CERITA SEGELAS
TEH TARIK
TEH TARIK
SETELAH tidak lagi bersama Sinar Harian, saya sering ke selatan ibukota untuk
berurusan. Saya ke sana awal supaya dapat memulakan mesyuarat dengan klien,
tepat pada waktu temujanji. Kerana itu, sering juga saya bersarapan di sebuah
medan selera. Makan apa lagi jika bukan nasi lemak dengan teh tarik.
Lazimnya
saya memesan teh di gerai sebelah kiri atau kanan gerai nasi lemak. Setelah
beberapa kali ke sana, baharu saya perasan yang harga segelas teh tarik di
antara kedua-duanya tidak sama harganya. Gerai sebelah kiri menawarkan harga
RM2.00 untuk segelas. Gerai di sebelah kanan menawarkan harga RM1.40 sahaja!
Apabila
saya perasan perbezaan harga, mulalah hati hendak mempersoal. Mengapa harganya
begitu jauh berbeza? Kolenya hanya sedikit berbeza saiz. Namun beza harganya
tidaklah patut sampai 60 sen! Barangkali beza harga 10 sen, memang logiklah.
Namun, saya pesan jugalah di gerai yang menjual teh tarik RM2.00 jika kedai
yang satu lagi tutup kerana cuti.
Orang
Melayu pada hari ini memang sudah pandai berniaga. Orang Melayu juga boleh buka
kedai dan besarkan perniagaan. Mereka boleh buka sebuah kedai dan akhirnya ia
menjadi rangkaian kedai-kedai kerana perniagaan mereka mendapat sambutan. Kalau
dulu orang Melayu hanya pandai buka kedai jahit songkok dan capal serta kedai
makan, kini orang Melayu dah boleh jual apa yang orang lain boleh jual.
Sebut
sahaja dari perniagaan tepi jalan, dalam kedai, dalam kompleks membeli belah
mahupun secara atas talian, orang Melayu ada perniagaannya. Tapi, walaupun
pandai menjual, orang Melayu perlu juga mengerti pentingnya pemasaran. Jika
membuat sebanyak mungkin duit adalah matlamatnya, itu pemikiran orang menjual,
bukan pemasaran.
Maka kita
akan temui mereka meletakkan harga yang tinggi semata-mata kerana inginkan
keuntungan segera. Sebab itulah kita temui ada di kalangan peniaga-peniaga ini
menjual makanan yang kurang nampak serinya tetapi mengenakan harga di sebuah
kafe. Sudah menjadi kebiasaan bila mana ada gerai yang mengenakan harga yang
lebih tinggi daripada harga di restoran mamak.
Mungkinkah
kerana pelanggan terlalu ramai? Jika pelanggan A tidak mahu membeli, ada
pelanggan B, atau C, atau D yang akan melariskan jualannya.
Menurut
perangkaan penduduk Malaysia 2018, hampir 70 peratis penduduk Malaysia adalah
terdiri daripada kaum Bumiputera. Tentulah para pelanggan yang terdiri daripada
orang Melayu pun lebih ramai dari kaum-kaum lain. Di kebanyakan pusat
membeli-belah ternama pun kita dapati sebilangan besar daripada para
pelanggannya adalah terdiri dari kalangan orang Melayu. Barangkali, ini juga
penyumbang kepada keberanian sesetengah peniaga Melayu menaikkan harga tanpa
rasa bimbang barangannya tak laris.
Namun,
walaupun dengan menaikkan harga itu lebih cepat menguntungkan, daripada aspek
pemasaran, jumlah pelanggan itu akan berkurangan berdasarkan harga barangan.
Maknanya barangan berharga RM1.00 akan mempunyai lebih ramai pelanggan
berbanding dengan jika harganya RM2.00.
Contohnya,
gerai A yang menjual teh tarik berharga RM1.00 akan mempunyai lebih ramai
pelanggan berbanding dengan gerai B yang menjual dengan harga RM2.00. Meskipun
daripada satu segi, gerai B akan mendapat lebih untung dengan lebih cepat.
Tetapi
gerai A yang menjual teh yang berharga
RM1.00 akan dikunjungi dengan lebih ramai pelanggan. Sekali pandang, benarlah
gerai A terpaksa menjual dua kali ganda gelas teh daripada gerai B. Jika gerai
A terpaksa mendapatkan 100 pelanggan untuk memperoleh RM100, gerai B hanya
perlu 50 pelanggan sahaja. Kerja kuat dua kali ganda untuk mendapat jumlah RM
yang sama.
Tetapi
perniagaan yang baik itu sifatnya berkembang. Apabila A melancarkan barangan
lain, A sudah ada jumlah 100 pelanggan berbanding dengan B yang hanya ada 50
orang pelanggan. Ertinya, gerai A pula mempunyai jumlah pelanggan yang lebih
besar daripada gerai B.
Dunia
perniagaan khususnya peruncitan perlu menawarkan harga semurah yang boleh untuk
mendapatkan seramai mungkin pelanggan. Pelanggan yang ramai akan mempermudah
mendapat modal pusingan. Sebaliknya jika hendak menjual barangan premium, maka customer base yang besar itu tidak
perlu. Hanya beberapa orang pelanggan yang ada pun sudah boleh menjamin
kelestarian perniagaan.
Sebab
itulah, kalau hendak untung semata-mata dengan menaikkan harga itu bukannya
pemikiran jangka panjang. Sebaliknya ia akan mempercepat gulung tikar apabila
pelanggan lari. Kebanyakan peniaga Melayu kenalah faham meletakkan harga itu
bukan semata-mata untuk untung semata-mata.
Orang
akan sanggup membeli jika barangan yang dijual itu luarbiasa persembahan dan
rasanya. Kini ramai yang sanggup beli teh ais kaw dengan harga RM5.00. Kerana
itu, teh tarik gelas kecil berharga RM2.00 di gerai medan selera amat tidak
munasabah jika ada gerai lain yang boleh jual dengan harga yang lebih murah.
Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar SInar Harian pada 26.9.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar SInar Harian pada 26.9.18.
No comments:
Post a Comment