piccredit: bimchospital
KITA
TERPISAH KERANA BERBEZA
MENGAPA tiba-tiba timbul
tafsiran bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dr. Mujahid Yusof Rawa
seolah-olah tidak mahu mencegah mungkar kerana mengutamakan privasi individu? Laporan
The Star memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi
mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk menyiasat dan menjalankan
operasi khalwat serta aktiviti maksiat lain.
Aha, ramai yang melompat bila membaca tafsiran berita daripada akhbar tersebut.
Kita semua diingatkan supaya bertabayyun. Ayat 6, surah al-Hujurat jelas
meminta kita selidik dahulu sumber sesebuah khabar. Lazimnya, akibat kurang
usul periksa, tanggapan kita itu tidak betul dan kita akhirnya termalu sendiri
kerana marah-marah tak tentu fasal.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab
kejahilan kamu - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan."
Saya percaya Dr. Mujahid kesal dengan reaksi sebilangan
golongan agamawan yang telah menyerangnya. Malah ada yang menggesanya untuk
meletakkan jawatan. Ini menyebabkan menteri tersebut menjawab dengan sinis. “Ada sesetengah orang tidak tengok transkrip penuh hanya ambil tajuk
lalu maki hamun dan cerca. Macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah
menteri agama ini tak ada agama dalam diri dia.”
Jika Dr. Mujahid punyai tanggapan bahawa
terdapat agamawan yang menganggap beliau tidak cerdik, atau tiada agama di
dalam dirinya, tanggapan itu ada asasnya. Tidak lama sebelum itu, dalam sebuah
majlis dengan wakil transgender, beliau menyentuh mengenai kemungkinan golongan
itu berkongsi tandas dengan golongan wanita.
Meskipun pandangan beliau hanya berupa
reaksi spontan yang hanya berupa pendapat, persepsi bahawa beliau adalah
seorang liberalis telah terbina. Meskipun ia sama sekali tidak tepat, namun
siapa yang dapat menahan persepsi liar ini dari terus terbina dan mengukuh di
dalam fikiran ramai?
Tidak boleh tidak, jika kita susuri lebih
jauh, pandangan bahawa Dr. Mujahid itu bukan seorang agamawan itu bermula
apabila beliau bersama rakan-rakannya keluar daripada Pas dan menubuhkan parti
Amanah. Meninggalkan Pas ditafsirkan seperti meninggalkan jemaah. Tetapi itu
tidak boleh dilihat sebagai mengenepikan agamanya.
Barangkali, ramai yang tidak ingat bahawa
beliau juga adalah anak salah seorang Presiden Pas, Allahyarham Yusof Rawa. Dan
beliau juga punyai kelulusan dalam bidang Ijazah Sastera Arab, Sarjana Sumber
Manusia dan juga Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sains Politik. Berapa kerat
ahli politik di Malaysia ini yang berkelulusan Sains Politik?
Daripada segi rank and file, beliau naik daripada bawah ~ daripada aktif sebagai
Pemuda Pas sehinggalah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang. Catatan ini bukannya untuk memuji Dr. Mujahid
tetapi kita kenalah menghormati kepakaran dan kelulusan seseorang di dalam
sesebuah bidang.
Orang yang tidak menghormati mereka yang
berilmu itu sebenarnya tidak menghormati ilmu sebab seseorang itu disanjung
kerana ilmunya. Jika ilmu yang ada pada seseorang itu tidak dianggap sebagai
sebuah martabat maka apakah itu bermakna kita menghormati sesiapa sahaja kerana
kepetahan mahupun ketampanannya sahaja? “Adakah sama orang-orang yang mengetahui
dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakal lah
yang dapat menerima pelajaran” (Az-Zumar 39: 9).
Dalam pada kita sibuk
mengkritik seseorang pemimpin, meskipun ia dipilih oleh orang lain, kita
kenalah sedar dari manakah datangnya sumber berita yang seolah-olah menampakkan
Islam sebagai agama yang tiada toleransi. Jika kita rajin memerhati, sudah sekian
kali sebenarnya, berita-berita agama Islam yang disensasikan ini datang
daripada media yang bukan berbahasa Malaysia.
Ada dua sudut yang
harus harus kita perhatikan. Pertama, apakah media-media ini mensensasikan berita
mengenai Islam semata-mata kerana ia mempunyai nilai berita? Kedua, apakah
media-media ini mempunyai agenda kerana sentiasa ingin memberikan sudut pandang
yang jelik mengenai Islam?
Dan kita, sebagai
kelompok majoriti selalu pula dibelah-belah dengan pandangan yang pelbagai
hingga kita pula yang asyik dengan polemik. Mungkinkah kita ini kena game dengan pihak yang kita tak ketahui?
No comments:
Post a Comment