Piccredit: heroism wiki
PENYAKIT HATI YANG MAKAN DALAM
AKHIR-AKHIR ini berlaku pertikaman
lidah di antara personaliti-personaliti politik tanahair. Cuma kali ini tikam lidah
itu bukan menghujah mahupun mengkritik isu-isu semasa dan falsafah perjuangan.
Tetapi pertengkaran jarak jauh itu berkisar mengenai hal-hal peribadi.
Apa yang berlaku puluhan tahun
dahulu di antara mereka sama-sama diperkata dan diperlekehkan. Hinggakan banyak
perkara yang menjadi rahsia di antara mereka pun sudah terdedah menjadi
santapan gosip orang ramai. Bagaimana ya, hal-hal yang jauh sangat daripada
hujah politik yang disalut ilmiah itu kini telah menjadi hamburan kata nista
yang kadangkala melucukan?
Adatlah jika musuh dengan musuh yang
bergaduh, kita faham akan bahangnya. Tetapi apabila kawan sesama kawan sudah
bertukar menjadi musuh, api kepanasannya boleh membara hingga rentungnya
persahabatan dan silaturrahim. Iyalah, apabila hal-hal peribadi sudah
diperkatakan, minda, hati, jiwa dan perasaan jadi merana.
Apabila difikirkan, mengapa sampai
hal-hal peribadi menjadi pokok pertengkaran? Pada saya, wacana, hujah dan debat
telah ditolak ketepi kerana ia berkisar mengenai konsep dan ideologi. Apabila
hal-hal peribadi sudah menjadi pokok bicara, maknanya perbalahan sudah bertukar
menjadi dendam.
Apakah
itu dendam? Bagi saya, dendam adalah suatu tindakan untuk membalas apa yang
dialami oleh seseorang yang berasakan teraniaya. Dendam adalah tindakbalas
tertangguh kerana pada waktu kejadian, yang dimangsai tiada daya mahupun niat
untuk memberi tindakbalas. Apabila yang menderita itu memperoleh kekuatan, maka
tindakbalas yang tertangguh itu dilaksanakan.
Biasa
juga terjadi di mana yang dimangsai itu meminta orang lain yang bersimpati
untuk membalas dendam. Orang yang muncul untuk membantu itu biasanya sahabat
mahupun saudara kepada si mangsa. Cuma apa yang biasa berlaku ialah, mereka
yang membantu untuk membalas dendam itu akan melakukan sesuatu yang jauh lebih
memudaratkan daripada tahap kesengsaraan si mangsa.
Misalnya,
jika A berlengan dengan B, dan B cedera hingga luka-luka di tubuh badannya…
rakan B yang muncul pada waktu lain untuk membalas dendam, hampir pasti
membelasah A hingga tinggal nyawa-nyawa ikan. Ketidakadilan biasanya akan
terjadi dalam proses membalas dendam.
Dendam
juga sebenarnya hanya memberi kepuasan sementara. Orang yang berjaya membalas
dendam itu kononnya akan berasa berjaya dan puas. Sebaliknya, apa yang akan
terjadi ialah kesan kesakitan yang berpanjangan. Sepatutnya, jika kesalahan
dimaaf dan dilupakan, luka lama akan hilang. Namun, selagi dendam masih
bersarang di hati, seolah-olah orang yang mendendam itu tidak membenarkan
lukanya pulih. Si pendendam itu sebenarnya telah melukakan kembali dirinya.
Sepatutnya
perasaan dendam itu dialih dan dijelmakan menjadi azam untuk menjadi lebih
bagus dan lebih handal daripada orang yang didendami. Hanya dengan cara itu,
perasaan malang kerana dianiaya telah diatasi dengan rasa puas dengan kejayaan
diri. Dendamnya terbalas juga apabila orang yang menganiaya termalu dengan
keadaannya yang kini lebih lemah daripada orang yang dianiayainya.
Kita
hidup di zaman yang serba moden. Yang menuntut kita bergerak ke hadapan tanpa
menoleh-noleh lagi. Tidak perlulah menyimpan dendam kesumat hingga dibawa mati.
Apatah lagi mewasiatkan dendam itu kepada kaum keluarga dan sanak saudara agar
melampiaskan dendam itu.
Mengapa
berfikiran cara orang purbakala yang berdendam hingga tujuh keturunan? Mengapa
nak jadi seperti Sultan Mahmud yang menyumpah agar tujuh keturunan Laksmana
Bentan diharamkan menjejak kaki ke bumi Kota Tinggi? Keturunan Laksamana Bentan
bukan pelaku kesalahan kepada sultan.
Mengapa
pula Mahsuri yang menghadapi maut sanggup bersumpah supaya Langkawi menjadi
padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan? Mengapa kaitkan rakyat
Langkawi sedangkan yang memfitnahnya hingga dihukum bunuh hanyalah kakaknya
sendiri?
Kalau
pun marah, biarlah sekejap sahaja. Buat apa dibara kemarahan itu hingga memakan
diri? Lagipun, dendam ini adalah emosi yang dibuai dan dihembus makhluk yang
kita tak nampak. Jangan main-main dengan perasaan ini. Kesan perbuatan itu
biasanya berskala besar.
InsyaAllah, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.8.17.
No comments:
Post a Comment