DI PADANG MANA
PILIHAN NOVELIS?
PILIHAN NOVELIS?
DI TENGAH-TENGAH kemalapan industri filem tempatan, tiba-tiba dua buah filem,
Hantu Kak Limah dan Munafik 2 meletup di pawagam dengan kutipan yang amat-amat
luarbiasa. Kutipan filem Hantu Kak Limah menghampiri RM30 juta pada akhir Ogos
2018. Munafik 2 pula sudah dilaporkan melepasi kutipan RM40 juta. Kedua-dua
filem ini masih ditayang. Walau apa pun, kutipan bagi kedua-dua filem ini sudah
memecahkan box-office ataupun pecah panggung dan juga rekod kutipan filem
Malaysia.
Sebagai
orang yang terlibat dalam industri buku, rasa cemburu tetap ada. Bagaimana
penonton begitu mudah mengeluarkan wang masing-masing untuk menonton filem?
Harga tiket filem Hantu Kak Limah ialah RM15 dan Munafik 2 pula RM19 di
panggung Golden Screen Cinema. Harga sekeping tiket lebih kurang harga sebuah
novel.
Para
penonton mudah mengeluarkan wang kerana sebelum ini telah ada filem Hantu Kak
Limah Balik Rumah dan juga filem Munafik. Maknanya ada penanda aras sebelum
ini. Oleh kerana mereka berpuas hati dengan filem sebelum ini, maka filem
berikutnya ditonton tanpa ragu-ragu lagi.
Walaupun
terdapat faktor cuti seperti Hari Merdeka, Awal Muharam dan Hari Malaysia
sebagai sebab lebih ramai penonton ke panggung wayang, pada tahun-tahun sebelum
ini pun terdapat juga cuti-cuti yang panjang, tetapi penonton tak berpusu-pusu
ke panggung wayang seperti pada kali ini.
Jika
dicongak, lebih 4 juta pengunjung sudah berbelanja untuk menonton filem Hantu
Kak Limah dan Munafik 2. Tidak keterlaluan jika saya andaikan dengan law of
average, 20 % di kalangan mereka atau 800,000 penonton adalah juga pembaca
novel!
Walau apa
pun, genre filem iaitu filem seram dan komedi nampaknya menjadi pilihan
masyarakat. Filem-filem genre lain seperti filem masyarakat, animasi, cinta,
patriotik, undang-undang, fiksyen sains dan aksi masih belum dapat mengatasi
kedua-dua genre itu.
Fenomena
ini harus menjadi perhatian mereka di dalam industri buku fiksyen. Para
penerbit dan juga novelis seharusnya sedar apa yang penonton mahu. Para
penonton mahukan cerita komedi dan seram. Maka sekalian novelis seharusnya
melihat betapa kedua-dua genre ini menggamit penonton ke panggung wayang. Pada
waktu inipun, novel-novel seram mendapat perhatian para pembaca novel.
Malangnya,
apa yang berlaku, jumlah novelis yang muncul begitu syok memilih genre kisah
cinta. Akibatnya pada hari ini, bilangan novelis kisah cinta sudah terlalu
ramai. Dari semasa ke semasa apabila menelusuri laman Facebook, di
ruangan People You May Know, saya akan menemui tidak kurang dua orang
novelis baharu dalam seminggu. Sebilangan besar daripada mereka adalah novelis
kisah cinta!
Patutlah
pasaran novel kian menurun. Sebilangan daripada golongan yang ke panggung
wayang adalah pembaca novel. Apabila rekod menunjukkan filem-filem cinta tidak
cemerlang di pawagam tetapi hanya top di skrin TV, itu bermakna kisah-kisah
cinta bukan menjadi pilihan utama penonton dan juga pembaca. Maknanya,
seandainya para novelis cinta inginkan audien yang lebih besar, mereka kena
beralih daripada genre itu.
Dalam
pada itu, tidak ramai yang berani meneroka untuk menulis dengan genre
masyarakat, animasi, cinta, undang-undang, fiksyen sains, patriotik dan aksi.
Mereka bimbang jika tiada sambutan kerana khalayaknya kecil. Sebenarnya di
padang yang sunyi itulah tempat yang paling bagus untuk novelis duduk
bertendang!
Ia lebih
baik daripada padang kisah cinta yang sudah sarat dengan novelis sehinggakan pemain
yang baharu sukar bernafas dalam kesesakan itu. Benarlah, menulis genre selain
daripada cinta itu lebih sukar. Tetapi yang sukar itulah sebuah kembara minda
dan terapi bagi seseorang novelis.
Dengan
kekuatan imaginasi, cinema of the
mind yang dihidangkan oleh seseorang novelis itu punyai kehebatan yang
tersendiri berbanding dengan kehebatan sesebuah filem. Malah sajian novel
punyai pelbagai intepretasi bagi seseorang pembaca, berbanding dengan apa yang
diperoleh daripada menonton filem. Di pawagam, semua penonton melihat dan
mendengar imej dan audio yang sama. Apakah menonton filem akan menghasilkan
manusia yang punyai perangai yang sama kerana melihat imej yang sama?
Belum ada
kajian mengenainya tetapi secara logiknya begitulah. Di sini, peranan novelis
itu lebih mencabar seandainya mereka berfikir dalam-dalam. Jika mereka tidak
mahu dilihat sebagai tukang cerita dan pengkhayal, mereka perlu pilih genre
yang berbeza, yang belum ramai berani menerokanya. Itulah dunia kreatif
sebenarnya!
No comments:
Post a Comment