piccredit: infoworld
BILA REHAT MENJADI RELEKS
Sabtu minggu lalu saya mengendalikan sebuah bengkel
ringkas untuk penulis-penulis daripada Grup Buku Karangkraf. Saya menjadi
fasilitator bengkel, bukannya kerana saya dipanggil oleh syarikat itu.
Sebaliknya saya menawarkan diri untuk menyumbangkan
idea-idea kepada sekumpulan penulis kerana daripada semasa ke semasa, saya
sering ditanya oleh teman-teman penulis persoalan-persoalan yang jarang
disentuh dalam kursus-kursus penulisan. Pada fikiran saya, bengkel yang
dianjurkan itu dapat merangkum persoalan-persoalan para penulis dalam sebuah
sesi.
Saya pilih ‘Menulis Ketika Sibuk’ sebagai tajuk
bengkel. Tajuk ini sudah tentu berbeza daripada tajuk-tajuk bengkel penulisan
yang lazimnya mengkhususkan kepada pengolahan teknik. Cara memilih watak, plot
cerita, memilih latar tempat atau teknik
mengatur latar masa adalah di antara topik-topik kursus penulisan.
Kebanyakannya menguruskan kemahiran penulisan. Saya sebaliknya memilih
pendekatan memupuk sikap.
Alhamdulilah, seperti yang saya jangka, teman-teman
penulis bukannya tidak pandai menulis. Hampir kesemua daripada mereka sudahpun
mempunyai tiga buah novel yang telah terbit. Ramai pula di kalangan mereka
sudah kerap menghadiri pelbagai kursus penulisan yang dianjurkan oleh pakar-pakar
penulisan.
Namun, persoalan yang menghantui minda hingga
mengganggu rentak penulisan mereka itu menjadikan mereka buntu, hilang semangat
dan akhirnya terlupa bahawa mereka adalah penulis yang pernah menulis beberapa
buah novel selama ini. Mereka menjadi orang biasa yang makan, minum, menonton,
bekerja, bersembang dan melakukan apa sahaja kecuali menulis. Diri mereka
sebagai penulis telah hilang.
Sebilangan besar daripada kita juga mungkin berada di
dalam keadaan sebegitu. Kita pernah handal dalam sesuatu bidang. Malah pernah
mendapat pengiktirafan selain popular dengan apa yang kita mahir lakukan.
Tetapi, entah mengapa… bukan kerana apa-apa sebab luaran yang menganggu, kita
terpesong daripada jalan kejayaan yang pernah kita lalui. Kita sesat kerana
membiarkan diri sendiri tidak terikat dengan formula kejayaan yang kita bina
sendiri. Akhirnya kita kalah. Kalah dengan diri sendiri hingga perlahan-lahan
rasa bencikan diri mula menjalar di dalam jiwa.
Untuk kita yang pernah berjaya tetapi sedang
melangkah ke jalan kegagalan yang dibina sendiri, suatu sesi permukiman,
pertapaan, muhasabah atau bersendirian perlu kita lakukan untuk mengenalpasti
apakah sebab kita sedang membunuh diri sendiri secara perlahan-lahan tanpa kita
sendiri sedari.
Di sini, apa yang perlu digali dari lubuk sanubari
ialah persoalan-persoalan, mengapa, mengapa dan mengapa. Mengapa kita mahu
lakukan sesuatu yang kita ingin lakukan? Mengapa kita boleh berjaya dalam
melakukan sesuatu itu. Dan mengapa serta bila kita beransur-ansur tinggalkan
sesuatu yang pernah kita juarai itu.
Barangkali secara bawah sedar, oleh kerana kita
pernah berjaya… oleh kerana kita berasa bahawa berjaya itu begitu mudah; makan
kita mulalah menggatal untuk merasa gagal pula. Kononnya suasana gagal itu akan
menguatkan semangat kita untuk bergerak lebih pantas dan lebih cekap agar lebih
berjaya daripada sebelum ini.
Barangkali, kita ingin sahaja releks. Kononnya untuk
berehat setelah berpenat lelah. Tidak mengapa jika melupakan kerja kuat siang
malam memerah otak, keringat dan tulang empat kerat. Lalu kita memanjakan diri
dengan bermalas-malasan dan akhirnya benar-benar malas.
Apabila kita sedar bahawa kita mula tenggelam di zon
kegagalan, maka bukan senang hendak bangkit. Bukan mudah untuk berdiri gagah
untuk mengukir dan mengulangi sejarah kejayaan yang pernah kita gapai. Dalam
keadaan panik apabila minda yang mengelongsor sudah berbisik tentang kegagalan,
apa lagi yang akan dilakukan kecuali menggelupur hendak berdiri. Zon kegagalan
itu seperti tanah jerlus. Semakin kita berkeras ingin keluar darinya, kian
sukar kita melangkah. Akhirnya kita tenggelam kerana kepenatan.
Hidup ini adalah perjuangan. Dan perjuangan tidak
pernah selesai. Orang yang berasa perjuangan yang sudah selesai itu sendiri
yang akan selesai kerana dia akan menjadi lemah dan dilupakan. Sebab itu,
kejayaan yang digapai tidak boleh dilepaskan meskipun hanya untuk menyedut
udara kemenangan sementara. Lupakan waktu rehat kerana kita sebagai manusia
sudah cukup waktu untuk berehat di setiap hari. Rehat yang berubah menjadi
releks itu adalah suatu kezaliman. Bukan sahaja kezaliman kepada diri, tetapi
kepada mereka di sekeliling yang mengharapkan kepimpinan kita.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.8.17.
No comments:
Post a Comment