Tuesday, October 30, 2018

BILA AKHBAR CETAK TIADA LAGI




piccredit: selangorkini
APABILA AKHBAR CETAK TIADA LAGI…


TREN penurunan jualan akhbar cetak di negara ini masih berlaku. Semua akhbar perdana berada di dalam ICU. Pihak editorialnya semakin kerap bermesyuarat. Strateginya bukan lagi untuk meningkatkan jualan mahupun menawan pasaran. Sebaliknya untuk memanjangkan hayat masing-masing. Namun semuanya sudah maklum dan menerima hakikat bahawa masa depan akhbar cetak sunggguh gelap. Maaf cakap, menunggu masa untuk ditutup.

Ini adalah kerana kita sendiri tidak lagi menunggu akhbar yang sampai di depan pintu rumah seperti dahulu. Di kala itu, sebaik sahaja akhbar tiba, kita akan tertanya-tanya berita apakah yang akan menjadi tajuknya. Apa yang dipilih oleh editorial sesebuah akhbar, maka itulah yang menjadi berita utama. Itulah yang akan kita tatap sebagai santapan minda utama di pagi hari.

Kini, tidak lagi. Kita mencari berita yang kita sukai melalui internet. Yang suka politik akan membaca berita politik. Yang minat sukan akan mencari berita sukan. Yang gemarkan hiburan akan mendapatkan berita hiburan. Kita buat keputusan apa yang kita ingin baca pada satu-satu hari.

Lain manusia, lain pula pilihannya. Oleh sebab akhbar cetak mempunyai formula ramuan yang tetap, ia tidak fleksibel untuk memuaskan hati ramai orang. Kerana itu, akhbar cetak bukan lagi pilihan. Dalam pada itu, akhbar dalam talian juga berdepan dengan cabaran portal-portal berita yang menyajikan cerita-cerita yang garing dan segar.

Portal-portal berita yang memberatkan cerita ini biasanya dianggotai tidak sampai 10 orang tenaga kerja. Oleh kerana kecil, mereka pantas dan peka meneka selera semasa pembaca. Mereka akhirnya menjadi pilihan dan kegilaan hingga boleh beridiri teguh dengan kos operasi yang teramat rendah. Akhbar-akhbar perdana tidak terlawan dengan situasi ini kerana saiznya itu sendiri memakan kos yang begitu tinggi.

Betapa pun, sekiranya kita hanya melihat ia sebagai sebuah tren pilihan pembaca dalam konteks perniagaan, ia tiada bezanya dengan mana-mana perniagaan lain. Samada kenderaan, pakaian, peralatan mahupun makanan, siapa yang paling kerap hadir di skrin komputer dialah yang paling diingati dan kemungkinan besar akan menjadi pilihan.

Tetapi mari kita lihat akhbar dalam konteks asal yang murni sebagai penyaji santapan minda untuk manusia. Dan kita bertanya pula, santapan minda yang bagaimanakah yang baik? Jawapannya tentulah santapan minda yang penuh dengan khasiat pengetahuan, maklumat, ketelusan, ketulusan serta kebenaran yang disampaikan dengan penuh berimbang.

Begitulah asalnya peranan akhbar apabila ia menjadi medium penyampaian maklumat pada kurun ke-17 di Eropah. Setelah ia diterima pembaca, akhbar menjadi saluran maklumat oleh kerajaan setempat. Di zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua, akhbar berperanan untuk membarakan semangat rakyat untuk terus menyokong kerajaan.

Setelah peperangan tamat, akhbar terus bertempat di hati para pembaca. Ia amat berpengaruh dan kerap dijadikan sebagai pembentuk public opinion dan alat pemerintah. Tetapi akhbar-akhbar juga punyai pendirian untuk memainkan peranan semak dan imbang. Suaranya selalu mewakili rintihan hati rakyat. Malah, ia menjadi elemen yang penting dalam pembangunan negara. Malah diberi jolokan sebagai The Fourth Estate.

Namun, sejak kemunculan internet yang turut melahirkan media sosial, peranan akhbar yang sebenarnya kian diketepikan. Sesiapa sahaja bebas untuk memilih santapan minda masing-masing. Maknanya rakyat tidak dapat disatukan sebagai sebuah warga negara yang punyai kekuatan sebagai sebuah pasukan. Akhirnya pemerintah tidak dapat membentuk keseragaman pemikiran rakyat. Rakyat tidak akan lagi menjadi sumber manusia bagi sesebuah negara.

Apa akan berlaku kelak? Kerajaan bercakap fasal satu perkara, rakyat pula akan bercakap mengenai satu perkara yang lain. Kerana inginkan kebebasan fikiran, suara kerajaan tidak akan didengar. Pemerintah akan hilang rakyat sebagai asetnya. Kalau pun ada hubungan kerajaan dengan rakyat, ia hanyalah daripada segi cukai, denda ataupun urusan kehidupan.

Apabila rakyat tidak pedulikan kerajaan, pemerintah akan buat apa yang dia suka hingga boleh menyeleweng. Kalau pun ada di kalangan rakyat yang mempersoalkan penyelewengan pemerintah, suara mereka tidak akan kedengaran. Sebabnya, sebilangan besar rakyat hanya mahu mendengar irama yang mereka gilai.

Surat khabar tiada peranan sebagai pembentuk pemikiran rakyat. Ia akhirnya akan padam dan tenggelam lalu hanyut bersama rakyat yang sudah jadi zombie akibat sihir teknologi di akhir zaman. Di waktu itu, tiada apa perkara pun yang akan menyatukan rakyat kecuali bencana alam!

PADAH TERLALU BANYAK MENONTON




piccredit: hiconsumption


PADAH TERLALU BANYAK MENONTON


SAYA tak terkata apa, bila perihal kasut hitam dan setokin menjadi fokus utama sidang akhbar Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini. Dalam hati saya, cerita kasut dan setokin ini pasti akan menjadi isu dan menular di laman-laman  sosial seperti mana sebelum ini. Jangkaan saya benar. Hal setokin jadi riuh hingga Menteri Pendidikan itu dikatakan naik berang.

Sebelum itu, pada bulan Julai lalu, tatkala menyampaikan gagasan beliau di program Bicara Minda, akhbar Sinar Harian, Dr. Maszlee menggariskan begitu banyak perkara yang di antaranya mengenai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pentingnya penggunaan bahasa Inggeris di kalangan anak muda, penangguhan pembayaran PTPTN, guru duka lara dan mengulas mengenai Unified Examination Certificate.
Beliau hanya menyentuh seketika sahaja mengenai pemakaian kasut hitam bagi para pelajar sekolah di penghujung program. Namun, apa yang menjadi perhatian media adalah mengenai penggunaan kasut. Pandangan-pandangan Dr. Maszlee mengenai aspirasi, falsafah dan rancangan kementeriannya tenggelam dek cerita kasut.

Dan begitu jugalah apabila baru-baru ini, dalam sebuah sidang akhbar mengenai Hospital Pengajar Universiti setelah melawat Pusat Perubatan Universiti Malaya, beliau ditanya wartawan mengenai warna setokin murid-murid sekolah pula. Sidangnya mengenai memperkasakan program Hospital Pengajar Universiti telah tenggelam.

Bila hal kasut dan setokin menjadi fokus penyampaian berita, tidak boleh tidak masyarakat akan memperkatakannya kerana ia melibatkan kesemua pembaca. Mereka semua punyai anak-anak di sekolah atau pernah bersekolah sebelum ini. Apabila cerita kasut dan setokin ini diadun untuk memberi gambaran yang menyusahkan ibu bapa, maka teruklah pak menteri melayani soalan-soalan mengenai perkara yang remeh itu.

Bagaimana pula jika dilihat dari sudut persuratkhabaran? Lazimnya para wartawan merakam semua ucapan mahupun sidang akhbar seseorang menteri. Tetapi apabila berita, audio dan visual tiba ke meja editorial, para pengaranglah yang akan menentukan apa yang patut dibesarkan dan apa pula yang harus dikecilkan. Faktor berita yang menarik hati pembaca itulah yang lebih utama.

Dalam dunia digital dan era kemerosotan akhbar, berita-berita yang menguja sebilangan besar daripada pembaca itulah yang akan dibelek oleh para editor, digembur atau dikembangkan hingga menjadikan ia sebuah hidangan yang menarik. Meskipun ia adalah junk food of the mind, dan oleh kerana para pembaca sukakan junk food itu, maka itulah yang mereka peroleh!

Jangan salahkan para wartawan, editor malah akhbar itu sendiri. Mereka memaparkan apa yang pembaca sukakan. Jangan pula kata, mereka tak siarkan bahan-bahan yang penuh erti, falsafah, misi, visi sesebuah kementerian. Mereka siarkan juga walaupun di sisi. Andainya kita rajin menyemak berita di akhbar, kita akan temui juga berita-berita serius yang berkaitan di kolum-kolum berhampiran.

Maaf cakaplah… barangkali para pembaca sendiri yang sukakan bahan-bahan yang remeh. Sebab itulah akhbar memperbesarkan berita-berita sebegitu. Jika mereka tak suka, bagaimanakah berita kasut dan setokin itu menjadi tular dan bahan lawak. Hendak salahkan siapa? Pak menteri yang menjawab soalan wartawan? Editor yang memilih sudut itu sebagai santapan pembeli? Atau para pembaca yang sukakan berita yang dikelakarkan itu?

Mahu tidak mahu, kita kenalah akui bahawa kita belajar melalui pemerhatian. Cara senyum, ketawa, berjalan, berlari dan bercakap ibu dan bapa diperhatikan oleh si anak. Visual perlakuan kedua ibubapa itu dirakam minda si anak dan dia meniru gaya mereka. Di peringkat pra-sekolah kita lebih mudah mengenal dan mengingat melalui pembelajaran secara flash card.
Pembelajaran yang menggunakan gambar dan video diketahui lebih berkesan daripada menyampaikan sesuatu melalui tulisan mahupun percakapan. Dunia digital kini membolehkan kita mendapat maklumat yang lebih cepat melalui audio visual seperti video dan filem. Kini, skrin telefonlah yang menjadi tumpuan kita. Dan kita semua tatap lebih banyak imej daripada tulisan di skrin telefon.

Oleh sebab terlalu banyak menonton, maka apa jua dalam bentuk huruf dan angka menjadi kurang menarik. Sebaliknya, kita lebih tertarik kepada imej.  Kerana itu, agenda dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu kurang menarik berbanding dengan cerita setokin dan kasut hitam kerana setokin dan kasut itu boleh dilihat! Sehinggakan minda terlebih imaginasi kita terbayangkan pak menteri pula yang memakainya!

TIDUR SEBANTAL MIMPI SERUPA




piccredit: gusiness records
TIDUR SEBANTAL MIMPI SERUPA


SEBILANGAN daripada kita tentu pernah terdengar cerita teladan sufi,0..0 perihal tiga orang buta dan gajah. Kisahnya, tiga orang buta ini bertemu seekor gajah. Orang buta yang pertama terpegang belalainya. Lalu dia berkata, gajah itu bentuknya seperti batang pokok. Orang buta yang kedua pula tersentuh ekor gajah. Lantas dia memberi komen yang gajah itu bentuknya membulat halus seperti tali. Apabila orang ketiga pula tercuit telinga gajah, dia berkata yang gajah itu bentuknya nipis seperti kipas.

Apa yang ketiga-tiga orang buta itu sentuh adalah sebahagian daripada tubuh gajah. Oleh kerana mereka menyentuh bahagian yang berbeza, mereka mentafsir rupa bentuk gajah adalah seperti apa yang mereka rasa. Oleh kerana cacat, mereka tidak dapat melihat gajah secara keseluruhan. Tubuh gajah itu sendiri jauh lebih besar daripada belalai, ekor dan telinganya.

Cerita teladan itu memberi tamsilan betapa cacatnya kita dalam melihat sesuatu apabila hanya memandang daripada satu sudut pandangan. Mengamati sesuatu melalui kacamata sendiri itu tidak salah asalkan berlapang dada untuk memahami sudut pandang orang lain. Cerita teladan itu habis setakat itu sahaja. Ia tidak melarat kepada bagaimana tiga orang buta itu bertelagah untuk mengatakan gajah mengikut apa yang mereka tahu.

Lanjutan daripada itu, kita yang celik ini sering pula bertelagah dalam mentafsir sesuatu meskipun kita tidak seperti orang buta kerana nampak betapa besarnya perkara yang kita ulas. Dan, kita juga tidak mahu menerima pendapat orang lain apabila mereka memperkatakan perkara yang sama, meskipun daripada sudut pandang yang lain.

Memang malang sekali apabila kita berbicara mengenai hal-hal yang besar seperti hal politik, kepimpinan, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, perniagaan dan sosial, kita lebih cenderung untuk berpegang kepada anutan kumpulan yang kita cenderungi. Walhal, kita bukannya ahli pun dalam sebahagian besar bidang yang kita ulas.

Kita buang masa. Kita berasa hebat apabila menang dalam telagah dengan orang di depan kita mahupun mereka yang ada dalam forum perbincangan itu samada di laman sosial mahupun kumpulan sembang. Kita tidak ingat bahawa jika kita menang pun dalam pertekakan itu, ia tidak mengubah apa-apa. Friends yang mengikutinya akan membuka forum dan halaman lain kerana malas mengikuti polemik itu. Pihak yang berwajib, yang sepatutnya mendapat idea dari apa yang kita ulas itu tidak tahu pun  pandangan kita itu kerana kita sekadar hero di dalam grup semata-mata.

Oleh kerana asyik sekali memperkatakan hal-hal yang bersabit dengan sesuatu yang bukan tanggungjawab kita pun, kita terlupa dengan apa sahaja yang dekat dengan kita. Sedarkah kita bahawa pandangan kita terhadap sesuatu itu akan berubah mengikut keadaan dan masa? Perasan tak kita dalam apa jua kerjasama yang kita lakukan samada dengan teman hidup mahupun dengan majikan, sudut pandang mengenai sesuatu itu akan berubah juga?

Jika diambil contoh mengenai sepasang kekasih yang bercinta dengan niat untuk ke jinjang pelamin, masing-masing akan saling bertukar visi mengenai alam selepas bersanding. Bakal suami mahu isteri duduk rumah sahaja, bakal isteri pula tidak setuju kerana dia sendiri mahu membantu keluarganya. Mereka akan berbincang mengenai bilangan anak dan masa depan. Apa jua perbezaan akan mereka sepadukan apabila masing-masing berkongsi sudut pandangan lalu mencari titik pertemuan.

Apabila melepasi gerbang perkahwinan, mereka amat damai dan sepakat kerana faham akan sudut pandang masing-masing. Namun seiring masa berlalu, pandangan-pandangan ini mungkin berubah. Si suami yang mendapat kenaikan pangkat dan lebih berat tanggungjawab mahukan si isteri berhenti kerja dan menjaga anak-anak. Sedang si isteri sedang berangan-angan untuk sambung belajar.

Visi si suami sudah bercampur dengan tanggungjawab kerja dan si isteri pula sudah beralih niat daripada untuk menjaga keluarga kepada memperbaiki ilmu untuk diri sendiri. Apabila sudut pandangan telah berubah, maka ia perlulah dibentang, dibincang dan dicari titik pertemuan. Jika tidak, akan terjadi rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

Jika syarikat yang berpandangan jauh itu punyai visi dan misi, maka kita juga perlu menyatakan visi dan misi kita dari semasa ke semasa. Di dalam berumah tangga, ia bukan semata-mata soal apa nak makan hari ini, tetapi ia melibatkan banyak lagi perkara-perkara penting.

Tidak bolehlah suami atau isteri punyai angan-angan yang tak serupa. Tidak boleh juga majikan dan pekerja punyai impian yang berbeza. Begitu juga jawatankuasa masjid dan kariah, kantin pejabat dan para pelanggan serta pemaju dan penduduk. Ini termasuk juga sudut pandang kerajaan dan pembangkang yang nampaknya masih bergeser dan memercik api perbezaannya.

Jika kita punyai impian yang sama, insya-ALLAH tidur pun akan mendapat mimpi yang serupa. Hidup ini akan dipenuhi semangat ketika jaga dan penuh kerehatan tatkala tidur.

Wednesday, October 10, 2018

KITA TERPISAH KERANA BERBEZA



piccredit: bimchospital
KITA TERPISAH KERANA BERBEZA

MENGAPA  tiba-tiba timbul tafsiran bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dr. Mujahid Yusof Rawa seolah-olah tidak mahu mencegah mungkar kerana mengutamakan privasi individu? Laporan The Star memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk menyiasat dan menjalankan operasi khalwat serta aktiviti maksiat lain.

Aha, ramai yang melompat bila membaca tafsiran berita daripada akhbar tersebut. Kita semua diingatkan supaya bertabayyun. Ayat 6, surah al-Hujurat jelas meminta kita selidik dahulu sumber sesebuah khabar. Lazimnya, akibat kurang usul periksa, tanggapan kita itu tidak betul dan kita akhirnya termalu sendiri kerana marah-marah tak tentu fasal.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Saya percaya Dr. Mujahid kesal dengan reaksi sebilangan golongan agamawan yang telah menyerangnya. Malah ada yang menggesanya untuk meletakkan jawatan. Ini menyebabkan menteri tersebut menjawab dengan sinis. “Ada sesetengah orang tidak tengok transkrip penuh hanya ambil tajuk lalu maki hamun dan cerca. Macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah menteri agama ini tak ada agama dalam diri dia.”
Jika Dr. Mujahid punyai tanggapan bahawa terdapat agamawan yang menganggap beliau tidak cerdik, atau tiada agama di dalam dirinya, tanggapan itu ada asasnya. Tidak lama sebelum itu, dalam sebuah majlis dengan wakil transgender, beliau menyentuh mengenai kemungkinan golongan itu berkongsi tandas dengan golongan wanita.
Meskipun pandangan beliau hanya berupa reaksi spontan yang hanya berupa pendapat, persepsi bahawa beliau adalah seorang liberalis telah terbina. Meskipun ia sama sekali tidak tepat, namun siapa yang dapat menahan persepsi liar ini dari terus terbina dan mengukuh di dalam fikiran ramai?
Tidak boleh tidak, jika kita susuri lebih jauh, pandangan bahawa Dr. Mujahid itu bukan seorang agamawan itu bermula apabila beliau bersama rakan-rakannya keluar daripada Pas dan menubuhkan parti Amanah. Meninggalkan Pas ditafsirkan seperti meninggalkan jemaah. Tetapi itu tidak boleh dilihat sebagai mengenepikan agamanya.
Barangkali, ramai yang tidak ingat bahawa beliau juga adalah anak salah seorang Presiden Pas, Allahyarham Yusof Rawa. Dan beliau juga punyai kelulusan dalam bidang Ijazah Sastera Arab, Sarjana Sumber Manusia dan juga Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sains Politik. Berapa kerat ahli politik di Malaysia ini yang berkelulusan Sains Politik?
Daripada segi rank and file, beliau naik daripada bawah ~ daripada aktif sebagai Pemuda Pas sehinggalah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.  Catatan ini bukannya untuk memuji Dr. Mujahid tetapi kita kenalah menghormati kepakaran dan kelulusan seseorang di dalam sesebuah bidang.
Orang yang tidak menghormati mereka yang berilmu itu sebenarnya tidak menghormati ilmu sebab seseorang itu disanjung kerana ilmunya. Jika ilmu yang ada pada seseorang itu tidak dianggap sebagai sebuah martabat maka apakah itu bermakna kita menghormati sesiapa sahaja kerana kepetahan mahupun ketampanannya sahaja? Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakal lah yang dapat menerima pelajaran” (Az-Zumar 39: 9).
Dalam pada kita sibuk mengkritik seseorang pemimpin, meskipun ia dipilih oleh orang lain, kita kenalah sedar dari manakah datangnya sumber berita yang seolah-olah menampakkan Islam sebagai agama yang tiada toleransi. Jika kita rajin memerhati, sudah sekian kali sebenarnya, berita-berita agama Islam yang disensasikan ini datang daripada media yang bukan berbahasa Malaysia.
Ada dua sudut yang harus harus kita perhatikan. Pertama, apakah media-media ini mensensasikan berita mengenai Islam semata-mata kerana ia mempunyai nilai berita? Kedua, apakah media-media ini mempunyai agenda kerana sentiasa ingin memberikan sudut pandang yang jelik mengenai Islam?
Dan kita, sebagai kelompok majoriti selalu pula dibelah-belah dengan pandangan yang pelbagai hingga kita pula yang asyik dengan polemik. Mungkinkah kita ini kena game dengan pihak yang kita tak ketahui?

MENYIMPAN NOTA DI BUKU 555





piccredit: worldofbuzz

MENYIMPAN NOTA
DI BUKU
555

SEMALAM, beberapa buah akhbar perdana memetik laporan Bernama mengenai tabiat Tun Mahathir yang menyimpan sebuah buku nota kecil di poketnya.  Tun Dr Mahathir Mohamad akan sentiasa membawa buku catatan ini ke mana-mana jua dan mencatat nota dengan segera tentang tindakan yang perlu dilakukan. Kata Tun, "Saya catat masa itu juga. Jangan tunggu lama-lama, nanti lupa."

Saya juga sentiasa menyimpan buku kecil seperti itu sejak mula bekerja 38 tahun yang lalu. Dahulu, saya gunakan buku yang tertulis angka 555 yang lebih dikenali sebagai buku hutang. Kini buku bersaiz kecil yang sebegitu sudah lebih cantik dan lebih tebal.

Sudah berpuluh buku nota telah saya gunakan. Saya akan catat apa sahaja yang saya anggap penting. Dahulu, bukannya ada telefon bimbit yang boleh kita gunakan untuk terus menyimpan nombor telefon seseorang. Buku notalah yang saya gunakan untuk menyimpan nombor.

Buku nota kecil ini juga berguna apabila saya ingin mencatat sesuatu yang disampaikan oleh seseorang samada melalui telefon ataupun tatkala berbual. Bila ada buku itu, saya tidak akan menggagau mencari kertas bila memerlukan secara semerta.  Seluk sahaja poket dan saya terus dapat mencatat. Selain daripada nombor telefon, pelan, alamat dan yang lebih mustahak, ilham yang mendatang semuanya akan terakam di buku nota kecil itu.

Di zaman telefon pintar pada hari ini, banyak aplikasi yang disediakan untuk membantu seseorang. Ada aplikasi Notes misalnya untuk menyimpan nota. Malah terdapat aplikasi untuk menyukat pergerakan seperti Pacer, mengetahui cuaca Dark Sky atau Dr. Smartphone untuk mendapat maklumat mengenai kesihatan diri. Itu belum termasuk lagi pelbagai aplikasi daripada Google.

Saya ada beberapa orang kenalan yang terdiri daripada anak muda yang menggunakan telefon pintar mereka untuk menyimpan nota. Mereka menganggap cara saya yang masih menggunakan buku nota sebagai old school. Tidak mengapalah kerana bagi saya, menyimpan segala-galanya di dalam telefon pintar itu ada masalahnya kerana saya pernah cuba untuk menjadi insan pintar seperti juga telefon saya.

Masalah yang saya hadapi ialah, setiap kali saya tergesa-gesa hendak membuka aplikasi nota di dalam telefon, ada sahaja notifikasi lain yang muncul di telefon hingga mengalih perhatian saya untuk melayaninya. Akibatnya, ilham yang tiba di fikiran akan melayang begitu sahaja kerana saya terlupa apa yang saya ingin catatkan kerana asyik melayani video dan mesej tular yang saya terima!

Anak-anak dahulu diperkenalkan dengan pensil, pensil warna dan kertas sejak kecil lagi. Mereka lebih dahulu belajar melukis dan menulis dengan pensil dan kertas. Mereka  tidak kenal dengan papan kekunci. Kerana itu, menulis dan melukis adalah suatu aktiviti yang membina manusia yang amat berhati-hati.

Bayangkan, apabila tersilap tulis, orang dahulu terpaksa mengambil pemadam. Ataupun menggunakan blanco untuk menghilangkan apa yang salah. Kemudian ditulis kembali apa yang betul. Jika terlalu banyak tulisan yang salah, seluruh kertas terpaksa dikeronyok dan dibuang.

Agaknya oleh kerana generasi kini hanya perlu menekan delete dan apa yang salah boleh hilang dengan mudah, sikap tidak berhati-hati dan konsentrasi menulis generasi terdahulu tidak ada pada generasi pada hari ini.

Mereka yang sezaman dengan saya masing-masing mempunyai buku diari yang mencatat aktiviti, pemikiran dan perasaan. Ia ditulis pada malam hari sebelum esok menjelang. Tentulah menulis kisah hidup dalam sehari itu berupakan muhasabah diri atau terapi diri yang mujarab buat seseorang.

Sebaliknya mereka pada hari ini hanya mencatat fragmen-fragmen perasaan. Sekejap menceritakan fasal kesesakan lalu lintas, sekejap lagi mengenai apa yang mereka makan, kemudian mengenai ahli politik yang dibencinya. Semuanya rencam dan tidak tersusun sepertimana mencatat di diari.

Suatu ketika dahulu tatkala muncul internet dan terdapat aplikasi untuk blogging, ia merupakan suatu bentuk e-diari yang amat baik. Malangnya ia sudah tidak popular lagi. Kini, apa sahaja hanya dilutis sekadar dua tiga baris. Ia tidak mendalam untuk menyeluk ke dasar bawah sedar.

Berbalik kepada buku nota kecil yang saya gunakan, banyak juga isinya mengenai apa yang saya hendak buat. Ia bukannya seperti medan catatan pada hari ini di media sosial yang kebanyakkannya mengenai apa yang telah dibuat. 
Maknanya, buku nota kecil itu adalah mengenai esok, sedangkan apa yang banyak tercatat di media sosial ialah mengenai semalam yang tak boleh diubah melainkan hanya rakaman kisah lalu yang akan tenggelam.