Tuesday, March 13, 2018

BELAJAR TERUS BELAJAR!

USAH RISAU
BERDEPAN HAL BAHARU

SEMUA perkara yang kita hadapi buat pertama kali  adalah bersifat baharu. Semua kemahiran baharu yang kita buat itu pula kita pelajari dari orang yang mengajar kita, melalui pemerhatian, pembacaan ataupun melalui pengalaman sendiri.
Di zaman kanak-kanak, kita belajar senyum, ketawa, marah dan pelbagai perasaan lain apabila diajar oleh ibu dan bapa. Mimik-mimik wajah itu diajuk daripada perbuatan mereka. Apabila kita membesar, orang tua kita mengajar pula perbuatan-perbuatan mudah seperti membuang sampah ke dalam tong, mengemas mainan mahupun cara menyantuni diri ketika bersalaman.
Kemudian, kita diajar perkara-perkara yang lebih kompleks seperti cara melintas jalan, cara menaiki kenderaan awam, membeli jajan di kedai, menghenjut buaian adik yang menangis dan juga bersolat.
Apabila memasuki sekolah, kita belajar pula melalui kelas yang disampaikan guru-guru. Kita dilatih cara menghitung, menulis dan membaca. Perkara-perkara yang lebih kompleks seperti semangat berpasukan, disiplin, hukuman dan hadiah juga kita pelajari. 
Selain daripada latihan formal, kita juga mula belajar melalui pengalaman yang menimpa diri. Apabila wang saku hilang kerana kelalaian dan kita terpaksa berlapar,  ditimpa hujan dalam perjalanan pulang dari sekolah atau lari apabila dikejar anjing adalah latihan survival yang kita lalui.  Situasi-situasi ini juga adalah perkara baharu yang dipelajari melalui pengalaman.
Dalam pada itu, banyak sekali pelajaran itu kita peroleh melalui pemerhatian mahupun tontonan.  Rancangan drama atau dokumentari di televisyen atau video di internet banyak sekali mengajar kita secara berkesan kerana persembahannya berbentuk audio visual. Pembacaan di buku mahupun internet turut memberi tunjuk ajar kepada kita dalam menimba ilmu.
Betapa pun, apabila kita berdepan dengan sesuatu yang baharu, perasaan bimbang dan ragu menjelma di hati. Risau seandainya kita tidak boleh menangani dan menguasai apa yang kita hadapi.
Apabila kita dinaikkan pangkat dan diberi tanggungjawab yang lebih besar, kita jadi gusar. Apabila syarikat memaklumkan sistem baharu dalam pengurusan, kita berasa ia sesuatu yang begitu payah kita kuasai. Apabila muncul aplikasi baharu komputer, kita cepat berasa bingung dan lambat sekali mempelajarinya kerana kita sebenarnya tidak yakin dengan kebolehan sendiri.
Mengapa ini terjadi? Bukankah sedari kecil lagi, setiap kali datang sesuatu perkara yang perlu kita pelajari, kita boleh menguasainya? Perkenalkan apa sahaja kepada kita. Kemudian kita diberi penerangan, taklimat, latih tubi, ulangkaji dan amali. Akhirnya apa yang kita itu tak tahu akan kita kuasai.
Kita semua yang cukup sifat, boleh berjalan dan berlari seperti orang lain. Semua daripada kita boleh membaca. Semua pandai melakukan kerja-kerja kecil yang boleh dilakukan oleh orang lain seperti mengupas telur, mengetatkan skru, menghidupkan dapur mahupun memanggil kucing untuk diberi makan atau lari apabila dikejar lembu!
Maknanya, apa yang kita hadapi buat pertama kali itu sebenarnya sudah dihadapi dan diatasi oleh ratusan ribu manusia lain dengan baik dan jayanya. Boleh dikatakan tidak ada benda yang kita hendak lakukan pada hari ini tidak pernah dilakukan orang lain. Sebelum kita buat sesuatu perkara itu, sudah ada sekurang-kurangnya seorang manusia lain yang pernah berjaya melakukannya.
Jika kita hendak menyelam ke lautan dalam, mendaki Everest, mengembara di gurun Sahara mahupun merentas Antartika... semua perkara-perkara ini sudah dilakukan oleh ribuan orang yang lain. Oleh itu, apalah sangat jika kita kena lakukan sesuatu yang baharu, yang sebenarnya dah lama orang lain buat?
Sebenarnya, apa yang dirisaukan itu bukannya kebimbangan kepada kegagalan menguasai sesuatu yang baharu itu sendiri. Sebaliknya ia adalah kerana kita tidak selesa berdepan dengan pola aktiviti yang mengganggu rutin dan zon selesa kita sendiri!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.3.18.

No comments:

Post a Comment