Piccredit: acrbulletin.org
APABILA IDEA KITA DITIRU ORANG
PAGI tadi saya menerima sebuah mesej Whatsapp daripada Shadidi, seorang teman
penulis. Dia adalah di antara penulis yang bukan old school. Platform tulisan lazimnya kini ialah di laman sosial
seperti Facebook dan juga blog. Dia
juga rajin meletak foto di Instagram.
Dan kapsyen tulisannya kerap dipaut ke laman Twitternya. Sekali-sekala saya terbaca juga karyanya apabila muncul
di laman Facebook saya.
Mesej Whatsapp
teman saya ini agak panjang. Nadanya penuh kekesalan. Berlainan sekali dengan
gaya tulisan Shadidi yang lazimnya penuh motivasi dan pengajaran. Mungkin
kerana saya salah seorang daripada tempatnya untuk mengadu yang dipercayai,
maka dia tidak segan menggunakan bahasa dan istilah-istilah penuh emosi.
Mengapa dia tiba-tiba begitu? Menurut Shadidi,
seseorang telah menceduk tulisan anekdot di laman Facebooknya lalu dijadikan seolah-olah tulisan itu dia yang punya.
Oleh kerana orang yang menceduk bulat-bulat tulisannya itu seorang selebriti,
maka paparan tulisan itu mendapat ribuan likes
dan ratusan shares. Ini
membuatkan Shadidi terkilan. Apatah lagi namanya tidak langsung diberi kredit.
Kata Shadidi, perbuatan itu amat memalukan. Selebriti itu memplagiat tulisannya. Tak malu
mencetak rompak! Oleh kerana Shadidi begitu kecewa dengan apa yang terjadi, dia
menyuarakan hasratnya untuk membuat laporan polis. Biar selebriti itu dikenakan
tindakan memplagiat! Namun, Shadidi meminta pandangan saya, apakah patut dia
ambil tindakan sedemikian?
Kami sama-sama penulis. Jadi saya boleh rasa empati
terhadap apa yang sedang bergolak di dada Shadidi. Saya ada jawapan. Malah,
tatkala membaca separuh mesejnya pun saya sudah punyai pandangan apa yang akan
saya lakukan sekiranya saya berada di kedudukan sebegitu. Namun, saya rasa
sebilangan daripada anda yang membaca pendirian ini tidak semestinya bersetuju
dengan saya.
Jawapan saya kepada Shadidi ialah: ‘Aku tahu engkau
rasa sakit hati bila tulisan engkau diambil dan dipapar tanpa kredit. Dengan
bangga selebriti itu menjawab setiap komen orang seolah-olah memberi ulasan
terhadap tulisannya sendiri. Dan, pendirian aku dalam isu plagiat ini disandarkan
kepada andaian kalaulah aku berada dalam situasi yang serupa macam kau.
Pandangan aku mudah aje. Aku tak akan buat apa-apa!
Engkau tak perlu buat laporan polis! Jangan
terkejut, bro! Halalkan sahaja ilmu yang disebar. Bukankah idea untuk menulis
anekdot itu asalnya dari Yang Maha Pencipta? Bukannya idea engkau jugak! Bila
engkau maafkan dia, si selebriti itu diampunkan dosa sesama manusia, iaitu dengan kau! Tak perlu
juga kau beritahu dia yang kau maafkan dia. ALLAH tahu!
Mudah-mudahan setiap pahala kebaikan anekdot kerana
dijadikan iktibar oleh para pembaca itu kau jugak yang dapat. Dari segi dunia,
memang nampak macam rugi sebab orang ingat, selebriti itulah yang mencipta
anekdot itu. Tetapi bukankah ALLAH itu Al-Hasib, Yang Maha Mengira? Dia tahu ke
akaun pahala siapakah kebaikan anekdot itu hendak disimpan-NYA.
Mari kita renung jauh sedikit. Fikirkan bagaimana
kalau orang dulu yang mencipta karipap itu meniatkan ciptaan karipap itu hak
dia dan tak akan menghalalkan sesiapa yang meniru resipinya? Kalau dia
bertindak begitu, tentu sekali ilmu resipi karipap tidak tersebar luas. Kita
tak akan merasa kesedapan karipap kerana hanya orang yang ada hakcipta asal
karipap sahaja yang dibolehkan buat karipap. Entah-entah kalau si pencipta
karipap itu tidak menghalalkan resipinya dari ditiru orang, kita pada hari ini berdosa makan karipap
kerana turut makan resipi curi!
Ulama dahulu belajar, dan kemudian menyebarkan ilmu
secara percuma. Ambil dan amalkanlah ilmu sepenuh-penuhnya tanpa minta balasan
material. Pada hari ini, terdapat sebilangan ustaz yang menggalakkan buku-buku
dan kitab-kitab yang mereka tulis itu disebar dan dicetak tanpa meminta apa-apa
royalti, asalkan ilmunya tersebar dan menjadi manfaat umat. Mereka percaya itu
ilmu ALLAH yang harus dikongsikan.
Untuk kau, Shadidi… jika memafkan itu adalah harga
sebuah raung di syurga, maafkanlah selebriti itu. Semoga, anekdot itu terus
berkembang luas hingga menjadi amal ilmu yang dimanfaatkan bila kau dah tak ada
lagi di dunia ini.’
Demikian pandangan saya. Tidak sampai seminit,
Shadidi membalas jawapan saya dengan sebuah mesej: ‘Terima kasih, bro. Aku
memang terfikir macam tu. Cuma tadi, hati aku berbolak-balik samada nak saman
selebriti itu atau tidak. Aku yakin, anugerah sebuah syurga itu lebih baik!’
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 19.4.17...
No comments:
Post a Comment