INILAH
RAMLEE AWANG MURSHID!
MULAI 12 Oktober hadapan, filem Tombiruo akan mula menemui peminat-peminat wayang.
Tombiruo adalah sebuah filem adaptasi daripada sebuah novel karya Novelis
Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Filem ini terhasil dari gabungan empat buah
syarikat iaitu Kumpulan Karangkraf, Astro Shaw, Ideate Media dan Layar Sunan.
Saya
berpeluang menilai novel ini apabila manuskripnya diletak ke meja saya pada
tahun 1997. Tatkala itu, saya menerajui syarikat Alaf 21, sebuah syarikat
penerbitan buku yang bernaung di bawah Kumpulan Karangkraf. Judul yang pelik
itu menarik perhatian saya.
Saya
ingin tahu siapakah yang menulis novel itu dan mengapa penulisnya memilih
sebuah judul yang pada pertimbangan saya ketika itu tidak komersial langsung.
Istilah Tombiruo itu sendiri sukar disebut. Malah ramai di kalangan editor saya
tatkala itu menyebut novel itu sebagai novel ‘Tombiru,’ Tomboro’ dan ‘Tombiro.’
Meskipun
begitu, manuskrip novel ini agak tebal.
Ia ditaip kemas, langkau satu setengah baris dan terhasil dari cetakan
komputer. Namun ada juga satu-dua kesan tulisan yang dipadam dengan ‘blanco’
dan dibetulkan dengan pen. Saya
tersenyum kerana faham bahawa si penulis barangkali belum selesa sepenuhnya
menggunakan cara ‘delete’ lalu mencetaknya semula agar kelihatan bersih. Tetapi
si penulis menggunakan juga cara lama memadam dengan ‘tip-ex.’
Halaman-halamannya
saya tatap dan selak satu demi satu. Dan saya dapati jalan ceritanya amat
menarik. Menarik kerana ayatnya tidak meleret. Meleret juga kerana ia ditulis
‘with the cinema in mind.’ Maknanya, tatkala membaca, saya imej-imej mula
menjelma di layar minda saya. Hanya menatap separuh manuskrip, saya sudah
memutuskan bahawa novel Tombiruo ini layak diterbitkan.
Namun,
saya juga nampak beberapa elemen lain yang boleh saya cadangkan kepada si
penulis supaya karya ini menjadi mantap. Lantas, saya mengarahkan editor saya memanggilnya.
Muncul seorang lelaki berbaju-T berwarna putih, berjeans biru dan bercapal. Dia
datang tertunduk-tunduk penuh hormat. Terlalu nampak menghormati saya hingga
saya tidak mahu tampak bossy pula.
Sebaik
sahaja dia duduk di hadapan saya, saya perasan ada sedikit benang yang tetas di
lengan baju kirinya. Ada koyakan kecil
di bahagian dadanya. Bajunya putih bersih. Mungkin kerana rajin diclorox agar tampak baharu, lalu jadi
rapuh. Dia tampak toya. Orang sekarang kata, poyo.
Ramlee
memperkenalkan dirinya sebagai seorang wartawan di RTM di Bahagian Radio
Angkasapuri. Pernah menulis skrip drama radio dan juga punyai dua buah novel
yang telah diterbitkan oleh penerbitan lain. Tombiruo ini dibawa ke Alaf 21
kerana karyanya ini ditolak oleh beberapa penerbit lain. Tampak sangat dia
berharap agar Alaf 21 menerbitkan novel ini.
Meskipun
pada mulanya saya tidak suka dengan judul novel itu, akhirnya saya gunakan
Tombiruo kerana jalan ceritanya yang menarik. Dalam masa dua bulan novel itu
dipasarkan. Dan, ia tidak mendapat sambutan! Setelah tiga bulan dipasarkan,
tidak ada permintaan tambahan stok daripada kedai-kedai buku. Tatkala itu,
khalayak peminat novel tidak suka dengan genre seram-thriller.
Di
Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1998, novelnya pun tidak
bergerak. Malah, ada yang memandang novel itu dengan sinis kerana judulnya yang
pelik. Terdapat juga gadis-gadis yang terang-terang tidak mahu memegang naskhah
novel itu kerana takut melihat kulitnya.
Tatkala
novel-novel penulis lain menjadi pilihan, novel Tombiruo masih kekal di rak
buku. Dari jauh saya lihat Ramlee meneguk liur dengan wajah yang layu. Tetapi,
penulis ini terus menulis dan menulis. Sebuah novel setiap tahun dan ada
kalanya dua buah novel setahun. Beliau kini berdiri secara agam dengan 34 buah
hasil karyanya. Dan, hampir kesemua novel-novelnya masih diulangcetak!
Dengan
julukan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee berlumba dengan dirinya
sendiri. Tatkala era novel cinta menjadi rebutan, kemudian novel indie menjadi
pilihan dan kini novel seram menjadi sebutan, Ramlee masih dengan karyanya, genrenya
dan konsistennya.
Dia
masih lagi tertunduk-tunduk bila bertemu sesiapa, terutamanya kepada orang yang
baharu dikenalinya. Contoh insan berasmi padi yang jarang kita temui lagi pada
hari ini. Dia bukan siapa-siapa, meskipun dia punyai apa-apa.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.8.17.
No comments:
Post a Comment