Tuesday, March 27, 2018

STRESNYA BUAT AKHBAR DIGITAL


CABARAN AKHBAR
VERSI DIGITAL
MULAI Januari tahun ini,  team Sinar Harian memulakan transformasi penerbitan akhbarnya. Jika selama ini Sinar Harian memberi tumpuan kepada versi cetaknya, mulai Januari 2018 akhbar ini mula menumpukan pula kepada versi online. Jargonnya ~ digital first!
Inilah tuntutan pada hari ini. Khalayak pembaca mahukan berita yang cepat dan murah, terus ke dalam komputer atau telefon pintar mereka. Akhbar cetak harus dibeli untuk menatapnya. Berita digital boleh didapati secara percuma. Jadi, barang percumalah jadi pilihan.
Dalam pada jumlah cetakan akhbar semakin menggelongsor, jumlah bacaan atas taliannya kian meningkat. Akhbar cetak hanya ditatap oleh puluhan ribu pembaca. Versi digital Sinar Online dilayari oleh jutaan pembaca.
200 orang tenaga kerja Sinar Harian bertungkus lumus menghasilkan akhbar digital di sepanjang hari. Menjelang senja, akhbar versi cetak pula dicanai untuk para pembaca yang ingin menatap akhbar itu dalam bentuk fizikal pada esok hari.
Perubahan persembahan akhbar dari versi cetak kepada digital ini sebenarnya merombak sama sekali cara kerja akhbar itu sendiri. Kini, tidak ada lagi situasi stop press. Dahulu, sebaik sahaja ada berita mutakhir tiba ke meja pengarang ketika mesin cetak sedang berjalan, jentera dihentikan supaya berita terkini itu dapat dimasukkan. Kini, mesin cetak yang sedang bergerak tidak perlu dihentikan untuk memuatkan berita terkini. Sebaliknya, berita-berita mutakhir dimuatkan sahaja ke dalam versi online.
Dahulu, khalayak pembaca hanya disajikan dengan berita satu versi melalui kenyataan akhbar. Penyampaiannya mendatar, penuh dengan statistik dan fakta. Ia membosankan. Pembaca hanya memandangnya sekali lalu. Kini, berita itu boleh disertakan dengan reaksi atau komen orang lain. Ulasan-ulasan itulah yang memberi sudut pandang baharu kepada sesebuah kenyataan akhbar itu.
Oleh kerana akhbar berbentuk digital itu bersifat 24 jam,  semua berita yang sampai ada ruangnya. Kerana itu, tidak ada lagi istilah scoop atau eksklusif. Sesebuah akhbar itu dikatakan handal apabila memperoleh sesebuah berita yang scoop. Tetapi, keadaan itu tidak berlaku lagi.
Berita yang dikatakan scoop pada hari ini boleh sahaja menjadi sebuah berita basi apabila pihak lain menyampaikan berita dari sudut pandang yang berbeza. Kerana itu, pecahan kepada sesebuah berita yang dikatakan scoop itu boleh menjadikan sesebuah berita itu lebih segar daripada berita asal.
Persembahan digital pada hari ini membolehkan sesebuah berita itu menjadi bahan interaktif. Terdapat ruang agar yang ditatap itu dapat dikomen oleh para pembacanya.  

 
Walaupun tujuan asalnya sihat, namun ia kerap kali menjadi tidak baik bila ada di antara khalayak pembaca yang menggunakan ruang itu untuk memberi ulasan yang jahat. Akhirnya berita yang baik itu boleh menjelma menjadi sebuah berita yang buruk.
Satu lagi perbezaan di antara berita versi cetak dan versi digital ialah keterlibatan para pembaca untuk memberi maklumbalas agar berita yang salah fakta itu diperbaiki. Jika dalam versi cetak, sesebuah fakta yang silap itu hanya boleh diperbetul dengan memuatkan ruangan ‘RALAT,’ pada terbitan esok hari.
Kini, kesilapan fakta yang terjadi itu boleh diedit dan dikemaskini untuk diterbitkan semula dengan mudah.  Ada ketikanya pihak editorial akhbar yang sedar akan kesilapan itu. Ada masanya ia dikesan oleh para pembaca sendiri. Hubungan yang baik di antara pihak akhbar dan para pembacanya itulah yang mewujudkan kerjasama untuk memperbetul kesilapan.
Tidak timbul tanggapan bahawa pembetulan sesebuah fakta yang silap itu dibuat kerana pihak akhbar itu takut disaman atau kerana sengaja ingin memfitnah mana-mana pihak. Kononnya, apabila fitnah itu mendapat reaksi pihak akhbar tampil untuk memadam fitnahnya.
Sebenarnya, dunia pemberitaan secara digital itu mempunyai kadar stres sepuluh kali ganda daripada pemberitaan secara cetak. Dunia digital menuntut semua berita yang sampai itu ditatap sekarang, meskipun laporannya hanyalah sebaris ayat. Jika lambat, para pembaca akan lari untuk menatap berita yang seumpamanya di lain-lain portal ataupun mendapat maklumat daripada kenalan. Tak sempat hendak beragenda untuk menganjing mana-mana pihak.
Tetapi, kepantasan dan ketangkasan menyampaikan berita itulah yang menjadi ukuran kehebatan sesebuah akhbar. Jika lambat, akhbar itu akan dilupakan. Jika cepat, ia akan menjadi perhatian samada untuk dipuji atau dikeji.
Bagaimana pun, berita-berita yang buruk dari segi penerimaan pembaca itu kerap memberi pulangan yang tak disangka-sangka. Lagi buruk sesebuah berita itu dikutuk, lagi ramailah yang menatapnya. Lagi ramai yang menatap, lagi banyak iklan yang masuk ke ruang berita itu. Iklan menghasilkan pendapatan kepada akhbar.
Namun, apakah warga akhbar sengaja merancang dan mahu cari makan dengan menyajikan berita-berita yang buruk semata-mata untuk membuat duit? Jika anda orang surat khabar, apakah anda sendiri gembira dengan keadaan itu?
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.3.18.

Tuesday, March 20, 2018

PEMINAT BUKU DAH LARI


KENAPA KEDAI BUKU
MAKIN SUNYI?
HUJUNG minggu lalu saya ke gedung buku yang dah lama saya tidak kunjungi. Premisnya yang terletak di sebuah kompleks membeli belah itu kelihatan cantik berseri kerana terang dengan lampu-lampunya. Pencahayaan yang terang adalah di antara elemen penarik para pelanggan, sesuai sebagai sebuah kedai buku.
Ia berbeza dengan penataan cahaya kafe yang sedikit suram agar pelanggan dapat merehatkan mata dan fikiran atau pencahayaan di disko yang gelap tetapi disimbahi lampu-lampu yang berkelip-kelipan untuk merangsang naluri semi-fantasi. Yang pasti, pencahayaan di panggung wayang seharusnya gelap gelita di waktu tayangan filemnya.
Saya perhati ke sekeliling sebaik sahaja melangkah masuk. Terdapat rak buku-buku baharu. Di dinding berhampiran pintu masuk juga terdapat carta buku terlaris dan naskhah-naskhah buku yang terpilih. Kemudian terdapat rak demi rak yang dipenuhi buku kategori undang-undang, ekonomi, bisnes, pengurusan, motivasi, biografi, novel, buku-buku teks dan komik.
Saya juga nampak kedai buku itu kini dipenuhi dengan alat-tulis. Pen, pensil, pensil warna, kertas, klip dan apa sahaja nampaknya sudah menakluki sepertiga ruang di kedai buku itu. Saya terpandang dua petugas sedang menyusun fail-fail dan aksesori meja. Wah, nampaknya barang-barang alat tulis akan mengambil lebih ruang dalam seminggu dua lagi.
Saya ke rak buku-buku pemasaran. Mencari sebuah buku berjudul ‘Positioning: The Battle for Your Mind’ kerana buku yang saya ada dah hilang dari simpanan. Saya berdiri, meneleng, membongkok dan mencangkung mencari buku itu. Tapi tak jumpa. Saya pandang ke sekeliling mencari bantuan petugas.
Ada tiga orang petugas di luar kaunter. Mereka kesemuanya sedang sibuk menyusun alat tulis di rak, mengalih buku dan menyusun buku-buku dari kotak. Saya gamit salah seorang dari mereka. Sambil tersenyum, gadis itu datang menghampiri. Saya jelaskan hasrat saya.
Agaknya beban buku yang ditatangnya itu berat. Sambil menggunakan bibirnya untuk mengunjuk arah, dia berkata kesemua buku-buku pemasaran hanya terdapat di rak di sebelah saya. Katanya lagi, jika tak terdapat buku yang dikehendaki itu di situ, bermakna di kedai buku itu tiada judul buku yang dimaksudkan.
Baharu sahaja saya hendak membuka mulut bertanya mengenai sebuah judul buku yang lain, gadis itu sudah pun berlalu. ‘Oh, dia sibuk,’ kata saya di dalam hati seraya mengeluh. Memang saya dah anggap situasi ini akan terjadi di kedai buku. Malah sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan kedai buku.
Hingga saya punyai tanggapan, apabila kita ke kedai buku, bersedialah untuk mencari buku sendiri, membelek, membayar dan kemudiannya nyah dari situ. Dari saat kita masuk ke kedai dan keluar setelah membayar atau jika tidak jadi membeli pun, jangan hairan seandainya kita tidak disapa langsung oleh promoter buku.
Situasinya berbeza apabila kita pergi ke kedai mekap, kedai kasut, kedai komputer, kedai perabot, kedai jamu, kedai farmasi dan kedai pakaian. Ada premis perniagaan yang menyuruh para petugasnya memberi ucapan ‘selamat datang’ secara serentak sebaik sahaja kita melangkah masuk ke kedai mereka. Mat Bangla di stesen minyak pun menyapa kita meskipun kita gerenti membeli minyak apabila ke stesen.
Pantang apabila melihat kita berkeliaran atau melilau… pasti salah seorang promoter di mana-mana kedai pun akan menghampiri untuk membantu. Namun, apabila kita ke kedai buku situasinya… hmm.
Sebenarnya, sikap tuanpunya perniagaan yang tidak melatih para promoternya untuk mempelajari product knowledge itulah yang menjadikan para petugas mereka tidak petah dan ramah melayani para pelanggan di kedai buku. Seandainya melayani para pelanggan dijadikan prosedur standard operasi, pasti lebih ramai dari para pelanggan yang datang ke kedai buku akan keluar dengan pembelian.
Kedai buku merupakan point of sales. Bagaimana sesebuah buku yang dikarang selama berbulan-bulan, dicetak beribu naskhah, dipromosi di pelbagai media ataupun diperkenalkan secara bisik-bisik sesama peminat buku itu tidak memperoleh keistimewaan yang sepatutnya apabila ia terpamer di kedai-kedai buku?
Sikap endah tak endah terhadap buku-buku yang terpamer itu sendiri merupakan suatu ketidakadilan kepada industri buku itu sendiri. Ia menggambarkan parahnya mereka di dalam hiliran industri kerana tidak bersungguh-sungguh menjual buku. Kerana itu, jangan mengeluh seandainya jualan buku merudum.
Jika aspek mempromosi buku secara one-to-one ini tidak ditangani segera, apa nak hairan jika rakyat Malaysia kembali untuk membaca hanya dua halaman setahun seperti laporan tabiat membaca oleh UKM pada tahun 1997 atau lebih buruk lagi hanya membaca satu halaman setahun seperti kajian UPM pada tahun 1983.
Apabila itu terjadi, kita mengundur lebih 30 tahun ke belakang dalam usaha menjadikan membaca suatu budaya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.3.18.

Tuesday, March 13, 2018

BELAJAR TERUS BELAJAR!

USAH RISAU
BERDEPAN HAL BAHARU

SEMUA perkara yang kita hadapi buat pertama kali  adalah bersifat baharu. Semua kemahiran baharu yang kita buat itu pula kita pelajari dari orang yang mengajar kita, melalui pemerhatian, pembacaan ataupun melalui pengalaman sendiri.
Di zaman kanak-kanak, kita belajar senyum, ketawa, marah dan pelbagai perasaan lain apabila diajar oleh ibu dan bapa. Mimik-mimik wajah itu diajuk daripada perbuatan mereka. Apabila kita membesar, orang tua kita mengajar pula perbuatan-perbuatan mudah seperti membuang sampah ke dalam tong, mengemas mainan mahupun cara menyantuni diri ketika bersalaman.
Kemudian, kita diajar perkara-perkara yang lebih kompleks seperti cara melintas jalan, cara menaiki kenderaan awam, membeli jajan di kedai, menghenjut buaian adik yang menangis dan juga bersolat.
Apabila memasuki sekolah, kita belajar pula melalui kelas yang disampaikan guru-guru. Kita dilatih cara menghitung, menulis dan membaca. Perkara-perkara yang lebih kompleks seperti semangat berpasukan, disiplin, hukuman dan hadiah juga kita pelajari. 
Selain daripada latihan formal, kita juga mula belajar melalui pengalaman yang menimpa diri. Apabila wang saku hilang kerana kelalaian dan kita terpaksa berlapar,  ditimpa hujan dalam perjalanan pulang dari sekolah atau lari apabila dikejar anjing adalah latihan survival yang kita lalui.  Situasi-situasi ini juga adalah perkara baharu yang dipelajari melalui pengalaman.
Dalam pada itu, banyak sekali pelajaran itu kita peroleh melalui pemerhatian mahupun tontonan.  Rancangan drama atau dokumentari di televisyen atau video di internet banyak sekali mengajar kita secara berkesan kerana persembahannya berbentuk audio visual. Pembacaan di buku mahupun internet turut memberi tunjuk ajar kepada kita dalam menimba ilmu.
Betapa pun, apabila kita berdepan dengan sesuatu yang baharu, perasaan bimbang dan ragu menjelma di hati. Risau seandainya kita tidak boleh menangani dan menguasai apa yang kita hadapi.
Apabila kita dinaikkan pangkat dan diberi tanggungjawab yang lebih besar, kita jadi gusar. Apabila syarikat memaklumkan sistem baharu dalam pengurusan, kita berasa ia sesuatu yang begitu payah kita kuasai. Apabila muncul aplikasi baharu komputer, kita cepat berasa bingung dan lambat sekali mempelajarinya kerana kita sebenarnya tidak yakin dengan kebolehan sendiri.
Mengapa ini terjadi? Bukankah sedari kecil lagi, setiap kali datang sesuatu perkara yang perlu kita pelajari, kita boleh menguasainya? Perkenalkan apa sahaja kepada kita. Kemudian kita diberi penerangan, taklimat, latih tubi, ulangkaji dan amali. Akhirnya apa yang kita itu tak tahu akan kita kuasai.
Kita semua yang cukup sifat, boleh berjalan dan berlari seperti orang lain. Semua daripada kita boleh membaca. Semua pandai melakukan kerja-kerja kecil yang boleh dilakukan oleh orang lain seperti mengupas telur, mengetatkan skru, menghidupkan dapur mahupun memanggil kucing untuk diberi makan atau lari apabila dikejar lembu!
Maknanya, apa yang kita hadapi buat pertama kali itu sebenarnya sudah dihadapi dan diatasi oleh ratusan ribu manusia lain dengan baik dan jayanya. Boleh dikatakan tidak ada benda yang kita hendak lakukan pada hari ini tidak pernah dilakukan orang lain. Sebelum kita buat sesuatu perkara itu, sudah ada sekurang-kurangnya seorang manusia lain yang pernah berjaya melakukannya.
Jika kita hendak menyelam ke lautan dalam, mendaki Everest, mengembara di gurun Sahara mahupun merentas Antartika... semua perkara-perkara ini sudah dilakukan oleh ribuan orang yang lain. Oleh itu, apalah sangat jika kita kena lakukan sesuatu yang baharu, yang sebenarnya dah lama orang lain buat?
Sebenarnya, apa yang dirisaukan itu bukannya kebimbangan kepada kegagalan menguasai sesuatu yang baharu itu sendiri. Sebaliknya ia adalah kerana kita tidak selesa berdepan dengan pola aktiviti yang mengganggu rutin dan zon selesa kita sendiri!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.3.18.

Tuesday, March 6, 2018

MENCARI SEBUAH PETA SEBENAR


KE MANA ARAH
PERJALANAN KITA?

SESUNGGUHNYA hidup ini adalah sebuah perjalanan. Mahu atau tidak mahu, kita mesti bergerak. Orang kata, kalau tak bergerak, kita akan ketinggalan. Namun, bergerak ke mana? Ke suatu arah yang selamat. Bagaimanakah kita hendak tahu samada kita sedang bergerak ke arah yang selamat sedangkan kita tidak tahu di manakah kita berada?

Andainya kita di tempat yang selamat, buat apa berjalan ke daerah yang mungkin tidak seselamat seperti di sini? Persoalannya, bagaimanakah kita tahu kita kini berada di tempat yang selamat? Jika begitu, kita perlu ada peta. Peta itulah yang akan menentukan arah perjalanan kita ke tempat yang selamat.

Tetapi, nanti dulu. Dari mana kita nak dapatkan peta itu? Dan kita mesti dapatkan peta yang betul, bukannya peta yang kita tidak tahu dari asal usulnya. Jika tidak, barangkali kita akan dapat peta yang palsu, yang bukan membawa kita ke tempat yang selamat, tetapi sebaliknya ke jalan yang jahanam.

Peta apakah yang betul, yang boleh membawa kita ke tempat yang selamat? Tentu sekali, al-Quran. Peta ini sahih. Ia wahyu ALLAH S.W.T yang disampaikan kepada Rasulullah S.A.W oleh Jibril A.S. Kemudian dipanjang secara lisan, mulut ke mulut hingga dicatat ke atas pelepah kamar dan akhirnya dijilidkan seperti hari ini. Inilah peta untuk perjalanan hidup. Ini jugalah peta untuk perjalanan maut.

Ramai sekali kita yang tahu bahawa al-Quran itu juga peta. Tetapi, ramai juga yang masih tidak mahu mengambilnya sebagai teman berjalan di bumi ini. Mereka mencari peta-peta kejayaan selain daripada al-Quran yang hanya memberi pandu arah perjalanan setakat di dunia sahaja.

Maknanya, peta separuh jalan atau peta yang akan membawa ke jalan mati. Dead end! Apa guna membawa peta tak lengkap yang kemudiannya dibuang kerana tiada berguna, malah kita sesat semula? Wal hasil balik asal, Pi mai pi mai tang tu juga.

Sebab itulah,  kita bijak bila mengambil al-Quran sebagai peta. Ia peta pelbagai fungsi sebagai manual, prosedur operasi standard, skrip dan kompas yang akan menunjukkan dua fasa perjalanan. Yang pertama, perjalanan penuh cabaran onak, duri, gunung dan gaung. Yang kedua, perjalanan bahagia di atas bahagia.

Tetapi, al-Quran sebagai peta sebenar perjalanan ini mencatatkan apa yang betul. Betul dalam ertikata bila kita mengikuti peta ini, ia akan melewati lorong yang sempit dan sesak. Laluan menurunnya berduri, berlopak, curam, licin dan bergaung. Hala mendakinya penuh berbatu, jalan-jalan terhalang yang perlukan kesabaran untuk sampai ke puncak.

Dalam pada itu, peta ini juga menunjukkan jalan-jalan di kiri dan kanan yang nampaknya indah-indah. Lorong-lorongnya menuju ke kawasan penuh bercahaya lagi berwarna-warni yang indah terjulang ke langit. Ada banyak sekali denai-denai yang menghala ke gua yang mana datangnya irama indah lagi mengasyikkan.

Namun, peta yang mencatat wilayah-wilayah ini  di al-Quran tidak memaksud mengajak kita ke sana. Ia hanyalah ujian untuk melatih kita supaya fokus dengan apa yang kita lakukan. Oleh kerana itu, tatkala melangkah dalam perjalanan, lalui sahaja tanpa menoleh. Apa jua yang datang, walau mempesona, hanya mahu kita berhenti lalu terlupa asal tujuan perjalanan kita.

Dalam pada itu, perjalanan hidup akan disulam dengan yang yang sakit dan sukar. Namun, andainya kita mengerti prinsip putaran alam… siang berganti malam, pasang berganti surut, patah tumbuh dan hilang berganti; apa jua yang sukar itu harus dilewati jua. Sudah namanya perjalanan… kesemuanya akan berlalu dan ditinggalkan dalam lipatan simpang-simpang kehidupan.

Rujuklah al-Quran sebagai panduan dalam perjalanan hidup ini. Ia adalah peta kehidupan yang mudah yang tidak terdapat di peta-peta lain ciptaan manusia. Ia adalah kerana, jalan laluannya simple. Ia lurus. Tiada bengkang-bengkok. Bila kita ikut jalan yang ini, kita akan sampai ke tempat penuh kesenangan dan kebahagiaan yang hakiki.

Oleh itu, sisipkan ayat-ayatnya di dada pada setiap waktu. Nescaya, kita akan berasakan apa jua yang berlaku di sekeliling kita ini sebenarnya tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Ini akan membuatkan kita tenang menangani apa jua cabaran dan ujian yang mendatang.

 Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang mu'min yang mengerjakan amal shalih bahwa bagi mereka ada pahala yang besar. ~  Al-Israa' : 9.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.3.18.