Saturday, June 20, 2009

KHIDMAT PLUS YANG PLUS-PLUS!



1-800-88-0000
INGAT NOMBOR INI!

JUMAAT lalu, ketika hendak membeli nasi lemak, saya menerima telefon dari Jojoy. Suaranya bernada panik. Beginilah dialognya:
“Bro! Wa mintak banyak-banyak maaf. Wa mesti terlewat ke ofis hari ni. Ada problem la,” ujarnya.
“Encik nak lauk apa?” celah abang penjual nasi lemak.
‘Alamak,’ kata hati saya. “Err, Jo… lu tunggu, ha? Nanti wa call balik,” jawab saya meskipun suspen juga memikirkan apa masalah yang dia hadapi.

“BRO… kereta wa pamcit kat NKVE,” kata Jojoy sebaik sahaja saya menghubunginya.
Terus sahaja saya tahu, NKVE adalah lebuhraya di bawah selenggaraan PLUS.
“Berikan lokasi…” gesa saya.
“Wa baru aje lepas susur Subang. Sekarang lebih kurang 5 km dari tol Shah Alam.”
“Lu nampak tak, ada tiang kecik yang bernombor kat tepi lebuh raya? Tiang itu berkotak hijau dan bertulisan putih. Tolong bacakan nombornya.”
“Ha, wa nampak tiang tu. Nombornya 16.5.”
“Kereta lu ada kat sebelah mana?” tanya saya.
“Kat laluan kecemasan.”
“Okey. Lu tunggu wa, wa datang tolong lu.”
Hati saya lega bila mengetahui kenderaan Jojoy tidak mengganggu lalu lintas. Lantas saya menghubungi nombor PLUS 1-800-88-0000 bagi membuat laporan mengenai kenderaan Jojoy agar penempatan kon boleh dibuat sebagai amaran lalu lintas.

DI PEJABAT, ketika berbual-bual dengan staf yang lain mengenai insiden itu, saya sempat memberitahu mereka tip bila kenderaan alami kerosakan di lebuhraya. Rupa-rupanya, ramai yang tak tahu apa nak buat bila berlaku kecemasan di lebuhraya.

TIP
1. Berhenti di lorong kecemasan. Nyalakan lampu hazard.
2. Berdiri jauh dari kenderaan bagi mengelak kemalangan.
3. Hubungi 1-800-88-0000.
4. Beritahu arah lebuhraya di mana kita berada. Misalnya lebuhraya dari Subang-Shah Alam.
5. Beritahu nombor yang tertulis di tiang berkotak hijau dan bertulisan putih yang terdapat berhampiran. Ini akan memudahkan PLUS Ronda dari tol yang paling hampir datang membantu.
6. Kalau masalah kecil, staf PLUS Ronda akan baiki di situ juga. Jika tidak, mereka akan angkut kenderaan kita ke R&R berhampiran.
Kesemuanya dilakukan PERCUMA! Oleh itu, jangan ikut nasihat lori angkut swasta! Nanti kena caj RM100-RM200 sekali angkut.

*Saya pernah alami tayar pancit dan PLUS Ronda dengan keempat-empat orang stafnya tiba dan terus tukar tayar kereta saya tak sampai 5 minit. Saya terasa macam pelumba F1 pulak ketika itu!

TIP RAHSIA!
ADA
keuntungan lain bila menggunakan nombor 1-800-88-0000 ini.
Pertama, bila lebuhraya tiba-tiba jadi sesak, hubungilah nombor itu untuk mengetahui sebab lebuhraya sesak. Begini dialog yang saya gunakan:
“Saya dari lebuhraya, Seremban-KL… di 34.5 (nombor tiang yang terdapat paling hampir). Saya nak tanya… mengapa lebuhraya kat sini jam?”
“Ada lori terbalik kat 34.6!” jawab petugas.
Tahulah saya kini kenderaan saya berada kira-kira 100 meter dari tempat kemalangan.Kalau jawapan petugas kemalangan berlaku di 35.5, itu maknanya kemalangan berlaku 1 km di hadapan. Jauh, tu!
“Err… lori tu terbalik kat lorong sebelah mana?” tanya saya lagi.
“Lori tu terbalik kat lorong tengah, encik!”
“Terima kasih,” jawab saya dengan hati lapang.

SETELAH meletak telefon, saya terus menyalakan lampu isyarat dan mengengsot dari lorong paling kanan ke lorong paling kiri. Ternyata lorong itulah yang paling laju! Hu3!
Foto:www.plus.com.my

Sunday, June 14, 2009

ATLAS DUNIA


MINDA KITA
DALAM KEPOMPONG

APAKAH yang tertayang di layar minda kita bila disebut perkataan atlas? Tentu sekali rajah negara-negara yang disempadani dengan garisan-garisan. Garisan-garisan itu memisahkan wilayah-wilayah pemerintahan.

Misalnya, untuk atlas Asia Tenggara, negara Malaysia disempadani oleh Singapura di selatan, Thailand di utara dan Indonesia di seberang Selat Melaka. Di timur Thailand pula, ada Kemboja dan Laos, diikuti dengan Vietnam. Di barat Thailand ada Burma, dan begitulah seterusnya.

KAWASAN-KAWASAN apakah yang terlihat? Garisan-garisan apakah yang memisahkan? Kawasan-kawasan yang diasing-asingkan itu menandakan kawasan sesebuah negara yang berdaulat, yang diiktiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Justeru itu, atlas yang selalu kita tatap adalah atlas politik!

Kerana ia atlas yang sering ditatap, maka secara bawah sedar, minda kita sudah dipisah-pisahkan di antara negara mengikut pemerintahan politik. Pendek kata, politiklah yang menguasai world view kita.

Sepatutnya, ada banyak lagi perspektif, spektrum dan dimensi yang patut kita guna untuk mencerap dunia. Kita jarang sekali melihat atlas di mana garisan-garisannya dilengkuk dan diluk berdasarkan budaya, sosial, ekonomi, kemajuan IT, pendapatan, industri, pertanian dan juga berdasarkan agama.

Tidak hairanlah, oleh kerana atlas politiklah yang sentiasa terpapar dan menjadi rujukan utama, fikiran kita terkurung dalam kempompong-kepompong politik. Kita hanya prihatin terhadap apa yang terjadi hanya di negara sendiri dan tidak di negara lain.

SEBAB itulah, apa yang berlaku di Palestin, di Mindanao dan di Selatan Thailand tidak menyentuh banyak hati!

Foto:www.siteatlas.com

Sunday, May 31, 2009

SESAK DI LEBUHRAYA


JALAN-JALAN
CARI TOL


SABTU
lepas, saya dan keluarga ke Shah Alam untuk meraikan majlis persandingan sepupu isteri. Sebaik sahaja menghampiri Tol Batu Tiga, jalan kelihatan sesak. Hati berkata, 'Mujurlah aku ada Touch and Go. Lajulah sikit kerana lorong Touch and Go biasanya tak sesak.'

Namun, sangkaanku meleset. Dua lorong Touch and Go dan satu lorong Tambah Nilai turut sesak. Kereta berhimpit-himpit dan berbontot-bontot. Lebih-lebih lagi di antara lorong ‘Tunai’ dan ‘Touch and Go’ serta di antara lorong ‘Touch and Go’ dan lorong ‘Smartag.’ Di situ, kereta bersimpang-siur menukar lorong.

‘Tak berhati perut ke mereka?’ ‘Tak sabar ke?’ ‘Nak potong queue ke?’ Itulah prasangka spontan yang terlintas di hatiku. Teringat pulak kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato Raja Nong Chik yang baru-baru ini merasai himpitan dan kesesakan tol hingga berasa '15 minit terlalu lama untuk membayar tol.’

Maka kami berbincang di dalam kereta mencari sebab kesesakan di tol. Dan kami sepakat antara sebab tol jadi sesak ialah kerana kebanyakan kenderaan tercari-cari lorong yang dituju, selalunya antara lorong Tunai, Touch and Go dan Tambah Nilai hingga kenderaan tidak ikut aturan. Kebanyakan kenderaan hanya mengagak ia dilorong yang betul, sehinggalah bila mengampiri tempat pembayaran.

Ketika itu barulah mereka tersedar yang mereka silap lorong. Maka mereka mula mengengsot ke kiri atau ke kanan. Kenderaan lain yang di lorong yang betul, berasa terganggu bila ada kenderaan yang dirasakan nak potong queue. Maka mereka pun cuba menghalang. Lalu fikiran jadi stres dan tension terjadi.

SETELAH berbincang, kami sependapat antara cara yang boleh dibuat untuk meredakan kenderaan tercari-cari lorong yang betul. Pertama, naikkan papan tanda lorong (yang berwarna hijau tu) ke puncak bangunan tol. Besarkan tulisannya. Biar para pemandu nampak jelas dari jauh sekurang-kurangnya sekilometer dan jadikan ia kompas untuk menghalakan kenderaan.

Kedua, garisan-garisan lorong perlu dipanjangkan sejauh 500 meter dari pusat bayaran. Tentu sekali permukaan jalan ditanda di mana lorong ‘Tunai,’ ‘Tambah Nilai,’ ‘Touch and Go,’ ‘Smartag’ dan ‘Ujian Smartag.’ Dengan cara ini, kenderaan yang menghampiri kawasan bayaran tol akan beratur lebih awal.

Dan ketiga, jangan benarkan pembahagian apa-apa bahan promosi perniagaan atau apa-apa handout. (Ini puncanya!) Pemberian handout menyebabkan kenderaan terpaksa berhenti dua kali. Pertama untuk membayar tol dan kedua untuk mengambil barangan yang diberi promoter.
Pembahagian barangan promosi atau kempen boleh sahaja dibuat di kawasan R & R. Di situ lebih aman sebab boleh bercerita panjang untuk melariskan barangan atau berkempen!
Foto drp: jullgunit.blogspot.com

Saturday, May 23, 2009

MUZIK & SAYA



PENEMUAN BARU
UNTUK ORANG LAMA!

SEJAK zaman sekolah, saya suka mendengar lagu. Apa jenis lagu pun saya boleh layan. Semasa kecil, sewaktu hanya ada radio di rumah, saya akan mendengar lagu-lagu Melayu 50an. Saya kenal suara R. Azmi, M. Jasni, P. Ramlee hingga ke A. Rahman Onn, A. Ramlee dan L. Ramlee kerana saban hari mendengar nyanyian mereka di radio. Kini, bila lagu-lagu itu diputar di radio, saya boleh bernyanyi bersama hingga menghairankan anak-anak saya.

Di zaman TV warna, saya kenal Jamal Abdillah, M. Nasir, Ramlee Sarip, Awie Wings dan Amy Search. Kini, saya mula mengenali penyanyi seperti Faizal Tahir, Aizat dan kumpulan Hujan buat pertama kali melalui You Tube.

Lagu-lagu selain daripada lagu Melayu pun saya gemar. Lagu-lagu Neil Diamond, Frank Sinatra, Stevie Wonder, Lionel Richie, hingga ke lagu-lagu nyanyian Justine Timberlake, Josh Groban dan Jason Mraz menjadi pilihan. Instrumental klasik seperti Beethovan Symphony No 9, Chopin Waltz, John William mahupun piano Richard Clayderman, menjadi santapan halwa telinga.

KINI, bila saya rapik dengan komputer sama ada ketika bekerja mahupun berkarya, secara beransur-ansur, muzik bukan hiburan semata-mata. Semakin usia beranjak, keperluan saya terhadap muzik mempunyai makna yang kian berubah. Pada hari ini, muzik dan lagu menjadi alat bantuan kerja saya. Ya. Kini, baru saya menyedarinya!

Tiap hari, sebaik sahaja tiba di pejabat, saya akan membuka Youtube dan memutar lagu I’tiroof, Haddad Alwi untuk menenangkan jiwa. Kemudian diikuti dengan pelbagai lagu nyanyian Opick seperti Tombo Ati, Damai Bersamamu oleh Chrisye, dan juga Demi Matahari oleh Snada.
Lagu-lagu Raihan seperti Puji-Pujian dan Iktiraf atau Selawat Syifa oleh Hijjaz kian diminati. Untuk kelainan, saya mainkan pula Koi dan Sozo oleh Kitaro, selain lagu-lagu instrumental yang lain.

DAN, sejak setahun dua ini saya pasti menggunakan lagu Somewhere in Time, mainan piano Maksim ketika menulis caption novel-novel terbitan Alaf 21. Lazimnya, tak sampai 15 minit, alhamdulilah saya akan peroleh caption atau bait-bait kata berpuisi yang menghiasi kulit hadapan novel-novel Alaf 21.

Kalau tidak memainkan lagu itu, saya terasa janggal untuk menggagau idea kata-kata berpuisi itu. Hasil kerja akan lambat. Kata-kata puitis yang ditulis kerap dilihat sebagai kata-kata jiwang ‘Chenod’ panggilan biasa staf-staf saya di pejabat. Jika dahulu, mungkin ya, tetapi kini ia mempunyai erti ketuhanan jika ‘dibaca dengan nama Tuhanmu!’

SEMALAM, sesuatu yang menarik telah terjadi! Semalam saya dapat menyudahkan babak novel aksi saya setelah sebulan berhempas pulas mencari mood dan rentak. Rahsianya ~ saya gunakan lagu tema filem The Rock sebagai muzik latar ketika saya mengetuk papan kekunci.
Bila menyedari kegunaan muzik untuk melancarkan kreativiti, saya pasti akan menggunakan penemuan yang memercikkan fusion di dalam otak saya hingga melahirkan keseronokkan berkarya. Ya, lain muzik latar untuk mood babak yang berbeda. Satu penemuan baru untuk orang lama seperti saya!

Friday, May 15, 2009

TIGA DIMENSI CINTA


BUAT
PENGANTIN
BARU

CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.

Lafaz ‘AKU CINTA PADAMU’ atau ‘I LOVE YOU’ sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan ‘AKU CINTA PADAMU’ sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?

Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.

Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.

Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.

Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.

Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.

P.S: Selamat Pengantin Baru buat keempat-empat anak saudaraku…

Thursday, April 23, 2009

BERNIAGA MACAM PERGI PERANG!



PERSEDIAAN
MEMASARKAN BUKU
KE LUAR NEGARA

BILA kita berbicara mengenai jenis-jenis buku yang ingin dipasarkan, bagaimana untuk mengedarnya dan cara mana untuk melaksanakan operasinya, ia adalah mengenai persediaan utama sebelum apa jua perkara lain dilakukan. Aspek utama yang harus dititikberatkan ialah tenaga manusia itu sendiri. Pendek kata, memasarkan buku-buku ke luar negara adalah mengenai usaha penggiat industri buku daripada Malaysia sebagai satu pasukan.

Sama ada kita adalah penulis, editor, perekabentuk, penerbit, pencetak dan juga pemasar buku-buku ini, setiap individu yang terlibat harus punyai kebolehan berwawasan untuk menjangka, ke arah manakah usaha memasarkan buku-buku ilmiah daripada Malaysia ini hendak menghala. Berwawasan, bagi saya adalah kebolehan untuk melihat apa yang berlaku pada hari esok ~ sekarang!

Dan, wawasan yang dapat divisikan mestilah sesuatu yang besar. Bukan setakat membayangkan seorang wakil melangkah ke pejabat sebuah gedung buku untuk memperkenalkan buku-buku ilmiah Malaysia. Bukan juga membayangkan satu delegasi ahli-ahli MAPIM dan Persatuan Pengimport dan Pengeksport Buku Malaysia mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak industri buku di negara-negara yang punyai potensi pasaran.

Sebaliknya, mempunyai bayangan bagaimana sekurang-kurangnya satu kargo buku dari Malaysia keluar dari perut kapal terbang, bersedia untuk diangkut ke gedung buku terkenal di negara itu ataupun ke perpustakaan induk negara tersebut. Inilah gambaran yang harus tertayang di layar minda kita ~ misi yang berhasil.

Ya, bila kita berhasrat untuk memasarkan buku-buku ke luar negara, ia bererti, kita sendiri sebagai tenaganyalah yang akan terbang ke luar negara dan berdepan dengan manusia yang berbeza daripada segi psikologi, sosiologi, intelek, budaya, world view malah berbeza daripada segi isme, mazhab dan agamanya. Justeru itu, ia bukannya satu kerja semudah memasarkan buku kita ke negeri-negeri di Malaysia di mana bahasa pertuturan, bahasa tubuh, bentuk invois atau matawang yang semuanya serupa.

Kerana itu, bukan wang yang berkepuk untuk dilaburkan sahaja yang harus disedia, alamat pejabat atau gedung buku yang akan dikunjungi semata-mata yang perlu diketahui, atau buku-buku apakah yang harus dibawa bersama. Tetapi yang harus dipersiapkan ialah diri kita sendiri iaitu rangsangan mental, fizikal dan spiritual.

AKTIVITI memasarkan buku ke luar negara bukannya sukar kerana ia boleh dipelajari. Ini adalah kerana, kita mahu melakukan apa yang orang lain sudah buat. Ceruk mana di dunia yang hendak kita kunjungi sudah diterokai oleh orang lain. Kita bukannya mahu mencari dunia baru ~ menemui benua Amerika, atau benua Australia seperti para pelayar berkurun dahulu. Sebaliknya, kita hanya mahu mengembara ke tempat-tempat yang tentunya sudah terkenal. Malah, destinasinya sahaja akan diuruskan oleh juruterbang dan seterusnya pemandu teksi sebaik sahaja kita tiba ke tempat yang dituju.

Aktivitinya sama juga seperti golongan pelayar dahulu berdagang ke merata dunia. Secara lahiriah, ia mudah dicontohi. Namun, apa yang sukar diikuti ialah pemikiran mereka kerana apa yang ada di dalam pemikiran pengembara zaman dahulu tidak boleh didapatkan seperti cakera padat dan dimasukkan sahaja ke kotak minda kita lalu dimainkan, lantas kita juga punyai pemikiran seperti mereka. Kerana itulah, kita harus menyedari rangsangan-rangsangan mereka untuk digunakan. Rangsangan-rangsangan itulah yang akan memacu psiko-motor kita untuk bergerak maju.

Apakah rangsangan-rangsangan itu? Ia terbahagi kepada tiga, iaitu yang pertamanya, rangsangan fizikal, kedua rangsangan mental dan ketiga rangsangan spiritual. Rangsangan-rangsangan inilah yang menjadi azimat golongan pelayar Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Portugis hingga mereka menjelajah, lantas menjajah banyak negara dan wilayah di dunia. Mereka berpegang kepada tiga rangsangan-rangsangan ini melalui slogan Gold, Glory dan Gospel.

Istilah Gold, secara simboliknya merupakan rangsangan fizikal iaitu emas sebagai naluri ingin mengaut harta-benda. Glory pula merupakan rangsangan mental yang mencakupi rasa berjaya, rasa hebat, rasa juara dan rasa penakluk. Sementara gospel pula adalah rangsangan spiritual mereka untuk berdakwah menyampaikan ajaran Kristian.

RANGSANGAN fizikal, mental dan spiritual ini juga terdapat kepada falsafah Cina dan Jepun. Rangsangan-rangsangan inilah yang menjadikan mereka pengembara yang hebat menempuh samudera. Chi, iaitu tanah dan Sui iaitu air merupakan elemen fizikal, Ka pula adalah api dan Fu pula adalah angin atau tenaga yang merupakan elemen mental dan fikiran. Sementara Ku pula adalah syurga, yang merupakan elemen spiritual. Rangsangan-rangsangan inilah yang membangun semangat peneroka masyarakat China dan Jepun dari dahulu hingga kini.

Bila kita meneliti budaya mengembara masyarakat Islam pula, anutan kepada ketiga-tiga rangsangan ini menjadi pemacu kepantasan pengembangan agama Islam ke merata dunia. Rangsangan fizikal melalui lima Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji merupakan aktiviti-aktiviti lahiriah yang boleh dilihat. Rangsangan mental pula melalui enam Rukun Iman melalui keyakinan kepada ALLAH, malaikat, rasul, kitab, kiamat dan juga qada dan qadar adalah rangsangan mental. Rukun Ehsan yang satu itu pula adalah rangsangan spiritual kita.

BAGI kita yang ingin memulakan aktiviti memasarkan buku ke luar negara, cabaran yang besar bukannya terdapat di luar, tetapi di dalam diri individu mahupun kumpulan. Tiga rangsangan untuk fizikal, mental dan spiritual perlu ada sebagai benteng kukuh yang akan menjadikan kita hebat.

Bagi saya, rangsangan fizikal yang kita ingini ialah laba perniagaan. Rangsangan mental pula perlu disasarkan kepada rasa bangga kita untuk berkongsi ilmu, berasa dihormati dan disanjung sebagai negara yang mempunyai ramai para cendekiawan. Sementara rangsangan spiritual yang harus berakar di hati adalah kehendak untuk menyampaikan ilmu untuk tamadun dan kesejahteraan manusia.

Dengan adanya rangsangan-rangsangan yang juga menjadi prinsip dan panduan pengerak industri buku, saya percaya usaha untuk melakar strategi dan mendepani cabaran dapat ditempuh dengan selamba. Malah, dengan adanya falsafah ini, kita boleh bertahan, berkembang dan berjaya memasarkan buku-buku kita ke luar negara lebih hebat daripada pesaing-pesaing daripada negara lain.

JANGAN pandang enteng kepada aspek dalaman diri kita sendiri. Pemikiran reflektif daripada sejarah lampau yang diapit dengan pemikiran besar, seolah-olah ingin berperang dengan sebuah armada amat penting agar apa yang dilakukan bukan setakat mencuba-cuba dan menduga-duga nasib.


Keterangan foto:
Saya sedang membentangkan kertas di Persidangan Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia di Pacific Ballroom, Pan Pacific, KL pada 18.4.09. Dari kiri, Syed Munawar Sayed Mustar (RTM), Mohd Khair Ngadimon (Institut Terjemahan Negara), saya dan Keith Thong (Malaysian Booksellers Association)

Monday, April 6, 2009

DARIHAL REZEKI


UNTUNGNYA
PARA NELAYAN

ALANGKAH sukarnya buat seseorang mencari rezeki terus daripada sumber alam. Para nelayan, petani, pesawah, pemburu adalah golongan yang tidak boleh panjang angan-angan mereka. Di setiap hari, air, api, angin dan tanah menentukan pasang surut pendapatannya. Nasibnya setiap hari ditentukan oleh empat unsur itu secara langsung.

SEORANG nelayan yang bangun tidur di waktu subuh untuk turun ke laut tidak tahu sama ada dia akan memperoleh rezeki pada pagi itu. Diselubungi kedinginan malam dan kegelapan di tengah laut, dia tahu, kalau ada rezeki, adalah ikan yang tersangkut di jalanya. Andai sebaliknya, dia tahu nasibnya tidak menyebelahinya pada hari itu.

Dalam pada itu, dia sedar, pada bila-bila sahaja ribut akan datang. Gelombang laut akan menolak perahunya setinggi gunung dan menghempasnya pula ke dada laut persis sabut kelapa. Entah perahunya karam dan dirinya sama-sama tenggelam ke dasar laut… di setiap saat, si nelayan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

SEORANG pesawah yang menanam padi pula tahu, hasilnya pada tahun lalu bukannya pengukur perolehannya pada tahun ini. Mungkin cuaca pada tahun ini tidak akan menyebelahinya. Jika cuaca tidak memihak kepadanya, padinya akan mati di panah mentari kemarau. Mungkin juga pohon-pohon padinya akan rebah diserbu arus banjir.

Jika cuaca elok, dan padinya menguning, belum tentu lagi dia dapat menuai hasilnya tak lama lagi. Burung, siput, serangga malah penyakit tanaman boleh menyerang pada bila-bila masa melenyapkan angan-angannya untuk memamah nasi yang segar dan harum pada tahun itu.

NAMUN, di sebalik segala ketidaktentuan, golongan ini amat beruntung. Ketidakpastian itu sebenarnya membuatkan mereka mulai sedar yang mereka tiada kuasa untuk menghadapi kekuatan keempat-empat unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah itu. Justeru, kepada siapakah mereka mengharap, kepada siapakah mereka memohon dan kepada siapakah mereka pasrah?

Sudah tentulah kepada ALLAH s.w.t Tuanpunya air, api, angin dan tanah itu. Tatkala melangkah ke dalam selut sawah atau mengharung laut, kepada Ar-Razzaq atau Yang Maha Menganugerah Rezekilah mereka bermohon. Tatkala sampan dilambung ombak atau ketika banjir melanda sawah, kepada Al-Qahar atau Yang Maha Keras itulah yang dipohon agar cuaca kembali pulih. Dan kepada Al-Basit atau Yang Melapangkan itulah yang dipohon agar rezeki dapat diperoleh kembali.

Beruntungnya golongan ini kerana saban hari dapat memohon dan merintih mengadu nasib demi sesuap nasi. Cara mereka mencari rezeki yang bersumberkan terus daripada alam itulah yang memungkin mereka sentiasa dapat bertaqqarub kepada ALLAH s.w.t.

KITA? Kita orang moden. Saban hari tidak dipanah mentari kecuali disinari cahaya lampu. Tidak diserbu badai kecuali hembusan lembut angin penghawa dingin. Tidak tertelan air laut yang masin kecuali mengogok teh tarik. Tidak memijak tanah dan selut kecuali simen atau marmar.

Pergi dan pulang kerja dalam keadaan wangi. Peluh tak perlu dikesat dan diperah. Memadai hanya dengan menekap-nekap kertas tisu kecil wajah agar terus kelihatan segar. Penat bekerja boleh duduk dan goyang kaki. Cukup bulan, dapat gaji.

Hari demi hari, tahun demi tahun, kita yang mencari rezeki yang tidak langsung daripada sumber alam, semakin terlupa bahawa segala-galanya datang dari-Nya jua. Kita terlupa kerana hasil kerja kita diberi secara tetap atas nama upah atau gaji. Dalam suasana yang biasa, setiap tahun pasti ada kenaikan, ada bonus dan ada tambahan ganjaran.

Siapa yang memberinya? Bos! Dialah yang selalu datang memuji-muji, berjanji dan kemudiannya memberi kita habuan yang tentunya menggembirakan diri dan juga anak bini. Bisnes baik! Pelaburan berhasil! Kompeni untung! Nah! Ini habuan kamu kerana prestasi cemerlang kamu! Begitulah kata bos sehingga kita lupa siapakah yang sebenarnya pemberi rezeki kita.

ALLAH S.W.T yang sebenarnya menganugerahkan rezeki melalui bos kita selama ini telah secara beransur-ansur dilupakan. Tidak teringat pun yang Dia Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah, Ar-Rahim, Yang Maha Mengasihani kerana menghulurkan apa sahaja yang dihajatkan kita selama ini. Kita lupa ini. Malah, kejayaan dunia mungkin membuatkan kita beransur-ansur jauh dari-Nya!

Maka tentulah, bila ekonomi tidak baik, bonus sudah tiada, gaji dipotong, malah ditawarkan berhenti secara sukarela atau dibuang kerja, kita memarahi bos, memarahi syarikat, memarahi ekonomi, memarahi dunia kerana mengambil kelazatan yang kita hirup tahun demi tahun itu.

Astaghfirullah. Sedarkah kalau kita memarahi kesempitan rezeki yang dihadapi secara membuta-tuli, takut-takut nanti kita sebenarnya memarahi ALLAH s.w.t pula kerana tak sedar dari mana rezeki yang gugur ke tangan kita. Wajarkah? Wallahualam.


Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). At-Takaathur: 1

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Al-Qalam: 7