piccredit: worldofbuzz
MENYIMPAN NOTA
DI BUKU 555
DI BUKU 555
SEMALAM, beberapa
buah akhbar perdana memetik laporan Bernama mengenai tabiat Tun Mahathir yang
menyimpan sebuah buku nota kecil di poketnya. Tun Dr Mahathir Mohamad akan sentiasa membawa
buku catatan ini ke mana-mana jua dan mencatat nota dengan segera tentang
tindakan yang perlu dilakukan. Kata Tun, "Saya catat masa itu juga. Jangan
tunggu lama-lama, nanti lupa."
Saya juga
sentiasa menyimpan buku kecil seperti itu sejak mula bekerja 38 tahun yang lalu.
Dahulu, saya gunakan buku yang tertulis angka 555 yang lebih dikenali sebagai
buku hutang. Kini buku bersaiz kecil yang sebegitu sudah lebih cantik dan lebih
tebal.
Sudah
berpuluh buku nota telah saya gunakan. Saya akan catat apa sahaja yang saya
anggap penting. Dahulu, bukannya ada telefon bimbit yang boleh kita gunakan
untuk terus menyimpan nombor telefon seseorang. Buku notalah yang saya gunakan
untuk menyimpan nombor.
Buku nota
kecil ini juga berguna apabila saya ingin mencatat sesuatu yang disampaikan
oleh seseorang samada melalui telefon ataupun tatkala berbual. Bila ada buku
itu, saya tidak akan menggagau mencari kertas bila memerlukan secara
semerta. Seluk sahaja poket dan saya
terus dapat mencatat. Selain daripada nombor telefon, pelan, alamat dan yang
lebih mustahak, ilham yang mendatang semuanya akan terakam di buku nota kecil itu.
Di zaman
telefon pintar pada hari ini, banyak aplikasi yang disediakan untuk membantu
seseorang. Ada aplikasi Notes
misalnya untuk menyimpan nota. Malah terdapat aplikasi untuk menyukat
pergerakan seperti Pacer, mengetahui
cuaca Dark Sky atau Dr. Smartphone untuk mendapat maklumat
mengenai kesihatan diri. Itu belum termasuk lagi pelbagai aplikasi daripada
Google.
Saya ada
beberapa orang kenalan yang terdiri daripada anak muda yang menggunakan telefon
pintar mereka untuk menyimpan nota. Mereka menganggap cara saya yang masih
menggunakan buku nota sebagai old school.
Tidak mengapalah kerana bagi saya, menyimpan segala-galanya di dalam telefon
pintar itu ada masalahnya kerana saya pernah cuba untuk menjadi insan pintar
seperti juga telefon saya.
Masalah yang
saya hadapi ialah, setiap kali saya tergesa-gesa hendak membuka aplikasi nota
di dalam telefon, ada sahaja notifikasi lain yang muncul di telefon hingga
mengalih perhatian saya untuk melayaninya. Akibatnya, ilham yang tiba di
fikiran akan melayang begitu sahaja kerana saya terlupa apa yang saya ingin
catatkan kerana asyik melayani video dan mesej tular yang saya terima!
Anak-anak dahulu
diperkenalkan dengan pensil, pensil warna dan kertas sejak kecil lagi. Mereka lebih
dahulu belajar melukis dan menulis dengan pensil dan kertas. Mereka tidak kenal dengan papan kekunci. Kerana itu,
menulis dan melukis adalah suatu aktiviti yang membina manusia yang amat
berhati-hati.
Bayangkan,
apabila tersilap tulis, orang dahulu terpaksa mengambil pemadam. Ataupun
menggunakan blanco untuk menghilangkan apa yang salah. Kemudian ditulis kembali
apa yang betul. Jika terlalu banyak tulisan yang salah, seluruh kertas terpaksa
dikeronyok dan dibuang.
Agaknya oleh
kerana generasi kini hanya perlu menekan delete
dan apa yang salah boleh hilang dengan mudah, sikap tidak berhati-hati dan
konsentrasi menulis generasi terdahulu tidak ada pada generasi pada hari ini.
Mereka yang
sezaman dengan saya masing-masing mempunyai buku diari yang mencatat aktiviti,
pemikiran dan perasaan. Ia ditulis pada malam hari sebelum esok menjelang.
Tentulah menulis kisah hidup dalam sehari itu berupakan muhasabah diri atau
terapi diri yang mujarab buat seseorang.
Sebaliknya mereka
pada hari ini hanya mencatat fragmen-fragmen perasaan. Sekejap menceritakan
fasal kesesakan lalu lintas, sekejap lagi mengenai apa yang mereka makan,
kemudian mengenai ahli politik yang dibencinya. Semuanya rencam dan tidak
tersusun sepertimana mencatat di diari.
Suatu ketika
dahulu tatkala muncul internet dan terdapat aplikasi untuk blogging, ia
merupakan suatu bentuk e-diari yang amat baik. Malangnya ia sudah tidak popular
lagi. Kini, apa sahaja hanya dilutis sekadar dua tiga baris. Ia tidak mendalam
untuk menyeluk ke dasar bawah sedar.
Berbalik
kepada buku nota kecil yang saya gunakan, banyak juga isinya mengenai apa yang
saya hendak buat. Ia bukannya seperti medan catatan pada hari ini di media
sosial yang kebanyakkannya mengenai apa yang telah dibuat.
Maknanya, buku nota kecil itu adalah mengenai esok, sedangkan apa yang banyak tercatat di media sosial ialah mengenai semalam yang tak boleh diubah melainkan hanya rakaman kisah lalu yang akan tenggelam.
Maknanya, buku nota kecil itu adalah mengenai esok, sedangkan apa yang banyak tercatat di media sosial ialah mengenai semalam yang tak boleh diubah melainkan hanya rakaman kisah lalu yang akan tenggelam.
No comments:
Post a Comment