Wednesday, April 10, 2019

LEMAS KERANA HAL YANG KECIL

LEMAS KERANA
HAL YANG KECIL
BARU-BARU ini tayar kereta saya pancit terlanggar paku di NKVE. Oleh kerana lebuhraya begitu sibuk di pagi hari, saya tak berani menukar tayar pada waktu itu kerana suasananya yang gelap. Lantas saya meminta bantuan Plus Ronda. Niat di hati, kalau mereka dapat cepat datang membantu, tentu saya seronok. Tapi kalau mereka ambil masa untuk tiba ke lokasi saya kerana lebuhraya yang jem, biarlah saya tukar sendiri tayar kereta bila hari terang.

Alhamdulilah, mereka datang tak sampai 10 minit kemudian. Wah, empat orang anak muda yang bertugas keluar daripada kereta mereka. Dengan pantas mereka melakukan tugas. Seorang, mengambil tayar ganti dari bonet kereta saya, seorang lagi membuka tayar yang pancit, seorang menaikkan jek dan seorang lagi mengawal lalulintas. Melihat kepantasan mereka bekerja, saya perasan seperti menjadi pemandu grand prix yang berhenti di pit stop! Tidak sampai lima minit, semuanya selesai dan saya sudah menghidupkan enjin.

Perkhidmatan mereka percuma. Dan saya sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dalam pada itu, dapat juga saya bertanya, mengapa mereka datang berempat? Sepatutnya dua orang sahaja dalam sebuah kenderaan Plus Ronda. Bukankah itu membazir tenaga manusia? Sambil tersenyum, si pemandu memaklumkan yang kereta salah seorang daripada mereka rosak di stesen minyak di hadapan.

Tidak lama kemudian saya bersarapan dahulu di sebuah restoran sementara menunggu mekanik menukar tayar di bengkel kawan saya yang berhampiran. Hati ini bernyanyi-nyanyi kerana walaupun tayar kereta saya pancit, saya mendapat bantuan segera dari pasukan Plus Ronda. ALLAH SWT memberi saya masalah tetapi memudahkan saya menyelesaikannya.

Tetapi gembira saya setakat itu sahajalah kerana tidak sangka menerima khabar yang tidak menyeronokkan pula dari petugas bengkel. Dia datang sendiri ke restoran untuk mengajak saya kembali ke bengkel. Katanya, selain daripada tayar yang tak boleh ditampal, ada beberapa alat lain yang perlu diganti!

Setibanya di bengkel, petugas itu menunjukkan kepada saya bahagian brek kereta. Katanya, keempat-empat getah brek  kereta saya perlu diganti kerana sudah menipis. Katanya, piring pada tayar saya sudah kasar dan perlu diganti. Katanya lagi keempat-empat tayar kereta saya juga perlu ditukar kerana bunganya sudah menipis.

Saya bingung seketika. Seingat saya, tuanpunya bengkel itu sendiri pernah melihat keadaan kenderaan saya dua minggu sebelum itu. Katanya, keadaan tayar kereta saya masih boleh digunakan untuk dua bulan lagi sebelum ia perlu diganti. Dan, saya tahu keadaan getah brek kereta saya. Pergerakan kereta saya molek sahaja dan tidak bising pun tatkala membrek. Maknanya, getah breknya masih boleh digunakan. Mana satu yang betul? Kata-kata siapa yang saya hendak ikut?

Mujurlah tak lama kemudian, tuanpunya bengkel sampai dan ingat apa yang dia katakan mengenai keadaan tayar dan brek kereta saya. Dia memberi jaminan yang saya tidak perlu tukar apa-apa kecuali tayar saya yang pancit itu kerana sudah tidak boleh digunakan. Kes selesai, hati saya lega.

Dari semasa ke semasa, kita akan temui mereka yang hanya nampak impak maksima kepada perkara yang kecil. Kita temui mereka yang bukannya berpandangan jauh, tetapi berpandangan malang. Pening kepala akibat terkena hujan panas dikatanya migrain, menghidap batuk kerana tekak kering dikatanya terkena barah kerongkong, sakit pinggang kerana salah tidur dikatakan terkena penyakit buah pinggang.

Iya, kita akan temui mereka yang nampak masalah yang ekstrim apabila terjadinya masalah yang kecil. Daun yang gugur menyentuh kepala pun dirasakan seperti batu besar menghempap hingga otaknya cedera. Perkara-perkara yang kecil terjadi pada dirinya sudah cukup melemaskan kerana dia besar-besarkan masalah yang kecil itu hingga dia sendiri sesak nafas, rimas dan akhirnya lemas dengan masalah itu.

Sebaik-baiknya apabila terjadi sesuatu yang tidak kena kepada diri mahupun keadaan, kita hendaklah melihat dari sudut pandang yang ringan dahulu. Apabila keadaan tidak berubah, malah menjadi lebih teruk, baharulah jangkaan pandangan kita melangkau secara berperingkat-peringkat ke senario yang lebih buruk. Dengan cara itu, kita tidak panik dan gopoh menangani masalah yang lazimnya kecil sahaja dan boleh diatasi dengan bismillah lalu bertenang.




Tuesday, April 2, 2019

NOTA UNTUK PEMIMPIN PERSATUAN

NOTA UNTUK PEMIMPIN PERSATUAN
AHLI PARLIMEN Kuantan Fuziah Salleh, menahan marah apabila Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof membuat kenyataan bahawa syarikat Lynas tidak boleh diabaikan kerana pelaburan besar yang telah dibuat. Kata Ahli Parlimen itu, adalah lebih baik hal-hal Lynas diulas oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Baru-baru ini juga, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, TS Dr. Rais Yatim membidas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) didakwa dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu Kementerian Pendidikan untuk siap berbincang dan tanpa merujuk kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

Katanya, Tommy sepatutnya memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk membuat pengumuman rasmi mengenai UEC. TS Dr. Rais kata, dakwaan Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi lebih kuat bila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan bagi pihaknya pengiktirafan ke atas UEC dalam bidang undang-undang.

Dua kes yang berlaku ini memang tidak baik untuk politik. Ia memberi pesepsi bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan bertelagah dan ingin dahulu mendahului tanpa mahu mematuhi keputusan kabinet dan etika tanggungjawab bersama. Seharusnya mereka perlu pertahankan sesama mereka sebagai sebuah pasukan. Perlu mempamerkan solidariti.

Tetapi sebaliknya terjadi kerana masing-masing telah melampaui batas bidang tugas dan wilayah kuasa kementerian masing-masing. Daripada sudut perilaku berorganisasi pula, tindakan mereka menggambarkan seolah-olah mereka tidak tahu adab tertib berorganisasi.

Dalam berorganisasi, apa jua keputusan dalam mesyuarat samada secara majoriti mahupun secara konsensus, harus dipatuhi termasuk oleh mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Tetapi seandainya apa jua keputusan yang telah diambil oleh organisasi itu dikritik oleh mereka yang di luar organisasi, semua anggota organisasi wajib mempertahankan sebagai tanda adanya collective resposibility atau tanggungjawab bersama. Maknanya, tidak boleh sama sekali mengkritik pula keputusan yang telah diambil.
Pertindihan tugas di antara mana-mana bahagian organisasi tidak wajar wujud. Tidak bolehlah tugas grup A dibuat juga oleh grup B kerana ini akan membazir sumber tenaga. Organisasi itu perlu mengarahkan satu-satu grup sahaja melaksanakannya. Seandainya satu grup lagi tiada tugasan lain, grup itu seharusnya dimansuhkan sahaja.

Meskipun sebagai sebuah pasukan, setiap kumpulan dan juga ketuanya perlu mempamerkan keunikan dan kepakaran masing-masing agar ia diyakini oleh ahli-ahlinya. Tamsilannya seperti pasukan filem fiksyen The Avengers atau A-Team di mana setiap pasukan mempunyai kehebatannya yang tersendiri dan menjadi tempat ahli-ahlinya bergantung harap. Tetapi seandainya kehebatan masing-masing itu adalah untuk membelasah sesama sendiri, ahli-ahli akan meluat dengan mereka.

Organisasi juga perlu dianggotai oleh mereka yang mempunyai integriti. Tanpa wibawa dan berprinsip tegas dengan sifat-sifat amanah, bertanggungjawab serta sentiasa sedia memberi khidmat, organisasi itu akan dilihat sebagai sebuah kumpulan gengster yang boleh melanggar apa jua peraturan tanpa rasa malu dan bersalah.
Organisasi juga perlu berorientasikan hasil. Bila keputusan telah diambil oleh pasukan, ia perlu dilaksanakan hingga berjaya. Ini akan menimbulkan keyakinan dan akhirnya sokongan ahli-ahli untuk mempertahankan kepimpinan organisasi. Organisasi yang lambat menunjukkan hasil akan membingungkan ahli-ahlinya. Ahli-ahli akan hilang fokus dan hilang keyakinan kepada organisasi.

Secara rasmi mahupun tidak rasmi, kita semua adalah anggota dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah samada ia organisasi yang dinamakan keluarga, jawatankuasa surau, PIBG, jawatankuasa mana-mana program, NGO, jabatan, bahagian malah kabinet sendiri; kita perlu menghormati dan mendokong idealime organisasi serta menjayakannya.


Organisasi perlu diterajui oleh mereka yang berkebolehan supaya ahli-ahlinya mendapat manfaat. Andainya kita tahu yang kita tidak berkebolehan dan selalu sangat menghabiskan beras, maaf cakap… lebih baik kita tinggalkan organisasi itu untuk orang lain menerajuinya!

Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 3.4.19.

Tuesday, March 26, 2019

APABILA KITA SUKA BERTANGGUH

APABILA KITA
SUKA
BERTANGGUH…


CUTI sekolah, saya jalan-jalan ke rumah teman lama Hambali dan Mastiara, di Subang Jaya. Sambil berbual dengan Hambali, mata saya terjeling-jeling kepada anak mereka, Fahmi dan Mala. Kedua-duanya tak boleh duduk diam. Ketika saya tiba pun, Fahmi bergegas untuk bersalam dengan saya. Dia bersalam lalu cium tangan saya, bukan tangan dia sendiri atau tunduk buat syarat sahaja sepertimana budak-budak sekarang.

Kemudian, Fahmi sibuk menyapu di luar rumah sementara Mala pula menolong ibunya Mastiara menghiris sawi. Sebentar kemudian Fahmi mengelap pula kereta ayahnya dan Mala menyidai pakaian. Wah, masing-masing sudah tahu tanggungjawab dan berbahagi tugas. Tak perlu disuruh pun mereka pantas menyiapkan kerja.

Saya teringat  akan perilaku Hambali  yang tidak boleh duduk diam ketika kami sama-sama belajar di kampus. Siang dia belajar, pada waktu malam dia berniaga. Dia jual macam-macam. Selain daripada baju-T, dia jual pen, kertas kajang dan perkhidmatan terjemahan. Kalau ada telefon pintar, powerbank atau kad prabayar pada zaman itu, pasti Hambali akan turut menjualnya.

Pasangannya, Mastiara pula menjual kerongsang, tudung, telekung dan baju kurung. Barangkali kerana sama-sama sesuai dengan perangai tidak boleh duduk diam, maka akhirnya mereka bertemu jodoh. Tapi nampaknya sikap sentiasa buat kerja itu diwarisi oleh kedua-dua anak mereka. Di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Berlainan sekali dengan perangai remaja hari ini yang lebih gemar memerap di bilik apabila ada tetamu datang sambil bergayut di telefon ataupun komputer.

Jelas sekali, Fahmi dan Mala  sentiasa bergerak dan bekerja kerana didikan ibubapa mereka. Bila saya bertanya kepada Hambali, katanya dia ajari anak-anak mereka dengan tanggungjawab sejak kecil lagi. Hal-hal peribadi seperti mengemas tempat tidur, menghimpun baju kotor ke dalam bakul baju, menyusun baju yang sudah berlipat di dalam almari, mencuci kasut sekolah sendiri, malah belanja sekolah pun diberi untuk seminggu. Mereka dilatih untuk menggunakan berdikit-dikit mengikut bajet.

Hambali tidak memberi hukuman selain daripada menjadi mandor apabila kerja tidak disiapkan oleh anak-anaknya. Dia akan datang ke bilik anak-anaknya dengan rotan. Fahmi dan Mala akan bingkas bangun untuk menyudahkan kerja sambil diperhati Hambali. Setelah semuanya siap, baharulah mereka dibenarkan untuk menonton TV ataupun membaca novel.

Saya tanya tip dia mendidik anak sehingga tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa disuruh-suruh. Sebenarnya, kerap juga saya dengar rungutan kawan-kawan yang lain mengenai anak-anak yang tidak mendengar kata, degil, suka menangguh kerja, malah makin pemalas.

Kata Hambali, apabila menyuruh, dia akan berikan tempoh masa yang dipersetujui anak-anaknya. Mereka diberi peluang untuk membuat apa yang mereka sedang lakukan  asalkan dapat menyiapkan kerja yang diperintah pada waktu yang dipersetujui. Jika tidak, mereka tak akan dibenarkan membuat apa yang mereka mahukan, selagi kerja yang diperintah itu tidak disiapkan.

Katanya lagi, inilah latihan supaya kita tidak bertangguh. Bertangguh ini suatu tabiat buruk. Apabila kita berkata di dalam hati, ‘nantilah… sekejap lagilah… esoklah…’ maka kita akan dapati yang kita tidak melakukan sesuatu kerja itu meskipun ia kerja mudah.

Kita menangguh untuk menambah kad Touch N Go dan kita kesal apabila kad kita ‘tidak cukup nilai’ apabila sampai di pondok tol. Kita menangguh untuk ke klinik setelah dua hari demam tetapi akhirnya terpaksa ke hospital setelah demam menjadi kronik. Kita menangguh untuk solat kerana kita rasa masa masih ada sehinggalah kita tersedar yang waktu luput sudah hampir.

Kerja yang mudah dan ringanlah yang selalunya tertangguh. Apabila yang ringan menjadi berat kerana kesuntukan masa, maka akhirnya kita rasa tertekan apabila kerja mudah yang tidak dilakukan itu terpaksa disudahkan tatkala kita sibuk dengan kerja lain.

Perbetulkan sikap agar tidak suka bertangguh dengan sentiasa peka apabila kita mula memberi pelbagai alasan untuk melakukan sesuatu. Dahulu, kita ada ibubapa yang sentiasa memantau dan mendesak kita untuk melakukan sesuatu tugasan. Apabila kita dewasa, tiada lagi ibubapa yang akan menyuruh dan memerhati kita. Justeru itu,  bagaimana kita boleh mendesak diri sendiri agar tidak bertangguh lagi melakukan sesuatu? Kalau kita berasa kita ini orang yang suka bertangguh, maaf cakap, kita sudah terlewat untuk mengubah perangai, tetapi masih belum terlambat untuk memperbetulkan sikap. Inilah cabaran buat kita.


Bagaimana pun, perangai suka bertangguh itu tidak patut diwarisi anak-anak. Kerana itu, kita perlu sentiasa memerintah anak-anak untuk sentiasa melakukan sesuatu yang mereka ingini. Pastikan mereka lakukan setiap apa yang disuruh tanpa bertangguh-tangguh lagi. Latihan itu akan menjadikan  mereka membesar dengan sikap action-oriented. Begitulah pandangan Hambali. Sesuai kita praktikkan dimusim cuti sekolah, ini.

Artikel ini akan tersiar di akhabr Sinar Harian pada 23.3.19.

Tuesday, March 19, 2019

KITA YANG SELALU TERTIPU

KITA YANG SELALU TERTIPU
KITA semua tahu mengenai pembunuhan di dua buah masjid di Christchurch New Zealand yang berlaku pada 15 Mac lalu. Dan tentu ada di kalangan kita yang telah mendapat video tragedi itu pada hari yang sama dan menontonnya. Jika kita imbas kembali, video tujuh minit itu kita tatap dengan perasaan di antara percaya dengan tidak. Apakah ia benar ataupun ia hanya sebuah permainan video?

Kita nampak muncung senapang dan tembakan. Imejnya bergerak dari bilik ke bilik dan dari bangunan ke bangunan tak ubah seperti permainan video Call of Duty. Sebab itulah kita boleh menatap video itu lama-lama, barangkali sambil bersembang dengan kawan-kawan ataupun tatkala mengunyah sarapan.

Kemudian, apabila kita merujuk kepada teman-teman dan portal berita, baharulah kita sedar yang video yang kita tonton itu adalah sebuah tragedi yang benar-benar berlaku! Astaghfirullah… betapa video itu telah kita tatap tanpa perasaan kasihan kecuali setelah beberapa minit kemudiannya.

Untuk sekian kalinya kita tertipu untuk mengenalpasti yang mana benar, yang mana palsu. Yang mana fiksyen, yang mana pula realiti. Sungguh. Semakin sehari kita dihujani dengan pelbagai imej yang menjadikan minda kita jadi celaru. Dan semua imej-imej ini datang mencelah dan menyergah di telefon bimbit pada bila-bila masa hingga ia mengelirukan pertimbangan kita.

Mengapa kita seringkali terpesona dengan apa yang kita peroleh? Mengapa kita kerapkali juga melatah apabila menerima sesuatu tanpa usul periksa lalu menyebarkannya? Maaf cakap, kita semua pernah melakukan kesilapan menyebar fitnah atau hilang sabar hingga mencerca apabila menerima sesuatu yang akhirnya ternyata palsu.

Tetapi selepas itu, kita kata, kita akan berhati-hati pada masa akan datang. Kita tak akan terpedaya lagi dengan hal-hal seperti itu. Tetapi sekejap sahaja. Kalau tidak esok, pada minggu depan kita terperlus lagi di lubang kepalsuan.

Mengapa ia terjadi berulang kali? Ia berlaku berulang kali kerana kita telah ketagihan hingga tewas untuk menggunakan akal bestari. Ketagihan untuk berasa sibuk itulah  yang membuat kita lali dengan apa yang sampai kepada kita melalui telefon bimbit terutamanya yang bersifat mesej. Mesej yang sampai pastinya mempunyai notifikasi.

Bila kita tidak peduli pada sebuah mesej, notifikasi itu akan menambah angka bila sampai mesej yang berikutnya dari satu menjadi dua, menjadi lima, sepuluh dan berpuluh-puluh. Maka kita pun merajinkan diri dengan membuka kesemua mesej untuk mengosongkan notifikasi itu.

Kononnya kita sudah buat kerja apabila semua mesej telah dilihat dan dijawab. Kita berasa senang hati kerana dapat menyelesaikan tugas yang sampai kepada kita. Inilah kepuasan semerta atau apa yang dikatakan sebagai instant gratification. Malangnya kepuasan menyiapkan kerja ini bukan kerja hakiki kita yang sebenarnya. Ia lebih melalaikan kita daripada melakukan sesuatu yang lebih berfaedah di dunia nyata. Akhirnya kita keliru dengan tindakan diri kita sendiri.

Fungsi kamera di dalam telefon juga membolehkan sesiapa sahaja mengambil foto. Hasilnya memang cantik seolah-olah hasil kerja jurukamera profesional. Dengan perisian untuk memperbaiki imej yang diambil akhirnya gambar yang tak cantik secara zahirnya menjadi indah di lensa kamera. Ditambah pula dengan kemahiran kita semua yang semakin pandai berlakun dan menulis ayat-ayat yang menguja perasaan, semuanya menjadi indah.

Sesungguhnya dunia yang kita lihat pada hari ini nampaknya sama banyak di antara yang nyata ataupun dari skrin telefon ataupun komputer. Alam nyata sudah tidak menarik lagi. Yang di dalam telefon atau skrin komputerlah yang lebih menarik.  Kita terlupa, imej dan audio di alam siber itu kesemuanya telah disunting oleh orang yang merakamnya. Inilah sebenarnya di antara fitnah di akhir zaman.

Tetapi kita manusia ego. Kita kata yang kita boleh kawal diri dengan menapis yang mana baik dan mengenepikan yang buruk. Kita sudah dewasa dan boleh kawal diri. Tindak tanduk kita adalah hak kebebasan individu. Lagipun, kita hidup dalam sistem demokrasi yang mana kita bebas membuat keputusan.

Betul. Benar. Kita mahu bebas memandang dan bertindak asalkan tidak mengganggu hak kebebasan orang lain. Tetapi soalnya, dapatkah kita kawal sendiri apa yang kita tatap dan lakukan? Dalam era teknologi informasi di mana ia tepu dengan pelbagai maklumat yang tidak berguna buat kita, kita akan sentiasa diterobos sampah siber ini. Apabila ketagihan, kita tidak dapat menapis kebenaran dan menepis kebatilan. Akhirnya kita sentiasa melakukan yang sia-sia.


“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia.”
(Al-Mukminun 1-3)

Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian, 20.3.19.

Tuesday, March 12, 2019

APA ITU WARTAWAN AL-QURAN?



APA ITU WARTAWAN AL-QURAN?

APABILA pengarang Inggeris Edward Bulwer-Lytton mencipta madah, ‘The pen is mightier than the sword,’ atau dalam adaptasi kita ‘mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang,’ beliau tidak tahu selepas pen, ada satu lagi medium yang lebih tajam daripada pena. Alat itu adalah keyboard atau papan kekunci.

Pada waktu dahulu, bukan semua orang punyai kebolehan menulis. Kalangan buta huruf pun ramai. Hanya mereka yang boleh menulis
sahaja mempunyai pena sebagai senjata yang lebih tajam daripada mata pedang. Mereka karya kreatif novel, cerpen, puisi dan teater untuk menyindir, menyerang dan membela yang tertindas hingga mendapat keadilan. Penulis-penulis tanahair kita turut menggoyang penjajah melalui tulisan.


Namun kini, keyboard yang lebih tajam dari mata pena boleh dimiliki oleh hampir semua orang. Tambahan pula, keyboard juga ada di telefon pintar. Seolah-olah, senjata ini di tangan sesiapa sahaja. Yang tak berapa mahir menulis pun boleh menulis apa sahaja. Media sosial dan blog menyediakan platform itu. Tulisan-tulisan itu boleh ditatap oleh sesiapa sahaja tanpa tapisan.

Bayangkan sekarang, kita punyai jutaan manusia yang punyai senjata yang lebih tajam daripada pena! Now, everybody can write! Jika mata pena lebih tajam dari mata pedang, dan keyboard lebih tajam daripada pena, ertinya senjata ini mampu melukakan sesiapa sahaja. Memang jelas, tulisan-tulisan pada hari ini telah memporak peranda dan menghuru-harakan.

Tulisan sebenarnya adalah medium komunikasi massa. Seseorang yang mahu menulis sesuatu kepada orang lain samada dalam bentuk berita atau cerita lazimnya harus melalui sebuah proses pendidikan formal. Segala teknik, teori dan etika penulisan dipelajari hingga seseorang itu memperoleh kelayakan. Inilah proses yang harus dilalui oleh seseorang kewartawanan iaitu seorang penyampai melalui medium penulisan.

Dahulu, yang tidak melalui proses pendidikan formal tetapi ingin menulis pula tidak berani pandai-pandai menulis ikut suka. Malah secara informal, mereka yang meminati penulisan akan cuba mengikut jalur formaliti ilmiah agar tulisannya tidak melanggar norma masyarakat. Seboleh mungkin mereka akan belajar daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan supaya hasil tulisannya diterima khalayak pembaca arus perdana.

Kini, di platform media sosial, sesiapa sahaja boleh menulis tanpa melalui apa-apa proses formal penulisan. Maka terjadilah pelbagai pelanggaran ejaan, nahu, tatabahasa, perbendaharaan kata, keceluparan, fitnah, auta, penceritaan berat sebelah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Hal ini masih berlaku dengan sebebas-bebasnya sehinggakan mereka yang telah melalui proses penulisan formal pun boleh berasa dirinya old school seandainya tulisannya tidak ikut rentak yang huru-hara juga. Sehinggakan tidak keterlaluan jika dikatakan catatan yang tidak mengikut nilai etika penulisan itu jauh lebih banyak daripada tulisan yang tertib, beradab dan juga berisi. Seolah-olah alam siber yang diibaratkan sebagai dunia tanpa sempadan itu adalah dunia tanpa dosa!

Jika di dalam dunia penulisan di medium formal seperti akhbar, majalah dan media elektronik terdapat pemantauan penulisan yang beretika, di medium internet, tiada mana-mana badan yang mengatur jalur ketertiban dan etikanya. Kita sendiri tidak senang dengan kebebasan tanpa had ini.

Justeru, mesti ada pihak yang harus bangun dan mengambil inisiatif untuk memperbetul keadaan. Bukan sekadar melaporkan apa jua pelanggaran undang-undang kepada pihak berwajib, tetapi mengatur langkah-langkah dengan mengajak sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan menulis untuk membuat penjajaran sikap yang lebih teratur.

Baru-baru ini Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang terkenal dengan program Quran Hournya telah bereksperimen untuk membina apa yang dinamakan sebagai modul melahirkan Wartawan Al-Quran. Wartawan Al-Quran adalah individu yang menyampaikan tulisan yang menuruti kehendak al-Quran. Asasnya ialah menyampaikan sesuatu yang punyai nilai-nilai kebaikan yang akhirnya mempunyai kesan kebaikan kepada khalayak pembacanya.

Empat penyampai iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf, Tuan Haji Amir Hassan, dari Denaihati Network; Norden Mohamed, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Fazrul Ismail, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah bergabung tenaga sebagai penyampai ilmu Wartawan Al-Quran kepada audien yang terdiri daripada blogger, keyboard warrior, ghostwriter dan juga wartawan.

Sambutannya memberangsangkan dan para pesertanya memperoleh sudut pandang baharu dan segar dalam menggarap penulisan ke arah keberkatan. Mereka mahu lagi. Dan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sudahpun merangka modul kursus yang berikut yang terbuka kepada sesiapa yang berminat. Program pertamanya akan diadakan pada bulan ini juga. 

Semoga kita semua menulis dengan memberi sedikit bekalan kepada khalayak pembaca disamping menyimpan bekalan juga untuk diri sendiri. Sama-samalah kita menggunakan keyboard yang lebih tajam dari mata pena itu untuk menjana segala kebaikan.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.3.19