Tuesday, August 23, 2016

BELAJAR DARIPADA JUARA



Piccredit: fourthofficial.com

APA ADA PADA
LEE CHONG WEI?

BANYAK sekali yang diperkatakan mengenai perlawanan akhir perseorangan badminton Olimpik 2016 di antara jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan pemain Cina, Chen Long. Tiba-tiba, sukan badminton diperkatakan oleh segenap rakyat Malaysia. Mereka mengikuti siaran secara langsung dari Pavilion 4, Riocentro, Rio de Janeiro, Brazil. Masing-masing mengharap juara badminton Malaysia itu dapat merangkul pingat emas setelah mencubanya di dua olimpik sebelum ini.
Penyudahnya, Lee Chong Wei gagal mengalahkan Chen Long pada perlawanan itu. Buat mereka yang baharu menaruh minat kepada badminton kerana ia penyumbang pingat di olimpik, mereka kecewa dengan kekalahan itu. Namun, bagi mereka yang senantiasa mengikuti sukan itu, kekalahan Chong Wei dilihat dari sudut pandang yang pelbagai. Chong Wei tidak kalah. Beliau tidak juga menang. Tetapi sebenarnya beliau telah berjaya sebagai juara jika kita lihat dari konteks yang lebih luas.
Chong Wei hanya kalah pertempuran itu tetapi sudah menang peperangan. He lost the battle but has already won the war. Sehingga 18 Ogos 2016, Chong Wei masih menduduki tangga pertama pemain nombor satu dunia yang dikeluarkan oleh Badminton World Federation(BWF) dengan dengan 91,773 mata. Siapakah di tangga kedua? Chen Long, dengan 86,984 mata.
Dengan kedudukan begitu, Chen Long boleh mengatasi Chong Wei pada bila-bila masa untuk menduduki tangga pemain nombor satu dunia. Tetapi, Chong Wei tidak lagi  menyuarakan niatnya hendak menggantung reket. Jika kita kenal pemain ini, kita akan dapati yang beliau tidak akan meninggalkan gelanggang begitu-begitu sahaja.
Chong Wei adalah pemain nombor satu dunia menurut ranking BWF selama lapan tahun dari 2006 hingga 2014. Kedudukannya merudum ke tangga 182 apabila digantung kerana gagal dalam ujian dadah. Namun, setelah beliau bebas hukuman, Chong Wei memanjat satu demi satu anak tangga dengan penuh gaya ke tangga nombor satu kembali pada tahun ini.
Meskipun tidak dapat menggenggam pingat emas walaupun dalam percubaan yang ketiga, beliau sebenarnya berjaya. Chong Wei berjaya mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir. Bukankah Lin Dan pemain yang tidak dapat dikalahkan Chong Wei dalam perlawanan akhir dua olimpik sebelum ini? Apabila Chong Wei menewaskan Lin Dan dalam pusingan separuh akhir tempoh hari, bukankah beliau berjaya menewaskan nemesisnya itu? Dalam konteks ini, Chong Wei adalah juara kerana telah menewaskan juara olimpik itu.
Ramai yang bercakap mengenai bagaimana memperoleh kejayaan. Tetapi, tidak ramai yang berkata mengenai bagaimana untuk mengekalkan kejayaan itu. Chong Wei adalah contoh yang semua orang boleh lihat. Untuk berjaya dan mengekalkan kejayaan, latihan yang konsisten adalah rahsianya. Practice makes perfect, mengikut pepatah Inggeris.
Untuk kita, berusahalah tanpa mengenal lelah. Beristiqamah dalam merancang apa yang diingini sama ada secara teori mahupun praktik. Bertindak setelah berfikir. Bukan berfikir tanpa bertindak mahupin bertindak tanpa berfikir. Tetapi, apa yang diusahakan itu tidak akan berhasil dipertahankan jika tanpa ujian berdepan dengan masalah yang sebenar.
Lihatlah Chong Wei… setiap kali memukul bulutangkis, beliau menunggu pukulan balas lawan sebelum bergerak. Meskipun dia menunggu, dia dapat menguasai permainan hanya kerana meletak kesabaran meskipun selama setengah saat. Hanya dengan cara itu, dia dapat membuat hantaran balas yang tidak dapat dijangkau pihak lawan. Kita? Bila berdepan dengan satu cabaran, reaksi kita kerapkali berlebih-lebih dari sepatutnya. Jika pemandu lain memintas jalan kita, kita bunyikan hon, maki hamun dan membebel hingga separuh hari.   
Chong Wei tidak pernah menyerah kalah. Bila ketinggalan mata, dia akan berusaha merapatkan jurang. Jarang sekali beliau tewas dengan mata yang jauh bezanya. Mengapa dia boleh begitu? Dia dapat bertindak sedemikian kerana dia fokus dengan matlamatnya untuk mendapat mata. Biarpun merangkak, dia tetap berusaha membalas pukulan. Yang penting, Chong Wei senantiasa bergerak di tengah gelanggang.
Kita? Kita punyai pelbagai alasan di dalam minda untuk tidak melakukan sesuatu, walaupun kita sudah mengambil keputusan untuk melakukannya. Sepatutnya, kita harus punyai pelbagai alasan untuk berbuat sesuatu. Yang penting kita senantiasa bergerak, kerana dengan bergeraklah kita akan mudah menangkis cabaran.
Chong Wei seorang yang mempamerkan ketenangan meskipun dalam tekanan. Dia akan mencuit hidungnya apabila melakukan kesilapan. Namun, kita tidak pernah nampak dadanya berombak mempamerkan kepenatan. Dengan bereaksi tenang, pihak lawan tidak boleh membaca emosinya. Keadaan ini membuatkan lawannya gagal menggunakan serangan psikologi sebagai jalan untuk menewaskannya.
Kita? Sedikit sahaja dikomen, kita sudah naik hantu dan beremosi 24 jam. Mudahlah orang permainkan kita apabila melihat kita mudah sekali melatah. Senang juga kita diserang penyakit apabila gagal mengawal serangan tulisan mahupun verbal. Masalah kita ialah, kita beremosi bukan kerana dikomen kerana melakukan sesuatu. Tetapi kerap meroyan bila dikritik mengenai sesuatu yang kita tidak lakukan pun!

Masih belum terlambat untuk kita belajar dari seorang juara dunia yang kini berada di depan mata kita ini!

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.8.16.

Tuesday, August 16, 2016

BAHAYA PERMAINAN KOMPUTER


Piccredit: pinterest.com

MATA MEMANDANG
TAPI TAK MELIHAT

MATA. Salah satu daripada lima pancaindera yang dianugerahkan Illahi kepada kita. Fungsinya untuk melihat. Seseorang bayi yang baharu lahir tidak dapat memandang dengan jelas. Ia hanya dapat mengesan cahaya dan pergerakan. Pada usianya sebulan, baharulah ia dapat fokus kepada objek-objek sejauh kira-kira 30 sentimeter.

Pada usia tiga hingga empat bulan, ia mula mengenal warna dan boleh melihat objek-objek yang lebih kecil. Kemudian pandangannya boleh menjangkau sejauh satu meter dan memandang pergerakan di sekelilingnya.  Penglihatannya akan bertambah baik di usia tiga hingga lima tahun.

Apabila kelopak mata ditutup atau keadaan sekeliling menjadi gelap, mata tidak dapat melihat apa-apa. Dalam kegelapan, kita perlukan cahaya untuk melihat. Jika tiada cahaya, kita bergantung dengan deria pendengaran untuk mengagak apakah yang ada di sekeliling kita. Bagi orang yang buta matanya, orang kata, mata hatinyalah yang membantu dia untuk nampak.

Sebahagian besar daripada kita  boleh melihat melalui imaginasi. Imej-imej yang tersimpan di dalam memori itu membolehkan kita melihat sesuatu walaupun ia tiada di depan mata. Mungkin juga gabungan imej-imej itu membolehkan kita membentuk imej-imej yang baharu. Para perekabentuk mencipta objek-objek tiga dimensi yang belum pernah kita jumpa melalui daya kreatif imaginasi mereka.

Tanpa kita sedari, ramai di antara kita, meskipun tiada kebolehan memandang daripada sudut kreatif, kita dapat jua melihat imej-imej yang pelik di luar jangkauan minda. Ada kalanya di luar logik akal. Malah, tiada had dan sempadan yang menghentikan pandangan itu singgah di layar minda. Ya. Itulah mimpi.

Dalam keadaan biasa, kita melihat secara realiti apa yang muncul di depan mata. Dalam keadaan mata terpejam, bantuan imaginasi membantu untuk kita nampak. Dan, di alam mimpi kita nampak apa sahaja yang diputar minda kita. Kesemuanya berpunca daripada mata, penglihatan atau imaginasi. Mudah sahaja peranan mata yang dikurniakan oleh Yang Maha Melihat.

Namun, pada hari ini, manusia telah memutar peranan mata yang dibantu dengan bunyi, bau, rasa dan sentuhan bersama imaginasi yang palsu dalam apa yang dinamakan sebagai virtual reality atau realiti yang dibuat-buat. Virtual reality yang terkini itu terpapar di monitor komputer mahupun dalam bentuk headset.
Seseorang yang menggunakannya akan berasa tenggelam dalam dunia yang seakan-akan seperti di alam yang sebenar. Alat virtual reality ini digunakan dalam latihan simulasi penerbangan mahupun peperangan. Tetapi yang banyak ialah dalam bentuk permainan. Suka-suka. Seronok, seronok.
Satu lagi bentuk alat yang mempunyai daya memutar minda untuk berada di alam nyata mahupun fantasi ialah melalui pendekatan augmented reality, iaitu realiti palsu yang dihidupkan dengan melapiskan apa yang nyata dengan imej yang palsu. Permainan Pokemon Go adalah sebuah permainan menggunakan telefon pintar yang mengasyikkan kerana si pemain akan terpesona bila berada di antara lapisan alam sebenar dan alam imej yang palsu.
Fungsi asal mata sebagai deria untuk melihat yang nyata, kini dikelirukan melalui dua pendekatan virtual reality dan augmented reality yang kebanyakannya berbentuk permainan. Namun, tanpa kita sedari, selama mana kita berada di alam ciptaan itu, kita akan berada dalam situasi immerse ~ tenggelam. Tenggelam juga boleh membawa makna lemas. Ertinya, lemas dan tidak berdaya mencari daratan nyata. Orang lemas itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana segala pancainderanya sudah lesu.
Maaf cakap… jika seseorang yang bermimpi buruk itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana rohnya diheret ke sana ke mari dalam tidur, apakah tidak, permainan virtual reality dan augmented reality ini membawa sama roh kita ke sana ke mari dalam sedar?
Jika virtual reality itu sesuatu yang tidak ada, tetapi dibuat-buat seperti ada, dan augmented reality itu sesuatu yang ada tetapi dilapisi dengan sesuatu yang tiada, bukankah kedua-duanya itu punyai unsur-unsur ghaib? Dalam permainan yang menggunakan virtual reality dan augmented reality ini, kita boleh melihat sesuatu yang ghaib.
Apakah juga apabila kita asyik dengan alam ghaib di dunia nyata melalui permainan minda ini kita boleh terlupa untuk mempelajari apa yang terkandung alam ghaib yang sebenar?
Bukankah alam barzah dan alam akhirat itu alam-alam ghaib yang perlu kita ketahui dan sentiasa terpasak dan terpasang dalam menjalani kehidupan ini? Jangan nanti bila terpesona dengan keghaiban ciptaan manusia, kita tidak punyai ilmu untuk menghayati dan menjiwai alam-alam ghaib yang kita bakal temui kelak.
Bersediakah kita berdepan dengan keghaiban yang sepatutnya kita ketahui dan pelajari apabila hijabnya tersingkap? Jangan lupa, alam ghaib itulah yang akan menjadi realiti buat diri kita nanti.

Tuesday, August 9, 2016

LOSING ITS LUSTRE


Piccredit: telegraph.co.uk

SETIAP PERKARA 
AKAN HILANG SERINYA

SAYA ingin mengajak anda dalam sebuah eksperimen ringkas lagi mudah. Tujuan eksperimen ini adalah untuk memahami persepsi manusia terhadap sesuatu yang baharu. Betapa sesuatu yang baharu itu akan dianggap elok, molek, bagus, indah, hebat… tetapi setelah beberapa lama, sesuatu yang dianggap luarbiasa itu sudah jadi biasa-biasa sahaja. Tidak mengapa andainya jawapan anda itu tidak seperti yang saya andaikan kerana jika begitu, artikel ini sebenarnya tidak betul. Bila demikian, saya akan surrender, angkat bendera putih kerana anda bukan manusia biasa!

Okey… cuba bayangkan seorang artis yang paling cantik atau yang paling hensem. Apakah sudah terpapar wajah artis itu di layar minda anda sekarang? Ya, ada sesuatu yang magis yang terdapat pada wajahnya, suaranya mahupun peribadinya sehinggakan anda begitu teruja dengannya. Jika pun anda hanya setakat meminati dan tidak menggilainya, anda akan terhenti seketika menatap wajahnya di TV mahupun majalah dan akhbar setiap kali terpandang dirinya. Dialah artis yang tercantik atau terhensem berbanding dengan artis-artis lain.

Namun, apakah anda perasan, sebelum ini ada juga artis-artis lain yang mempersonakan anda? Mereka cantik atau hensem, bersuara menarik, berpersonaliti yang mengagum dengan aura yang mempersona.  Tetapi, apabila direnung, mungkin terdapat lima atau enam artis yang pernah anda kagumi sebelum ini. Nah, sekarang… mengapa anda tidak meminati artis-artis yang dahulu itu? Mengapa artis terkini yang anda minati ini adalah yang tercantik dan terhebat? Mengapa tidak lagi mereka yang sebelum ini anda minati?

Sebenarnya ini berkait rapat dengan kesukaan kita kepada sesuatu yang baharu. Dalam bahasa Inggeris ia digelar lustre. Lustre diumpamakan sebagai cantik, berseri lagi berkilauan. Apa yang punyai lustre akan tiba masa apabila ia hilang lustrenya.

It has lost its lustre.’ Begitulah bidalan kata dalam bahasa Inggeris. Konsep lustre yang hilang ini terdapat dalam bahasa itu. Setahu saya, konsep ini tiada diperkata dalam bahasa kita. Apabila sesuatu istilah itu tiada di dalam bahasa kita, kita tidak akan punyai konsep ‘lost its lustre’ itu.
Apabila kita tidak punyai kefahaman dengan konsep itu, maka berulang-ulang kalilah kita akan terperangkap dengan kitaran tabiat terpesona dengan sesuatu yang baharu. Yang baharu itulah yang tercantik, yang terbaik dan yang terhebat. Yang sebelum ini atau yang lama itu sudah tak bagus. Mengapa? Kerana ia sudah lama.

Jika kita renungkan ingatan kita kepada personaliti-personaliti yang muncul di media seperti ustaz-ustaz misalnya, kita akan berasa ustaz-ustaz yang baharu muncul di media kinilah yang terhebat berbanding dengan ustaz-ustaz yeng sebelum ini anda minati. Begitu jugalah dengan personaliti radio, penyampai televisyen, pakar motivasi, chef, doktor dan ahli sukan. (Maaf cakap jika saya melencong sedikit… orang sudah tidak suka dengan politik kerana agaknya personaliti-personaliti politik adalah yang itu, yang itu juga  dan tidak bertukar ganti!)

Bila kita susuri dengan minat kita dengan permainan-permainan video mahupun aplikasi, kita akan dapati minat kita beralih semata-mata apabila muncul yang baharu. Dahulu ramai di antara kita meminati permainan pac-man. Kemudian beralih kepada permainan tetris, diikuti dengan farmville, angry bird, candy crush dan kini pokemon-go.

Saya pernah menyentuh di artikel sebelum ini, bagaimana makanan yang baharu menjadi kegilaan. Sebelum ini ramai yang meminati jambu batu potong yang disembur asam, kemudian mereka meminati durian crepe, cupcakes, goreng pisang cheese… dan kini ramai yang menggila kopi.

Sesuatu yang cepat naiknya akan cepat juga turunnya. Itulah prinsip alam. Samada saham, jenis perniagaan, jenis pekerjaan, makanan, permainan dan juga personaliti tidak boleh lari daripada prinsip ini. Sedangkan alam itu saban hari memaparkan proses dan progres evolusioner. Bagaimana matahari terbit di timur dan terbenam di barat secara perlahan. Alam yang gelap perlahan-lahan cerah, kemudian bersinar dan panas terik sebelum hangat, suam dan sejuk apabila siang berganti malam, matahari diganti dengan bulan.

Amat bagus jika kita meminati yang baharu. Ia tanda kita ingin berubah. Namun berubah semata-mata kerana sukakan perubahan itu akhirnya akan menjadikan kita dipermain oleh kitaran perubahan itu sendiri. Kita ingat, kita berubah. Sedangkan kita sebenarnya hanya bertukar.


Jika kita hanya bertukar, ia hanya kulit dan bukannya isi. Jika begitu, apakah maknanya jika apa yang kita riuh rendahkan itu sebenarnya tidak punyai erti? Andainya kita maklum bahawa tiap sesuatu itu akhirnya akan hilang serinya, kita tidak akan mudah terpesona dan tergila-gila dengan sesuatu yang baharu. Sebaliknya, kita akan tenang memilih apa yang sesuai dengan diri. Cukup sekadar bekal sebelum kita berakhir nanti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.8.16.

Tuesday, August 2, 2016

10 TAHUN SINAR HARIAN



Piccredit: pmnewsnigeria.com

GADIS SUNTI BERKASUT TUMIT TINGGI

SYUKUR alhamdulilah. Akhbar Sinar Harian sudah menjangkau ke usia 10 tahun. Akhbar ini bertahan hingga sedekad meskipun pada peringkat awal, tindakan pengasasnya Dato’ Dr. Hussamuddin Yaacub menerbitkan akhbar harian dianggap sebagai sebuah usaha gila. Apatah lagi, dua akhbar yang pernah diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf sebelum itu iaitu Watan dan Eksklusif tidak panjang usianya.

Sinar Harian terbit pada 31 Julai 2006 tatkala lanskap politik negara sedang mula memanas. Daripada sudut sosiologi, masyarakat mula kritis terhadap kepimpinan politik negara dan pada waktu yang sama, kebebasan bersuara makin dibenarkan. Kerana itu, konsep akhbar yang tidak memihak ke kiri mahupun ke kanan mula mendapat tempat di hati pembacanya.

Jika diukur dengan akhbar berbahasa Melayu iaitu Berita Harian yang berusia 59 tahun, Utusan Malaysia, 52 tahun; Harian Metro, 25 tahun dan Kosmo, 11 tahun; Sinar Harian adalah akhbar yang paling bongsu. Namun begitu, ia dapat berdiri sama gagah dengan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lainnya. Pertumbuhan ekonomi 4 % berturut-turut selama empat tahun sebelum itu boleh dikatakan sihat dari segi poket rakyat. Pembaca tidak kisah untuk menambah belanja untuk membeli sebuah lagi akhbar tambahan. Ia membantu akhbar ini untuk join the bandwagon.

Tabiat konsumer pada tempoh itu turut membantu perkembangan akhbar ini. Jika dahulu, apa yang dinamakan sebagai brand loyalty adalah sesuatu yang menjadi prioriti pengguna. Ketika itu, pengguna sukar mengubah selera untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana pada asasnya sesebuah jenama yang menguasai pasaran lazimnya akan jauh meninggalkan pesaing yang terdekat. Justeru, jika sesebuah jenama sudah menguasai pasaran, amat sukar jenama yang lain-lain dapat mengejar, bersaing, apatah lagi mengatasi sesebuah jenama juara.

Namun, dengan kemunculan internet dan media sosial di mana semua orang boleh bercakap, golongan noisy minority mula menenggelamkan suara silent majority. Dalam ertikata yang lain, golongan majoriti senyap yang mahukan ketenteraman dan kestabilan kerana malas berfikir mula digugat dengan pandangan-pandangan alternatif dan kritis. Akhirnya, silent minority pula yang menjadi the noisy majority. Kita lihat fenomena ini diterjemahkan dengan tsunami PRU-12 yang melahirkan masyarakat yang berani bersuara. Sinar Harian yang wujud di era perubahan ini seiring dengan perubahan pemikiran masyarakat. Kerana itu, Sinar Harian mendapat sambutan yang baik.

Setelah lima tahun menemui pembaca, Sinar Harian menerima cabaran yang besar dari dalam. Apabila akhbar-akhbar mula mengadaptasi versi atas talian masing-masing, Sinar Harian pun ikut sama kerana tidak mahu ketinggalan. Tatkala itu, ia menyaksikan banyak sekali akhbar-akhbar versi cetak terutamanya di barat yang gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan versi online mereka sendiri.

Apabila akhbar boleh dibaca secara percuma di internet, siapa lagi yang mahu membeli? Sinar Harian mengkaji senario itu. Sinar mesti seperti orang lain yang punyai versi online yang tentunya percuma. Dalam waktu yang sama, versi cetaknya perlu hidup untuk periuk nasi.

Mujurlah kami cepat menangani situasi ini dengan pendekatan menang-menang. Versi cetak dan versi atas talian harus saling bergantung agar kedua-duanya hidup. Caranya ialah dengan mengkhususkan versi atas talian sebagai penyampai berita, dan versi cetak sebagai penyampai cerita. Ya. Orang sekarang mahu cepat tahu semua benda dengan segera. Kemalangan, rompakan, banjir, pengumuman belanjawan, dasar-dasar dan keputusan bolasepak ingin diketahui secara real time. Itulah peranan Sinar Online.

Namun, jika ingin mengetahui mengapa kemalangan terjadi, bagaimana rompakan dilakukan, apa jadi dengan murid di sekolah yang banjir, berapa jumlah yang boleh dijimat berikutan dengan pengumuman belanjawan dan apa komen penjaring gol kemenangan pasukannya, mereka boleh mendapatkan ceritanya dari versi cetak Sinar Harian. Sinar Harian Online membuat berita, Sinar Harian Cetak menggarap cerita.

Sinar Online juga membantu Sinar Harian dengan berperanan sebagai pemberi maklumat apakah berita yang akan menjadi pilihan pembaca pada keesokan hari. Dengan menggunakan data daripada Google Analytics dan lain-lain perisian, ia boleh membaca trend berita yang diminati. Maklumat itu menjadi pertimbangan untuk tajuk akhbar Sinar Harian versi cetak pada keesokan harinya.

Kini, Sinar Harian sudah punyai identitinya yang tersendiri. Ia adalah sebuah akhbar yang begitu cepat dewasa dengan bentangan isu-isu yang kadangkala tidak menjadi pilihan akhbar-akhbar lain. Kami tidak sehandal mana pun kerana masih belum konsisten.


Seolah-olah,  kami ini seumpama gadis sunti yang buat pertama kali memakai kasut tumit tinggi. Tatkala ramai yang bersiul-siul melihat kami melintasi jalan dengan gaya yang meliuk lentuk, tiba-tiba kami jatuh tersembam kerana belum pandai menyimbangkan badan mengikut gaya seorang wanita anggun! Kami masih mentah!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.8.16.

Tuesday, July 26, 2016

ITULAH IBU



PICCREDIT: bambangwahyu81.wordpress

BUAT IBU YANG JAUH AKU TINGGALKAN

ORANG kota biasa menyambut hari raya hingga ke penghujung Syawal. Malah, mungkin terbabas sehari dua memasuki ke bulan Zulkaedah. Pada hari-hari Sabtu dan Ahad, jalan-jalanraya utama kota akan sesak kerana masing-masing membuat ziarah ke rumah saudara mara yang selalunya tinggal di hujung kota.

Maka kenderaan pun bersimpang-siur dan berderet-deret merentasi kota. Ditambah pula dengan rumah-rumah terbuka syarikat-syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang turut dihadiri oleh lain-lain kaum, sesak jalanraya mengalahkan jem pada hari-hari kerja.

Sambil menikmati juadah aidilfitri di sebuah rumah terbuka, saya bertukar-tukar cerita dengan Sharif, seorang jiran yang kampungnya di Tarom, Johor Bahru. Katanya, dia empat beradik pulang ke kampung ibubapanya bersama keluarga masing-masing. Mereka semua sepakat dalam penggiliran dengan isteri yang membolehkan mereka berempat pulang serentak pada tahun ini.

Dalam menceritakan hari raya yang penuh ceria tetapi nostalgik di tempat kelahiran, dia terkilan dengan apa yang terjadi pada emak akibat terlalu seronok bila dapat bermanja dengannya. Masing-masing bukan sahaja setakat pulang dengan angkatan keluarga seramai 25 orang, malah tidak beriya-iya meminta emak memasak masakan hariraya kegemaran mereka seperti mereka kanak-kanak dahulu.

Mereka mahu ketupat yang emak anyamkan sendiri kerana cantik bentuknya. Mereka mahu emak masak ketupat di tepi rumah sebab mereka boleh mengintai dari tingkap seperti sewaktu mereka kecil dahulu. Emaklah yang berjaga malam menanti ketupat masak, termasuk menukar airnya. Emak jugalah yang menggantung ketupat di dawai ampaian baju. Lepas itu, emak potong bawang, kacang panjang, lobak, kentang, sengkuang untuk dibuat lodeh. Kemudian emak perap ayam dan sediakan rempah ratus untuk dibuat rendang pada keesukan harinya. Sharif?
Dia, isteri dan anak-anak berlingkar di depan televisyen menonton siaran. Adik beradik yang lain sudah pulang ke hotel berdekatan. Maklumlah, rumah kecil itu tidak boleh memuatkan semua ahli keluarga kecuali keluarga Sharif. Pada hari raya, mereka makan sepuas-puasnya hingga bertambah-tambah. Maklumlah masakan emak memang sedap. Seluruh anak-anak dan isteri masing-masing pun memang suka dengan air tangan emak.

Masuk hari kedua Syawal, mereka berempat minta emak memasak lauk kegemaran mereka ~ betik masak air, sambal ikan bilis dan ikan kering. Mujur, emak guna periuk-periuk besar yang mereka bawa balik. Jika tidak, berapa kali entah emak Sharif perlu masak untuk menghidangkan masakan untuk mereka.

Sambil makan, mereka memuji masakan emak. Sambil mengunyah mereka menambah nasi. Sambil bersembang mereka tak perasan berapa kali emak ke dapur menyenduk nasi tambah. Orang tua itu hanya tersenyum puas hati melihat anak-anaknya makan dengan penuh berselera.

Tetapi mereka tidak sedar yang emak mereka tidak punyai tenaga seperti 50 tahun dahulu. Emak sudah tua. Sudah kurang kederat, kata orang. Tetapi melihatkan anak-anak kesayangan pulang bersama anak menantu dan cucu-cucu, orang tua itu menggagahkan dirinya untuk menggembirakan anak-anaknya seperti 10 tahun lalu, seperti 20 tahun lalu, seperti 30 tahun lalu, seperti 40 tahun lalu dan seperti hari itu.

Bila mereka pulang meninggalkan emak bersama berkotak-kotak biskut raya, empat persalinan baju raya, tudung dan selendang serta wang, mereka berasa mereka telah lakukan yang terbaik buat emak. Mereka fikir, mereka telah menggembirakan emak. Walhal, mereka tidak sedar yang mereka hanya menggembirakan hati mereka sendiri tanpa peduli apa kesukaran yang emak lalui.

Emak… di matanya masih melihat anak-anaknya itu seperti anak-anak kecil seperti dulu-dulu. Dia ingin memuaskan hati anak-anaknya seperti sentiasa. Dia mahu peluk tiap seorang anaknya di celah ketiaknya dan mendodoikan anak-anaknya hingga terlena. Dia tidak rasa pun yang anak-anaknya sudah besar, beristeri dan beranak-pinak. Itulah imej anak-anak yang terpahat di mindanya apabila mereka pergi meninggalkannya.

Malang bukan, apabila anak-anak yang sudah besar panjang masih menagih kasih sayang yang berbaki dari emak. Sepatutnya, mereka pulalah yang patut mencurahkan kembali kasih kepada emak hingga wanita itu tersedar yang anak-anaknya sudah besar dan mengambil giliran menjaganya pula. Jika demikian keadaannya, baharulah emak bukan sahaja gembira, malah bahagia hingga menutup mata.


‘Okeylah. Aku nak ke hospital,’ kata Sharif. ‘Dia jatuh kat bilik air sebab kepenatan. Aku yang bawak dia dari kampung. Lepas ni, dia duduk dengan aku.’ Aku mengangguk mendengar ceritanya penuh mengerti.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 27.7.16 di akhbar Sinar Harian...