piccredit: hiconsumption
PADAH TERLALU BANYAK MENONTON
SAYA tak terkata apa, bila perihal kasut hitam dan setokin menjadi fokus utama sidang akhbar Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini. Dalam hati saya, cerita kasut dan setokin ini pasti akan menjadi isu dan menular di laman-laman sosial seperti mana sebelum ini. Jangkaan saya benar. Hal setokin jadi riuh hingga Menteri Pendidikan itu dikatakan naik berang.
Sebelum
itu, pada bulan Julai lalu, tatkala menyampaikan gagasan beliau di program
Bicara Minda, akhbar Sinar Harian, Dr. Maszlee menggariskan begitu banyak
perkara yang di antaranya mengenai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia, pentingnya penggunaan bahasa Inggeris di
kalangan anak muda, penangguhan pembayaran PTPTN, guru duka lara dan mengulas
mengenai Unified Examination Certificate.
Beliau
hanya menyentuh seketika sahaja mengenai pemakaian kasut hitam bagi para
pelajar sekolah di penghujung program. Namun, apa yang menjadi perhatian media
adalah mengenai penggunaan kasut. Pandangan-pandangan Dr. Maszlee mengenai
aspirasi, falsafah dan rancangan kementeriannya tenggelam dek cerita kasut.
Dan
begitu jugalah apabila baru-baru ini, dalam sebuah sidang akhbar mengenai
Hospital Pengajar Universiti setelah melawat Pusat Perubatan Universiti Malaya,
beliau ditanya wartawan mengenai warna setokin murid-murid sekolah pula.
Sidangnya mengenai memperkasakan program Hospital Pengajar Universiti telah
tenggelam.
Bila
hal kasut dan setokin menjadi fokus penyampaian berita, tidak boleh tidak
masyarakat akan memperkatakannya kerana ia melibatkan kesemua pembaca. Mereka semua
punyai anak-anak di sekolah atau pernah bersekolah sebelum ini. Apabila cerita
kasut dan setokin ini diadun untuk memberi gambaran yang menyusahkan ibu bapa,
maka teruklah pak menteri melayani soalan-soalan mengenai perkara yang remeh
itu.
Bagaimana
pula jika dilihat dari sudut persuratkhabaran? Lazimnya para wartawan merakam
semua ucapan mahupun sidang akhbar seseorang menteri. Tetapi apabila berita,
audio dan visual tiba ke meja editorial, para pengaranglah yang akan menentukan
apa yang patut dibesarkan dan apa pula yang harus dikecilkan. Faktor berita
yang menarik hati pembaca itulah yang lebih utama.
Dalam
dunia digital dan era kemerosotan akhbar, berita-berita yang menguja sebilangan
besar daripada pembaca itulah yang akan dibelek oleh para editor, digembur atau
dikembangkan hingga menjadikan ia sebuah hidangan yang menarik. Meskipun ia
adalah junk food of the mind, dan oleh
kerana para pembaca sukakan junk food itu,
maka itulah yang mereka peroleh!
Jangan
salahkan para wartawan, editor malah akhbar itu sendiri. Mereka memaparkan apa
yang pembaca sukakan. Jangan pula kata, mereka tak siarkan bahan-bahan yang
penuh erti, falsafah, misi, visi sesebuah kementerian. Mereka siarkan juga
walaupun di sisi. Andainya kita rajin menyemak berita di akhbar, kita akan
temui juga berita-berita serius yang berkaitan di kolum-kolum berhampiran.
Maaf
cakaplah… barangkali para pembaca sendiri yang sukakan bahan-bahan yang remeh.
Sebab itulah akhbar memperbesarkan berita-berita sebegitu. Jika mereka tak
suka, bagaimanakah berita kasut dan setokin itu menjadi tular dan bahan lawak.
Hendak salahkan siapa? Pak menteri yang menjawab soalan wartawan? Editor yang
memilih sudut itu sebagai santapan pembeli? Atau para pembaca yang sukakan
berita yang dikelakarkan itu?
Mahu
tidak mahu, kita kenalah akui bahawa kita belajar melalui pemerhatian. Cara
senyum, ketawa, berjalan, berlari dan bercakap ibu dan bapa diperhatikan oleh
si anak. Visual perlakuan kedua ibubapa itu dirakam minda si anak dan dia
meniru gaya mereka. Di peringkat pra-sekolah kita lebih mudah mengenal dan
mengingat melalui pembelajaran secara flash
card.
Pembelajaran
yang menggunakan gambar dan video diketahui lebih berkesan daripada
menyampaikan sesuatu melalui tulisan mahupun percakapan. Dunia digital kini
membolehkan kita mendapat maklumat yang lebih cepat melalui audio visual
seperti video dan filem. Kini, skrin telefonlah yang menjadi tumpuan kita. Dan
kita semua tatap lebih banyak imej daripada tulisan di skrin telefon.
Oleh
sebab terlalu banyak menonton, maka apa jua dalam bentuk huruf dan angka
menjadi kurang menarik. Sebaliknya, kita lebih tertarik kepada imej. Kerana itu, agenda dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan itu kurang menarik berbanding dengan cerita setokin dan kasut hitam
kerana setokin dan kasut itu boleh dilihat! Sehinggakan minda terlebih
imaginasi kita terbayangkan pak menteri pula yang memakainya!
No comments:
Post a Comment