SAYA teringat semula zaman persekolahan. Ketika di sekolah rendah dan menengah
rendah dahulu, saya dan kawan-kawan ada jugalah menakal dan menjahat. Di kala
itu, pernah terjadi pertengkaran dan pergaduhan hingga bertumbuk. Cuma
bertumbuk pada waktu itu, seorang dengan seorang. One-to-one. Tidak seperti sekarang di mana 10 orang membelasah
seorang! Tak terer langsung!
Pergaduhan
sampai bertumbuk pun kerana punca yang kecil-kecil. Misalnya, bertumbuk kerana
si pengadu melaporkan kepada guru disiplin mengenai si polan yang hisap rokok.
Ataupun ia terjadi kerana si A mencuri kotak pensil si B. Ataupun pergaduhan
kerana A memancitkan tayar basikal B. Tidak ada yang besar-besar.
Cuma, yang
menarik ialah sebelum berlengan, ada pula seorang pengadil yang juga tukang
provok. Dia akan melukis garisan panjang di antara si A dan si B yang hendak
bergaduh. Di depan si A, dia akan melukis bulatan kecil dan berkata… ‘Ini
kepala bapak B.’ Di depan si B pula si pengadil akan berbuat yang serupa dan
berkata… ‘Ini kepala bapak A!’
Sudah
menjadi ritual yang difahami kami, A akan memijak lukisan ‘kepala Bapak B’ dan
B pula memijak lukisan ‘kepala bapak A.’ Provokasi kecil itu boleh menaikkan
amarah. Lalu masing-masing pun bergocoh. Setelah bibir berdarah, mata lebam
diiringi dengan libasan rotan guru besar, baharulah masing-masing membatu. Pada
keesokan harinya, A dan B berkawan seperti tiada apa-apa yang terjadi.
Saya
bersekolah Inggeris. Ada pelbagai kaum yang belajar. Melayu, Cina, India dan
Sikh. Sekali sekala apabila berlaku perselisihan faham, masing-masing ada juga
gelar menggelar dan ejek mengejek. Kata-kata seperti, ‘Melayu balik kampung,
tanam kangkung,’ ‘Cina balik Tongsan,’ ‘India mabuk’ dan menyentuh serban rakan
Sikh sambil menyebut ‘doot,’ tidak akan menimbulkan pergeseran kaum.
Mungkin
kerana masing-masing punyai ejekan, maka semuanya fair and square. Engkau kutuk aku, aku kutuk engkau. Engkau ejek
aku, aku ejek engkau. Tak ada masalah. Tidak sensitif pun, Malah, tiada sesiapa
yang akan mengadu hingga terdakwa di bawah Akta Hasutan.
Tetapi itu
dahulu. Pada hari ini, ejek mengejek dan kata mengata menjadi big deal. Mungkin ia menjadi besar
kerana peranan media sosial yang menularkannya. Justeru itu, cakap siang
pandang, pandang… cakap malam dengar, dengar… sudah tidak boleh dipakai kerana
pada hari ini, ada sahaja mata dan telinga yang memerhati. Orang kata, dinding
pun boleh bercakap.
Kerana itu
apa sahaja yang peribadi akan tersebar dan tertular hingga menjadi tidak
terkawal. Tentu sekali apa yang tersebar itu ditokok tambah dengan pelbagai
sudut pandang hingga yang kecil itu menjadi besar, yang lurus jadi bengkok dan
yang putih menjadi hitam.
Dalam
keadaan sebegitu, usaha untuk memperbetul sebenarnya seperti menjirus sebaldi
air pada api yang besar. Atau, menyembur minyak pada kebakaran yang sedang
marak. Apa sahaja usaha hendak memperbetul dibimbangi akan memburukkan lagi
keadaan. Apa yang diperkatakan boleh diputar dan dibelit hingga makin
mengusutkan lagi keadaan. Makin dilawan, ia akan makin membesar.
Jalan
terbaik untuk memerangi maraknya api fitnah angkara media sosial ialah dengan
mendiamkan diri. Tutup mata, tutup telinga, tutup fikiran. Dalam tempoh 24 jam,
apa yang menjadi ribut taufan akan berlalu meninggalkan angin sepoi-sepoi
bahasa.
Sebabnya,
masyarakat pada hari ini adalah masyarakat yang mudah lupa. Mudah lupa kerana
pada hari esok akan ada berpuluh lagi cerita dan berita yang lebih menguja
untuk ditatap, diperkata dan dinista. Cerita kita yang semalam, meskipun
bertapa besar akan dilupakan begitu sahaja.
Justeru itu,
pergaduhan dahulu dan sekarang sama sahaja jika diukur dari segi tempoh
panasnya. Yang penting forgive and
forget. Jika tidak mahu forgive
pun, forget sahajalah. Tidak elok
berdendam hingga tujuh keturunan seperti orang dahulukala. Buat apa jadi orang
moden tetapi fikiran purbakala? Cerita lama usah diungkit apabila terjadinya
perbalahan. Hujahlah mengenai sesuatu yang belum terjadi. Cara itu sebenarnya
membentuk sebelum sesuatu itu tercipta. Itu kritik membina, namanya.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.8.17...
No comments:
Post a Comment