di antara persediaan untuk seorang gadis. Kesemuanya yang lain termasuk persediaan menghadapi peperiksaan mahupun menghadapi temuduga akan dihadapi dengan persediaan.
Namun betapa pun kita bersedia,  banyak juga insiden di mana apa yang dirancang itu tidak menjadi. Si pelafaz cinta mungkin terlupa skrip atau huru hara apabila ucapannya ditolak pula mentah-mentah oleh si gadis. Si isteri yang sudah diajar ibu akan alam rumahtangga jadi takut apabila mengetahui dirinya mengandung hingga mengalami darah gemuruh. Begitu juga walaupun sudah bersedia untuk peperiksaan, bagaimana jika separuh soalan yang muncul itu bukan soalan yang kita ramal? Itulah saat-saat di mana kita berasa benar-benar bersendirian.
Ada satu lagi momen di mana kita rasa bersendirian meskipun ramai yang sedang memerhati tindak tanduk kita. Momen itu adalah tatkala kita membuang undi. Sebaik melangkah ke pusat mengundi, itulah saat yang mendebarkan. Meskipun ada ramai pengundi yang berbaris bersama kita, kita menjaga diri agar sentiasa awas dan bersedia. Sambil beratur, berulang kali kita memeriksa samada kita ada membawa kad pengenalan.
Setelah menghulurkan kad pengenalan untuk disemak, terdengar nama kita dibaca oleh petugas, jari dicalit dakwat lalu mendapat kertas undi; semua itu kita lakukan dengan penuh tertib dan berhati-hati. 
Sebaik sahaja kita melangkah ke petak undi, itulah momen yang hening. Segala suara yang kita dengar melalui televisyen, radio mahupun telefon pintar sudah hilang. Wajah-wajah mereka yang sering muncul di laman-laman sosial, segala video, poster mahupun artikel yang tular kesemuanya sudah lesap.
Yang ada hanyalah kita dan kertas undi itu. Tiada apa yang lain pada masa itu. Dan kita berasa sedikit gementar, mungkin berdiri bulu roma kerana apa yang kita akan lakukan itu akan dikira sebagai satu undi yang akan menentukan kemenangan bagi siapa dan parti mana yang kita pilih.
Lalu kita menurunkan tanda pangkah dengan penuh hati-hati. Agaknya jika kita cikgu yang biasa memangkah, pangkahan kali ini dilakukan dengan penuh cermat, kerana itulah tanda pangkah yang amat bermakna untuk tempoh lima tahun. 
Ya, momen itu amat peribadi kerana undi itu rahsia yang zahirkan dari sanubari. Tiada sesiapa yang dapat mempengaruhi pada saat itu. Ia adalah the moment of truth.
Selamat mengundi.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.5.18.

Tuesday, May 1, 2018

KALAU PUN NAK KEMPEN...

KISAH JURUKEMPEN
PARTI TAK RASMI


KEMPEN PRU-14 kian rancak. Selain daripada kempen-kempen di media perdana cetak dan elektronik, ceramah dan syarahan, kempen juga dilakukan melalui medium internet. Di situ ada pelbagai pletform yang antaranya melalui video khususnya Youtube, blog, portal dan tentu sekali di media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Twitter.
Aplikasi mesej yang belum wujud di PRU-13 kini sudah ada. Justeru, medan kempen kini berlaku juga di aplikasi mesej khususnya di Whatsapp dan Telegram. Malah, perang kempen jauh lebih sengit di sini kerana aplikasi mesej dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil di mana si penerima maklumat lazimnya mengenali si penghantar maklumat. Jadi, komunikasi menjadi lebih ligat dan personal.
Sebelum era internet yang interaktif, komunikasi massa lebih bersifat satu hala iaitu daripada penerbit kepada pengguna. Pengguna pula tidak punyai pilihan yang pelbagai dan dengan itu hanya menelan bulat-bulat apa yang dipaparkan. Boleh dikatakan main percaya sahaja.
Sememangnya sejarah komunikasi massa itu berkait rapat dengan hubungan dari pemerintah kepada rakyat. Pemerintah menguasai media massa sebagai penghantar maklumat dan rakyat pula sebagai penerimanya. Sehinggakan apa sahaja pandangan yang berbeza daripada apa yang dipaparkan di media perdana dianggap anti-establishment, malah subversif!
Keadaan sudah berubah. Jika dahulu, jumlah mereka yang menjadi juru kempen hanya terdiri daripada mereka yang ditugaskan oleh sesebuah parti. Mereka inilah yang diberikan panduan apa yang hendak disampaikan kepada sesebuah audien, apa isinya, bagaimana hendak menguasai pemikiran audien agar mesej diterima secara positif oleh pendengar.
Pada hari ini pula, sesiapa sahaja boleh menjadi juru kempen. Mereka tidak perlu mendapat kelulusan berkempen daripada parti yang disokongnya. Malah tidak ada masalah andainya seseorang itu tidak tahu bercakap. Apa yang mereka perlu ada ialah kekuatan jari. Andainya tidak dapat mengarang, memadailah jika hanya tahu menularkan apa jua mesej yang diterima dengan jari jemarinya.
Maka di sinilah punca kekelamkabutan dan kecacamerbaan kempen pilihanraya pada hari ini. Selain daripada juru kempen rasmi parti, terdapat ratusan ribu malah berjuta juru-juru kempen parti tidak rasmi yang menjalankan kempen pilihanraya untuk parti yang disokong. Dan, mereka itu adalah kita sendiri!
Ya, kita terjebak sebagai juru kempen tak rasmi parti. Seandainya juru kempen sesebuah parti itu bertugas untuk mempromosi parti yang dianggotainya, kita pula boleh sahaja ke kiri dan ke kanan seandainya kita sememangnya peminat politik atas pagar. Di waktu pagi, kita menularkan berita, video dan audio parti Barisan Nasional, di waktu petang dan malam pula kita menularkan berita dari parti Pakatan Harapan dan juga Gagasan Sejahtera.
Tetapi seandainya kita condong kepada sesebuah gabungan parti atau sememangnya ahli parti politik, maka kegelenyaran jejari kita akan bertambah-tambah ligat menjalankan tugas berkempen.
Yang pasti, sesebuah berita, poster atau video yang diterima itu akan dihantar kepada pelbagai kumpulan yang kita sertai. Yang pasti, kumpulan-kumpulan itu tentulah mereka yang kita kenali seperti grup keluarga, kaum kerabat, rakan tadika, rakan sekolah, rakan universiti, kariah surau, grup kejiranan, pelbagai alumni dan entah apa-apa lagi.
Si pencipta viral asal itu tentulah mereka yang pakar dalam peperangan siber dari war room mana-mana parti. Fragmen video, paparan poster dan artikel yang ditulis itu pasti sensasi lalu menguja si penerima untuk menghantarnya kepada kumpulan-kumpulan yang disertainya.  Akhirnya mesej itu menjadi tular.
Apa yang menjadi masalah ialah, bukan semua mereka yang mendapat sesebuah mesej itu bersetuju dengan apa yang diterimanya. Ada yang memberikan reaksi secara mendengus sendirian atau bergumam. Namun bagaimana seandainya si penerima tidak bersetuju malah mula berasa marah dan sakit hati dengan si pengirim mesej?
Kita dah pun dengar ada sok-sek di kalangan rakan-rakan sekeliling yang kecil hati sesama mereka akibat perbezaan pandangan politik. Malah ada yang berbalas hujah hingga ada yang left group kerana berasa jauh hati.
Kita sebagai juru kempen tidak bertauliah tetapi hanya berperanan sebagai penyampai, kita kenalah ingat bahawa bukan semua orang setuju dengan apa yang kita lakukan. Jika kita tidak terlatih untuk berkempen, berpada-padalah dalam menularkan apa jua yang kita terima.
Meskipun kita bersemangat untuk mengajak mereka yang tidak sependapat dengan kita untuk bersetuju dan menyokong apa yang kita setujui, kita jangan lupa bahawa tindakan kita itu sebaliknya menjauhkan mereka daripada menyukai apa yang kita sokong. Malah, apa gunanya jika mereka bukan sahaja tidak menyokong, tetapi mula menjauhkan diri daripada kita.  Berpada-padalah…

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.18.