#MALAYSIAMEMBACA
BERJAYA?
SAYA terpegun apabila menerima poster #MALAYSIAMEMBACA: Apakah 10 buku kegemaran anda? di Whatsapp. Poster hijau gelap yang lengkap dengan imej Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik itu menguja saya kerana ia datang daripada beliau sendiri. Sebagai seorang yang giat di dalam industri buku, lantas saya menelusuri halaman Facebook beliau.
Rupa-rupanya Dr.
Maszlee bukan setakat menyoal mengenai 10 buah buku yang kita baca. Malah,
beliau iringi status beliau dengan sebuah hasrat yang besar. Katanya, ‘saya
berhasrat untuk menjadikan Malaysia
sebagai negara membaca tahun 2030. Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling
banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah
budaya membaca yang tinggi. Membaca ialah seruan pertama dalam Islam
(al-Alaq:1).’
Katanya lagi, ‘Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10
buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.’
Dr. Maszlee menurunkan 10 buku kegemaran beliau yang di antaranya termasuk The Alchemist
karya Paulo Coelho, Rasuah karya Syed
Hussein Alattas, Sejarah Umat Islam
karya HAMKA dan juga karyanya sendiri Hikmah
Hati.
Di Facebook, status Dr. Maszlee memperoleh 5,900
likes, 1,760 komen dan 3,400 shares dalam masa 24 jam. Tagar
MalaysiaMembaca juga muncul di Instagram serta Twitter. Banyak juga blog dan laman web
yang menyahut seruan beliau. Carian di Google pula memaparkan 2,250 temuan.
Menteri Pendidikan
bukan mencabar kita seperti ‘The Harlem
Shake,’ ‘The Ice Bucket Challenge’ ataupun
‘Keke Challenge’ yang terkini itu.
Sebaliknya beliau hanya memaparkan status dalam bentuk seruan. Tidak mengapalah
jika ia belum begitu menular buat sehari dua ini. Mungkin saranan
#MalaysiaMembaca akan meletup-letup apabila lebih ramai yang mengetahuinya.
Betapa pun, oleh
kerana #MalaysiaMembaca ini adalah impian 12 tahun Dr. Maszlee Malik, kempen
melalui media sosial yang sekadar memaparkan 10 buku kegemaran masing-masing
akan menemui jalan buntu dalam beberapa minggu sahaja. Lihatlah, apa jua kempen
di media sosial hanya berupa fad ataupun
kegilaan sementara. Pada bulan hadapan, ajakan #MalaysiaMembaca akan dipandang
sebelah mata atau tidak akan dipandang langsung. Barangkali ia akan mati
seperti mana-mana challenge yang
lain.
Saya tak nafikan ia
idea yang sungguh murni. Membaca adalah santapan minda. Kita akan kebulur
apabila tidak makan sehari. Namun, mungkin seorang dua sahaja di kalangan kita
yang lapar minda apabila tidak membaca dalam sehari. Lebih ramai pula yang lain
yang tak perlukan santapan minda walaupun tidak sedar, daya fikir, daya
menganalisa atau daya hujah semakin tumpul apabila minda tidak diberi makanan
melalui membaca.
Justeru itu, kita
yang sedar membaca itu penting wajib menyemarakkan saranan Menteri Pendidikan
kita. Andainya kita sukakan membaca atau menghormati ilmu melalui membaca,
apalah salahnya kita meuar-uarkan #MalaysiaMembaca.
Bagaimana pun, untuk
terus menghela hasrat ini hingga ke tahun 2030 iaitu 12 tahun lagi, kempen yang
sesantai ini tidak akan ke mana-mana melainkan ia disambut oleh pemain di dalam
industri ini dan mereka yang berada dalam dunia pendidikan.
Para pemain di dalam
industri buku ini ialah penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit. Jika
diteliti secara dekat, kita akan dapati lebih ramai mereka di dalam industri
ini yang tidak memfokuskan aktiviti mereka untuk mengiklan dan mempromosi buku.
Tidak payahlah ambil kira promosi dan pemasaran melalui laman web masing-masing
kerana semua orang buat itu hingga, ‘bila kita buat apa yang orang lain buat,
ia tiada kesan apa-apa.’
Penulis, pekedai
buku, pengedar dan penerbit perlu bergabung mencari jalan bagaimana untuk
mengiklan produk mereka melalui iklan di media perdana televisyen, akhbar dan
radio. Hidupkan pameran agar buku dibawa kepada pembaca kerana pembaca kian
malas untuk ke kedai buku.
Adakan pertandingan
membaca, sayembara, apa jua jenis challenge
yang boleh difikirkan untuk menyemarak kegilaan membaca. Para penulis mesti
munculkan diri sebagai selebriti. Pastikan mereka juga dipanggil di sidang
media seandainya karya mereka dipilih menjadi telenovela mahupun filem. Bukan
sekadar disebut nama.
Pihak berwajib
seperti perpustakaan awam harus mengajak perpustakaan swasta yang terdapat di
kolej-kolej mahupun di syarikat-syarikat swasta untuk meraksaksakan kempen.
Kempennya mudah sahaja. Kembalikan tabiat membaca. Munculkan wajah-wajah
selebriti mahupun personaliti terkenal termasuk ahli-ahli politik, usahawan,
chef dan ustaz yang sedang membaca agar masyarakat tak malu membaca.
Yang penting, Majlis
Buku Kebangsaan Malaysia mesti tampil dengan pelan besar 12 tahun bagaimana
kita boleh melahirkan rakyat yang membaca. Libatkan sekolah dan universiti
sebagai paksi aktiviti kerana gedung pendidikan adalah rumah buku. Seperti kata Dr. Maszlee
Malik, ‘Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang
tinggi.’ Maknanya, kita akan punyai masyarakat yang pandai kerana rajin
membaca.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.8.18
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.8.18
Mohon dihantar poster whatsapp #MalaysiaMembaca kepada 017 5380799
ReplyDelete