piccredit: selangorkini
APABILA AKHBAR CETAK TIADA LAGI…
TREN penurunan jualan akhbar cetak di negara ini masih berlaku. Semua akhbar perdana berada di dalam ICU. Pihak editorialnya semakin kerap bermesyuarat. Strateginya bukan lagi untuk meningkatkan jualan mahupun menawan pasaran. Sebaliknya untuk memanjangkan hayat masing-masing. Namun semuanya sudah maklum dan menerima hakikat bahawa masa depan akhbar cetak sunggguh gelap. Maaf cakap, menunggu masa untuk ditutup.
APABILA AKHBAR CETAK TIADA LAGI…
TREN penurunan jualan akhbar cetak di negara ini masih berlaku. Semua akhbar perdana berada di dalam ICU. Pihak editorialnya semakin kerap bermesyuarat. Strateginya bukan lagi untuk meningkatkan jualan mahupun menawan pasaran. Sebaliknya untuk memanjangkan hayat masing-masing. Namun semuanya sudah maklum dan menerima hakikat bahawa masa depan akhbar cetak sunggguh gelap. Maaf cakap, menunggu masa untuk ditutup.
Ini
adalah kerana kita sendiri tidak lagi menunggu akhbar yang sampai di depan
pintu rumah seperti dahulu. Di kala itu, sebaik sahaja akhbar tiba, kita akan
tertanya-tanya berita apakah yang akan menjadi tajuknya. Apa yang dipilih oleh
editorial sesebuah akhbar, maka itulah yang menjadi berita utama. Itulah yang
akan kita tatap sebagai santapan minda utama di pagi hari.
Kini,
tidak lagi. Kita mencari berita yang kita sukai melalui internet. Yang suka
politik akan membaca berita politik. Yang minat sukan akan mencari berita
sukan. Yang gemarkan hiburan akan mendapatkan berita hiburan. Kita buat
keputusan apa yang kita ingin baca pada satu-satu hari.
Lain
manusia, lain pula pilihannya. Oleh sebab akhbar cetak mempunyai formula ramuan
yang tetap, ia tidak fleksibel untuk memuaskan hati ramai orang. Kerana itu,
akhbar cetak bukan lagi pilihan. Dalam pada itu, akhbar dalam talian juga
berdepan dengan cabaran portal-portal berita yang menyajikan cerita-cerita yang
garing dan segar.
Portal-portal
berita yang memberatkan cerita ini biasanya dianggotai tidak sampai 10 orang
tenaga kerja. Oleh kerana kecil, mereka pantas dan peka meneka selera semasa
pembaca. Mereka akhirnya menjadi pilihan dan kegilaan hingga boleh beridiri
teguh dengan kos operasi yang teramat rendah. Akhbar-akhbar perdana tidak
terlawan dengan situasi ini kerana saiznya itu sendiri memakan kos yang begitu
tinggi.
Betapa
pun, sekiranya kita hanya melihat ia sebagai sebuah tren pilihan pembaca dalam
konteks perniagaan, ia tiada bezanya dengan mana-mana perniagaan lain. Samada
kenderaan, pakaian, peralatan mahupun makanan, siapa yang paling kerap hadir di
skrin komputer dialah yang paling diingati dan kemungkinan besar akan menjadi
pilihan.
Tetapi
mari kita lihat akhbar dalam konteks asal yang murni sebagai penyaji santapan
minda untuk manusia. Dan kita bertanya pula, santapan minda yang bagaimanakah
yang baik? Jawapannya tentulah santapan minda yang penuh dengan khasiat
pengetahuan, maklumat, ketelusan, ketulusan serta kebenaran yang disampaikan
dengan penuh berimbang.
Begitulah
asalnya peranan akhbar apabila ia menjadi medium penyampaian maklumat pada
kurun ke-17 di Eropah. Setelah ia diterima pembaca, akhbar menjadi saluran
maklumat oleh kerajaan setempat. Di zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua,
akhbar berperanan untuk membarakan semangat rakyat untuk terus menyokong
kerajaan.
Setelah
peperangan tamat, akhbar terus bertempat di hati para pembaca. Ia amat
berpengaruh dan kerap dijadikan sebagai pembentuk public opinion dan alat pemerintah. Tetapi akhbar-akhbar juga
punyai pendirian untuk memainkan peranan semak dan imbang. Suaranya selalu
mewakili rintihan hati rakyat. Malah, ia menjadi elemen yang penting dalam
pembangunan negara. Malah diberi jolokan sebagai The Fourth Estate.
Namun,
sejak kemunculan internet yang turut melahirkan media sosial, peranan akhbar
yang sebenarnya kian diketepikan. Sesiapa sahaja bebas untuk memilih santapan
minda masing-masing. Maknanya rakyat tidak dapat disatukan sebagai sebuah warga
negara yang punyai kekuatan sebagai sebuah pasukan. Akhirnya pemerintah tidak
dapat membentuk keseragaman pemikiran rakyat. Rakyat tidak akan lagi menjadi
sumber manusia bagi sesebuah negara.
Apa
akan berlaku kelak? Kerajaan bercakap fasal satu perkara, rakyat pula akan
bercakap mengenai satu perkara yang lain. Kerana inginkan kebebasan fikiran,
suara kerajaan tidak akan didengar. Pemerintah akan hilang rakyat sebagai
asetnya. Kalau pun ada hubungan kerajaan dengan rakyat, ia hanyalah daripada
segi cukai, denda ataupun urusan kehidupan.
Apabila
rakyat tidak pedulikan kerajaan, pemerintah akan buat apa yang dia suka hingga
boleh menyeleweng. Kalau pun ada di kalangan rakyat yang mempersoalkan
penyelewengan pemerintah, suara mereka tidak akan kedengaran. Sebabnya,
sebilangan besar rakyat hanya mahu mendengar irama yang mereka gilai.
Surat
khabar tiada peranan sebagai pembentuk pemikiran rakyat. Ia akhirnya akan padam
dan tenggelam lalu hanyut bersama rakyat yang sudah jadi zombie akibat sihir
teknologi di akhir zaman. Di waktu itu, tiada apa perkara pun yang akan
menyatukan rakyat kecuali bencana alam!
No comments:
Post a Comment