KITA TIDAK SEBAIK MANA PUN
Anak saudara saya
tertawa melihat video adegan filem Seniman Bujang Lapuk arahan P. Ramlee.
Ketawa kerana terdapat adegan watak sultan yang marahkan permaisuri hingga ‘tak
akan mengampun dunia akhirat’ dan ingin pula memancung leher permaisurinya.
Apa yang menggelikan
hati ialah, kesalahan permaisuri bukannya besar. Dia hanya terlupa memasukkan
belacan di dalam sayur asam yang dimasaknya. Sultan yang menggemari belacan,
begitu marah kerana ramuan kegemarannya tidak dimasukkan ke dalam hidangan.
Adegan itu kononnya adalah sebuah penggambaran filem di studio.
Sedang sultan
menghamburkan kemarahannya, tiga bujang lapuk, Ramlee, Sudin dan Aziz muncul.
Tanpa memahami bahawa ia adalah sebuah penggambaran, Sudin yang melihat
ketidakrasionalan sultan terus tampil memarahi dan menumbuk baginda.
Pasti tindakan Sudin
menimbulkan ribut di studio itu. Tapi dia memukul sultan kerana baginda ingin
menghukum isterinya hanya kerana satu kesalahan kecil. Kelakar, sememangnya
kelakar. Namun, tindakan kelakar itulah yang selalu kita buat di alam realiti.
Baru-baru ini, kita
lihat video tular di mana seorang kanak-kanak ditolak oleh pengasuh hingga
jatuh dari kerusi hanya kerana tidak tahu menjawab soalan. Budak itu tidak
salah kerana tidak tahu. Pengasuh itu bersalah kerana tidak mengajar walaupun
dia tahu. Ada juga video tular kes menggesel kereta kerana tidak puashati ada
kenderaan menghalang jalan. Akibat marah melampau, kereta sendiri pun kena
dicat kerana tercalar.
Marah itu panas.
Kepanasan dari syaitan. Orang marah dianjurkan mengambil wuduk untuk
menyejukkan tubuh. Daripada sudut biologi, apabila kita marah, jantung kita
pantas bekerja hingga kita tidak cukup oksigen. Kita memerlukan 95 % hingga 100
% oksigen. Apabila oksigen kurang di dalam tubuh, fikiran kita jadi tak
menentu.
Banyak kes pesakit terlantar
yang memerlukan oksigen mula menghidap hypoxemia, iaitu meracau bila oksigen
kurang dari 95%. Barangkali kita tidak boleh berfikir dengan baik apabila kita
termengah-mengah sebab kekurangan oksigen.
Marah dan
menjeritlah sepuas-puasnya di dalam hati. Tetapi apabila kemarahan itu
terhambur dan terlafaz, mahupun direkodkan dalam bentuk tulisan, maka kita
berada di dalam situasi ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk
padahnya.’
Semua ini berlaku
kerana kita tersilap dalam pertimbangan. Orang yang disayang mungkin hanya
mengajak makan di luar. Oleh kerana kesibukan, kita membebel menceritakan apa
yang kita sedang lalui.
Pelawaan yang manja
juga boleh bertukar hangat apabila yang mengajak mula menjawab dan mengungkit.
Hal-hal mengenai jalan-jalan bersama boleh melarat hingga menyentuh mengenai
soal perhubungan. Bila diapi-apikan dengan jawapan dalam keadaan marah, ia
boleh membawa kepada pertengkaran hingga bermasam muka.
Seharusnya kita
mesti melihat mereka di sekeliling kita dari kacamata yang menyeluruh. Semua
orang ada baik. Semua orang juga ada buruknya. Dan mereka di sekeliling kita
lebih banyak baik daripada buruk.
Seandainya berlaku
apa yang tidak berkenan di hati, apa yang kita tidak sukai itu hanyalah satu
daripada berpuluh-puluh perangai baiknya. Pertimbangkan secara menyeluruh dan
kita akan dapati kesalahan mereka tidak sebesar mana pun.
Rakan di meja
sebelah mungkin suka membawang. Sekali sekala apabila kita jadi mangsa, tidak
bolehlah kita membuang dia. Dia mungkin seorang yang peramah, suka membelanja
asam, rajin menolong dan di bahunyalah tempat kita melepas tangisan.
Lihatlah orang yang
disayangi itu sebagai sebuah pakej. Jika kita sukakan dia kerana kecantikannya,
budi pekertinya, seorang pendengar yang baik, janganlah pula sendawanya yang
kuat itu terus menjadikan kita membencinya. Ia hanyalah satu-dua kekurangan dia
sebagai manusia.
Begitu juga mereka
yang berpengaruh di sekeliling kita samada orang politik, ahli sukan, selebriti,
usahawan dan ustaz. Sekali kebaikan yang dia lakukan, berganda-ganda pahala
yang dia boleh dapat berbanding dengan kita. Mengapa pula apabila satu-dua
kesilapan kata dan keputusan yang dia buat itu boleh menjadikan kita hakim
untuk mencerca dia sampai mati?
Kita pun tidaklah seelok dan sebaik mana pun.
Cermin diri.
No comments:
Post a Comment