Sunday, August 9, 2009

ADA APA PADA NAMA



PENGARUH NORDIN
KEPADA NORDIN

SEBAIK sahaja aku lahir, nenekku memberikan nama Nordin, sempena pelakon filem Nordin Ahmad. Tidak dinafikan, sejak mengetahui asal namaku, aku amat berminat dengan lakonan Allahyarham Nordin Ahmad.

Nordin bermaksud cahaya agama dalam bahasa Arab. Justeru, nama ini membanggakan aku. Di sekolah rendah, tiada sesiapa pun yang bernama Nordin kecuali aku. Hinggalah di sekolah agama aku berkenalan dengan seorang rakan bernama Nordin Salleh. Entah mengapa, aku berasa selesa dengannya pada hari pertama kami berkenalan. Mungkin semata-mata kerana namanya Nordin.

Kecuali dia, aku tidak lagi ada kenalan lain yang bernama sama. Namun, aku berbangga bila ada seorang wartawan bernama Nordin Mohamed, yang sering mempunyai byline liputan berita muka hadapannya di akhbar Berita Harian pada tahun 70an. Mungkin secara bawah sedar, nama itu membuatkan aku minat menulis.

PADA tahun 70an, aku berbangga bila muncul seorang doktor falsafah yang membuat kajian mengenai kelas menengah Melayu. Namanya, Dr. Nordin Selat. Kajian beliau membuatkan aku teruja untuk menulis tesis mengenai politik pelajar UiTM ketika di kampus dahulu.

Setelah itu, muncul nama Nordin Mohamed Jadi olahragawan negara yang terkenal sebagai pelumba lari 200 meter pada tahun 80an. Aku juga tumpang bangga dengan kepantasannya berlari, meskipun aku seorang long distance runner ketika di sekolah.

Tak lama kemudian, muncul Dr. Noordin Darus, seorang pakar sains sukan dan pakar pemulihan dengan konsep total wellness. Begitu juga dengan Sasterawan Negara, Tan Sri Noordin Hassan. Nama ini membuatkan aku bangga sebagai orang seni.

Dan akhirnya aku berbangga dengan nama Dr. Noordin Sopiee, seorang pemikir Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa. Allahyarham terkenal dan dihormati oleh pemimpin dan cendekiawan di negara kita kerana pemikiran tajamnya menganalisa senario antarabangsa.

Bagaimana pun, nama-nama itu hanya kukenal dari jauh. Selain daripada Nordin Salleh, ketika aktif dalam politik pelajar di kampus, aku mengenali seorang lagi Nordin iaitu Nordin Ahmad. Oleh kerana wajahnya seperti orang Cina, dia digelar Nordin Cina. Nordin Cina baik denganku sehingga kini. Dia kini seorang guru Bahasa Inggeris di Johor Bahru. Bila aku ke JB, aku kerap juga mengajaknya ngeteh di Restoran Singgah Selalu berhampiran dengan Danga Bay.

YA, nama Nordin amat membanggakan aku, sehinggalah muncul nama Noordin Mat Top! Semua Nordin yang aku kenal, baik-baik dan bagus-bagus. Sayangnya Nordin yang ini (mungkin) telah menjadi arwah kerana angkaranya. Lebih tak seronok bila anak bongsuku mengadu dia diejek kerana nama ayahnya Nordin, sama dengan nama lelaki itu.

Kata orang, apa ada pada nama?
Buatku, macam-macam ada!
Foto: Hamlau.proboards44.com

8 comments:

  1. oh, kne ejek ke? biasalah time ada kat sekolah dulu, kena ejek dgn nama ayah. tapi kalau sekarang ni kena ejek nama ayah pun dah tak rasa apa-apa dah.

    bukan sepatutnya kita bangga dengan nama ayah kita? =)

    ReplyDelete
  2. Saya ada seorang kawan nama dia NORDI sekarang ni bermastautin di DUBAI! Nama dia hampir sama dengan nama saudara cuma takde N.

    ReplyDelete
  3. Hilman... dengan syedihnya dia bercerita tentang ejekan kawan-kawannya. Kesian, dia.

    Azmietaha... saya ada kawan bernama Ordin. Tak ada 'N' pada pangkalnya.

    ReplyDelete
  4. Salam..macam2 ada pada nama kita ,..kesyukuran yang amat2 banyak kepada Allah yang MENGURNIAKAN kita NAMA sebagai pengenalan diri kita..tak pernah dengar orang takde nama kan??(",)

    ReplyDelete
  5. Alahai, kesian pula dengar cerita ttg anak bungsu. Tapi semuanya sementara. Waktu itu waktu utk kita belajar membina kelakuan positif pada masayarakat (kawan2) sekeliling. Saya pun pernah!! Hehe. Seperti Hilman, kita mmg sepatutnya bangga dengan ayah kita..

    ReplyDelete
  6. Halawahtulnasirah,
    Betul, tu. Nama itu adalah jenama seseorg. Kerana itu Rasulullah menyarankan kita memberi nama yang baik ke atas zuriat.

    ReplyDelete
  7. Faridah,
    U're right. Saya bangga dengan ayah saya. Baru dua hari lps sy ceritakan pd seseorg mengenai betapa berdisiplinnya arwah ayah saya.

    ReplyDelete
  8. Noordin M. Top is the terrorist in Indonesia.
    He hails from Malaysia...

    ReplyDelete