DI SEBALIK MENGIBAR
JALUR GEMILANG
JALUR GEMILANG
BARU-BARU ini saya
ke Bandar Baru Bangi menemui Izmael yang lama tak diketemui. Bermula dengan
like di Facebook, kami berjejak kasih kembali setelah bertahun tak jumpa.
Izmael adalah salah seorang teman sepejabat tatkala saya bertugas di sebuah
syarikat perunding perniagaan di Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. Walaupun
lama tak bersua, kami masih mesra berlawak dan bergelak.
Sekali-sekala mereka di meja sebelah restoran tempat kami melepak terjeling-jeling bila Izmael tergelak nyaring. Dia memang suka berseloroh. Perbualan kami akhirnya menyentuh hal-hal perkembangan politik semasa. Menurut Izmael, walaupun undi itu rahsia, dia dapat mengagak parti-parti politik manakah yang dipangkah oleh jiran-jirannya.
‘Aku tahu
jiran-jiran aku sokong parti mana,’ kata Izmael dengan wajah serius yang
dibuat-buat. ‘Aku tengok Jalur Gemilang yang dia orang pasang kat depan rumah
pun, aku tau isi rumah tu sokong parti mana.’ Walaupun saya tahu Izmael
bermaksud melawak, tapi lawak Izmael lazimnya berisi. Saya faham stail lawak
seriusnya itu.
Menurutnya, ada
empat jenis penduduk di kawasan perumahannya. Pertama, mereka yang tiba-tiba
pasang Jalur Gemilang pada tahun ini, walhal sebelum itu tak pernah pasang pun.
Mereka ini adalah penyokong PH. Kedua, mereka yang setiap tahun akan kibar
Jalur Gemilang, tapi tiba-tiba tak pasang pulak bendera pada tahun ini. Mereka tu adalah penyokong BN!
Ketiga, jiran yang
tak pernah langsung pasang Jalur Gemilang. Mereka ini mungkin tak undi
mana-mana parti. Mereka jenis tak kisahkan
politik Keempat, jiran-jiran yang
tiap-tiap tahun mesti pasang Jalur Gemilang. Mereka inilah golongan patriotik.
Mereka cintakan Negara, bukan parti politik!
Memang kelakar
pandangan Izmael ini. Tapi, iyalah… mereka yang tiba-tiba pasang Jalur Gemilang pada tahun ini mungkin tidak
berasa gembira dengan corak kepimpinan yang ada selama ini. Mereka menganggap
BN ‘mempunyai’ negara ini lalu tidak mahu memasang bendera. Seolah-olah
pemasangan bendera itu suatu jenis endorsement
kepada parti itu.
Begitu jugalah
sebaliknya. Mereka yang menyokong BN berasa negara ini sudah diambil-alih oleh
Pakatan Harapan. Justeru itu mereka tidak mahu memasang bendera dan menyambut
merdeka. Mereka berasakan tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada parti
pemerintah yang ada.
Sekilas pandang, mana
patut kita kaitkan pemasangan Jalur Gemilang itu sebagai tanda sekongan kepada
parti politik yang memerintah. Pasang bendera adalah tanda meraikan kemerdekaan
negara, bukannya meraikan kemenangan mana-mana parti!
Namun, jika kita
susuri laman-laman sosial, seperti Facebook
dan Whatsapp, kita akan dapati
pemikiran sebegitu ada benarnya. Bagi yang menyokong BN, apa sahaja yang
dilakukan oleh PH pada hari ini semuanya salah dan tidak baik. Golongan yang
menyokong PH pula akan membenarkan apa jua tindakan pakatan itu walaupun
ada keputusan yang dibuat itu tidak menggambarkan
kehendak rakyat.
Pendek kata, yang
menyokong akan terus menyokong dan yang membangkang akan terus membangkang.
Kedua-dua kelompok ini sebenarnya maaf cakap, sudah jadi fanatik kerana
kebenaran itu terletak kepada pihak mana yang mereka sokong.
Ramai yang sudah
lupa pilihanraya sudah selesai dan kita perlu memberi peluang pihak yang menang
untuk menerajui negara. Jika kita tidak memilih yang menang, kita perlulah akur
dengan keputusan yang dibuat pihak yang menang. Sebaliknya, walaupun kita telah
memilih pihak yang menang, kita wajar pula menegur tindakan tak kena yang
mereka lakukan.
Jika kita pandang
dengan lebih dekat, kita akan dapati orang Melayu sendiri punyai sikap idol-worship yang begitu tinggi. Mereka
menyamakan Pakatan Harapan itu dengan Tun Mahathir dan Barisan Nasional itu
dengan Datuk Seri Najib.
Pendirian ‘asal
bukan Najib’ mereka pegang bukan sekadar tagline
kempen pilihanraya, malah ia menjadi sesuatu yang benar. Kerana itu, apa jua
pandangan Datuk Seri Najib bukan sekadar disanggah dengan hujah, malah
dibangkang dengan kata nista yang bukan-bukan.
Begitu juga mereka
yang melihat Tun Mahathir sebagai bukan lagi mewakili orang Melayu telah mengejek
apa jua tindakan yang beliau lakukan. Padahal, mustahil seseorang yang telah
berpuluh tahun memperjuangkan Melayu boleh tiba-tiba melupakan bangsanya sama
sekali tanpa sekelumit pun rasa ingin membela bangsanya sendiri!
Dalam konteks ini,
sikap untuk menyokong dengan bersebab dapat dilihat di kalangan orang-orang
China. Andainya mereka tidak bersetuju dengan mana-mana dasar dan membantah
secara terang-terangan, mereka turut mengadakan perundingan agar memperoleh
bahagian yang mereka inginkan. Akhirnya, orang China mendapat untung juga.
Pendek kata, mereka
tidak membantah lalu memusuhi. Sebaliknya mereka membantah tetapi sentiasa
mencari jalan untuk mendapat juga apa yang mereka inginkan. Mereka membantah
tetapi terus melakukan engagement.
Kita sebaliknya membantah lalu menjauhi. Akhirnya kita kalah kerana sentiasa
menyalahkan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.8.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.8.18.
No comments:
Post a Comment