Tuesday, October 11, 2016

UNTUK KITA YANG BERFIKIR



Piccredit: huffingtonpost.com

TEKNOLOGI KERDIL 
KITA DI SISI-NYA

SEORANG teman menjemput saya ke majlis perkahwinan anaknya. Majlis itu agak jauh dari rumah saya iaitu di Puchong. Kerana itu saya menumpang sahaja jiran sebelah rumah yang kebetulannya sepejabat dengan teman saya. Oleh kerana isteri masing-masing tidak berkesempatan, maka saya bersama jiran saya sahaja yang ke majlis itu.

Kami sama-sama tidak pasti lokasi majlis itu diadakan. Maka jiran saya, Kasir memasang GPS. Kasir membawa anak bongsunya, Boy yang berusia lima tahun. Boy petah budaknya. Ada sahaja soalan yang ditanya kepada ayahnya. Kadangkala perbualan kami terencat bila Boy bertanya sesuatu kepada Kasir. Kadangkala Kasir terpaksa menghentikan soalan anaknya bila dia hendak mendengar arahan dari suara GPSnya. Nampak juga Kasir sekali-sekala rimas dengan selingan-selingan daripada Boy.

Setelah beberapa kali Boy terasa perbualannya asyik terhenti kerana ayahnya hendak mendengar arahan daripada GPS, maka budak itupun mula bertanya soalan-soalan yang saya kira cerdik. ‘Perempuan tu tak penat bercakap ke, ayah?’ soalnya setiap kali mendengar arahan dari suara dari alat GPS di kereta ayahnya. Kasir hanya menjawab dengan gelengan.

‘Semua kereta ada alat GPS ini ke ayah?’ Kasir mengangguk pula. ‘Kalau macam tu, perempuan tu ada dalam semua kereta, ya kan, ayah?’ Kasir mengangguk lagi. ‘Dia beri arahan pada semua kereta nak pegi ke mana-mana, kan ayah?’ Kasir mengangkat keningnya. ‘Kalau semua kereta di dunia ini pakai GPS, perempuan tu boleh beri arahan pada juta-juta kereta, kan?’ Kali ini Kasir tidak mengangguk. Sebaliknya dia mengeluh. ‘Ooo… kalau macam itu, Boy tak pelik!’

Kata-kata itu membuat Kasir menoleh kehairanan memandang anaknya. ‘Kenapa tak pelik, Boy?’ soal Kasir pula. ‘Apa yang peliknya?’ jawab Boy. ‘Malaikat maut pun boleh pergi serentak pada ribu-ribu manusia kat dunia ini, bila ALLAH suruh, kan?’

Kali ini, aku pandang Kasir, Kasir pula memandang aku. Dalam bersoal-soal itu, Boy punyai kefahaman bagaimana malaikat Izrail menjalankan tugasnya, hanya dengan membandingkan fungsi GPS yang mampu memberi arahan kepada jutaan pengguna dalam perjalanan masing-masing. Sungguh. Tatkala aku kecil, aku tidak boleh memikirkan logik bagaimana malaikat Izrail mencabut nyawa manusia serentak dalam beberapa lokasi di seluruh pelosok dunia. Tetapi teknologi hari ini membolehkan kanak-kanak seperti Boy memahami kehebatan ALLAH.

Fikiran saya melayang teringatkan fungsi malaikat Raqib dan Atid, iaitu malaikat yang mencatat dosa dan pahala manusia. Ketika kecil dahulu, saya tidak dapat memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu menjalankan tugas mereka. Saya hanya membayangkan pen dan kertas yang malaikat-malaikat itu gunakan untuk mencatat pahala dan dosa kita. Bila memikirkan bagaimana malaikat-malaikat itu mampu mencatat dosa pahala jutaan manusia, aku mula bingung.

Namun, pada hari ini, kita melihat fungsi alat perakam audio dan visual yang menyimpan segala maklumat. Begitu juga dengan medium yang menyimpan tulisan seperti SMS, Whatsapp, Facebook, blog, laman web mahupun buku, jurnal dan helaian kertas dapat mengarkibkan apa sahaja yang kita lakukan sejak lahir hingga kita ke liang lahad.

Jika sewaktu kecil kita bingung bagaimana seluruh rakaman kegiatan manusia ini dilakukan, pada hari ini kita tidak berasa pelik. Malah, kita sendiri yang memuatnaik aktiviti kita di internet hingga ia boleh ditonton oleh jutaan manusia. Untuk itu, tidak mustahil untuk mengerti bagaimana ‘layar besar’ yang mempamerkan aktiviti kita di yaumil mahsyar kelak.

Kemampuan akal kita hanya dapat memvisualkan sebuah dewan operasi yang amat besar serta mempunyai ribuan skrin di mana setiap satunya diperuntukkan untuk seorang insan. Rakaman itulah yang akan ditayangkan kembali di akhirat nanti. Tetapi, rahsia ALLAH dan segala ‘peralatan’ pemantauannya yang lebih canggih masih tidak dapat terjangkau dek akal kita.

Minda-minda kita ini umpama versi komputer yang tidak dibekalkan dengan perisian yang membolehkan kita melihat rahsia-rahsia ALLAH kecuali hanya kepada apa yang dibenarkan sahaja. Biarlah teknologi menghampirkan diri dalam memahami kehebatan ALLAH, bukan kian menjauhkan seolah-olah kita serba-serbi tahu segala-galanya.


 “Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali Imran: 191).

Insya-ALLAH artkel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.10.16.

Tuesday, October 4, 2016

CATATAN AMAL



Piccredit: greasemonkeysem.com

MENANGANI CATATAN DI MEDIA SOSIAL

HAMPIR semua orang boleh menulis. Kanak-kanak yang memegang pensil dan pandai mengeja pun boleh menulis. Para pelajar sekolah rendah atau menengah, dan mereka yang belajar di universiti pun begitu seperti juga sebilangan besar di antara kita. Bagaimana pun, ramai di antara mereka yang boleh menulis itu belum tentu lagi boleh mengarang.
Bagi yang boleh mengarang pula, karangan mereka itu belum tentu menarik hati mereka yang menatapnya.  Ramai yang mengarang artikel, laporan, tesis itu hanya menarik minat mereka yang suka kepada bahan-bahan bacaan yang serius. Golongan ini pula hanya terdapat di kalangan mereka di dalam dunia ilmu. Justeru, golongan mereka itu terhad.
Sebaliknya, mereka yang boleh mengarang karya kreatif seperti cerpen, puisi dan novel pula mempunyai khalayak yang lebih ramai kerana bahan tulisan mereka lebih mudah difahami. Ia juga dianggap sebagai sebuah karya ringan. Padahal, karya kreatif dihadam dengan hati iaitu emosi. Emosi itu boleh difahami secara sendiri-sendiri menurut tafsiran peribadi, berbanding dengan karya ilmiah yang difahami dengan minda. Ia pula lebih mudah dihazam jika ia didiskusikan bersama orang lain.
Mereka yang boleh menulis itu belum tentu dapat mengarang dengan baik. Dan, mereka yang boleh mengarang dengan baik, belum tentu dapat bercerita dengan baik. Pendek kata, tulisan itu dimulakan dengan menyusun aksara, memilih perkataan, membina ayat, membentang sebuah para dan akhirnya mempersembahkan sebuah karya sependek sebuah artikel mahupun sepanjang sebuah buku.
Oleh kerana sesebuah karangan itu dikongsi dengan pembaca untuk dinikmati, maka seeorang penulis itu perlu pula punyai kemahiran bercerita. Karangan yang baik itu adalah sebuah penceritaan. Pembaca menyusur dalam pembacaannya seperti sebuah perjalanan. Karya yang mempunyai susunan idea yang baik itu membawa pembacanya dalam sebuah perjalanan yang lancar dan merehatkan.
Dalam pada itu, karangan yang dipenuhi dengan ejaan yang silap, ayat yang terputus-putus atau yang panjang-panjang boleh membuat kita turut hampir putus nafas apabila membacanya. Tulisan sebegitu bisa membuat sesiapa yang menelitinya berasa mengantuk lalu tulisan itu menjadi ubat tidur yang paling mujarab.
Dunia media sosial memberi ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menulis. Ia memberi kebebasan. Namun, kebebasan yang boleh membuat ramai yang tidak punyai ilmu menulis, mengarang dan bercerita itu terbabas dalam menghasilkan catatannya.
Seperti anak muda yang memandu tanpa lesen, atau pemacu motorsikal yang baharu punyai lesen, ruang menulis yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu bisa menjadikan seseorang itu kemaruk. Apatah lagi, belum pun lima saat tulisannya sudah terpapar, komen daripada kawan-kawan mencurah-curah menjelma.
Ini bisa menjadikan seseorang yang belum biasa mendapat perhatian, menjadi tidak tentu arah kerana teruja. Tabiat kawan-kawan itu biasanya lebih kepada mengiyakan dalam komen-komen mereka sebagai galakan. Malangnya, ia menjadikan seseorang itu berasa yang tulisan-tulisannya itu mendapat sokongan.
Apa pula yang terjadi seandainya tulisannya itu dikritik dan dicemuh oleh mereka yang tidak dikenali? Seseorang itu boleh murung berhari-hari kerana berasakan dirinya diperkecil, malah dihina. Padahal orang yang member pandangan yang negatif itu memang suka-suka memberi komen negatif kerana dia sendiri tidak mempunyai kemahiran mengarang pula.
Di sinilah pentingnya seseorang itu memperbetul nawaitunya sebelum mencatat sesuatu di laman sosialnya. Apabila dia menulis, mengarang dan bercerita, dia perlu fahami bahawa apa yang terpapar di lamannya itu akan dibaca bukan sahaja orang yang dia kenali, malah mereka yang tidak mengenalinya. Dia perlu mengerti, komen yang diberi itu bukan sahaja bertujuan baik, tetapi ada juga yang tidak bertujuan apa-apa melainkan suka-suka sahaja. 
Justeru itu, dia boleh mengambil perhatian terhadap maklumbalas yang boleh diterimanya. Dan dia boleh sahaja mengenepikan pandangan-pandangan yang dirasainya tidak jujur dalam menyampaikan maklumbalas.
Betapa pun, seseorang yang mengarang sesebuah catatan itu perlu melihatnya sebagai sebuah anugerah. Tidak pernah terjadi sejak di zaman lampau, seeorang itu boleh menulis dan catatannya boleh dibaca oleh berjuta manusia. Pada hari ini, ia sudah berlaku. Kesan positif mahupun negatif di atas tulisannya itu mudah sahaja menjalar menjadi viral. Tanpa sedar, ia boleh menjana pahala mahupun melipatgandakan dosa.

Samada ia sebuah catatan yang mengundang pahala mahupun dosa, ia akan terpapar di laman sosial. Lima atau sepuluh tahun akan datang, seseorang akan menemui catatan itu dan membacanya. Jika catatan itu mempunyai kebaikan, kita akan memperoleh bonus pahala. Jika sebaliknya, kita telah menempah tambahan dosa.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.16. 

Tuesday, September 27, 2016

KERJA DAN KERJAYA



Piccredit: fairpress.eu

BILA BERHENTI ATAU
DIBERHENTI KERJA…

SUDUT PANDANG PERTAMA. Dalam iklim ekonomi yang tidak begitu sihat, sebilangan daripada kita mula risau bila mendengar khabar syarikat tempat kerja akan mengurangkan kakitangan. Andainya kita mula lewat menerima gaji pada tarikh yang sepatutnya atau menerima hanya sebahagian daripadanya, kita boleh mengagak bahawa pihak syarikat kesempitan wang.

Bagi syarikat yang bertanggungjawab, mereka akan mengumumkan keadaan sebenar syarikat. Mungkin, mereka akan memotong gaji. Itu lebih baik daripada sesetengah syarikat yang kantoi dalam membayar gaji. Syarikat yang tidak bertanggungjawab pula mengunci pintu tatkala kita datang untuk bekerja pada esok pagi. Ada juga majikannya yang lesap.

Amat malang apabila kita yang diberhentikan kerja kerana syarikat gulung tikar. Sesiapa pun tidak mahu perkara itu terjadi, lebih-lebih lagi jika tiada tanda-tanda menunjukkan syarikat tempat kita bekerja itu akan bungkus. Betapa pun, kita yang diberhentikan kerja samada kerana perniagaan syarikat merosot mahupun kerana kelemahan tataurus syarikat, akan mengalami pedihnya. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak bersedia berdepan dengan keadaan kehilangan kerja.

Jika kita punyai kerja kedua mahupun ketiga, mungkin ia boleh menampung perbelanjaan walaupun dengan mengikat perut. Mungkin perniagaan kecil-kecilan menjual tudung secara atas talian, membungkus kerepek untuk dijual, atau menjadi broker menjual kereta terpakai, boleh membantu sedikit sebanyak keperluan asas seperti makan dan bayaran bil-bil dan ansuran.

Bila kita boleh bernafas, walaupun sesak, kita boleh mencari kerja lain atau memulakan usaha yang merintis jalan untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik. Walau apa pun, selagi usia panjang, maka selagi itulah rezeki itu dijanjikan ada oleh-NYA, samada untuk diri sendiri mahupun mereka yang di bawah tanggungan kita.

SUDUT PANDANG KEDUA. Dalam keadaan ekonomi yang baik atau sebaliknya, terdapat sebilangan daripada mereka yang sentiasa berasa tidak puashati dengan apa yang diperuntukkan oleh syarikat. Kenaikan gaji hanya sedikit, elaun terlalu kecil, tidak cukup kerja lebih masa, susah mendapat cuti, tiada bonus dan apa sahaja yang tidak menepati citarasa akan menjadi kompelin.

Itu belum termasuk rakan sekerja yang tidak beri kerjasama, ketua yang tidak beri cukup rehat, majikan yang kedekut, kerusi meja yang buruk, susah dapat parkir, jauh dari tempat makan dan entah apa-apa lagi yang menjadi bebelan mereka. Hari demi hari, hanya cemuhan sahaja yang dihamburkan. Tidak ada apa-apa yang baik syarikat berikan kepadanya kecuali hanyalah keburukan demi keburukan. Tetapi, walaupun syarikat tempatnya bekerja itu begitu buruk, dia masih tidak berhenti kerja!

Tiba-tiba, apabila dia diberhentikan, kerana menjadi liabiliti syarikat, mulalah dia naik angin. Habis ruang di media sosialnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Umpatnya, majikannya itu tidak adil kerana menamatkan perkhidmatannya. Padahal, dia sendiri yang mengundang dirinya dibuang kerja.

SUDUT PANDANG KETIGA. Ada majikan yang begitu sukar untuk mengambil tindakan terhadap kakitangannya. Jika pun kakitangannya menunjukkan prestasi cemerlang, kenaikan gajinya begitu-begitu sahaja. Selagi tenaga pekerjanya boleh dikerah, selagi itulah diperah. Kenaikan RM100 dilihat sebagai tambahan RM1,200 bila didarab dengan 12 bulan ~ menyamai gajinya sebulan!

SUDUT PANDANG KEEMPAT. Terdapat juga majikan yang sukar mengambil tindakan terhadap kakitangan yang bermasalah. Kasihan, dia. Siapa nak beri makan diri dan keluarganya bila dia diberhentikan? Biarlah dia terus bernaung di syarikat ini. Jika dia punyai masalah kerja, kurangkan kerjanya! Padahal, pekerja inilah yang menjadi parasit yang mengempiskan kantung syarikatnya.

SUDUT PANDANG KELIMA. Ada pula kakitangan yang menghantar surat meletak jawatan. Sebab yang biasa ialah kerana dia dapat gaji yang lebih baik di tempat lain. Kebanyakan majikan yang mampu akan membuat tawaran berganda, semata-mata supaya kakitangan itu tidak berhenti. Biasanya bila tawaran diterima, dia tidak jadi berhenti. Tetapi percayalah, tidak sampai 12 bulan, dia akan menghantar lagi surat berhenti jika gajinya tidak dinaikkan lebih tinggi. Majikan tidak boleh berkata apa pada kali ini. Sebaliknya terpaksa melepaskan dia jua akhirnya.


SUDUT PANDANG KEENAM. Ada rakan-rakan sepejabat yang menganjurkan majlis perpisahan yang syahdu siap dengan jamuan serta cenderahati untuk kakitangan yang hendak bertukar kerja.  Percayalah, orang yang hendak bertukar kerja atas kehendaknya itu begitu gembira kerana tidak sabar untuk bertugas di tempat baharu. Ironinya, yang hendak berhenti itulah yang sepatutnya menganjurkan majlis jamuan untuk belanja kawan-kawan supaya dapat berkongsi kegembiraannya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 28.9.16....

Tuesday, September 20, 2016

MENJADI TEMPAT BERMANJA


Piccredit: 1000awesomethings.com

KEPADA SIAPAKAH 
HENDAK MENGADU

SEWAKTU kecil, saya lebih manja dengan emak. Jika saya mahu apa-apa, saya akan pinta dari emak. Jika saya sakit, saya akan beritahu emak. Malah, apabila saya diusik abang-abang, saya akan menjerit memanggil emak. Saya tidak rapat dengan ayah. Bila saya mahu yuran sekolah, kepada emaklah saya meminta. Emak saya pula akan sampaikan kepada ayah. Begitulah… Saya percaya, ramai di antara kita di sini lebih rapat samada dengan ibu mahupun ayah.

Apabila saya sendiri menjadi ayah, saya perasan ada di antara anak-anak saya lebih rapat dengan emaknya. Isteri saya menjadi orang perantaraan. Sedari anak-anak saya kecil, sehinggalah mereka dewasa, mereka punyai pilihan samada untuk menyampaikan isihati mereka samada dengan saya mahupun kepada isteri saya.

Namun begitu, saya tidak berkecil hati seandainya mana-mana anak saya menyampaikan hasrat mereka melalui isteri saya. Barangkali, mereka kelu lidah untuk bercerita dengan saya. Yang penting, akhirnya saya dapat maklumat mengenai masalah mereka dan akan membantu menyelesaikannya.

Situasi kita di dalam masyarakat, pertubuhan dan syarikat juga begitu. Kita akan memilih seseorang individu mahupun ketua untuk menyampaikan masalah agar dia dapat memanjangkannya kepada pihak yang bertanggungjawab. Misalnya, bila hendak menyampaikan cadangan membesarkan surau, kita tidak menyatakannya melalui mesyuarat. Tetapi, melalui imam.

Begitu juga di dalam persatuan, kita sebagai ahli akan menyampaikan cadangan tarikh lawatan ke rumah anak-anak yatim kepada seorang aktivis persatuan, bukan kepada setiausaha mahupun presidennya. Di dalam syarikat pula kita akan mencadangkan cara memperbaiki sistem kerja kepada seorang rakan sekerja yang baik dengan bos kita.

Seperti seseorang anak yang memilih ibu atau ayah untuk menyampaikan kehendak, kita sebagai qariah surau, ahli persatuan mahupun pekerja di sesebuah syarikat punyai pilihan, kepada individu manakah kita hendak sampaikan apa sahaja kemusykilan. Kita tidak memilih Encik A bukan kerana kita tidak percayakan dia, tetapi kerana kita lebih selesa dengan Encik B.

Dalam pada itu, apabila kita berada di pihak yang berkuasa persatuan mahupun syarikat, kita kenalah faham bahawa anak-anak buah kita punyai keselesaan kepada siapakah mereka hendak sampaikan masalah. Seperti si anak yang akan memilih ibu atau ayahnya, orang bawahan akan punyai pilihannya.

Justeru, kita tidak bolehlah berasa kecil hati apatah lagi meroyan apabila orang bawahan kita menyampaikan masalahnya kepada penolong kita dan bukannya kepada kita sendiri. Dia bukannya tidak sukakan kita atau takutkan kita. Sebaliknya dia berasa selesa menyampaikan hasratnya kepada penolong kita. Yang penting, apa jua yang terbuku di hatinya dapat disampaikan dengan telus dan tulus. Dan, masalah itu akan sampai jua kepada kita untuk diselesaikan demi kebaikan semua.

Komunikasi di dalam institusi keluarga, pertubuhan, organisasi mahupun syarikat pula pada hari ini telah juga diambil alih oleh media. Banyak masalah individu seperti tidak dapat rumah, tidak cukup belanja perubatan, ataupun masalah perjawatan pun disampaikan kepada media cetak mahupun elektronik. Masalah-masalah rakyat yang lebih besar seperti paip yang kotor airnya, longkang tersumbat dan jalan berlubang tidak dilaporkan kepada pihak yang sepatutnya secara langsung. Sebaliknya, rakyat lebih senang bercerita kepada media.

Dari aspek undang-undang, sosial mahupun politik, media menjadi penampan dan pemangkin untuk menyelesaikan masalah. Seperti emak yang menjadi perantara dalam menyampaikan masalah anak kepada ayahnya, atau penolong yang memanjangkan masalah seseorang pekerja kepada bos syarikat, media juga memainkan peranan itu. Kerana itu, media tidak boleh dikekang dan dihalang dalam menyampaikan apa yang menjadi masalah rakyat. Ia mesti diberikan kebebasan untuk menyampaikan suara.

Media punyai peranan pentingnya. Jika dihalang memainkan peranan sebagai perantara, ia akan mendiamkan diri kerana serik sebagai penyampai. Tamsilannya, jika si emak membisu seribu bahasa apabila kerap dimarahi si ayah kerana menyampaikan masalah si anak, akhirnya si anak akan menjadi anak yang bermasalah.

Masyarakat yang tidak punyai tempat untuk menyampaikan masalah pula akan memanifestasikan perasaannya dengan dua cara. Pertama, dengan cara  membisu. Kedua, dengan cara meliar.

Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 21.9.16.

Tuesday, September 13, 2016

KE MANA PERGINYA PATRIOTISME?



Piccredit: 123rf.com

INILAH TANAH TUMPAH DARAHKU

BARU-BARU ini kita bersorak sorai tatkala menonton perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Rio 2016 di antara Lee Chong Wei dan Chen Long. Chong Wei tewas dan mendapat pingat Perak. Sebelum itu, pasangan regu campuran badminton Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying serta pasangan regu lelaki badminton Goh V Shem dan Tan Wee Kiong  juga memperoleh pingat perak, Dalam acara renang platform 10M seirama wanita pula, Cheong Jun Hoong dan Pandalela Rinong memperoleh pingat perak sementara Azizulhasni Awang  pula memperoleh pingat gangsa dalam acara lumba basikal Keirin Lelaki.

Akhirnya, kita memperoleh empat pingat perak dan sebuah pingat gangsa. Meskipun terkilan, kita tetap bersyukur dengan kejayaan terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di sukan olimpik musim panas itu. Kehebatan mereka menjadi topik perbualan di mana-mana.

Belum pun reda rasa bangga kita kepada ahli-ahli sukan negara itu, tiba-tiba muncul pula ahli-ahli sukan paralimpik kita yang memperoleh tiga pingat emas. Ketika artikel ini ditulis, kita merangkul pingat-pingat itu melalui acara 100M T36 yang dijuarai oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Lontar Peluru F20 oleh Muhammad Ziyad Zolkefli dan acara  Lompat Jauh T20 yang dijuarai oleh Abdul Latif Romly.

Sudah begitu lama kita tidak dibuai perasaan yang begitu gembira dan bangga bila memandang Jalur Gemilang. Sudah begitu lama juga kita tidak berdiri bulu roma apabila terdengar lagu Negaraku berkumandang. Kejayaan ahli-ahli sukan itu memberi sebab kepada kita untuk berasa bangga kepada negara. Kita bangga kerana kita juga sebahagian daripada rakyat Malaysia. Tidak kira apa bangsa dan keturunan, kita punyai perasaan yang serupa.

Ramai yang berkata, kemenangan-kemenangan itu menyatukan Malaysia. Benarkah? Benar untuk beberapa ketika. Selepas itu, rasa penyatuan itu akan surut dan menghilang. Perasaan itu hanya seketika kerana rasa bangga itu datang dari  elemen luar, bukan daripada dalam diri.

Sementelah kita berada dalam tempoh sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, elok juga kita menilik ke dalam diri, tebal nipisnya patriotisme di dalam sanubari. Patriotisme adalah suatu perasaan cinta seseorang terhadap negaranya. Ini negara tumpah darahnya, tempat hidup dan matinya. Inilah negara yang akan kita pertahankan kedaulatannya daripada ancaman musuh.

Jika dahulu, ancaman musuh datang dalam bentuk fizikal melalui peperangan yang bertujuan untuk menakluk sesebuah negara. Tidak lama dahulu, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu telah membuat kita berasa terancam. Situasi itu telah menjadikan kita memberi sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan tentera kita, sekurang-kurangnya dengan meredakan perbalahan politik, atau bercakap yang bukan-bukan hingga meniup elemen sengketa sesama sendiri.

Berpuluh-puluh tahun sebelum itu, kita telah bersatu untuk menentang serangan politik British dengan menolak Malayan Union. Kita memperoleh kemerdekaan apabila kita bersatu untuk menamatkan pemerintahan penjajah. Setelah itu, kita berdepan dengan konfrontasi Indonesia dan turut berjaya menghentikan serangan fizikal serta ideologi komunis. Serangan-serangan yang bertahun-tahun itu membuatkan kita punyai rasa patriotisme yang berpanjangan.

Tetapi, pada hari ini, tanpa ancaman-ancaman fizikal itu, kita berasa selesa dan tidak berasa terancam. Kita sudah hilang feel sayangkan negara, hinggakan perasaan bangga dengan kejayaan ahli-ahli sukan itu sudah dijadikan suatu perasaan banggakan negara yang hebat sangat. Padahal, perasaan itu hanya seketika sahaja.

Dalam pada itu, ancaman musuh pada hari ini datang dalam bentuk yang pelbagai melalui serangan ekonomi, serangan sosial, serangan ideologi dan juga serangan agama. Sayang sekali, serangan-serangan dalam bentuk ini dipandang sepi kerana kita tidak berasa ia suatu bentuk serangan yang akan menjadikan kita porak peranda dan akhirnya berbalah hingga menjadikan kita lemah.

Kita tidak akan lagi ditawan secara fizikal. Tetapi ekonomi, sosial, ideologi dan agama kita amat terdedah kepada serangan-serangan yang akan meruntuhkan jatidiri kita sebagai rakyat Malaysia. Lihatlah kedudukan ekonomi kita berbanding dengan negara-negara serantau yang lain. Daripada segi sosial, wajah-wajah siapakah yang berada di sekeliling kita? Bagaimanakah pula konflik dan intrig politik yang tidak bernoktah di dalam negara kita? Dan, bagaimana pula kita yang rata-ratanya rakyat yang beragama, semakin menipis toleransi beragamanya?


Hampir setiap saat, ekonomi, sosial, ideologi dan agama kita diserang secara bertubi-tubi. Kita tidak berasa sakit kerana ia memakan secara dalaman. Namun, akhirnya, ia akan muncul dengan wajah hodohnya. Umpama kanser yang akan menunjukkan wajahnya apabila sampai ke tahap empat. Tatkala itu, kita semua rakyat Malaysia hendak salahkan siapa?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 14.9.16.

Tuesday, September 6, 2016

YANG TERSIRAT DARI YANG TERSURAT


Piccredit: sinarharian


SALAM YANG ADA MAKNA

SEKEPING foto membawa 1,000 erti. Pelbagai tafsiran terlintas di layar minda kita apabila menatap gambar Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang bersalaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu. Salam mereka bukannya salam biasa yang formal. Sebaliknya, kedua-dua tangan kanan dan kiri mereka saling bersilang dan saling tergenggam erat.
Body language keakraban itu menggambarkan perasaan rindu dua sahabat, pertautan kembali dua insan yang pernah menjadi mentor-mentee dan silaturrahim dua buah ketua keluarga yang sudah lama terpisah. Kedua-duanya pasti sudah berkirim salam, bertanya khabar dan berkomunikasi melalui pesan memesan sebelum mereka bertemu lalu terakam sebagai detik bersejarah dua orang insan. Indah, tenang dan hening amat, jika kita teliti daripada sudut kemanusiaan.
Namun, salaman itu adalah salaman yang ada makna. Ertinya dalam. Walaupun kita tidak tahu apa yang Tun M dan DS Anwar perbualkan, hampir pasti bahasa tubuh mereka sudahpun memberi mesej ‘Let’s talk business.’ Bila memikirkan itu, segala momen yang indah, tenang dan hening yang terlihat mula berubah menjadi riak, kocak, ombak, gelombang dan gelora.
Barangkali, inilah tafsiran kebanyakan daripada mereka yang melihat daripada sudut politik. Daripada setinggi-tinggi kepimpinan sehinggalah serendah-rendah ahli parti-parti politik, masing-masing akan melihat ia sebagai sebuah kejayaan mahupun sebagai suatu cabaran; bergantung dari sudut mana mereka memerhati. Justeru, ada yang melihatnya dengan helaan nafas yang panjang ~ kerana lega. Ada juga memandangnya dengan helaan nafas yang panjang ~ kerana kesesakan paru-paru!
Kita tidak boleh tidakapakan foto yang ditatap itu. Itu penolakan kepada kenyataan. Jangan nafikan bahawa ia tidak apa-apa jika tidak mahu terperosok dalam sindrom penafian. Ia benar. Ia berlaku. Tidak perlu spekulasi lagi bahawa Tun M dan DS Anwar tidak mungkin akan bertentang empat mata.
Ia bukan teka-teki kerana tidak pernah merebak pun tanda-tanda mereka akan bersefahaman, apatah lagi bertentang mata dan bersalaman penuh akrab. Namun, apabila ia berlaku, ia tidak memperlihat bahawa ia suatu tindakan yang spontan. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang sudah diatur. Pasti ia direncana oleh seseorang yang dipercayai oleh kedua-dua personaliti itu.
Jadi, selepas ini apa, ya? Kita harus lihat, DS Anwar sebagai seorang tokoh pembangkang yang diterima oleh mana-mana pihak. Di PKR, Dap, Amanah, malah Pas dan kini bakal parti Bersatu telah menyaksikan persetujuan awal DS Anwar dengan kehadiran Tun M di blok pembangkang.
Mereka di Pakatan Rakyat yang belum boleh menerima Tun M mungkin terdiam memikirkan pendirian apabila DS Anwar boleh bertukar senyuman dengan tokoh politik itu. Faktor DS Anwar telah memberi imej bahawa Tun M kini sudah sah bersama mereka.
Di pihak BN dan UMNO pula, Tun M dilihat semakin jauh daripada mereka. Bagai sudah berpatah arang dengan parti yang pernah diterajuinya. Mereka yang kecewa dengan langkah Tun M ke pihak pembangkang khususnya bila duduk semeja dengan Lim Kit Siang mula mencongak kebarangkalian pendirian apabila melihat Tun M sudah berbaik dengan DS Anwar.
Bagaimana dengan mereka yang tidak menyertai mana-mana blok politik seperti ramai di luar sana? Memilih parti mana yang diyakini kini kian sukar. Tun M, TS Muhyiddin, DS Mukhriz yang pernah menjadi pemimpin UMNO kini sudah bersama pembangkang. Bekas tokoh-tokoh Pas seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa kini menerajui Amanah. Dan, Pas yang dipimpin Dato’ Seri Haji Hadi Awang sudah boleh kelihatan berbaik-baik dengan UMNO. Tetapi Ikatan yang berbaik dengan Pas pula tidak begitu baik dengan UMNO meskipun ada pemimpinnya daripada Umno atau pro-BN. Menepati pepatah politik ~ tidak ada persahabatan kekal; tidak ada juga musuh yang kekal.
Political fusion ini sedang berlaku. Ramai yang tidak boleh menerima apa yang terjadi. Ramai yang tidak boleh menerima melihat tindakan-tindakan individu yang dahulunya mereka hormati. Kita boleh ketawa ataupun marah dengan tindakan-tindakan mereka ini. Namun, yang harus diteliti ialah kesan terhadap tindakan mereka ini kepada kumpulan masing-masing.
Betapa pun, semuanya akan mengendur buat seketika apabila Bersatu wujud sebagai sebuah parti politik yang sah. Ketika itu nanti, akan kelihatan garisan jelas yang memisah dua pihak yang saling bertentangan. Seolah-olah sudah bersedia untuk bertempur di medan pilihanraya.

Namun, sebaik sahaja angin PRU bertiup, sebuah lagi political alignment akan berlaku. Apakah faktor sokongan yang bakal memberat ke kiri atau ke kanan akan ditentukan oleh Pas kerana pendirian parti itu masih belum terserlah? Ketika itu, akan berakhirkah sebuah permulaan, dan bermulakah sebuah pengakhiran?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.9.16.