PELANGGAN KEMPEN
LARISKAN JUALAN?
LARISKAN JUALAN?
PADA Ahad lepas,
saya mengunjungi gedung membeli-belah Alamanda di Putrajaya. Sudah bertahun
saya tidak ke sana. Apabila tiba sekitar jam 1.00 tengahari, keadaannya agak
sesak. Medan seleranya penuh, para pengunjung berbaris untuk mendapat tempat di
restoran-restorannya. Saya tak nampak satu pun kedai-kedai lain seperti kedai
pakaian, kasut, butik, elektrik dan ATM yang tiada berpengunjung. Hebat.
Dan, apa yang amat
menarik hati saya ialah, kedai buku MPH yang terletak di tingkat bawah kompleks
membeli-belah itu kelihatan meriah dengan para pelanggannya. Mereka bukan
semata-mata datang untuk membelek buku. Sebaliknya mereka membeli kerana
kaunternya tidak putus dengan pelanggan yang berbaris untuk membayar. Siapa kata rakyat Malaysia dah tak baca buku?
Pada pertengahan
bulan lepas, saya mengunjungi sebuah kedai buku di pinggir Kuala Lumpur. Malangnya,
itulah hari terakhir ia beroperasi! Punca ia tutup adalah kerana pelanggan tak
ramai. Dalam bersembang dengan kawan-kawan dalam industri buku dua tiga hari
lalu, ada khabar yang kalau tak silap saya, tidak kurang tiga kedai koperasi
buku di beberapa buah universiti awam dah tutup kerana buku tak laku!
Apabila saya pasang
telinga, saya biasa terdengar kata-kata bahawa orang Malaysia dah makin malas
membaca. Saya diberitahu, buku dah tak laku kerana pembaca lebih gemar berulit
dengan telefon pintar masing-masing. Ataupun, buku tak laku kerana harganya
mahal. Dan khabarnya, industri buku makin malap dan lembab.
Saya pernah sentuh
mengenai hal ini dua-tiga bulan yang lalu. Kesimpulan saya ialah, orang ramai
akan berhenti membaca seandainya mereka di dalam industri buku sendiri menyerah
kepada takdir. Para pemain dalam dunia buku sendiri mati akal hendak cari jalan
merangsang para pembaca untuk kembali membaca.
Kita tidak boleh
berharap kepada pemerintah untuk memulakan inisiatif dalam penggalakkan
membaca. Kalau kerajaan tak buat, maka habislah industri buku. Kalau kerajaan
tak tolong maka bungkus atau gulung tikarlah dunia buku Malaysia. Kalau tiada
subsidi, insentif dan kempen anjuran kerajaan, maka industri buku tak akan
bangkit lagi. Begitulah sikap kalau kita mengharap pada orang lain tanpa
memikirkan jalan untuk hidup sendiri. Sikap begitu seperti membunuh diri,
namanya.
Namun, apabila Elle
Syeila, peneraju utama Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid mengirim sebuah
poster melalui Whatsapp, saya begitu
teruja dengan kesungguhan kelab ini bergerak aktif dalam kempen penggalakan
membaca. Pada hari Sabtu, 8 September ini, kelab itu bersama dengan Kelab
Peminat Maria Kajiwa dan Kelab Peminat Ahmad Patria Abdullah, ketiga-tiganya
kelab peminat novelis-novelis ini akan menganjurkan Baca@MRT.
Pada hari itu,
ratusan aktivis buku akan berhimpun di dua buah stesen MRT iaitu di Kajang dan
di Sungai Buluh. Dari kedua-dua arah ini, mereka akan menaiki tren dan bertemu
di stesen MRT Pasar Seni. Di sepanjang perjalanan, mereka akan menyimpan
telefon pintar masing-masing dan membaca buku.
Yang pasti gelagat
mereka akan menarik perhatian para penumpang yang lain. Kesan mob psychology akan terjadi di mana
mereka yang tidak membaca akan berasa ketinggalan kerana tidak membaca buku.
Jika ada di kalangan orang ramai yang sedang membaca buku, majalah mahupun
akhbar, mereka jadi bersemangat untuk membaca dalam set-up yang sedemikian. Inilah impak yang dimahukan.
Ini juga salah satu
kempen membaca yang berkesan. Tidak ada majlis ucap-ucapan, nyanyi-nyanyian di
pentas di dalam dewan-dewan. Sebaliknya ia adalah kempen yang dibuat secara
langsung di tengah-tengah orang ramai. Mereka yang dah lama tidak membaca buku
akan pulang dan mencari buku yang masih tak habis dibaca kerana rasa
bersalah meninggalkan minat itu.
Barangkali, di lain
waktu, mereka juga akan membawa sebuah buku apabila menggunakan perkhidmatan
MRT. Akhirnya apabila ramai yang berbuat begitu, kita tak iri hati lagi pada
orang Jepun yang dikatakan suka membaca di dalam tren. Lihatlah, betapa peminat
buku berkorban masa, tenaga dan wang untuk menggalakkan membaca di kalangan
rakyat.
Baca@MRT yang mula
diadakan sejak tahun 2010 oleh Jurulatih Penulis Zamri Mohamed dan penulis
Izwan Wahab nampaknya kian meningkat momentumnya. Malah pada kali ini gerakan
penulis MyMove, BooksontheMove, yang mempunyai rak-rak buku di MRT, Syarikat Buku
Prima dan Kelab Peminat #BukuFixi.
Baca@MRT ini hanya
sekejap. Tetapi itulah yang terdaya dilakukan oleh aktivis-aktivis buku ini.
Sepatutnya bukan mereka yang lebih aktif dalam kempen membaca ini sebab mereka
adalah pelanggan. Mana ada kumpulan pelanggan yang sibuk berkempen untuk
melariskan jualan di kedai-kedai? Mana ada pelanggan makanan segera berkempen
melariskan burger? Mana ada pelanggan kedai baju berkempen untuk melariskan
pakaian?
Sebaliknya pengedar
buku, gedung-gedung buku dan juga penerbit yang aktif dalam kempen membaca ini sebab
mereka adalah penjual buku. Kalau setakat memasang iklan di laman sesawang dan
media sosial masing-masing, ia amat tidak mencukupi. Mereka harus turun padang
bertemu pembaca. Baharulah betul. Bukannya pelanggan yang mengiklan, tetapi
penjual yang ambil peranan itu!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.9.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.9.18.
No comments:
Post a Comment