Tuesday, December 20, 2011

KEMBALI KEPADA ADAB


Photo credit: keithbrownblogs.blogspot

MARI KITA UCAPKAN
TERIMA KASIH


DI ANTARA adab yang diajarkan kepada anak kita ialah melafazkan ucapan terima kasih bila menerima sesuatu pemberian daripada seseorang. Kita sampai sanggup melafazkan ucapan itu lambat-lambat agar si kecil dapat mengajuk kata-kata yang baik itu. Kita akan ulang berkali-kali sehingga anak kita boleh melafazkannya. Hati akan puas meskipun si kecil hanya dapat mengucapkan tima acih. Tidak mengapalah kalau pelat sekali pun, asalkan si kecil dapat memahami konsep orang berbudi kita berbahasa.

Peliknya, akhir-akhir ini kita yang dewasa diajar pula dengan konsep tidak perlu mengucapkan terima kasih kepada orang yang memberi seandainya itu adalah tanggungjawab si pemberi. Kata-kata ini lazimnya diajarkan oleh orang politik yang cetek pemikirannya tetapi tinggi keinginan menjaga pengaruh pengikut-pengikutnya. Jika sebelum ini, kata-kata sebegitu hanya kedengaran disampaikan oleh orang politik PR kepada para pengikutnya, kini ia sama juga kedengaran disuarakan oleh orang politik BN.

Di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN, orang politik PR mengajar kepada pengikutnya agar tidak perlu ucapkan terima kasih di atas segala bantuan dan sumbangan kerajaan BN kepada mereka kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Di negeri-negeri yang dikuasai PR pula orang politik BN membalas dengan menggunakan konsep yang sama – tidak perlu berterima kasih kepada pemimpin PR yang memberi kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

Dua kali lima. Masing-masing dua kali lima mengajar perkara yang menjerebu pemikiran, budi dan akhlak pengikut masing-masing semata-mata kerana takut pengikut mereka termakan budi, lalu menyokong pihak yang dimusuhi. Mereka yang mengajarkan begini seperti pendek akal.

Sedangkan anak yang berbelas tahun ditatang bagai minyak yang penuh boleh sahaja lupa kepada pengorbanan orang tua meskipun sudah diberi segala, inikan pula mereka yang hanya beberapa kali menerima pemberian dari parti mana sekali pun! Jadi, usah gusarlah kerana ucapan terima kasih tidak mudah mengubah kasih dan condong politik pengikut masing-masing.

Lagipun, alasan untuk tidak mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab pihak yang memberi adalah pendirian double standard. Jika kita berpendirian tidak perlu ucapkan terima kasih kepada yang memberi semata-mata kerana itu tanggungjawabnya, apakah kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ayah ibu yang membesarkan kita semata-mata kerana itu tanggungjawab mereka?

Ataupun, apakah kita boleh berpandangan yang kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ALLAH SWT yang menjadikan kita kerana kita sendiri tidak pernah pinta dilahirkan ke dunia ini?

Perkataan terima kasih atau pujian jazaakallahu khairan (semoga ALLAH membalas kebaikanmu) itu adalah ucapan dan tindakan yang terpuji. Malah, ia adalah anjuran pemimpin kita Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda,“Barangsiapa yang diberikan suatu kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengucapkan jazakallaahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) berarti dia telah sempurna dalam memuji.”(Sunan At-Tirmidzi, no. 2035).

Cukup indah andainya kita dapat memuji sesiapa yang memberi, lebih-lebih lagi baik andainya kita mohon ALLAH membalas kebaikannya. Kalau pun si pemberi berniat untuk memancing undi atau membeli jiwa, biarlah ALLAH yang menilainya. Dan, tidak comel kita mengenepikan apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri semata-mata kerana takut termakan budi, tergadai undi.

Dalam pada itu, tidak moleklah apabila si pemberi meminta-minta ucapan terima kasih daripada si penerima. Tidak cantik pula mengungkit-ungkit pemberian dengan ayat-ayat agar si penerima mengenang pula jasa si pemberi. Seolah-olahnya, jika si penerima tidak ucapkan terima kasih, si penerima itu tidak reti mengenang budi. Jika ini disebut-sebut dan diulang-ulang, nampaknya pemberian itu bagai tidak ikhlas ~ ada udang di sebalik mi.

Daripada satu lagi sudut pandangan, sepatutnya, si pemberilah yang seharusnya ucapkan terima kasih kepada orang yang menerima pemberiannya, kerana apabila seseorang itu menerima pemberiannya, bukankah ia bererti si penerima memberi peluang si pemberi mendapat pahala?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.2011.

1 comment:

  1. Sesiapa yang berhasad dengki denganmu tidak akan berterima kasih di atas perbuatan baikmu padanya.

    -Saidina Ali bin Abu Talib-

    ReplyDelete