Tuesday, January 31, 2012

MARI KITA MEMBACA





Photo credit: miraclesandoddities.blogspot.com

JIWA & MINDA
YANG MEMBARA


MESKIPUN 2012 baru sebulan merangkak, saya berasakan 27, 28 dan 29 Januari 2012 adalah tarikh-tarikh yang akan sukar saya lupakan. Ia akan menjadi tarikh ingatan dan kenangan buat saya sebagai warga Kumpulan Media Karangkraf. Luarbiasa! Selama tiga hari, ratusan ribu peminat produk Kumpulan Media Karangkraf berpesta di Karnival Buku 2012 kami.

Kunjungan yang bertali arus itu mengakibatkan jalan-jalan di sekitar kompleks Karangkraf sesak dan sendat hingga dua kilometer. Perjalanan dari bulatan berhampiran dengan Kompleks Karangkraf yang jaraknya hanya 300 meter mengambil masa 20 minit. Ramai yang berpusing-pusing hingga setengah jam mencari parkir. Khabarnya, ramai juga yang terus balik kerana tak sanggup berputar-putar mencari ruang letak kereta, tidak kira sama ada di tepi jalan, di atas pembahagi jalan mahupun di kawasan bulatan.

Tujuan utama mereka datang hanyalah untuk membeli buku dan majalah. Namun, pihak Karangkraf menyambut kedatangan mereka dengan pelbagai pameran, demonstrasi, syarahan, diskusi dan juga konsert. Ini yang membuatkan ramai yang singgah begitu teruja hingga menghabiskan masa lebih setengah hari di premis kami.

Ramainya tetamu bukan sahaja bererti bertambahlah rezeki. Ia juga bermakna ramainya anggota masyarakat meminati produk Karangkraf. Ertinya, bahan-bahan bacaan yang Karangkraf hidangkan selama ini bertepatan dengan citarasa pembaca.

Ramai yang datang daripada sejauh Pulau Pinang dan Kelantan. Malah, ramai juga para pengunjung yang sampai daripada Singapura dan juga Brunei. Saya kagum melihat mereka yang berbaris untuk membayar di kaunter. Ada yang terpaksa beratur sehingga setengah jam semata-mata untuk membayar.

Ramai lagi yang bersesak-sesak lebih sejam untuk mendapatkan bahan bacaan yang diingini. Kaunter bayaran yang pada mulanya hanya enam, bertambah menjadi sembilan, sebelas dan akhirnya tiga puluh. Itupun masih belum dapat melancarkan aliran trafik para pelanggan yang ingin membayar. Sambutan yang sebegini hebat adalah satu fenomena di Karangkraf. Ia mencatat sejarah kami dalam dunia pemasaran buku.

Karnival ini berbeza daripada pesta buku di PWTC. Di PWTC, sebilangan pengunjung mungkin berhajat untuk mengunjungi gerai-gerai lain untuk membeli buku dan kebetulan sahaja terserempak dengan gerai kami. Tetapi, di Karnival Buku 2012 kami, mereka datang hanya untuk mendapatkan produk-produk kami.

Sambil melilau di seluruh kawasan pameran yang sesak, saya terimbau kenangan ketika mula-mula Alaf 21, syarikat penerbitan buku di bawah Grup Buku Karangkraf mula merangkak. Pada akhir tahun-tahun 90an, saya pernah terlibat dalam pameran selama 10 hari di sebuah gedung membeli-belah di Subang Jaya. Tidak sampai 50 pengunjung yang datang ke gerai kami pada satu-satu hari.

Ramai pengunjung ke gedung membeli-belah itu buat-buat tak nampak akan kehadiran kami. Ada yang berbisik sesama sendiri, sambil mencebir dan kemudiannya tergelak-gelak. Mereka berasa pelik melihat orang menjual buku. Malah, saya pernah diherdik sekumpulan remaja hanya kerana ingin menghulurkan brosur buku kepada mereka.

Fenomena pada akhir Januari lalu menzahirkan makna yang berbeza sama sekali. Ia menggambarkan, semakin ramai orang yang bukan sahaja memerlukan santapan perut. Malah, mereka kini semakin mengambil berat untuk mendapatkan santapan minda. (Secara kebetulan, pada malam akhir karnival, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah padat dengan para jemaah yang hadir untuk mendengar ceramah agama seorang ustaz). Nampaknya masyarakat kini bukan sahaja menginginkan santapan perut. Mereka juga mahukan santapan minda dan juga santapan rohani.

Apabila para pengunjung datang berbondong-bondong dengan ahli keluarga masing-masing, ia menandakan budaya membaca sudah menjadi satu budaya keluarga. Suami-isteri menggalakkan anak-anak untuk menyukai buku yang tentunya menjurus kepada mencintai ilmu. Seperti komen motivator Dr. Ari Ginanjar apabila dimaklumkan mengenai sambutan yang memberangsangkan itu, dia menyuarakan rasa hairan, bagaimana di era facebook dan twitter begitu popular, Karangkraf masih dapat menyelitkan rasa cintakan buku di hati masyarakat.

Pada hemat saya, facebook dan twitter adalah alat komunikasi inter-personal. Membaca pula adalah alat berkomunikasi intra-personal. Manusia akan tetap ingin bersosial. Tetapi mereka juga perlukan masa untuk meneroka ke dalam diri. Lagi pula, membaca itu adalah bara untuk menghidupkan jiwa dan minda. Dan membarakan jiwa dan minda pula adalah visi Kumpulan Media Karangkraf.

Marilah kita genggam bara itu.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.2.2012, isya-Allah...

Tuesday, January 24, 2012

SELAMAT TAHUN BARU CINA


Photo credit: shutterstock.com

DARAH CINA
DALAM DIRI SAYA

SAYA mula tertanya mengenai identiti diri sebaik sahaja melangkah ke darjah satu. Kawan-kawan sekelas hairan bila saya fasih berbahasa Melayu. Mereka menyangka saya anak Cina kerana raut wajah saya seperti orang Cina. Pulang ke rumah, barulah emak menceritakan sebenarnya nenek saya adalah anak perantau Cina yang dijaga oleh orang Melayu. Setelah berkahwin dengan orang Melayu, tentu sekali zuriatnya mempunyai genetik Cinanya. Ayah saya berwajah kecinaan dan begitu jugalah saya.

Hampir separuh dairpada rakan-rakan di sekolah adalah dari kaum Cina. Di sekolah rendah, saya biasa bermain kejar-kejar, teng-teng dan belon acah bersama mereka. Di sekolah menengah, saya bermain badminton, bersukan dan belajar secara study group bersama mereka. Malah, saya punyai lebih ramai rakan-rakan sekolah daripada kaum Cina berbanding bangsa Melayu.

Di zaman remaja, cabaran mula sampai. Ketika kawan-kawan mula ada girlfriend, saya pun teringin. Malangnya, saya tidak dapat seorang pun kerana wajah saya. Bila saya hendak tackle budak Melayu, mereka tidak layan kerana wajah saya. (Berbeza dengan budak-budak Melayu sekarang kerana ada yang suka budak lelaki Chinese, Japanese atau Korean look). Bila saya hendak tackle amoi Cina, senyuman yang dihulur akan berbalas. Namun, cebikan akan saya terima sebaik sahaja saya mula berbicara. Saya yang disangkakan Cina rupa-rupanya orang Melayu!

Setelah tamat belajar, saya pernah menceburi bidang kejurujualan. Persoalan wajah saya timbul lagi. Saya teringat insiden di kawasan Petaling Jaya, tempat saya berjual dari rumah ke rumah. Salam saya di rumah orang Melayu tidak dibalas. Malah ada yang enggan membuka pintu. Sebaliknya, apabila berkunjung ke rumah orang Cina pula, mereka akan menyambut kedatangan saya. Hanya setelah saya mula bertutur baharulah mereka mengubah fikiran. Kata-kata saya hanya disambut dengan gelengan hingga saya terpaksa angkat kaki.

Begitulah. Semakin saya dewasa, wajah kecinaan saya lama-lama bukan lagi sesuatu yang perlu saya ambil pusing lagi. Saya perlu hidup dengan wajah ini. Ia adalah fizikal saya, malah identiti saya. Namun, semangat saya pula adalah semangat orang Melayu. Saya berasa hebat berketurunan darah pahlawan Laksamana Bentan di sebelah ibu. Dan saya berasa bangga mempunyai darah pengembara orang Cina di sebelah bapa.

Di peringkat awal hidup sendiri, saya banyak belajar petua perniagaan dari orang Cina bila berniaga dengan mereka. Saya teringat Teh Kim Seng, tuanpunya sebuah syarikat pengeluar baju di Melaka, tempat saya mendapatkan bekalan pakaian. Dia hanya mengambil 20 sen untung dari setiap baju yang saya tempah. Tindakannya menghairankan saya kerana sepatutnya dia ambil untung yang lebih daripada saya.

Suatu hari saya bertanya kepadanya, mengapa dia ambil hanya 20 sen untung dari setiap helai pakaian yang saya beli. Katanya, ‘Memang betul saya untung 20 sen dari awak. Tapi ini lebih baik dari duduk tepi jalan dan minta wang 20 sen dari orang.’ Maknanya, untung yang sedikit lebih mulia daripada meminta-minta.

Ketika berniaga dalam bidang percetakan pula, saya punyai masalah hutang dengan Mr. Lam. Saya akan minta dia panjangkan terma kredit apabila saya punyai masalah kutipan. Satu hari, selepas puas dia bahasakan saya, dia berkata sesuatu yang membuatkan saya terkedu. Katanya, ‘Kalau awak tak ada wang, jangan berniaga. Lebih baik kerja dengan orang. Berniaga hanya untuk orang yang ada wang!’ Meskipun kata-katanya pedas, ia menyedarkan saya supaya mengumpul secukup wang sebelum berniaga.

Seorang kenalan saya, bernama Lim yang berniaga char kue teow, menyimpan RM10 setiap hari di dalam sebuah tin biskut yang buruk. Saya bertanya, mengapa dia berbuat begitu dan tidak menyimpan kesemua wangnya di dalam bank? Katanya, ‘Ini adalah duit mati. Saya tak akan gunakan wang ini sampai bila-bila. Tapi kalau perniagaan saya mati dan terpaksa tutup, wang inilah yang akan saya pakai untuk buka bisnes baru.’

Ya, di sebalik darah Cina yang mengalir di dalam diri, interaksi dan persahabatan, saya menambah pengetahuan tentang minda dan falsafah orang Cina daripada pelbagai buku. Saya kagum dengan daya pengamatan fikiran strategik Sun Tzu, falsafah Confucious, keberanian maharaja Shih Huang Ti serta kekentalan semangat Laksamana Cheng Ho.

Walau apa pun yang mereka lakukan, mereka tetap bertindak dengan tangkas, bukannya cepat. Mereka mahukan kesungguhan, bukan kedegilan. Mereka mencongak, bukan berkira. Dan mereka akhirnya mahukan kemakmuran, bukannya kekayaan. Inilah yang saya lihat apa yang ada di dalam diri mereka. Mudah-mudahan, kita memperoleh banyak ilmu dari orang Cina.

Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina dengan harapan memperoleh tenaga yang membawa kemakmuran sempena tahun naga.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.1.2012, insya-Allah.


Tuesday, January 17, 2012

JANGAN SEMBUNYIKAN ILMU







Photo credit: atadesk.com

SUDAH TIADA
RAHSIA LAGI

SAYA tidak sangka bertemu dengan Mat Sendo selepas bersolat zohor di surau sebuah kompleks membeli belah Shah Alam. Seperti jolokan namanya, Mat Sendo masih tegap tubuhnya meskipun usianya sudahpun setengah abad.

Ketika di kampung, kami seperguruan silat. Ketika kami sama-sama menuntut, guru kami pernah mengeluarkan pandangan, ‘Saya akan ajar kamu semua sembilan gerak dan pukulan. Sebagai guru, saya akan simpan satu lagi gerak dan pukulan untuk menegakkan amalan agar murid tidak boleh melawan guru.’

Kata-kata guru kami itu disanggah oleh Mat Sendo. Bagaimana pun, kerana menghormati guru, dia hanya membisikkan kepada saya rasa kurang senangnya dengan pendirian guru kami. ‘Mana boleh guru amalkan sikap macam tu? Kalau aku jadi guru silat esok, aku hanya ada sembilan gerak dan pukulan.’

‘Kalau aku simpan satu ilmu, maknanya, murid aku hanya belajar lapan gerak dan pukulan. Bila murid aku jadi guru, dia akan simpan satu ilmu dan hanya beri tujuh. Lama-lama, generasi guru-guru persilatan tidak ada apa-apa yang boleh disampaikan kepada anak-anak muridnya sebab masing-masing nak simpan satu ilmu.’

Hendak dijadikan cerita, pada suatu malam latihan, Mat Sendo berjaya memukul guru kami hingga tersembam ke bumi! Pada malam esoknya dan malam-malam berikutnya, Mat Sendo tidak lagi hadir untuk berguru. Rupa-rupanya dia mengundurkan diri daripada meneruskan perguruan kerana tidak percaya dengan konsep menyimpan sedikit rahsia untuk kepentingan guru semata-mata.

Pertemuan dengan Mat Sendo itu menyegarkan kembali ingatan saya akan pendiriannya itu. Dia berpandangan jauh ketika kami semua seolah-olah bersetuju dengan konsep guru mesti simpan sedikit ilmu agar murid tidak akan melawan guru.

Seperti pada hari ini, apa sahaja ilmu sudah terbuka dan terpapar untuk sesiapa yang berminat. Tiada rahsia lagi. Kisah kejayaan individu sehinggalah kepada rahsia kejayaan organisasi atau perniagaan, sudah boleh dikaji dan diamalkan oleh kawan dan lawan, rakan dan pesaing. Sejarah kehidupan, anekdot, analisa rahsia kejayaan mahupun kejadian di sebalik kegagalan seseorang individu boleh dibaca berulangkali. Kisah kekuatan perjuangan Mahatma Ghandi, kecekalan Nelson Mandela dan ketokohan Tun Dr. Mahathir dapat dibaca dan dikaji.

Rahsia kejayaan syarikat Sony, kecekapan Apple, kegagalan General Motors atau kemuflisan Enron Corporation dipaparkan melalui pelbagai buku. Begitu juga kejayaan negara Jepun dengan falsafah bushido, kaizen, amalan 5S serta total quality management boleh dicontohi dan dipraktikkan seperti sebuah skrip.

Sebutlah apa sahaja laporan, penemuan dan kajian, kita boleh mendapatkannya di pelbagai blog, fail pdf dan video dari internet. Terbukanya rahsia kejayaan mahupun kegagalan individu, organisasi, syarikat mahupun negara menjadikan sesiapa atau mana-mana pihak berpeluang menjadikan apa yang diketahui sebagai teladan mahupun sempadan.

Kerana itu, memang pelik jika kita masih lagi hendak menyembunyikan apa yang dikatakan sebagai ilmu yang kita peroleh daripada orang lain. Pendirian sebegitu sudah ketinggalan zaman. Dunia yang telus di mana kita berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja di dunia ini, tanpa sempadan negara, kaum, malah agama.

Ilmu itu sebenarnya pengetahuan yang dipinjamkan oleh ALLAH. Justeru itu, kita tidak perlu lagi sembunyikan ia semata-mata kerana takut kita kalah dalam perlumbaan kehidupan. Walhal, dalam waktu yang sama, kita begitu lapar dan rakus mahu apa sahaja ilmu yang dipusakai oleh orang lain hingga tanpa malu menceduk atau memplagiatnya tanpa rasa bersalah.

Menyembunyikan ilmu baik yang kita ada, lebih-lebih lagi apabila ditanya oleh orang lain sebenarnya dilarang agama. Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).

Ilmu yang disembunyikan akan pupus seperti silat yang saya dan Mat Sendo pelajari. Ilmu persilatan itu telah berkubur bersama dengan gurunya.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.1.2012, insya-ALLAH.

Tuesday, January 10, 2012

NAMA ITU MARUAH PERIBADI


Photo credit: fineartamerica.com


APA-APA
YANG ADA
PADA NAMA


SAYA cukup teruja bila menelusuri nama rakan-rakan Facebook. Nama-nama mereka kesemuanya menarik, cantik bila dieja dan sedap bunyinya bila dilafaz. Tidak ramai yang menggunakan nama sebenar. Sebaliknya, ramai daripada mereka menggunakan nama samaran atau orang sekarang sebut sebagai nama glamor.


Malah, sebahagian besar daripada mereka menggunakan nama mereka yang digandingkan dengan nama bunga seperti Aiza Mayang Sari atau nama hobi seperti Syaza Novella kerana hobinya membaca novel. Ada juga yang menggandingkan namanya dengan nama syarikat seperti Asyraf Buku Islami atau nama Korea seperti Wana Ji Hoo.


Saya kurang percaya andainya nama-nama yang dipilih itu berasal daripada nama samaran atau gelaran yang diberi oleh orang lain kepada mereka. Sebaliknya, saya hampir pasti, kesemua nama-nama itu adalah pilihan sendiri sebagai identiti untuk memperkenalkan diri masing-masing.


Saya teringat pada pelbagai nama dan gelaran orang di kampung saya, Kampung Sri Lalang, Mersing. Pada tahun-tahun 60an, gelaran diberi kepada seseorang untuk membezakan antara seorang dengan seorang yang lain. Maklumlah, orang dulu-dulu tidak mempunyai banyak nama seperti orang sekarang. Ramai sekali yang menggunakan nama Abu, Abdullah, Mohamed, Abdul Rahman, Hassan dan Hussein.


Terdapat tiga orang yang bernama Abdul Rahman. Kerana itu, masing-masing diberi gelaran untuk membezakan Abdul Rahman manakah yang dimaksudkan. Yang pertama digelar Rahman Pelan, kerana dia seorang pelukis pelan. Seorang lagi dikenali sebagai Rahman Bang kerana dia seorang bilal di surau kampung. Seorang lagi dipanggil Rahman Brunei, kerana beliau bertugas sebagai seorang guru di Brunei.


Ada dua orang bernama Hassan. Seorang digelar Hassan Tuan Holt, kerana beliau menjaga banglo seorang Inggeris bernama Holt, sementara seorang lagi digelar Hassan Janggut kerana mempunyai janggut putih ke paras dada. Nama Hussein pun ada dua. Seorang digelar Hussein Gajah kerana beliau mempunyai senapang untuk menghalau gajah. Hussein yang seorang lagi digelar Husein Onggat kerana beliau pernah bertugas sebagai home guard di zaman darurat.


Orang sekarang lebih beruntung kerana mempunyai ibubapa yang kreatif dan banyak sumber rujukan untuk memilih nama anak-anak. Jika nama-nama itu dicari di Google atau Facebook, nama mereka memang satu-satunya nama begitu di dunia ini. Manakan tidak, kadangkalanya seseorang itu diberi hingga tiga nama yang panjang seperti Syaidatul Amiera Fauzana sebelum berbintikan bapanya yang hanya mempunyai tiga huruf sahaja seperti Ali!




Nama, sama ada nama samaran yang dipilih sendiri atau nama gelaran yang diberi oleh orang lain adalah sesuatu yang lumrah. Malah, ia boleh menjadi satu jenama. Apabila nama seperti Amy Search, Norman Kru mahupun Ning Baizura disebut, kita tidak akan memikirkan wajah atau personaliti lain selain daripada mereka kerana ia sudah menjadi jenama artis-artis itu. Malah, kita yang mempunyai nama seperti Siti Nurhaliza akan dipandang lebih daripada sekali oleh mereka yang baru mengenali kita kerana mereka mengaitkan nama itu dengan selebriti Siti Nurhaliza yang sudah menjadi satu jenama.


Oleh kerana nama dan gelaran itu mempunyai gahnya yang tersendiri, ada juga di kalangan mereka yang sanggup menggunakan gelaran yang berbentuk pangkat semata-mata untuk menaikkan imej mereka di mata masyarakat. Kita pernah mendengar cerita mereka yang membeli gelaran berpangkat Datuk atau Tan Sri semata-mata untuk berdiri sama tinggi dengan mereka yang berpangkat sedemikian. Malah, ada yang tidak takut menggunakan pangkat Tengku atau Raja yang tidak tentu entah di manakah susur galur gelaran itu.


Tidak kurang juga mereka yang menggunakan pangkat Doktor atau Profesor di pangkal nama sama ada untuk menyamar dan berlagak seperti tokoh akademik atau semata-mata mahu melariskan barangan yang mereka jual. Mereka bukan setakat menipu diri dan orang lain, malah lama kelamaan gelaran ini melekat pada nama mereka hingga mereka terlupa yang mereka adalah penipu hingga ke akhir hayat.


Malangnya, apabila tembelang itu pecah, bukan sahaja gelaran itu hilang. Malah, nama asal mereka dan nama bapa mereka sendiri yang tercemar. Bermula saat itu, maruah peribadinya boleh hilang buat selama-lamanya!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.1.2012.

Tuesday, January 3, 2012

MENJADI TELUS DAN TULUS


Photo credit: sinarharian.com.my

MENULIS BERITA
YANG SEIMBANG

TAHUN 2012 bermula dengan demonstrasi untuk membebaskan penuntut UPSI dan pemansuhan AUKU di Tanjung Malim. Setelah empat hari berlalu, ia masih hangat diperkatakan. Dakwaan pelajar terhadap kekasaran polis dan penafian pihak polis sendiri memberi makna, isu ini akan menjadi hangat untuk beberapa waktu.


7 Januari ini pula, akan berlangsung di Stadium Paroi, Seremban. Dijangka, 4,000 peserta akan berhimpun pada hari itu. Perhimpunan untuk menyuarakan bantahan terhadap usaha memurtadkan orang Islam adalah siri yang ketiga Sekretariat HIMPUN setelah ia diadakan di Perak dan Selangor pada tahun lalu.


Pada 9 Januari nanti, Pakatan Rakyat akan berkumpul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Perhimpunan 901 Bebaskan Anwar. Meskipun sudah lebih 300 laporan polis dibuat bagi membantah perhimpunan itu, Sinar Harian bersedia membuat liputan dan laporan yang komprehensif sama ada ia perhimpunan yang besar mahupun sebaliknya.


Awal tahun 2012, nampaknya menjanjikan developing story yang panas dan bergolak untuk para pembacanya. Ini berbeza sekali dengan situasi pada dua minggu terakhir Disember 2011. Pada minggu-minggu itu, Sinar Harian tercari-cari berita menarik untuk dimuatkan di akhbarnya.


Hujung tahun adalah tempoh menghabiskan cuti bagi pemimpin politik, korporat, badan kerajaan dan NGO. Kita menghadapi kesukaran mendapat maklumbalas mereka berkenaan sesuatu isu dan masalah kerana masing-masing berada di luar negara. Hampir kesemuanya tidak mengangkat telefon apabila dihubungi. Jangan haraplah untuk mendapatkan reaksi staf bawahan mereka kerana masing-masing tidak berani bercakap meskipun ia mengenai perkara yang melibatkan prosedur dan sistem yang tidak semestinya perlukan jawapan bos masing-masing.


Kerana itu, berita-berita di penghujung tahun agak ringan. Kurang isu politik, sosial dan ekonomi yang berat-berat hingga terlintas di fikiran, alangkah amannya negara ini andainya mereka yang kerjanya bercakap, berhenti bercakap!


Di waktu itulah dua berita yang mempunyai human interest menarik minat kami. Kisah misteri orang minyak di Gombak, Selangor dan gangguan jin yang kami gelar sebagai ‘hantu Kak Limah’ di Marang, Terengganu dipilih menjadi antara berita utama. Sebilangan pembaca mempersoalkan, mengapa Sinar Harian sudah memilih berita mistik?


Bagi kami, kisah hantu Kak Limah dan orang minyak bukan setakat berita yang kami siarkan sekali lalu berdasarkan kepada aduan semata-mata. Sebaliknya, wartawan-wartawan kami yang bertugas diarahkan untuk bersama dengan komuniti yang terlibat.


Di Terengganu, tiga wartawan bersilih ganti mendapatkan berita dari peringkat aduan mangsa sehinggalah ke peringkat perubatan yang dilakukan oleh seorang ustaz secara percuma. Alhamdulillah, kes tersebut boleh dianggap selesai.


Di Selangor, wartawan kami menjadi sebahagian daripada masyarakat setempat. Dia turut terlibat untuk sama-sama meronda untuk menjaga keselamatan kampung. Insya-ALLAH, dia akan ada bersama hingga kesudahannya kerana apa yang bermula akan ada akhirnya.


Sebagai akhbar yang telus dan tulus, berita-berita yang menjadi pilihan dan fokus kami akan ditangani secara mendalam. Seboleh-bolehnya liputan mestilah dari mula hingga akhir. Dari A hingga Z. Sinar Harian tidak boleh setakat menyambar berita yang sampai ke pengetahuan kami dan melaporkan secara sekali lalu. Sebaliknya, berita yang disampaikan akan menerima susulan demi susulan hingga ke akhirnya.


Masyarakat pada hari ini mudah lupa. Berita hangat yang dibincangkan bagai hendak runtuh negara pada hari ini boleh dilupakan begitu sahaja pada keesokannya. Sinar Harian mesti berada di atas kejadian untuk melihat pelbagai isu dari mata burung atau helicopter view. Sinar Harian tidak boleh melupakan sesuatu isu seperti menyapu sampah ke bawah karpet. Andainya demikian, Sinar Harian seolah-olah membiarkan perkara yang buruk dan yang salah itu berlalu tanpa berdepan dengan neraca kebenaran.


Sinar Harian menghormati kerajaan yang dipilih rakyat. Tentu sekali kerajaan mengikut pilihan rakyat negeri masing-masing. Bagaimana pun, Sinar Harian komited untuk mengutamakan kedaulatan negara dalam liputan beritanya kerana negara ini adalah hak seluruh rakyat. Ia bukan hak mana-mana kumpulan atau kelompok. Justeru itu, apa sahaja tindakan yang membelakangkan kepentingan negara secara holistik tidak akan lagi mendapat keutamaan siaran.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.1.2012, insya-ALLAH.

Tuesday, December 27, 2011

BILA PEMIMPIN TAK INGAT AMANAH


Photo credit: kolorcube.com

SIAPAKAH YANG
PATUT
BERKUASA?

DUA malam lepas, sewaktu menjamu selera di sebuah gerai, saya tertonton drama di televisyen ~ kisah seorang anak yang tidak hormatkan ibunya. Adegannya stereotaip. Si anak marah-marahkan si ibu; si ibu pula merayu agar si anak tidak meninggalkannya setelah kesal bersikap kasar terhadap anaknya. Dia bersedih, malah meminta ampun pula dengan anaknya.

Saya perasan, semua pengunjung yang ada di situ menonton dengan khusyuk. Tidak ada rungutan atau berbisik sesama mereka tanda mereka kritis dengan adegan itu. Nampaknya mereka menerima cerita itu seadanya. Satu lagi petanda bahawa para penonton di situ dan saya anggap ribuan lagi penonton drama itu di tempat-tempat lain sudah menerima keadaan di mana cerita anak yang berbahasa kasar dengan ibu adalah sesuatu yang biasa.

Sepatutnya, ada di kalangan mereka yang mengkritik, kenapa di ibu yang dibahasakan begitu tidak bangun dan mengingatkan anaknya tentang keceluparan yang dilakukan. Sebaliknya mereka menonton dengan tenang dan selamba sambil mengunyah hidangan.

Saya tidak menyalahkan penulis skripnya pula kerana beranggapan dia hanya merakam apa yang terjadi di sekelilingnya. Dan dia melakarkan situasi yang sudah jadi kebiasaan. Malangnya, situasi ini mengambarkan apa yang sudah menjadi norma pada hari ini, meskipun ia adalah norma yang songsang.

Kini, kita sudah menerima norma baru ~ dalam situasi suami dan isteri; anak dan ibu bapa, ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut atau pihak berkuasa dengan yang dikuasai, keadaannya sudah setara. Siapa yang besar, siapa yang kecil; siapa yang di atas, siapa yang di bawah; siapa yang berkuasa, siapa yang dikuasai sudah tiada bezanya. Struktur yang diterima sebagai norma untuk menegakkan rasa saling hormat menghormati atau bertujuan untuk menyelaraskan hieraki sesebuah organisasi sudah tidak dipedulikan lagi.

Kini, adalah satu kebebasan apabila sesiapa sahaja boleh mempersoalkan ibubapanya, ketuanya, pemimpinnya malah raja mereka sendiri tanpa tertib, beradab dan mengikut saluran. Itu semuanya kini biasa di atas nama kebebasan bersuara. Justeru itu, kebebasan bersuara sudah menjadi norma. Oleh kerana kebebasan bersuara itu sudah diterima umum, menjelma satu lagi bentuk kebebasan yang berlaku pada hari ini iaitu kebebasan bertindak. Dulu hanya bebas bercakap, kini sudah ada yang mahu bebas bertindak tanpa perlu memberi salam lagi.

Di rumah, kebebasan ini dapat dilihat apabila si isteri boleh lebih berkuasa daripada si suami. Jika dahulu, si suami memberitahu apa hidangan yang dimahukannya, kini si isteri bukan sahaja mencadangkan kepada suami apa yang ingin dimasaknya. Malah, sudah jadi kebiasaan bila si isteri masak apa yang dia mahu. Si suami makan sahaja apa yang terhidang.

Di pejabat, jika sebelum ini si ketua menyatakan apa yang ingin dilaksanakannya, kini si ketua bukan sahaja perlu berunding dengan anak buahnya sebelum melaksanakan apa-apa peraturan. Malah, pekerja-pekerjanya pula boleh memberi amaran kepada si ketua, mereka akan boikot andainya peraturan baru dilaksanakan.

Di kalangan pihak berkuasa, banyak sekali tindakan penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila pihak yang dikuasai menentang apa jua penguatkuasaan, padahal ia bertujuan untuk menegakkan sistem, hieraki dan strata organisasi masyarakat.

Di dalam kepimpinan pula, sudah sedikit pemimpin yang boleh melaksanakan apa yang dia nampak baik untuk para pengikutnya. Sebaliknya, sudah ramai pemimpin yang tunduk mengikut kerenah para pengikutnya. Pemimpin pada hari ini ramai yang tidak berani mendisiplinkan pengikut mereka meskipun ia merosakan imej organisasi, institusi mahupun parti.

Kesemua ini terjadi apabila pihak yang sepatutnya menguasai takut hilang kuasa. Suami tidak berani pada isteri, ketua takutkan pekerjanya, penguatkuasa bimbangkan penduduknya dan pemimpin takutkan pengikutnya. Kerana itu masing-masing memejam mata atau berdiam diri. Bertegas dan berani memimpin dan memerintah sudah semakin hilang di pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan mereka yang diamanahkan menjaganya.

Dalam struktur kepimpinan, semua pihak perlu akur dengan rantaian perintah atau chain of commands. Andainya kita rungkaikan atau kita bebaskan hirarki kepimpinan ini menjadi setara, ia akan merosakkan sistem kepimpinan itu sendiri. Jika sistem itu dibuat untuk tidak dipatuhi, sama ada oleh pihak yang sepatutnya menerajui dengan membiarkan ia dilanggar oleh yang diterajui, bersedialah untuk berdepan dengan anarki!

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.12.2011.

Tuesday, December 20, 2011

KEMBALI KEPADA ADAB


Photo credit: keithbrownblogs.blogspot

MARI KITA UCAPKAN
TERIMA KASIH


DI ANTARA adab yang diajarkan kepada anak kita ialah melafazkan ucapan terima kasih bila menerima sesuatu pemberian daripada seseorang. Kita sampai sanggup melafazkan ucapan itu lambat-lambat agar si kecil dapat mengajuk kata-kata yang baik itu. Kita akan ulang berkali-kali sehingga anak kita boleh melafazkannya. Hati akan puas meskipun si kecil hanya dapat mengucapkan tima acih. Tidak mengapalah kalau pelat sekali pun, asalkan si kecil dapat memahami konsep orang berbudi kita berbahasa.

Peliknya, akhir-akhir ini kita yang dewasa diajar pula dengan konsep tidak perlu mengucapkan terima kasih kepada orang yang memberi seandainya itu adalah tanggungjawab si pemberi. Kata-kata ini lazimnya diajarkan oleh orang politik yang cetek pemikirannya tetapi tinggi keinginan menjaga pengaruh pengikut-pengikutnya. Jika sebelum ini, kata-kata sebegitu hanya kedengaran disampaikan oleh orang politik PR kepada para pengikutnya, kini ia sama juga kedengaran disuarakan oleh orang politik BN.

Di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN, orang politik PR mengajar kepada pengikutnya agar tidak perlu ucapkan terima kasih di atas segala bantuan dan sumbangan kerajaan BN kepada mereka kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Di negeri-negeri yang dikuasai PR pula orang politik BN membalas dengan menggunakan konsep yang sama – tidak perlu berterima kasih kepada pemimpin PR yang memberi kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

Dua kali lima. Masing-masing dua kali lima mengajar perkara yang menjerebu pemikiran, budi dan akhlak pengikut masing-masing semata-mata kerana takut pengikut mereka termakan budi, lalu menyokong pihak yang dimusuhi. Mereka yang mengajarkan begini seperti pendek akal.

Sedangkan anak yang berbelas tahun ditatang bagai minyak yang penuh boleh sahaja lupa kepada pengorbanan orang tua meskipun sudah diberi segala, inikan pula mereka yang hanya beberapa kali menerima pemberian dari parti mana sekali pun! Jadi, usah gusarlah kerana ucapan terima kasih tidak mudah mengubah kasih dan condong politik pengikut masing-masing.

Lagipun, alasan untuk tidak mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab pihak yang memberi adalah pendirian double standard. Jika kita berpendirian tidak perlu ucapkan terima kasih kepada yang memberi semata-mata kerana itu tanggungjawabnya, apakah kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ayah ibu yang membesarkan kita semata-mata kerana itu tanggungjawab mereka?

Ataupun, apakah kita boleh berpandangan yang kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ALLAH SWT yang menjadikan kita kerana kita sendiri tidak pernah pinta dilahirkan ke dunia ini?

Perkataan terima kasih atau pujian jazaakallahu khairan (semoga ALLAH membalas kebaikanmu) itu adalah ucapan dan tindakan yang terpuji. Malah, ia adalah anjuran pemimpin kita Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda,“Barangsiapa yang diberikan suatu kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengucapkan jazakallaahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) berarti dia telah sempurna dalam memuji.”(Sunan At-Tirmidzi, no. 2035).

Cukup indah andainya kita dapat memuji sesiapa yang memberi, lebih-lebih lagi baik andainya kita mohon ALLAH membalas kebaikannya. Kalau pun si pemberi berniat untuk memancing undi atau membeli jiwa, biarlah ALLAH yang menilainya. Dan, tidak comel kita mengenepikan apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri semata-mata kerana takut termakan budi, tergadai undi.

Dalam pada itu, tidak moleklah apabila si pemberi meminta-minta ucapan terima kasih daripada si penerima. Tidak cantik pula mengungkit-ungkit pemberian dengan ayat-ayat agar si penerima mengenang pula jasa si pemberi. Seolah-olahnya, jika si penerima tidak ucapkan terima kasih, si penerima itu tidak reti mengenang budi. Jika ini disebut-sebut dan diulang-ulang, nampaknya pemberian itu bagai tidak ikhlas ~ ada udang di sebalik mi.

Daripada satu lagi sudut pandangan, sepatutnya, si pemberilah yang seharusnya ucapkan terima kasih kepada orang yang menerima pemberiannya, kerana apabila seseorang itu menerima pemberiannya, bukankah ia bererti si penerima memberi peluang si pemberi mendapat pahala?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.2011.