Thursday, October 22, 2009

MENGENAI SEMANGAT


Foto: irwanmuhammadzain.wordpress
MENGAPA SEMANGAT
MUDAH HILANG



APABILA kita menghadiri satu-satu perhimpunan, tidak kira sama ada perhimpunan politik, malam anugerah syarikat jualan langsung mahupun majlis pelancaran sesebuah produk, ramainya kehadiran para pesertanya sudah cukup menguja hati dan minda. Pakaian mereka yang seragam ataupun sefesyen akan menjadikan kita berasa bahawa para pesertanya sudah sependapat dari segi zahir.

Hiasan pentas dengan tulisan besar, yang mempamerkan tujuan perhimpunan itu, logo persatuan yang terpampang serta foto gergasi ketuanya yang tampak hebat kerana saiznya, akan menjadikan kita turut berasa gah.

Tata cahaya yang menyentuh kaca candelier lalu menjadikan ia berkilau seperti berlian, kain satin berwarna-warni yang beralun-alun seperti ombak di langit dewan, hiasan sepanduk yang berjurai-jurai di tiang-tiang seri dewan perhimpunan serta belon-belon yang tergeleng-geleng ditiup angin penghawa dingin akan membuat kita terpegun penuh kekaguman.

Dan, apabila majlis bermula dengan lagu pertubuhan, lagu syarikat atau lagu tema yang dinyanyikan beramai-ramai hingga dewan bergema, ia pasti akan menggetar perasaan. Apabila tokoh utamanya bercakap, berucap dan berpidato, tumpuan semua mata akan ke wajahnya di layar besar. Kesemuanya akan terpaku kaku memerhati ekspresi wajah dan gerak bibirnya.

Ketika tokoh itu bersyarah, tepukan akan mengiringi, gelak tawa akan menghiasi dan pendengar yang terjal dan berani akan menyampuk untuk menghidupkan komunikasi dua hala. Akhirnya, bila tokoh utama bertempik, para hadirin akan terjerit, bila tokoh utama melaung, para hadirin akan menyahut dengan suara yang menggaung. Ketika itu, bulu tengkuk sudah berdiri dan jantung telah berdegup kencang. Semangat kian membara dalam gegak gempita suasana.

Namun, sebaik sahaja acara selesai dan para hadirin berbondong-bondong ke dewan bankuet, kehangatan perasaan sebahagian besar daripada mereka tiba-tiba mendingin! Fikiran sudah teralih daripada ingatan terhadap kata-kata semangat yang dilontar tokoh kepada juadah apakah yang sudah terhidang. Tajuk perbualan sudah tidak lagi mengenai apakah pesanan dan amanat si tokoh, tetapi perbualan basa basi yang sudah basi seperti ‘apa khabar,’ ‘kerja di mana,’ ‘baju you cantik,’ yang diselangi dengan ha-ha-ha yang tak berkesudahan.

Di mana perginya semangat yang membara hingga hendak terbakar seketika tadi? Mengapa fikiran dan pertuturan sebahagian besar daripada mereka boleh berputar 180 darjah, sama seperti sebelum memasuki dewan perhimpunan? Apakah yang telah terjadi? Andainya suara si tokoh boleh dilihat, agaknya kita boleh nampak bagaimana suaranya itu menerobos telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri sebahagian besar para hadirin. Ya, semangat sebahagian besar daripada para hadirin sudah terbang menghilang.

Apakah itu semangat kalau ia bukannya perasaan kuat mengingini sesuatu? Justeru, jeritan dan laungan yang bertukar menjadi kebisuan sebaik sahaja majlis tamat itu menandakan semangat yang dizahirkan itu bukan semangat sebenarnya. Sekali pandang, kesemua yang hadir melontarkan suara lantang dengan tangan tergenggam ke udara, seolah-olah sudah menuturkannya penuh semangat.

Padahal, apa yang sebilangan daripada mereka zahirkan adalah semangat yang dibuat-buat. Yang dipertontonkan kepada orang lain supaya jangan tidak orang lain melihat dia tidak bersemangat. Ada juga yang melahirkan semangat kerana terikut-ikut dengan keadaan. Bulu romanya juga berdiri, suaranya pun bergetar, tetapi pada ketika itu sahaja. Pekikannya dilakukan kerana kesan ‘mob psychology’ atau terpengaruh dengan suara dan aksi ramai.

Lazimnya sebilangan besar daripada mereka yang menghadiri sesebuah perhimpunan itu menzahirkan semangat yang dibuat-buat atau bersemangat kerana terikut-ikut. Biarpun ia semangat plastik, namun jumlahnya yang ramai itu memberi kesan terhadap pandangan ramai terhadap kumpulan itu.

Kerana itulah, kini banyak pertubuhan amat memerlukan golongan ini. Parti-parti politik menggunakan golongan pengikut sebagai tukang sorak pada setiap ceramahnya. Mereka berpindah-randah mengikut penceramah untuk menghidupkan suasana agar kehebatan tokoh parti politik itu menyerlah.

Syarikat-syarikat jualan langsung juga ada ahli-ahli baru yang masih mempunyai impian kejayaan yang masih segar. Merekalah yang meriuhkan majlis hingga menarik mereka yang belum ahli menyertai skim jualan langsung itu. Malah, syarikat-syarikat persembahan menggunakan penonton yang dipanggil ‘fanatic’ untuk berdiri berhampiran dengan pentas persembahan artis dan membuat riuh agar semangat konsert tumpah kepada penonton yang lain untuk menari dan bertepuk sama.

Ya, semangat yang sekejap-sekejap, yang lahir di bibir dan yang datang daripada luar tidak akan kekal lama. Yang teguh, yang ampuh adalah semangat yang mengalir di dalam pembuluh darah. Ia meresap ke dalam jantung dan bersarang di minda. Namun, semangat yang datang daripada dalam diri seseorang itu tidak mudah diperoleh.

Ia perlu dihayati dan dijiwai kerana semangat atau perasaan yang kuat berkehendakkan sesuatu itu menjelma hasil kesedaran bila seseorang itu bertafakkur dan bermuhasabah. Tidak kira sama ada semangat memperoleh kejayaan dunia mahupun kejayaan akhirat, semangat akan bersemarak di dalam jiwa setelah seseorang memahami sejarah diri mahupun kelompoknya.

Semangat akan datang bila seseorang memandang ke belakang atau menghayati sejarah. Sejarah itu pula amat penting kerana ia berkait rapat dengan ‘reflective thinking,’ atau tadabbur. Berfikir dan merenung dengan tenang. Kerana itu, andainya kita asyik memandang ke hadapan atau berwawasan, semangat tidak akan diperoleh.


Oleh kerana kita asyik memikirkan masa depan ataupun berwawasan, sebab itulah kita hanya teruja untuk bertempik. Bila kita berhenti menjerit, tiada semangat yang bertakung di dalam dada. Inilah yang terjadi kepada sebilangan besar daripada kita. Ada inspirasi, ada motivasi tetapi tidak reti menyimpan semangat kerana tidak kenal sejarah.

Tuesday, October 6, 2009

MENGAPA KITA MESTI MEMBACA


Foto: conciousexpeditions.com
JANGAN BERCAKAP
SEPERTI ORANG LAIN


INDUSTRI penerbitan buku tempatan kini berkembang dengan begitu pesat sekali. Penghasilan buku-buku pula memperlihatkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Kegawatan ekonomi yang dikatakan menjejaskan beberapa sektor industri tidak mengheret industri penerbitan buku untuk turut menggelongsor.

Bagaimana pun, di sebalik kerancakan dan peningkatan jualan buku, kita masih tidak nampak kegilaan membaca buku dijadikan budaya. Kalau ada pun mereka yang meminati membaca, golongan ini tidaklah ramai kalau dilihat dengan pandangan kasar. Masih tidak ramai yang membaca buku di dalam LRT, di taman-taman rekreasi ataupun di mana-mana tempat menanti seperti di bank atau kaunter-kaunter jabatan kerajaan.

Kehebatan siaran televisyen membuatkan mata kita terpaku ke skrin TV. Ia bukan sahaja mengambil alih masa untuk aktiviti riadah, komunikasi di dalam keluarga dan malah juga tabiat membaca.

Siaran hiburan yang disertai dengan warna, bunyi dan suara membuatkan kita terpukau sehingga ramai di antara kita yang memperuntukkan sejumlah masa dalam sehari untuk menonton TV. Rancangan TV yang berbentuk pengetahuan pula, bila disiar dengan menggunakan kesan khas imej dan bunyi kian menjadikan kita asyik hingga kita mempunyai tanggapan bahawa kononnya kita sedang belajar dan bukan berhibur.

Tanggapan ini juga mengurangkan minat seseorang untuk membaca. Padahal, aktiviti menonton apa bentuk siaran pun adalah sejenis aktiviti pasif dalam konteks meningkatkan kecerdasan minda dalam menganalisa sesuatu perkara yang dibentangkan.

Bila kita memperkatakan mengenai tabiat membaca, mengapakah lazimnya ia bermaksud tabiat membaca buku? Bukankah membaca juga termasuk membaca majalah, akhbar malah membaca daripada sesebuah artikel di dalam laman internet? Bagi saya, terdapat kelainan kesan yang membezakan di antara membaca buku, akhbar, majalah mahupun daripada laman di internet.

Apa yang dibaca di akhbar biasanya berbentuk berita atau maklumat. Maklumat belum tentu lagi menjadi pengetahuan. Lagi pula, berita-berita biasanya disiarkan dalam bentuk cebisan yang pendek-pendek. Ketika membaca sesebuah berita, ekor mata pula akan tertarik dengan berita berhampiran. Ini membuatkan seseorang yang menatap akhbar, tidak dapat menatapnya dengan penuh konsentrasi.

Artikel di dalam majalah pula, meskipun lebih panjang, namun ia belum juga dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pembaca. Dia mungkin memperoleh maklumat dan juga pengetahuan asas mengenai apa yang dibacanya tetapi ia belum cukup untuk meningkatkan kecerdasan otak khususnya daya analisa terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan.

Membaca laman-laman di internet pula boleh memberi kelainan. Seseorang boleh melayari pelbagai laman yang berkaitan dengan apa yang diingininya. Namun, oleh kerana capaiannya begitu luas, seseorang itu perlu banyak menapis maklumat pula kerana sebahagian daripada apa yang diperoleh di laman web adalah sampah terhormat ataupun maklumat yang belum tentu ada kredibilitinya.

Justeru itu, membaca buku adalah jawapan kepada tabiat membaca yang terbaik. Ambil lah sebuah buku yang bagus dan tataplah. Apabila sehelai demi sehelai halaman diselak, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ertinya, ia adalah satu senaman minda yang lama. Jika membaca akhbar adalah umpama lari jarak dekat, membaca majalah mahupun melayari internet adalah larian jarak jauh, membaca buku pula adalah satu maraton.

Bila membaca buku, otak dilatih untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana, sesebuah buku lazimnya hanya membicarakan sesuatu topik dengan mendalam. Ia berbeza dengan akhbar dan majalah yang memaparkan sesuatu yang berbentuk selayang pandang. Kerana itu, bila membaca buku, kita menjadi lebih kreatif dan analitikal.

Seorang penulis buku sebenarnya menurunkan apa yang berselirat di dalam mindanya di atas kertas. Fikiran itu disusun semula dari segi struktur ayat, nahu dan bahasa agar mudah difahami oleh si pembaca. Justeru itu, bila kita membaca sesebuah buku, kita juga sedang menjalin perhubungan psikik dengan si penulis. Penulisnya tiada di sisi, tetapi tulisannyalah yang kita tatap. Apa yang diteliti adalah pemikirannya yang sudah tersusun.

Setelah kita membaca halaman terakhir dan menutup bukunya, kita juga sebenarnya sudah menghadam sebahagian daripada minda si penulis. Bayangkan, penulis mungkin mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan tulisannya. Kita hanya mengambil masa semalam untuk meratah apa yang dihidangnya!

Saya teringat sebuah lawak seorang teman ketika di kampus dahulu. Ketika itu, fahaman komunis dan Mao Tse Tung begitu digeruni. Teman saya itu dengan selamba berkata, “Kalau engkau nak tahu, aku boleh lebih pandai dari Mao Tse Tung.”

“Bagaimana?” tanya saya.

“Aku akan lebih pandai daripada Mao Tse Tung kalau aku baca kesemua buku tulisannya dan kemudian aku baca senaskhah buku lain!”

Meskipun ia lawak, namun, secara literal, kita boleh berfikiran seperti si penulis seandainya kita membaca buku-bukunya. Tentu sekali bila kita membaca pelbagai jenis buku dari pelbagai penulis, kita juga sebenarnya ‘berkawan’ dengan mereka. Cara berfikir kita juga akan turut berubah dan terlahir ketika bergaul.

Jika kita rajin memerhati, kita akan dapati seseorang yang rajin membaca biasanya bukan berbual, tetapi berbicara. Dia tidak memperkatakan hal-hal klise bila bercakap. Selepas bertanya khabar secara berbasa basi, dia akan memperkatakan perkara di sebalik cerita dan berita.

Dia tidak akan bercakap mengenai calon manakah yang akan menang dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, tetapi apakah nilai-nilai yang dipegang oleh parti-parti yang bertanding. Dia tidak akan memperkatakan mengenai gempa di Padang, tetapi apa yang berlaku di kerak laut kepulauan Tonga. Dia tidak akan memperkatakan mengenai bencana alam, tetapi mesej yang Tuhan hendak sampaikan kepada kita. Pertuturan kita menggambarkan apa yang kita baca.

Kalau kita malas membaca, apa yang kita cakap itu sama seperti orang lain!
p.s: Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 7.10.09

Wednesday, September 30, 2009

ORANG LAIN SUDAH LAMA BERJAYA


SEHANDAL-HANDAL
PENIAGA MELAYU


DARI semasa ke semasa saya akan lakukan lawatan ke kedai-kedai akhbar di seluruh Semenanjung. Ia adalah tugas bertemu tauke kedai untuk bertanya khabar dan melihat air mukanya bila bercakap mengenai jualan akhbar Sinar Harian. Lebar senyumannya atau bertingkat kerut di dahinya boleh saya jadikan petunjuk masa depan Sinar Harian di kedainya.

Saya juga akan bertanya kepada para pekerja di kedai itu. Mereka sebenarnya lebih peka dengan tabiat pelanggan. Dan mereka tidak bercakap berlapik berbanding dengan bos mereka. Tanpa teragak-agak, mereka boleh nyatakan secara tepat berapa naskhah jualan akhbar Sinar Harian berbanding dengan akhbar-akhbar pesaing. Selalunya saya akan merah telinga. Merah bila terasa bangga jualan Sinar Harian kian meningkat di kedainya. Merah juga telinga apabila berasa kecewa kalau jualan di kedai itu menunjukkan prestasi sebaliknya.

Biasanya, setelah berbual-bual untuk memancing maklumat daripada para pekerja, saya akan melilau-lilau untuk melihat suasana di sekitar kedai itu. Apakah terdapat kedai akhbar lain di situ? Apakah perhentian bas di situ sibuk dengan para penumpang atau apakah terdapat deretan kedai yang baru dibina di seberang jalan?

Ketika saya merayau-rayau inilah saya terperasan akan persamaan fenomena di kebanyakan kawasan premis perniagaan di bandar-bandar Semenanjung. Persamaan yang saya nampak ialah kian banyaknya kedai-kedai baru yang dipunyai oleh orang-orang Melayu pada hampir setiap bandar kecil yang saya kunjungi.

Saya ke Sungai Petani, Alor Star, Arau, Kangar, Gua Musang, Kertih, Jertih, Pasir Mas, Kemaman, Mentakab, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Kota Tinggi, Rembau, Jasin, Kuala Pilah dan banyak lagi bandar-bandar lain. Di kesemua bandar-bandar ini, saya temui kedai-kedai moden yang dipunyai oleh orang Melayu.

Kedai-kedainya bukan lagi jenis ‘kedai MARA’ yang rendah, yang berkuap kerana saiznya sekangkang kera. Barang-barang yang terpamer di kedai-kedai ini bukan yang lapuk kerana tiada orang hendak membelinya atau yang lompong rak-raknya kerana para pengedar serik untuk membekal stok baru kepadanya kerana dia liat membayar hutang.

Sebaliknya, kedai-kedai yang saya nampak, kelihatan berseri-seri papan tandanya dengan pelbagai warna yang pasti memukau pengunjung untuk singgah ke kedai itu. Kedainya bersih dan barang-barang jualan semuanya cantik kerana daripada stok terkini. Malah, ada juga kedai-kedai yang merangsang deria bau bila kita melangkah ke dalamnya kerana tuanpunya kedai meletak lilin aromaterapi yang menyegarkan.

Pendek kata, kedai-kedai ini bukan lagi kedai-kedai perniagaan tradisional Melayu iaitu kedai songkok, kedai capal, kedai batik mahupun kedai gunting rambut yang menggelupas cat dindingnya, yang gelap suasana di dalam premisnya dan yang berpasir lantainya.Sebaliknya, perniagaan mereka sudah meliputi kedai komputer, butik, foto, kaca mata, farmasi, kafe, aksesori kereta, mainan kanak-kanak, telefon, hotel, barang kemas, elektrik, bengkel kereta, klinik, farmasi dan tentu sekali kedai dandan wanita!

Daripada jenama yang terjual, saya tahu tuanpunya kedai memperoleh barangannya dari pengeluarnya. Ertinya, si tauke sudah tahu mendapatkan bekalan terus daripada kilang dan bukannya daripada orang tengah. Maknanya, dia mungkin membayar deposit untuk mendapat bekalan dan mempunyai kredibiliti hingga dipercayai pengeluar.

Susun atur barangan, senyum manis para pekerja dan ramainya pelanggan menunjukkan kedai itu berdaya maju. Si tauke tentu sekali orang yang pandai berniaga. Mereka bukan lagi golongan Melayu bermentaliti subsidi yang membeli kereta peribadi dahulu sebaik sahaja memperoleh pinjaman bank. Ataupun mereka adalah ‘Ali’ yang dibelakangi ‘Baba’.

Tidakkah saya berbangga? Tentu sekali. Malah, saya berasa seronok kerana sudah mula menemui kedai-kedai Melayu yang ada cawangan-cawangan mahupun francais seperti Ani Sup Utara, Syarikat Buku Muda Osman, Laksa Shack, Cosmopoint, Menara Optometry, Rozaimi Optometrist dan Kamal & Kamal Pest Control, Yan’s Collection dan kedai-kedai stokis jamu.

Senarainya panjang. Hebat rupanya orang Melayu jika mereka sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Bukan lagi semata-mata bekerja dengan kerajaan seperti generasi orang tua kita. Bukan juga menjadi petani dan nelayan seperti yang direncana penjajah sebelum ini.


Namun, ketika saya berasa orang Melayu sudah hebat, sudah pintar, sudah ahli dalam perniagaan, saya terpana ketika pulang ke bandar kelahiran saya ~ Mersing, Johor pada Aidilfitri lalu. Sambil memandu perlahan merentasi bandar itu, saya nampak kedai baju Tuck Fong di mana saya mendapatkan baju. Saya nampak kedai ubat Sam Yu di mana saya selalu membeli ubat Cap Kaki Tiga untuk datuk saya. Saya nampak kedai buku Union di mana saya membeli peralatan sekolah.

Saya nampak. kedai runcit Hock Hoe, Tien Lock Restaurant, Tong Ah Hotel, Kedai Kopi Tien Hock, Kedai Dobi Kay Tong, Kedai Foto Kai Mee dan Medina Restaurant. Kesemuanya dipunyai oleh kaum Cina dan India.

Kedai-kedai ini sudah wujud sejak tahun 60an lagi. Dan kini ia masih bertapak di celah-celah kedai-kedai popular seperti Kentucky Fried Chicken, Guardian Pharmacy, Giant Supermarket dan 7-Eleven.

Pasti sekali, tabiat peniaga ialah membesarkan perniagaan. Kedai yang sudah wujud berpuluh tahun lamanya tentu sekali telah mendatangkan pendapatan berjuta ringgit. Si tuanpunya atau anak si tuanpunya tentu sudah melabur ke dalam perniagaan-perniagaan hartanah, pembuatan, pengeluaran dan perkhidmatan lain.

Kedai yang ada hanyalah kedai pusaka sebagai mercu tanda perniagaan untuk memacu semangat mahupun sekadar nostalgia perniagaan keluarga.


‘Oh, mereka sudah ada kedai lebih 40 dahulu. Orang kita baru nak bermula. Mudah-mudahan kita terkejar mereka untuk merapatkan jurang ekonomi!’ demikian kata hatiku.

NOTA:
Artikel ini diterbitkan di akhbar SINAR HARIAN pada 30.9.09.
Ia adalah olahan artikel SEPANDAI-PANDAI PENIAGA MELAYU yang saya paparkan pada 19 Disember 2008.

Tuesday, September 22, 2009

PERSAUDARAAN MALAYSIA-INDONESIA

KITA MANGSA
PECAH DAN PERINTAH




Foto: flixter.com

APAKAH yang tertayang di layar minda kita bila disebut perkataan atlas? Tentu sekali rajah negara-negara yang disempadani dengan garisan-garisan. Garisan-garisan itu pula adalah sempadan yang memisahkan wilayah-wilayah pemerintahan.

Misalnya, untuk peta Asia Tenggara, Malaysia disempadani dengan Singapura di selatan, Thailand di utara dan Indonesia di seberang Selat Melaka. Di timur Thailand pula, terdapat negara Kemboja dan Laos, diikuti dengan Vietnam. Thailand juga bersempadan dengan Burma di sebelah barat, dan begitulah seterusnya.

Sempadan yang terlakar dalam bentuk berkeluk mengikut bukit, sungai, gunung, pulau, atau lurus mengikut laut dan padang pasir, pada peringkat pembentukannya mesti dipersetujui oleh negara-negara yang bersempadan. Wilayah yang terbentuk melalui pemetaan itu pula akan diiktiraf oleh negara-negara lain. Akhirnya, bila ia diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menjadi negara ahli, maka jadilah ia sebuah negara yang berdaulat.

Bagaimana pun, pemetaan itu terlakar bagi menunjukkan sesebuah kawasan pemerintahan itu dikuasai oleh sekumpulan manusia yang dipilih untuk menguasai kawasan itu. Ia bukannya sempadan mengikut himpunan bangsa, budaya, ekonomi, pendapatan, industri, pertanian, malah agama mereka yang tinggal di sesebuah kawasan itu. Justeru itu, atlas dunia yang kita tatap kini sebenarnya adalah atlas politik.

Oleh kerana atlas politik adalah atlas yang sering kita tatap dan rujuk, maka secara bawah sedar, minda kita sudah dipisah-pisahkan di antara sebuah negara ke sebuah negara yang lain mengikut pemerintahan politik. Akhirnya, politiklah yang menguasai world view kita.

Tidak hairanlah, oleh kerana atlas politik menjadi rujukan utama, fikiran kita terkurung dalam kempompong-kepompong politik yang dinamakan negara. Akhirnya, kita hanya prihatin terhadap apa yang terjadi di negara sendiri sahaja dan tidak terasa apa yang berlaku di negara lain.

Kita tidak berasa, mereka yang tinggal berhampiran dengan sempadan negara kita adalah juga saudara-saudara kita yang sama dari segi agama, budaya dan juga bangsa. Oleh kerana atlas politik jugalah, kita boleh mempersenda atau memperlekeh mereka yang sebenarnya sama budaya, sama warna kulit, malah seagama, semata-mata kerana mereka berada di luar sempadan politik. Wajarkah?

Kerana sebab itulah munculnya segelintir anak-anak muda di Indonesia yang beria-ia belajar silat, kononnya untuk mempertahankan budaya yang dicuri oleh Malaysia. Tarian pendet dan lagu Terang Bulan mahu dirampas kembali kerana kita dikatakan mencurinya.

Walhal, andainya tarian dan lagu itu dilihat dari kacamata budaya dan bangsa, tidak timbul soal merampok budaya kerana dari segi peta budaya, petanya meluas dari Sumatera, melangkaui Semenanjung Tanah Melayu, hingga ke Pattani, Pulau Mindanao, Pulau Papua, Sulawesi dan seluruh Pulau Jawa. Ia dikenali sebagai Kepulauan Melayu yang pada hakikatnya serumpun dari segi bangsa, budaya dan bahasa. Ertinya lagu dan tarian itu tidak ke mana-mana pun kerana ia tidak digunakan oleh mereka di luar nusantara.

Kita di Malaysia juga terbiasa melihat dunia daripada kaca mata atlas politik. Kerana itu jugalah, ada di kalangan kita yang senantiasa memandang serong terhadap orang dari seberang. Seolah-olah mereka adalah orang asing atau orang luar. Walhal selama ini, terdapat rakan sekerja kita yang berketurunan Kerinchi, Lampung, Padang, Banjar atau Minang di sekeliling kita.

Mungkin rakan sekerja kita sekarang seperti Daniel, Suhairi, Haslia mahupun Dilla adalah generasi kelima atau ketujuh penduduk Indonesia yang berhijrah ke Malaysia. Barangkali, kita sendiri berasal daripada keturunan Jawa Totok. Bezanya, moyang kita yang sampai terlebih dahulu ke mari berbanding dengan pekerja-pekerja kontrak dari Ambon di bangunan seberang jalan pejabat kita. Justeru itu, mengapa membeza-bezakan?

Ya. Tanpa berasa canggung, kita mestilah akui bahawa orang Melayu Malaysia dan orang Indonesia adalah satu bangsa dan bersaudara. Ia adalah hakikat yang mesti diterima tanpa rasa siapa yang lebih senior, atau lebih pandai, atau lebih berani mahupun siapa yang lebih beretika.
Dan, kita mestilah sedar bahawa pemikiran kita yang jumud ini sebenarnya adalah hasil pelan jangka panjang penjajah untuk memecah dan memerintah kita, umat Islam sejak beratus-ratus tahun yang lalu.

Sejak Rasulullah s.a.w wafat, umat Islam tetap bersatu di bawah sistem khalifah. Tidak ada sempadan politik yang menggaris dan memisahkan umat. Empayar Islam sejak zaman pemerintahan Umayyah, Abbasiyyah dan diikuti dengan empayar Uthmaniyyah tegak berdiri sebagai satu identiti. Pihak British, Belanda, Portugis dan Sepanyol dengan slogan gold, glory dan gospel, yang menjajah dan menakluk telah memisah-misahkan entiti empayar Islam dengan cara pecah dan perintah.

Hasilnya, negara-negara Arab yang pada asalnya bersatu di bawah panji-panji Islam mula diasing-asingkan mengikut sempadan negeri dan diberi pelbagai nama. Maka muncullah orang Mesir, orang Yaman, orang Syria, orang Libya, orang Tunisia dan orang Arab Saudi. Mereka tidak lagi dikenali dengan satu identiti iaitu sebagai orang-orang Arab.

Di nusantara, strategi pecah dan perintah ini turut berlaku. Maka kita lihat pada hari ini, satu rumpun bangsa Melayu telah dipisah-pisahkan. Mereka di Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Songkla adalah bangsa Melayu yang terkeluar dari sempadan Tanah Melayu. Begitu juga mereka di Pulau Mindanao yang terpisah dari rumpun Melayu Borneo dan di Papua pula terbelah dua di mana separuh daripadanya adalah wilayah Indonesia yang dikenali sebagai Irian Jaya dan sebelah baratnya dikenali sebagai Papua New Guinea.

Perjanjian Inggeris Belanda pada tahun 1824 pula adalah detik sejarah keruntuhan Empayar Johor-Riau-Lingga. Inilah empayar Melayu terakhir yang runtuh menyembah bumi. Dalam perjanjian itu, Belanda yang menguasai Melaka telah menukar wilayahnya dengan British yang menguasai Bangkahulu. Sejak daripada itu, Melayu dipisahkan kepada dua wilayah yang berasingan dan akhirnya masing-masing mencari kemerdekaan secara sendiri-sendiri hingga terbentuk dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Seharusnya, kita perlu pelbagaikan perspektif, spektrum dan dimensi untuk mencerap dunia. Kita jarang sekali melihat atlas di mana garisan-garisannya dilengkuk dan diluk berdasarkan budaya, sosial, ekonomi, kemajuan IT, pendapatan, industri, pertanian dan juga berdasarkan agama. Malang sekali, minda kita telah berjaya dipecah dan diperintah hingga sudah tidak mengenal saudara yang pada asalnya sepusat sepusing.


* Artikel ini terbit di dalam akhbar SINAR HARIAN, 16.9.09 di bawah tajuk yang sama.
** Ia adalah olahan
artikel yang ditulis pada 14.6.09.

Sunday, August 16, 2009

INGATAN DARI SURAH AL-HUJRAAT

HATI KITA HATI ORANG


--Foto: sarahtidaksendiri.wordpress.com

ALHAMDULILAH. baru-baru ini saya berpeluang mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam sebuah majlis sebuah parti politik. Bacaan dan terjemahan surah Al-Hujraat, benar-benar berkesan di hati kerana ia memperingatkan saya mengenai pelbagai polemik, konflik, krisis dan kritik yang sudah menjelma menjadi kata mengata, senda mempersenda, maki hamun malah fitnah memfitnah sesama kita. Surah ini seharusnya menjadi renungan pelbagai pihak di kalangan orang politik, orang persatuan, orang surau, malah orang di pejabat-pejabat.

Renungkanlah di antara peringatan
daripada ALLAH dalam surah ini:

Ayat 6:
PENTINGNYA MENYELIDIK
SESUATU BERITA, CERITA & GOSSIP

WAHAI orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Ayat 10:
MENDAMAIKAN PIHAK YANG BERSENGKETA,
BUKAN MENGAPI-APIKAN

SEBENARNYA orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Ayat 11:
LARANGAN MENINGGI DIRI
DAN MENGATA ORANG LAIN

WAHAI orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat 12:
LARANGAN BERPRASANGKA
DAN MENCARI SALAH ORANG

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ayat 13:
ALLAH MEMANDANG KETAKWAAN,

BUKAN KETURUNAN

WAHAI umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (13)

SESUNGGUHNYA pertelingkahan dan pergeseran yang terjadi berpunca kerana kegagalan masing-masing menjaga hati. Perasan yang hati masing-masing masih putih bersih. Kerana itu berani dan konfiden melakukan apa sahaja dosa tanpa menyedari hati sudah mula dipenuhi titik-titik noda.

Hadis Rasulullah:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya, ingatlah bahawa daging itulah hati”.

Bila hati sendiri tidak terjaga,
bagaimana hendak menjaga hati orang lain?

Sunday, August 9, 2009

ADA APA PADA NAMA



PENGARUH NORDIN
KEPADA NORDIN

SEBAIK sahaja aku lahir, nenekku memberikan nama Nordin, sempena pelakon filem Nordin Ahmad. Tidak dinafikan, sejak mengetahui asal namaku, aku amat berminat dengan lakonan Allahyarham Nordin Ahmad.

Nordin bermaksud cahaya agama dalam bahasa Arab. Justeru, nama ini membanggakan aku. Di sekolah rendah, tiada sesiapa pun yang bernama Nordin kecuali aku. Hinggalah di sekolah agama aku berkenalan dengan seorang rakan bernama Nordin Salleh. Entah mengapa, aku berasa selesa dengannya pada hari pertama kami berkenalan. Mungkin semata-mata kerana namanya Nordin.

Kecuali dia, aku tidak lagi ada kenalan lain yang bernama sama. Namun, aku berbangga bila ada seorang wartawan bernama Nordin Mohamed, yang sering mempunyai byline liputan berita muka hadapannya di akhbar Berita Harian pada tahun 70an. Mungkin secara bawah sedar, nama itu membuatkan aku minat menulis.

PADA tahun 70an, aku berbangga bila muncul seorang doktor falsafah yang membuat kajian mengenai kelas menengah Melayu. Namanya, Dr. Nordin Selat. Kajian beliau membuatkan aku teruja untuk menulis tesis mengenai politik pelajar UiTM ketika di kampus dahulu.

Setelah itu, muncul nama Nordin Mohamed Jadi olahragawan negara yang terkenal sebagai pelumba lari 200 meter pada tahun 80an. Aku juga tumpang bangga dengan kepantasannya berlari, meskipun aku seorang long distance runner ketika di sekolah.

Tak lama kemudian, muncul Dr. Noordin Darus, seorang pakar sains sukan dan pakar pemulihan dengan konsep total wellness. Begitu juga dengan Sasterawan Negara, Tan Sri Noordin Hassan. Nama ini membuatkan aku bangga sebagai orang seni.

Dan akhirnya aku berbangga dengan nama Dr. Noordin Sopiee, seorang pemikir Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa. Allahyarham terkenal dan dihormati oleh pemimpin dan cendekiawan di negara kita kerana pemikiran tajamnya menganalisa senario antarabangsa.

Bagaimana pun, nama-nama itu hanya kukenal dari jauh. Selain daripada Nordin Salleh, ketika aktif dalam politik pelajar di kampus, aku mengenali seorang lagi Nordin iaitu Nordin Ahmad. Oleh kerana wajahnya seperti orang Cina, dia digelar Nordin Cina. Nordin Cina baik denganku sehingga kini. Dia kini seorang guru Bahasa Inggeris di Johor Bahru. Bila aku ke JB, aku kerap juga mengajaknya ngeteh di Restoran Singgah Selalu berhampiran dengan Danga Bay.

YA, nama Nordin amat membanggakan aku, sehinggalah muncul nama Noordin Mat Top! Semua Nordin yang aku kenal, baik-baik dan bagus-bagus. Sayangnya Nordin yang ini (mungkin) telah menjadi arwah kerana angkaranya. Lebih tak seronok bila anak bongsuku mengadu dia diejek kerana nama ayahnya Nordin, sama dengan nama lelaki itu.

Kata orang, apa ada pada nama?
Buatku, macam-macam ada!
Foto: Hamlau.proboards44.com

Sunday, July 19, 2009

CITA-CITA TAK MENJADI


duncandrews.files.wordpress


CITA-CITA KITA
YANG TAK PERNAH
MENJADI!

BERTANYALAH pada mereka yang berusia lebih 20 tahun: apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, ‘ya’ inilah bidang yang mereka ingin ceburi.

BERTANYALAH pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun: apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.

Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan.

Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah ‘tidak!’

OKEYLAH, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!

Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya DIA berkuasa terhadap apa sahaja?

Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.

Kerana apa? Kerana ALLAH tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-NYA.

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)

samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)

di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

~ Al- Hadid: 20
Justeru itu, janganlah terlalu berbangga
bila memperoleh apa yang diimpikan.
Jangan pula meraung sakan andainya
apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.
Segala-galanya adalah
hak Pencipta seluruh alam ini.