piccredit: naturalworldsafaris
DI ANTARA SPECIALIST
DAN GENERALIST
ORANG di kampung lazimnya punyai pelbagai kebolehan
dan kemahiran. Untuk kehidupan seharian, mereka boleh membela ayam-itik, atau
lembu-kerbau. Apabila tiba waktunya binatang ternakan itu boleh dijual atau
disembelih sendiri. Mereka boleh bercucuk tanam, mengambil hasil untuk kegunaan
sendiri atau menjualnya.
Membela binatang ternak, menyembelih mahupun
menjualnya hasil belaan mereka memerlukan kemahiran ~ kemahiran ilmu ternakan,
ilmu niaga dan ilmu butchery. Bertani
pun memerlukan seseorang itu mempunyai ilmu pertanian dan ilmu niaga. Ramai juga di kalangan mereka yang mengetahui
ilmu herba. Mereka punyai ilmu khasiat pelbagai tumbuhan di sekitar kawasan
rumahnya.
Orang di bandar sebaliknya punyai ilmu yang terhad.
Kemahiran ilmu yang ada lazimnya ilmu di bidang kerjayanya sendiri. Jika mereka
bertugas di jabatan akaun, mereka punyai ilmu perakaunan. Jika punyai kelulusan
pemasaran, mereka punyai ilmu pemasaran.
Mereka yang tinggal di bandar biasanya adalah mereka
yang mencari rezeki dengan kelulusan yang ada. Sebilangan besar daripada mereka
bekerja dengan syarikat. Dan syarikat pula hanya perlu mereka yang punyai
kemahiran khusus di dalam sesuatu bidang.
Justeru jika dibandingkan di antara mereka yang
tinggal di kampung dan yang tinggal di bandar, jumlah individu yang punyai
pelbagai kemahiran biasanya terdapat di kampung-kampung. Sebaliknya di bandar
pula, mereka yang punyai kelulusan yang khusus itu lebih ramai.
Dunia sudah berubah. Jika seseorang itu hanya lulus
di dalam sesuatu bidang, ia tidak dapat
menjamin survival seseorang itu. Lebih-lebih lagi jika dia percaya bahawa
kelulusannya itu adalah sesuatu yang begitu istimewa sehingga tidak mahu
mengenepikannya langsung lalu menambah sesuatu kemahiran yang baharu. Orang
yang begini akan ketinggalan, meskipun dia tahu yang dia tidak mungkin dapat survive dalam keadaan yang banyak berubah.
Mengapa, dalam keadaan dunia yang sudah berubah ini
terdapat begitu ramai di kalangan mereka yang begitu mengagungkan kelulusan
yang ada hingga mengabaikan keperluan memperoleh sesuap nasi? Puncanya mungkin
kerana program pendidikan kita sendiri yang merancang untuk matlamat yang sudah
lapuk.
Program pendidikan di pusat-pusat pengajian masih
lagi berpegang kepada matlamat untuk melahirkan mereka bagi mengisi keperluan
industri. Kerana itu, pusat-pusat
pengajian memainkan peranan sebagai kilang sumber manusia. Lazimnya, tempoh
latihan bagi mana-mana pengajian mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.
Jika dahulu, model industri tidak banyak berubah
meskipun dalam tempoh puluhan tahun. Tetapi keadaan pada hari ini sudah jauh
berubah. Tiga tahun adalah masa yang terlalu lama kerana teknologi berubah
begitu pantas. Oleh kerana itu, 1,000 pelajar yang dilatih bagi sesuatu
kemahiran untuk pelan tiga tahun misalnya, akan mendapati bidang yang
ditawarkan sudah tiada lagi apabila mereka tamat latihan.
Malangnya, tiada sesiapa yang memberitahu secara
rasmi perubahan yang berlaku. Oleh kerana itu, mereka yang terpilih dan lulus
di dalam sesuatu bidang itu masih menaruh harapan bahawa kemahirannya akan
diperlukan. Lantas mereka menanti buah yang tak gugur.
Pada hari ini, adalah lebih
baik menjadi generalist daripada
menjadi seorang specialist. Lebih praktikal
menjadi orang yang serba tahu daripada menjadi seseorang pakar dalam hanya
sesuatu bidang. Seseorang generalist
akan mampu membuat pelbagai tugas atau multi-tasking
~ seseorang yang dua dalam satu, tiga dalam satu ataupun lima dalam satu.
Seseorang generalist mampu melaksanakan pelbagai
kerja itu menguntungkan syarikat. Dia menjadi aset kerana dia adalah seorang
kakitangan yang misalnya, punyai kemahiran lima orang pekerja.
Burung penguin itu cantik dan
suka dipandang. Tetapi ia hanya boleh hidup di dalam cuaca yang sejuk.
Makanannya hanyalah ikan. Maknanya, penguin tidak dapat hidup di kawasan yang
panas, jauh daripada laut dan makan selain daripada ikan. Kebarangkaliannya
untuk hidup di luar habitatnya amat mustahil.
Sebaliknya, makhluk tikus
pula boleh tinggal di mana-mana sahaja. Ia hidup di bandar, di kampung, di
hutan, malah di padang pasir. Ia boleh makan apa sahaja termasuk kayu dan
plastik! Tikus yang generalist itu
lebih mudah survive berbanding dengan
burung penguin yang specialist.
Justeru, jika ingin hidup
dalam dunia yang serba mungkin ini, kita perlu tahu dan boleh buat apa sahaja.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.7.17...
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.7.17...
No comments:
Post a Comment