Tuesday, August 7, 2018

KEMPEN MEMBACA 12 TAHUN!

-->

BOLEHKAH
#MALAYSIAMEMBACA
BERJAYA?


SAYA terpegun apabila menerima poster #MALAYSIAMEMBACA: Apakah 10 buku kegemaran anda? di Whatsapp. Poster hijau gelap yang lengkap dengan imej Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik itu menguja saya kerana ia datang daripada beliau sendiri. Sebagai seorang yang giat di dalam industri buku, lantas saya menelusuri halaman Facebook beliau.
Rupa-rupanya Dr. Maszlee bukan setakat menyoal mengenai 10 buah buku yang kita baca. Malah, beliau iringi status beliau dengan sebuah hasrat yang besar. Katanya, ‘saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca tahun 2030. Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi. Membaca ialah seruan pertama dalam Islam (al-Alaq:1).’
Katanya lagi, ‘Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10 buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.’ Dr. Maszlee menurunkan 10 buku kegemaran beliau yang di antaranya termasuk The Alchemist karya Paulo Coelho, Rasuah karya Syed Hussein Alattas, Sejarah Umat Islam karya HAMKA dan juga karyanya sendiri Hikmah Hati.
Di Facebook, status Dr. Maszlee memperoleh 5,900 likes, 1,760 komen dan 3,400 shares dalam masa 24 jam. Tagar MalaysiaMembaca juga muncul di Instagram serta Twitter. Banyak juga blog dan laman web yang menyahut seruan beliau. Carian di Google pula memaparkan 2,250 temuan.
Menteri Pendidikan bukan mencabar kita seperti ‘The Harlem Shake,’ ‘The Ice Bucket Challenge’  ataupun ‘Keke Challenge’ yang terkini itu. Sebaliknya beliau hanya memaparkan status dalam bentuk seruan. Tidak mengapalah jika ia belum begitu menular buat sehari dua ini. Mungkin saranan #MalaysiaMembaca akan meletup-letup apabila lebih ramai yang mengetahuinya.
Betapa pun, oleh kerana #MalaysiaMembaca ini adalah impian 12 tahun Dr. Maszlee Malik, kempen melalui media sosial yang sekadar memaparkan 10 buku kegemaran masing-masing akan menemui jalan buntu dalam beberapa minggu sahaja. Lihatlah, apa jua kempen di media sosial hanya berupa fad ataupun kegilaan sementara. Pada bulan hadapan, ajakan #MalaysiaMembaca akan dipandang sebelah mata atau tidak akan dipandang langsung. Barangkali ia akan mati seperti mana-mana challenge yang lain.
Saya tak nafikan ia idea yang sungguh murni. Membaca adalah santapan minda. Kita akan kebulur apabila tidak makan sehari. Namun, mungkin seorang dua sahaja di kalangan kita yang lapar minda apabila tidak membaca dalam sehari. Lebih ramai pula yang lain yang tak perlukan santapan minda walaupun tidak sedar, daya fikir, daya menganalisa atau daya hujah semakin tumpul apabila minda tidak diberi makanan melalui membaca.
Justeru itu, kita yang sedar membaca itu penting wajib menyemarakkan saranan Menteri Pendidikan kita. Andainya kita sukakan membaca atau menghormati ilmu melalui membaca, apalah salahnya kita meuar-uarkan #MalaysiaMembaca.
Bagaimana pun, untuk terus menghela hasrat ini hingga ke tahun 2030 iaitu 12 tahun lagi, kempen yang sesantai ini tidak akan ke mana-mana melainkan ia disambut oleh pemain di dalam industri ini dan mereka yang berada dalam dunia pendidikan.
Para pemain di dalam industri buku ini ialah penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit. Jika diteliti secara dekat, kita akan dapati lebih ramai mereka di dalam industri ini yang tidak memfokuskan aktiviti mereka untuk mengiklan dan mempromosi buku. Tidak payahlah ambil kira promosi dan pemasaran melalui laman web masing-masing kerana semua orang buat itu hingga, ‘bila kita buat apa yang orang lain buat, ia tiada kesan apa-apa.’
Penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit perlu bergabung mencari jalan bagaimana untuk mengiklan produk mereka melalui iklan di media perdana televisyen, akhbar dan radio. Hidupkan pameran agar buku dibawa kepada pembaca kerana pembaca kian malas untuk ke kedai buku.
Adakan pertandingan membaca, sayembara, apa jua jenis challenge yang boleh difikirkan untuk menyemarak kegilaan membaca. Para penulis mesti munculkan diri sebagai selebriti. Pastikan mereka juga dipanggil di sidang media seandainya karya mereka dipilih menjadi telenovela mahupun filem. Bukan sekadar disebut nama.
Pihak berwajib seperti perpustakaan awam harus mengajak perpustakaan swasta yang terdapat di kolej-kolej mahupun di syarikat-syarikat swasta untuk meraksaksakan kempen. Kempennya mudah sahaja. Kembalikan tabiat membaca. Munculkan wajah-wajah selebriti mahupun personaliti terkenal termasuk ahli-ahli politik, usahawan, chef dan ustaz yang sedang membaca agar masyarakat tak malu membaca.
Yang penting, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mesti tampil dengan pelan besar 12 tahun bagaimana kita boleh melahirkan rakyat yang membaca. Libatkan sekolah dan universiti sebagai paksi aktiviti kerana gedung pendidikan adalah rumah buku. Seperti kata Dr. Maszlee Malik, ‘Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi.’ Maknanya, kita akan punyai masyarakat yang pandai kerana rajin membaca.


Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.8.18

Tuesday, July 31, 2018

MENJAGA PERILAKU DI MATA ORANG

-->
KITA TINGGAL
DI RUMAH KACA
BANYAK pihak berasa lega apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy bertemu dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Putrajaya, kelmarin. Pertemuan enam mata itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menganjurkannya.
Di antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai tuduhan kaitan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Tuduhan itu pula timbul apabila Ramasamy mendesak kerajaan menghantar pendakwah Dr. Zakir Naik pulang ke India kerana dikatakan menyokong golongan militan.
Dalam pada itu, ucapan Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran dalam sebuah ceramah yang merujuk ‘Melayu sebagai pendatang’ telah membangkitkan kemarahan NGO-NGO Melayu. Meskipun menteri tersebut telah memohon maaf, Pemuda Umno Malaysia yang turut membantah masih tidak berpuas hati, malah mendesak beliau meletak jawatan.
Dalam tempoh yang lebih kurang sama, NGO Melayu/Islam berang dengan apa yang diucap oleh dua orang pemimpin ini. Yang membantah telah membuat laporan polis sebelum berdemonstrasi bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Soalnya, mengapa mereka begitu marah?
Mereka berpiket kerana berasakan kata-kata dua orang pemimpin itu mempunyai kesan yang akan mengubah pandangan masyarakat. Lagi pula, mereka tidak boleh langsung melontarkan pandangan sebegitu kerana mereka adalah pemimpin negara.
Sebagai pemimpin di sebuah negara majmuk, mereka perlu ada pertimbangan dengan menyusun kata agar setiap apa yang disebut tidak akan mengguris hati mana-mana pihak yang lain. Meskipun kata-kata yang keras itu akan mengangkat sokongan pengikut terhadap mereka, namun bukan kepopularan yang patut ditagih kerana mereka tidak memerlukan sokongan sebegitu kerana mereka sudah sampai ke peringkat pemimpin yang mewakili sebuah negeri atau negara majmuk. Dah ada kelas, tak perlu turunkan kelas!
Pada hari ini, media sosial mendedahkan aktiviti kita. Apa sahaja yang kita lakukan boleh ditonton ramai. Jika kita tidak merakam, ada sahaja orang lain yang merakam dan menular apa yang kita buat hingga menjadi buah mulut orang.

Memparkir kereta yang tidak betul, memotong secara bahaya dan membuang sampah merata-rata adalah di antara perkara yang kita buat kerana tak sedar yang ada mata yang melihat. Entah-entah bila kita naik angin dengan anak di medan selera pun boleh sahaja muncul dan ditular hingga kita tak senang duduk apabila videonya sampai ke telefon kita sendiri!
Apatah lagi apabila kita menjadi tumpuan orang, tidak kira samada sebagai pemimpin politik, tenaga akademik, profesional, penghibur, malah ustaz, kita mestilah menjaga semenggah ataupun tsiqah. Menjaga pembawaan diri kerana pangkat yang diberi itu penting kerana kita bukan sahaja menjaga peribadi, malah semua mereka yang sejawatan dengan kita.
Lihatlah bagaimana bila seseorang artis itu ditahan kerana sesuatu dakwaan jenayah; yang terpalit juga adalah golongan artis. Pandangan masyarakat terhadap mereka yang bergelar artis semakin tercalar. Lihatlah juga kian ramainya ahli-ahli politik yang tidak menjaga mulut hingga menimbulkan kemarahan rakyat. Mudah sahaja kata-kata kita itu dilabel sebagai cauvinis dan rasis.
Ahli-ahli politik yang baharu naik dan dah menjadi orang penting itu tidak sedar betapa mustahaknya mereka menjaga peribadi. Mereka tidak boleh lagi berperangai sebagai pemimpin yang berbahasa celupar di kedai-kedai kopi mahupun bermulut lancang apabila bercakap di dalam kumpulan kecil kerana mereka memikul imej yang berkehendakkan mereka berkelakuan baik.

Barangkali, kod etika seperti kod etika hakim perlu diwujudkan untuk pelbagai profesion yang punyai pengaruh terhadap masyarakat. Kod etika hakim menggariskan peraturan pergaulan dan perilaku bukan sahaja tatkala bertugas, malah juga pantang larang yang harus mereka jaga di luar waktu bekerja.
Golongan artis kita di zaman P. Ramlee di Jalan Ampas turut mempunyai kod amalan yang terbina untuk menjaga tatalaku dan pergaulan agar golongan seniman dan seniwati bukan sahaja dipandang tinggi oleh masyarakat, malah dengan menghadkan kemunculan mereka secara santai di mata masyarakat supaya menjamin imej eksklusif mereka.
Dalam pada itu, kita sendiri perlu mengawal diri daripada menyebarkan perilaku tidak semenggah atau tidak tsiqah sesiapa sahaja. Pada hari ini, kita semua umpama tinggal di rumah kaca. Semua orang boleh nampak apa yang kita buat. Malah, apa yang kita tidak buat pun boleh orang bayangkan kita buat kerana manusia hari ini memandang dengan persepsi; sila baca su’u dzon atau prasangka.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.8.18.

Tuesday, July 24, 2018

PLANNING TO UNPLAN


KITA BERSAHABAT
ATAU MEMUSUHI DIRI?

ADA orang kata, kawan paling baik yang boleh dipercayai adalah diri kita sendiri. Dalam pada itu, ada juga orang kata, musuh paling hampir dengan kita adalah juga diri kita. Mana satu diri kita? Musuh ataupun sahabat?
Bagaimana kita boleh katakan bahawa musuh yang paling hampir ialah diri kita sendiri? Ia terjadi apabila kita terlalu tunduk dengan kata hati. Benarlah kata orang tua-tua, ikut hati… mati. Mati dalam konteks ini ialah mati sebelum mati.
Ia bermaksud mati akal, mati semangat, mati perasaan, mati fikiran, malah mati secara fizikal iaitu sudah tidak mempedulikan rupa paras diri. Mengapa terjadi begitu? Asalnya murni. Fikiran kita sentiasa mahukan diri kita selamat daripada mara bahaya secara fizikal seperti tercedera mahupun secara mental seperti terlalu berat berfikir.
Mekanisme diri yang mahu mengawal diri kita daripada sakit ini ialah dengan melarang kita berbuat atau memikirkan sesuatu yang dianggap susah. Cara yang paling selamat ialah dengan tidak berbuat apa-apa. Maknanya kita berasa biasa-biasa kerana tidak mahu memikirkan masalah ataupun melakukan sesuatu yang akan menyakitkan tubuh. Tanpa disedari kita berada di dalam zon selesa.
Benar, tidak berbuat apa-apa itu mengelakkan diri daripada berdepan dengan risiko. Atau sekurang-kurangnya melewat-lewatkan kita berdepan dengan masalah melalui sikap suka bertangguh.  Orang tua kata, kerja bertangguh tidak menjadi.
Mengapa? Kerana bertangguh itu bukan sebuah keputusan kerana hanya melewatkan daripada melakukan sesuatu. Bertangguh juga adalah pencuri peluang. Peluang, meskipun boleh datang berkali-kali, namun nilai peluang itu boleh sahaja mengecil daripada yang sebelumnya.
Jika peluang yang tiba itu tidak diambil maka jendela peluang akan tertutup. Yang mudah pun boleh jadi sukar apabila masa yang suntuk boleh memporak perandakan keadaan.  Menggosok pakaian untuk ke tempat kerja boleh jadi sesuatu yang begitu skuar andainya ia dilakukan pada saat akhir. Sedangkan andainya ia dibuat lebih awal, pakaian yang digosok akan kelihatan kemas dan akhirnya akan mencantikkan pula di pemakai.
Daripada satu sudut pandang yang lain, diri kita adalah rakan karib. Jika musuh diri itu mahu kita selamat dengan tidak melakukan apa-apa, rakan karib diri itu pula adalah sebaliknya. Ia sentiasa menggalakkan kita bertindak agar kita selamat.
Berbanding dengan sikap bertangguh, sikap bersegera dalam melakukan sesuatu itu adalah jalan yang terbaik jika kita mahukan kejayaan dalam apa yang kita ingini. Impian akan jadi kenyataan jika kita bertindak. Impian hanya jadi mimpi sekiranya kita hanya menyimpannya di kotak fikiran sebagai angan-angan.
Seseorang yang menjadi sahabat kepada dirinya akan sentiasa menjadikan sesebuah hasrat kepada tindakan. Tindakan itu akan membawa kejayaan dan proses itu akan diulang hingga ia menjadi pola tabiat diri. Benar, bertindak itu memenatkan fizikal dan mental. Namun, apa yang menyakitkan itu itulah yang akan membina diri.
Siapa diri kita esok amat bergantung kepada bagaimana kita mempergunakan masa. Seandainya kita lambat melakukan sesuatu, yang senang akan jadi sukar. Bila sukar ia tidak akan terbuat. Akhirnya kita menjadi seperti puntung hanyut dalam kehidupan. Apa yang ada, itulah yang kita dapat. Apa yang tak ada, tak akan diperoleh kerana kita sudah tiada usaha untuk mencari.
Mutakhir ini, di sebalik teknologi yang dikatakan mempercepatkan segalanya, kita sentiasa akan dilewatkan daripada memperoleh sesuatu. Sebab, kita bukan lagi simple, tetapi canggih. Makanan yang sedap bukan lagi ikan bakar yang diperah limau dan digaul dengan bawang, lada serta kicap. Makanan yang sedap itu bererti berjenis lauk pauk, ikan, sotong dan daging yang dibakar, dikukus mahupun digoreng.
Cuti yang merehatkan bukan lagi pergi ke pantai, mandi manda lalu berpiknik. Cuti yang merehatkan itu adalah menempah tiket penerbangan ke tempat percutian, berbaris untuk check-in di lapangan terbang, berbaris untuk check-in di hotel serta berbaris untuk mendapat tempat duduk di restoran.
Tidur yang merehatkan dahulu ialah meletak kepada di bantal dan berdengkur. Tidur yang merehatkan hari ini ialah dengan menghidupkan penghawa dingin, alat aromaterapi, lampu berdwarna warni serta muzik untuk lena.
Akhirnya makan, bercuti dan tidur pun menjadi suatu kerja kerana ia perlu dilengkapi dengan pelbagai peralatan. Semua ini akan memenatkan kita semula kerana tanpa kita sedari kesemua itu mengambil masa. Dan masa yang digunakan untuk memajukan diri kini menjadi lambat kerana kehadiran segala bekalan yang kononnya hebat tetapi mengalih perhatian kita daripada bertindak.
Maknanya, diri yang menjadi rakin karib itu memanjakan diri dengan kemewahan yang akhirnya menjadikan diri kita lalai untuk bergerak ke hadapan. Sebaliknya kita berputar-putar dengan keselesaan hasil kejayaan. Maknanya, diri yang menjadi sahabat itu sudah menjadi musuh kepada diri.
Justeru, bagaimanakah kita boleh sentiasa menjadikan diri sebagai sahabat? Susunlah kehidupan yang kucar-kacir, kucar-kacirkan kehidupan yang sudah tersusun! Plan to unplan!  

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.7.18

Tuesday, July 17, 2018

DARE TO BE DIFFERENT


PICRREDIT: LOVETHISPIC

BERANI JADI

LAIN DARI YANG LAIN
KELMARIN, ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang terdiri daripada anggota parti UMNO dan Pas meninggalkan Sidang Dewan Rakyat ke-14 kerana mempertikai cara pelantikan Speakernya. Hanya dua orang anggota pembangkang yang tidak keluar dewan. Salah seorang daripadanya adalah Ahli Parlimen Rembau, YB Khairi Jamaluddin.
Lalu imejnya yang duduk bersendirian menjadi fokus. Ia kemudiannya tular di medsos dan menjadi bahan usikan netizen. Ramai juga yang melihat tindakan beliau sebagai wajar. Bagaimana pun, tindakan Khairi itu nyata tidak menggembirakan blok pembangkang. Ada ura-ura tindakan beliau itu bakal mengakibatkan dia dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.
Walau apa pun implikasi dan persepsi daripada tindakannya itu, menurut KJ, beliau tidak ikut keluar dewan beramai-ramai kerana menghormati majlis.  Meskipun menganggotai UMNO, dalam kes ini, beliau bertindak bersandarkan pendirian peribadinya.
Jika kita ingat, hanya beberapa hari setelah UMNO-BN tewas teruk dalam PRU-14, KJ tampil menyuarakan kekesalannya kerana tidak bertindak untuk menegur pucuk pimpinan. Oleh kerana tidak menegur itulah, menurut Khairi,  maka parti tidak mendapat maklumat yang betul  hingga membawa kepada kekalahannya.
Barangkali kerana menghormati budaya untuk tidak mengkritik pemimpin parti, KJ tidak bersuara garang, ataupun tidak menegur pucuk pimpinannnya sama sekali pada waktu itu. Oleh kerana kesal, KJ memperbetul dan mengukuhkan prinsip-prinsip peribadinya.
Mulai saat itu, beliau menyuarakan pendapatnya dengan lantang. Bahasanya pun keras, bebas dan ada kalanya babas misalnya menggunakan istilah ‘pekak’ untuk menggambarkan sikap tidak peduli rakan-rakan seanggota parti terhadap perubahan persepsi masyarakat terhadap parti UMNOnya. Pendiriannya kian jelas meskipun ia mengundang persepsi negatif dari kalangan partinya, seolah-olah suaranya bukan lagi suara UMNO.
Jika kita renungkan, KJ hanyalah salah seorang insan yang berpegang kepada sebuah pendirian yang lain daripada yang lain. Daripada sudut  kendiri, sikap berani menyuarakan sesuatu pandangan, kemudian berpendirian teguh kepada hujah adalah sesuatu yang menjadikan kita insan yang berbeza daripada orang lain. Sebenarnya, tidaklah begitu sukar untuk berpegang teguh kepada sesuatu keputusan yang berlainan daripada orang lain.
Tetapi ia menjadi payah apabila kita terikat kepada apa yang dinamakan sebagai norma masyarakat. Kerana mengikut norma itulah maka kita amat menjaga agar tidak melanggar pantang larang dalam masyarakat. Kita tidak mahu melanggar kebiasaan kerana akan dikatakan sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Akhirnya, agar tidak menimbulkan masalah, kita sendiri yang mengikat diri kita sebagai jalan mudah dan selamat.
Dunia perniagaan khususnya pemasaran dan komunikasinya amat suka dengan tabiat manusia yang suka menjadi seperti orang lain. Mereka mengambil kesempatan menghimpun tabiat manusia yang menitikberatkan soal kesamaan dan keseragaman. Apa yang dianggap sebagai norma masyarakat tidak akan dilanggar secara sembrono oleh mana-mana perniagaan kerana ia akan memberi kesan kepada kuasa pembeli. Oleh kerana itu, seboleh mungkin manusia pengguna itu dibentuk dan disuakan dengan apa yang serupa dan seragam.
Manusia dikaji dan dikategorikan mengikut tabiat kesukaannya. Muncullah istilah avatar pengguna di mana manusia pengguna itu dihimpun ke dalam pelbagai kategori untuk memudahkan mereka dilorong dan disorongkan dengan sesebuah gaya hidup. Gaya hidup ini adalah apa yang digunakan oleh sesebuah kelompok pengguna itu. Ini termasuk pelbagai produk yang antaranya barangan pengguna, kediaman, perbankan, pengangkutan dan juga perhubungan.
Apabila kita diasak dengan pelbagai barangan pengguna ini, kian sehari, kita semakin serupa di antara satu sama lain. Kita makan benda yang sama, menonton drama yang sama, menghiasi rumah dengan kelengkapan yang sama,  bersosial dengan kelompok manusia yang sama, malah memusuhi pasukan bola yang sama atau menyokong parti politik yang sama kerana kita hendak sama dengan orang lain.
Dalam pada kita ingin menghormati norma masyarakat, pihak perniagaan menggunakan sikap kebersamaan manusia ini untuk membentuk kesamaan daripada segi kepenggunaan. Akhirnya kita berasa selamat apabila ada apa yang orang lain ada. Kita berasa kekurangan, malah miskin apabila tiada apa yang orang lain ada.
Perasaan ini membawa kepada ketakutan manusia untuk mempunyai minat yang tersendiri, yang berbeza daripada orang lain. Kita boleh nampak kegilaan pada hari ini, oleh kerana harga durian sudah murah, maka kita membeli kerana tidak mahu berasa ketinggalan membeli durian. Minggu lalu, apabila ramai yang memperkatakan mengenai bolasepak  Piala Dunia, yang tidak minat bolasepak pun tidak mahu ketinggalan menonton sukan itu.
Sesungguhnya apabila kita buat apa yang orang lain buat, ia menandakan yang kita takut untuk menjadi lain daripada yang lain. Ertinya kita berasa selamat untuk melakukan sesuatu kerana ramai orang lain melakukan perbuatan itu. Soalnya, apakah kita terfikir, bagaimana andainya khalayak ramai itu silap? Beranikah kita menongkah arus untuk jadi berbeza daripada orang lain?
Memandang kepada senario pada hari ini, barangkali ramai di antara kita yang selesa melakukan kesalahan beramai-ramai tetapi tak berani melakukan sesuatu yang betul secara bersendirian. Maka benarlah hadis yang menyentuh masa depan agama Islam.
Hadis riwayat Muslim mengatakan: Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. 
Tanyalah diri sendiri, apakah kita ini berani punyai pendirian yang asing?

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.7.18.

Tuesday, July 10, 2018

JANGAN MUDAH TERTIPU



PICCREDIT: SMALLBIZFRIEND.COM
ORANG PENCEN PUN
NAK KENA TIPU
GURUH berdentum membangkitkan saya dari tidur. Selepas tahajjud sebentar tadi, saya bercadang hendak sambung tidur. Sebelum tergolek semula, memang sudah terbiasa, saya akan membelek telefon dahulu. Saya meneliti mesej-mesej yang masuk termasuk di Facebook lalu terpandang personal message (PM) dari Abdul Rahman Adam.

Pak Rahman adalah super senior saya di sekolah. Rakan sekelas kepada abang saya pula. Namun, komunikasi melalui Facebook menjadikan saya berkenal dan berkawan dengannya. Sejak adanya laman Anak Mersing di Facebook, maka kami kerap juga berhubung.

Pak Rahman adalah bekas pegawai askar. Kini menetap di pinggir Kuala Lumpur dan menjalani kehidupan yang santai. Kerap juga saya berkunjung ke lamannya untuk mengikuti aktiviti beliau yang antaranya melukis. Ya, Pak Rahman memang berbakat dalam melukis.

‘How are you?’ Begitulah dia menegur di kotak mesej. Saya melihat waktu mesej dihantar. 4.22 pagi. ‘Wah, Pak Rahman ni kirim mesej usai tahajjud juga, kot?’ detik hati saya.

Lantas saya teringat majlis perpisahan di mana saya dan Puan Sri Diah diraikan sebagai wira dan serikandi pada petang semalam. Majlis meriah itu diadakan kerana kami berdua mula bersara pada 30 Jun lalu. Acara itu diadakan live di laman sosial Alaf 21, iaitu di antara syarikat penerbitan tempat kami bernaung.

Banyak juga posting dari rakan-rakan mengenai majlis itu di laman Facebook masing-masing. Barangkali Pak Rahman terpandang status mengenai majlis  itu dan ingin menyapa serta bertanya khabar.

‘Today is the happiest day of my life!’ Pak Rahman mengirim mesej sebaik sahaja saya membalas tegurannya. Saya teruja dan sudah tentu ingin tahu apa yang menggembirakannya. ‘Apa cerita, pak?’ tanya saya kembali. ‘Hari ini saya terima US150,000!’ balas Pak Rahman.

‘Alhamdulilah. Terima daripada siapa?’ ‘Saya dapat daripada Yayasan Kelly Smith. Yayasan itu menolong sesiapa sahaja yang memohon untuk perniagaan dan juga untuk membantu orang lain!’

Minda saya terus terfikir, mungkin Pak Rahman mahu melabur di dalam perniagaan saya! Agaknya apabila membaca berita persaraan saya dan kebetulan pula dia mendapat wang yang banyak, dia mahu membantu saya di samping mendapat pulangan. ‘Bagus tu, Pak Rahman. Wang itu banyak. Boleh juga dimanfaatkan untuk perniagaan dan kerja-kerja amal.’ Demikian saya mencelah.

‘Mahukah anda berbuat perkara yang sama?’ Tanya Pak Rahman lagi. Soalan itu membuat saya terpempan. ‘Anda?’ Pak Rahman panggil saya ‘anda’ dan bukan Pak Norden seperti lazimnya? Pelik sungguh penggunaan ‘anda’ ini. Oh, oh!

Naluri seorang wartawan segera merangsang dan menyerang minda saya. Lantas saya membuat carian nama Abdul Rahman Adam di laman sosial itu. Terus saya terjumpa dua nama yang sama, dengan imej profil yang sama juga. Namun, profil yang di atas mempunyai nama Abdul Rahman Adam dengan 240 mutual friend sementara yang satu lagi Abdul Rahman Adam dengan 40 mutual friend.
Syak saya benar. Satu profil tulin. Yang satu lagi akaun palsu! Apabila saya membuka profil yang kedua, saya dapati halaman itu baharu sahaja dibuka pada 1 Julai lalu. ‘Sah, ini spam!’ kata hati saya. Lantas saya menelefon Pak Rahman. Panggilan tidak berjawab.

Sementara itu Abdul Rahman Adam yang palsu mengirim sebuah pautan yayasan yang beliau maksudkan, dengan mesej agar saya membuka untuk memohon dana. Secara spontan saya mengkliknya. Namun tidak aktif. Tiba-tiba bulu roma saya berdiri!

‘Bagaimana kalau pautan itu membolehkan Abdul Rahman Adam yang palsu mengakses segala kata laluan daripada fon saya?’ Rasa kesal mula menghantui pula fikiran ini. Lantas saya membuka salah sebuah akaun bank saya. Alangkah terkejutnya di dalam akaun itu hanya ada RM30.00 sahaja bakinya.

Peluh dingin mula merembes di tengkuk saya. ‘Habislah duit aku…’ Namun, bila saya bertenang kembali, baharulah saya ingat di dalam akaun saya itu sememangnya hanya ada RM30.00 sahaja! (Haha, saya melawak ni!) Bagaimana pun, saya menukar kata laluan di akaun-akaun bank saya sebagai langkah keselamatan.

Lebihkurang jam 9.00 pagi, Pak Rahman menghubungi saya. Apabila saya menceritakan apa yang terjadi, beliau tertawa berdekah-dekah. ‘Sebenarnya dah dua-tiga orang yang hubungi saya bertanyakan betul ke saya yang dapat duit dari yayasan itu. You pun tahu, selepas pencen ni, saya hanya naikkan status pasal makan, lukisan dan hal-hal ibadah. Entahlah, dia orang ni, nak cari duit dengan cara mudah dengan menipu!’

Mujur. Mujur sangat kerana saya hampir terpedaya dengan kelentong di penipu di alam maya ini. Saya yang pantang menjawab panggilan daripada nombor yang tidak bertuan dan berjaga-jaga bila disapa oleh orang yang tidak dikenali pun boleh terkena juga.

Orang tua kata, malang tak berbau. Saya pula tambah, kalau malang itu berbau, tentu baunya busuk dan kita akan lari menjauhinya!

*Carian saya baru-baru ini mendapati akaun palsu Abdul Rahman Adam telahpun dipadam.

Tuesday, July 3, 2018

MEMAHAMI ELEMEN JODOH DALAM PERHUBUNGAN

-->
MARI KITA CARI JODOH
ISTILAH ‘jodoh’ lazimnya dikaitkan dengan  soal pasangan lelaki dan perempuan dalam konteks perkahwinan. Jarang sekali kita fahami istilah  jodoh ini dalam ertikata yang lebih luas. Kamus DBP menjelaskan, jodoh itu mempunyai tiga maksud iaitu mengenai pasangan hidup, pasangan bagi benda dan juga membawa maksud sesuai atau secocok.
Maknanya jodoh itu berkait rapat dengan manusia, benda dan juga situasi. Justeru itu, jodoh tidak semestinya mengenai perkahwinan sepasang lelaki dan perempuan. Malah, jodoh boleh digunakan dalam konteks persahabatan ~ kita sekepala, sebulu, sepasukan ngam dan geng dengan seseorang.
Ia boleh juga diguna dalam konteks perniagaan. Apabila syarikat A bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat B, mereka menandatangani memorandum persefahaman. Kemudian kedua-dua syarikat ini mengadakan usahasama atau joint-venture. Barangkali akhirnya syarikat A dan syarikat B bergabung menjadi sebuah entiti perniagaan yang dikenali sebagai syarikat A & B, misalnya.
Maknanya, jodoh dalam konteks yang lebih luas ini sangat penting. Apabila kita bekerja di sesebuah tempat, kita berasa selesa kerana punyai rakan sepejabat yang saling memberi kerjasama, membantu tatkala kita hendak menyiapkan tugas, menjadi teman untuk makan, boleh bergurau senda dan perhubungan itu membawa kepada jalinan sesama keluarga di luar waktu kerja.
Begitu juga, apabila kita memasuki sesebuah persatuan, kita dikira punyai jodoh di dalam persatuan itu apabila kita saling sokong menyokong dalam mengadakan aktiviti, sentiasa mencari masa terluang untuk hadir menjalankan sesebuah program dan sama-sama menyelesaikan apa jua maslaah yang timbul.
Jodoh dengan jiran pula ialah saling tegur menegur, memberi ruang rumah sendiri untuk kenduri kendara, seluruh isi keluarga dilayani seperti keluarga sendiri, saling membantu dalam kesusahan dan sama-sama bergembira apabila salah seorang daripada anggota keluarga jiran kita mendapat sesuatu kejayaan.
Jodoh kita dalam konteks persahabatan pula amat unik. Masing-masing mungkin berpuluh tahun tidak bertemu. Namun, apabila berjodoh dalam persahabatan itu, kita bersusah payah menghadiri majlis perkahwinan anaknya walaupun ia diadakan jauh beratus kilometer. Kita senang hati mengajaknya bermalam andainya dia tersesat ke tempat kita. Dan, kita akan menziarahi dia apabila mendapat berita yang dia memasuki hospital. Pendek kata, apa jua hal di antara kita yang melibatkan hal individu atau kumpulan dalam hal ehwal persahabatan, kejiranan, pejabat dan persatuan, ia adalah mengenai soal jodoh.
Justeru itu, jodoh itu adalah salah satu faktor perhubungan manusia yang mustahak. Buat apa mencari kawan yang tidak sekepala, mencari kerja yang membuat kita saban hari berniat untuk berhenti kerja, berpersatuan tetapi sentiasa berbalah dan berjiran tetapi tidak bertegur sapa?
Sebaliknya, kita mahu kawan yang jadi sahabat, tempat kerja yang kita anggap sebagai rumah kedua, persatuan yang sejiwa memperjuangkan sesuatu misi secara kumpulan dan jiran yang seperti saudara. Mengapa kita entengkan hal jodoh dalam perhubungan manusia? Perasan tak, oleh kerana kita tidak memasang niat lalu memupuk dan mempertahankannya sepertimana jodoh kita dengan pasangan, maka kita punyai masalah di dalam jodoh kita di pejabat, jiran, persatuan dan juga persahabatan.
Hampir semua daripada kita tahu mahupun faham cara mencari jodoh pasangan. Ada banyak sumber ilmunya. Ada ceramah, buku, drama TV, saudara mara dan kawan-kawan yang boleh dijadikan sumber rujukan. Tetapi, bagaimana hendak mencari jodoh dalam pekerjaan, persahabatan, kejiranan dan persatuan?
Saya teringat konsep Prinsip Mastermind yang diutarakan oleh Napoleon Hill dalam bukunya Think and Grow Rich pada tahun 1937. Buku yang saya tatap pada tahun 80an itu menyebut, ‘Prinsip Mastermind itu adalah koordinasi pengetahuan dan usaha di antara dua atau lebih manusia untuk sesuatu tujuan dalam semangat harmoni. Dua minda akan bergabung menghasilkan tenaga sebuah minda ketiga yang dikenali sebagai mastermind.
Kesimpulannya, keharmonian fikiran akan membentuk sebuah tenaga yang menghasilkan pemikiran baharu yang dinamakan sebagai Mastermind. Iya. Apabila kita mahu jodoh kita panjang dengan mana-mana individu lain, yang penting kita mesti sama-sama mempunyai keharmonian fikiran.
Dalam bahasa mudahnya, kita mestilah sekepala dengan orang lain. Untuk sekepala, kita mestilah bertimbangrasa, bertoleransi, saling menghormati idea dan pemikiran orang lain. Kita tidak boleh hanya setuju pada sesuatu apabila ia menguntungkan kita. Ataupun memandang remeh mahupun mengekang pada pemikiran selain daripada apa yang kita setujui.
Seandainya itu berlaku, maka jodoh kita dengan mana-mana pihak yang lain tidak akan panjang. Kita lihat ada banyak kes mereka yang berhenti atau diberhentikan kerja, pergaduhan sesama jiran, kawan makan kawan dan rakan sepertubuhan politik berpatah arang.
Kita kenalah merenung… jodoh kita selain dengan pasangan juga penting demi keharmonian hidup.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian pada 4.7.18.

Tuesday, June 26, 2018

CATATAN SEBUAH PERJALANAN

-->
MARI MERENUNG
NASIB DIRI


SEBAIK sahaja roh ditiup ke tubuh, maka perjalanan hidup kita pun bermula. Degup jantung, pembentukan tubuh dan organ-organnya, tulang, daging dan urat-urat terus terbentuk sebagai persediaan untuk kita menjenguk melihat dunia.
Kita lahir terlungkup,  terbaring, mengiring, meniarap hingga akhirnya kita dapat merangkak, berdiri dan bertatih. Ibubapa gembira melihat langkah kita yang pertama dan makin seronok apabila kita pandai berlari.
Kita sendiri turut gembira apabila dapat berlari apabila mengejar dan dikejar. Kerap juga kita tersadung dan terjatuh mahupun terhantuk lalu tergolek. Itulah pengajaran awal diri ~ bahawa perjalanan hidup yang bakal dilalui nanti akan disulami jatuh dan bangun yang silih berganti.
Betapa pun, seperti tumbesaran diri, perkembangan yang kita lalui begitu perlahan seperti detik saat jam. Ia memakan masa bertahun-tahun. Sesungguhnya ia adalah sebuah perjalanan; bukannya matlamat.
Perjalanan hidup itu juga memaksa kita untuk bergerak. Seolah-olah kita sedang berada di sebuah walkalator. Jika kita berdiam diri tidak mahu ke depan,  ia akan mengundurkan kita ke belakang. Seperti juga sedang berada di sebuah eskalator yang sedang menurun; jika kita tidak melangkah untuk naik, kita akan menggelongsor ke bawah.
Justeru itulah, adat dalam kehidupan memerlukan untuk kita bergerak. Pastinya bergerak ke hadapan atau mendaki untuk sampai ke puncak. Kerana, bergerak ke hadapan itu menunjukkan kemajuan. Kemuncak pula adalah simbol kejayaan dalam sebuah perjalanan.
Betapa pun, perjalanan hidup itu juga penuh dengan selekoh. Sebab itu kita tidak boleh jangka apa yang mendatang. Kita hanya boleh mengagak apa yang bakal muncul di depan mata. Namun, melalui kebiasaan, kita mula belajar membaca pola kehidupan lalu membuat agakan.
Sekali, dua kali, tiga kali agakan kita benar-benar betul, maka jangan pula kita menganggap diri sudah mahir untuk membuat pelan kehidupan. Kerana, tiba-tiba apabila agakan kita tidak tepat dan jangkaan kita tidak menjadi, kita akan tersasar dan tersungkur pula.
Pada ketika itulah baharu kita ingatkan ALLAH. Baharu sedar ALLAH itu tetap ada dan sentiasa menguji. ALLAH memberi kita ujian dalam kehidupan bukannya kerana ALLAH hendak tengok bagaimana kita menanganinya. Sebaliknya, ujian itu ALLAH berikan kepada kita supaya kita sendiri dapat melihat bagaimanakah kita menghadapi ujian itu sendiri.
Beruntunglah andainya kita dapat hadapi sesebuah ujian itu dengan tenang lagi rasional. Merugilah pula seandainya kita panik dan kalut hingga silap dalam bertindak hingga merugikan diri sendiri daripada segi jangka panjang.
Justeru itu, dalam perjalanan hidup ini, apakah yang kita mahu? Apakah kita mahu aman sejahtera tanpa pelbagai ujian hingga kita lembik dan lembam apabila masalah besar tiba? Ataupun apakah mahukan masalah datang bertimpa-timpa agar kita menjadi kuat semangat dalam menghadapi segala rintangan?
Orang kata, musuh jangan dicari. Begitulah juga, masalah jangan difikir-fikirkan hingga kita bersikap negatif. Biarlah masalah itu datang dengan sendirinya kerana itulah adat kehidupan. Sentiasalah awas apabila keadaan sejahtera dan aman damai. Tetapi layanilah masalah seadanya apabila ia sampai dengan fikiran bahawa ia akan dapat diselesaikan.
Bukankah kita telah pun mengatasi segala masalah yang mendatang selama ini? Jika tidak, bagaimana kita boleh bernafas hingga ke hari ini?  Lagi pula, sedari kecil, bukankah kita telah mengalami jatuh bangun secara fizikal sebagai persediaan untuk menghadapi jatuh bangun daripada segi mental dan spiritual?
Skrip kehidupan bagi setiap insan itu berbeza. Meskipun ada yang serupa, cara individu menanganinya itu sendiri akan mengubah natijahnya. Malangnya, kita semua diasak dengan pemikiran yang mendatar iaitu untuk melihat kejayaan dan kegagalan melalui sukatan material.
Lagi banyak seseorang itu berharta, tafsirannya ialah dia sudah berjaya. Ramai yang kian terlupa bahawa terdapat juga kejayaan mental dan spiritual. Sebab itulah, orang yang punyai tiga empat kedoktoran falsafah itu tidak dianggap berjaya kerana dia tiada harta berjuta ringgit.
Seorang hafiz yang berwajah jernih dan tenang itu dilihat belum berjaya kerana tiada wang berkepuk-kepuk di dalam almari. Padahal, bukan senang mendapat keizinan ALLAH sebagai penyimpan juzuk-juzuk al-Quran di dalam dadanya. Dia sebenarnya kaya-raya kerana dalam dirinya mengalir satu-satunya mukjizat di akhir zaman.
Kita semua datang dari sebuah tempat yang indah. Bila dilahirkan, kita bertebaran untuk mengembara dan mencari apa yang diingini di dunia yang fana ini. Kita kena sentiasa ingat bahawa perjalanan di dunia hanyalah sebahagian daripada jalan yang perlu direntasi.
Tiba waktunya kita akan dipanggil ke tempat yang indah itu kembali. Itupun, seandainya kita memilih jalan yang diredai, iaitu sebuah jalan yang lurus. Mencari jalan yang lurus itulah yang sukar kerana di dunia ini mana ada jalan yang lurus dari hujung hingga ke pangkalnya? Carilah ia nescaya tidak akan ditemui kerana jalan yang lurus itu hanya ada di hati!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.18.