Tuesday, August 14, 2018

KITA DATANG DALAM SEBUAH PAKEJ


KITA TIDAK SEBAIK MANA PUN
Anak saudara saya tertawa melihat video adegan filem Seniman Bujang Lapuk arahan P. Ramlee. Ketawa kerana terdapat adegan watak sultan yang marahkan permaisuri hingga ‘tak akan mengampun dunia akhirat’ dan ingin pula memancung leher permaisurinya.
Apa yang menggelikan hati ialah, kesalahan permaisuri bukannya besar. Dia hanya terlupa memasukkan belacan di dalam sayur asam yang dimasaknya. Sultan yang menggemari belacan, begitu marah kerana ramuan kegemarannya tidak dimasukkan ke dalam hidangan. Adegan itu kononnya adalah sebuah penggambaran filem di studio.
Sedang sultan menghamburkan kemarahannya, tiga bujang lapuk, Ramlee, Sudin dan Aziz muncul. Tanpa memahami bahawa ia adalah sebuah penggambaran, Sudin yang melihat ketidakrasionalan sultan terus tampil memarahi dan menumbuk baginda.
Pasti tindakan Sudin menimbulkan ribut di studio itu. Tapi dia memukul sultan kerana baginda ingin menghukum isterinya hanya kerana satu kesalahan kecil. Kelakar, sememangnya kelakar. Namun, tindakan kelakar itulah yang selalu kita buat di alam realiti.
Baru-baru ini, kita lihat video tular di mana seorang kanak-kanak ditolak oleh pengasuh hingga jatuh dari kerusi hanya kerana tidak tahu menjawab soalan. Budak itu tidak salah kerana tidak tahu. Pengasuh itu bersalah kerana tidak mengajar walaupun dia tahu. Ada juga video tular kes menggesel kereta kerana tidak puashati ada kenderaan menghalang jalan. Akibat marah melampau, kereta sendiri pun kena dicat kerana tercalar.
Marah itu panas. Kepanasan dari syaitan. Orang marah dianjurkan mengambil wuduk untuk menyejukkan tubuh. Daripada sudut biologi, apabila kita marah, jantung kita pantas bekerja hingga kita tidak cukup oksigen. Kita memerlukan 95 % hingga 100 % oksigen. Apabila oksigen kurang di dalam tubuh, fikiran kita jadi tak menentu.
Banyak kes pesakit terlantar yang memerlukan oksigen mula menghidap hypoxemia, iaitu meracau bila oksigen kurang dari 95%. Barangkali kita tidak boleh berfikir dengan baik apabila kita termengah-mengah sebab kekurangan oksigen.
Marah dan menjeritlah sepuas-puasnya di dalam hati. Tetapi apabila kemarahan itu terhambur dan terlafaz, mahupun direkodkan dalam bentuk tulisan, maka kita berada di dalam situasi ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’
Semua ini berlaku kerana kita tersilap dalam pertimbangan. Orang yang disayang mungkin hanya mengajak makan di luar. Oleh kerana kesibukan, kita membebel menceritakan apa yang kita sedang lalui.
Pelawaan yang manja juga boleh bertukar hangat apabila yang mengajak mula menjawab dan mengungkit. Hal-hal mengenai jalan-jalan bersama boleh melarat hingga menyentuh mengenai soal perhubungan. Bila diapi-apikan dengan jawapan dalam keadaan marah, ia boleh membawa kepada pertengkaran hingga bermasam muka.
Seharusnya kita mesti melihat mereka di sekeliling kita dari kacamata yang menyeluruh. Semua orang ada baik. Semua orang juga ada buruknya. Dan mereka di sekeliling kita lebih banyak baik daripada buruk.
Seandainya berlaku apa yang tidak berkenan di hati, apa yang kita tidak sukai itu hanyalah satu daripada berpuluh-puluh perangai baiknya. Pertimbangkan secara menyeluruh dan kita akan dapati kesalahan mereka tidak sebesar mana pun.
Rakan di meja sebelah mungkin suka membawang. Sekali sekala apabila kita jadi mangsa, tidak bolehlah kita membuang dia. Dia mungkin seorang yang peramah, suka membelanja asam, rajin menolong dan di bahunyalah tempat kita melepas tangisan.
Lihatlah orang yang disayangi itu sebagai sebuah pakej. Jika kita sukakan dia kerana kecantikannya, budi pekertinya, seorang pendengar yang baik, janganlah pula sendawanya yang kuat itu terus menjadikan kita membencinya. Ia hanyalah satu-dua kekurangan dia sebagai manusia.
Begitu juga mereka yang berpengaruh di sekeliling kita samada orang politik, ahli sukan, selebriti, usahawan dan ustaz. Sekali kebaikan yang dia lakukan, berganda-ganda pahala yang dia boleh dapat berbanding dengan kita. Mengapa pula apabila satu-dua kesilapan kata dan keputusan yang dia buat itu boleh menjadikan kita hakim untuk mencerca dia sampai mati?
 Kita pun tidaklah seelok dan sebaik mana pun. Cermin diri.

No comments:

Post a Comment