PRU-14: APA
PENGUNDI MAHU?
PETANG ini, sekali lagi Sinar
Harian menganjurkan Wacana Sinar. Siri ke-48 ini membicarakan sebuah topik yang
hangat ~ Pakatan Harapan VS Barisan Nasional; Mari Kita Nilai. Tiga orang tokoh
yang berpengalaman telah sudi untuk membicarakan topik ini.Moderator wacana ini ialah Nazri Kahar dari Astro Awani.
Panel pertama, Dr. Maszlee
Malik, memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance, University of Durham, UK. Pensyarah kanan di Jabatan Fiqh & Usul
al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM ini juga adalah
seorang pendakwah dan aktivis sosial yang juga telah menulis tidak kurang 10
buah buku yang antaranya berjudul Al-Aqsa Di Ambang Kehancuran.
Prof
Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani pula adalah seorang pensyarah di School of
International Studies, UUM. Lulusan pengajian Politics And International Relations, Keele University, United Kingdom ini
juga tekah menulis beberapa buah buku, termasuk yang terkini, buku berjudul
Dinamika Wacana Politik Malaysia dan Global yang terbit pada tahun ini. Beliau
juga telah menulis berbelas buah jurnal dan berpuluh buah penyelidikan mengenai
politik antarabangsa.
Panel
ketiga, Wan Saiful Wan Jan adalah Ketua Eksekutif IDEAS, atau Institute for Democracy and Economic
Affairs, sebuah institusi penyelidikan yang memegang prinsip keadilan dan
kesaksamaan yang mengusahakan solusi terhadap dasar-dasar rakyat. Beliau pernah
menganggotai pelbagai badan penasihat yang di antaranya Commonwealth Policy Studies Unit, Parti Konservatif Britain. Buah pemikirannya pernah mendapat
perhatian media antarabangsa termasuk BBC,
Reuters, Asian Wall Street Journal, International Herald Tribune, Al-Jazeera dan The Economist. Kini, beliau adalah
kolumnis di akhbar The Star.
Semakin sehari, semakin terbentuk
senario yang bakal berlaku pada PRU-14. Pakatan Harapan sudahpun menghantar
cadangan logonya ke Pendaftar Pertubuhan. Apabila diluluskan, buat kali
pertama, parti pembangkang akan berkongsi bendera yang sama. DAP, PKR, Amanah
dan Bersatu telah berkompromi untuk mempunyai identiti yang serupa bagi
menentang Barisan Nasional. Imej dacing warna putih berlatarbelakangkan warna
biru gelap akan digandingkan dengan tulisan berwarna putih HARAPAN, dengan
latarbelakang warna merah.
Merah lawan biru. Bagi yang sudah
terbiasa dengan bendera BN mereka mudah kenal kumpulan manakah yang empunya
bendera itu. Buat mereka yang memandang bendera Pakatan Harapan, imej itu
adalah sesuatu yang pelik kerana ia sebuah simbol baharu. Bendera Pakatan
Harapan perlu menenggelamkan imej
bendera Barisan Nasional sebelum orang awam selesa dengan kehadiran
bendera itu. Memenangi hati melalui bendera adalah tugas yang berat buat
Pakatan Harapan. Berat kerana ia soal memenangi hati; soal psikologi.
Kedua-dua kumpulan mempunyai
tokoh-tokoh yang terkenal lagi berkaliber. Isu-isu yang berat akan dibicarakan.
Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,
Dr. Liow Tiong Lai, Tun M, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamed
Sabu mahupun Dr. Wan Azizah. Tetapi yang akan menjadi tarikan audien ialah
siapakah yang bercakap itu. Walaupun ia belum pasti diterjemah menjadi undi,
tetapi pada kali ini, kedua-dua pihak punyai peluang yang sama rata untuk
menarik perhatian.
Isu-isu yang dibentangkan belum tentu
akan kekal di dalam fikiran para pengundi. Apa jua jenis habuan, insentif
mahupun hadiah akan menggembirakan tetapi tidak semestinya dikenang. Begitu
juga sebaliknya hal-hal skandal, penyelewengan, kecuaian dan seumpamanya hanya
akan diperkata dan diperheboh, tetapi tidak akan lekat di fikiran.
Pengundi sendiri pun bukan seperti
pengundi dahulu yang lurus, jujur dan baik-baik hingga sanggup memaafkan,
angguk-angguk dan mengenang budi. Para pengundi sendiri pun ramai yang punyai
pelbagai dosa-dosa peribadi hingga tidak berasa hairan jika ada pemimpin yang
berdosa lebih besar daripadanya. Mereka tidak akan mengundi berdasarkan siapa
yang lebih kecil dosanya.
Lagipun, manusia pada hari ini punyai
ingatan yang singkat. Hari ini dia marah, esok dia boleh suka kembali. Perkembangan
teknologi dan kehidupan manusia itu sendiri yang menjadikan manusia sentiasa
memandang ke hadapan dan jarang-jarang sekali menoleh ke belakang.
Cerita-cerita semalam tidak akan lekat jika diungkit-ungkit. Lebih baik ditutup
sahaja sehingga para pengundi terlupa. Pengundi pada hari ini hendakkan hari
esok yang gemilang, bukan marah-marah mengenai semalam yang penuh hitam.
Pengundi hendak tahu apa yang ada
untuk mereka sebelum menurunkan undi. Mutiara kata, ‘jangan tanya apa yang
negara boleh buat untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh buat untuk
negara’ sudah menjadi sekadar ‘apa yang negara boleh buat untuk aku.’
Inilah mantra di hati pengundi. Barisan
Nasional dan Pakatan Harapan perlu penuhi kehendak ini. Mungkin aspek ini akan dikupas para panel nanti.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.7.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.7.17.
No comments:
Post a Comment